Pengganti atau penjajah

Fikrah
Typography

 هَا أَنْتُمْ هَٰؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ ۖ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ ۚ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ ۚ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

 "(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."

(Muhammad: 38)

ويستبدل قوما غيركم 

Ayat ini mempunyai dua tafsiran.

Satunya, Allah akan menggantikan bangsa lain selain bangsa kita untuk menjaga agama Allah. Ini disebabkan bangsa sedia ada sudah tidak lagi melunaskan tanggungjawab mereka.

Kedua, ia juga bermaksud bangsa yang menyeleweng dari landasan Islam, akan dijajah oleh bangsa lain yang jahat dan akan ditindas sebagaimana yang berlaku kepada Bani Israel. Mereka mulia selepas Allah memuliakan Nabi Allah Yusuf, lalu kembali rosak hingga Allah mendatangkan Nabi Allah Musa A.S. Malangnya, selepas Nabi Musa mengembalikan semula maruah Bani Israel seterusnya maruah Islam, mereka kembali ingkar dan akhirnya kembali dihinakan Allah.

Begitu juga yang telah dan sedang berlaku kepada umat Islam seluruh dunia, kita dijajah oleh bangsa lain akibat kelalaian kita sendiri.

Bangsa Melayu itu dikenali kerana agamanya, dan agama menjaga jati diri sang Melayu. Namun apabila Melayu itu sendiri mula merobek bangsa dan agamanya, Allah hadirkan pula bangsa lain bukan untuk menjaga agama, tetapi untuk dirosakkan Melayu sekali gus agamanya.

Nabi S.A.W ada menyebutkan, di antara kesukaran melawan golongan perosak kerana ia datang dalam kalangan bangsa itu sendiri. Kulitnya, tuturnya, bahasanya adalah dari jenis yang sama! Oleh kerana itu, hari ini, musuh tidak perlu lagi duduk di tanah jajahannya kerana mereka sudah berjaya mencipta penjajah dalam kalangan bangsa itu sendiri.

Barangkali, ini juga doa yang baik untuk diamalkan supaya kita dibantu Allah untuk tidak terus dihinakan di hadapan orang yang tidak beriman. Moga kita bukan umpama buih di lautan yang tidak memberi kesan:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ لَنَا رَبَّنَا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

 "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

(al-Mumtaĥanah: 5)

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
12 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 12/12/2018 

FB IMG 1544583792924