Memerangi Jahiliah sebenar

Fikrah
Typography

MUHAMMAD Qutb dalam tulisannya menyebutkan:

"Sesungguhnya jahiliah itu tidak tertumpu hanya pada penyembahan berhala, membunuh anak perempuan, meminum arak, berjudi dan bermacam lagi gejala yang sering dikaitkan dengannya. Kesemua ini merupakan perilaku luaran (kesan) jahiliah di Semenanjung Tanah Arab sebelum kedatangan Islam.

"Adapun jahiliah itu sendiri yang menjadi punca utama yang melahirkan pelbagai kesan yang berbeza-beza mengikut tempat, situasi dan zaman yang boleh diperhatikan sepanjang zaman. Adapun punca, tetap akan menjadi punca dalam apa jua keadaan.

"Jahil terhadap hakikat sebenar ketuhanan dan mengikut selain yang ditetapkan Allah, itulah hakikat sebenar jahiliah yang melahirkan bermacam kesan sebagaimana yang disebutkan."

Ia akan melanda semua golongan yang Arab mahupun bukan Arab. Akal yang tidak mahu mengikut panduan Ilahi dan petunjuk Tuhan akan mencipta ideologi mereka sendiri sebagai protes terhadap Tuhan.

Begitulah yang selayaknya umat Islam perlu sedar. Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Faruq (Saidina Umar R.A):

"Seseorang itu belum mengenal Islam apabila dia tidak mengenal jahiliah."

4 aspek Jahiliah Arab sebelum kedatangan Islam :

i.     Penyembahan berhala

ii.     Penyembahan perkauman atau qabilah

iii.     Bertuhan uruf dan adat nenek moyang

iv.     Bertuhan nafsu dan syahwat

Dan keempat-empat aspek inilah yang perlu diberikan penumpuan secara keseluruhannya, bukan hanya pada aspek penyembahan berhala kerana kesemuanya juga sedang melanda umat di abad ini! Bahkan, perlu juga untuk meneliti jahiliah yang melanda bangsa 'Ajam supaya penyelesaiannya hingga ke akar umbi.

Ditegaskan sekali lagi, punca utama jahiliah adalah kerana jahil terhadap hakikat Tuhan, dan mengikut sistem atau peraturan atau undang-undang selain yang telah ditetapkan oleh Allah:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

[al-Ma'idah 50]

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
16.11.18

Rujukan: 
- Kaifa Naktubu at-Tarikh oleh Muhammad Qutb - HARAKAHDAILY 16/11/2018 

FB IMG 1542333211940