Pemimpin berkesan: Faktor ketua dan pengikut

Fikrah
Typography

KEBANYAKAN penyakit yang dihidapi umat bersangkut paut dengan topik kepimpinan. Tidak dapat kita nafikan bahawa konsep kuasa dan pemerintahan kerap kali disalah guna dan penyalahgunaan tersebut telah berlaku secara meluas.

Kesilapan tersebut berpunca daripada salah faham terhadap konsep kepimpinan itu sendiri.

Amanah bukan kebanggaan

Salah faham yang pertama berlaku terhadap makna asas dan tujuan kepimpinan.

Jawatan dianggap lubuk membina pengaruh, mengukuhkan kedudukan dan mengaut keuntungan harta. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan tersebut untuk membina pengikut, kemudian digunakan sebagai pelayan ego mereka.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا فعلت أمتي خمس عشرة خصلة حل بها البلاء فقيل وما هن يا رسول الله قال إذا كان المغنم دولا والأمانة مغنما..

"(Maksudnya) Apabila umatku melakukan 15 perkara, maka layaklah mereka ditimpa bala. Ditanyakan kepada Nabi, apakah perkara tersebut wahai Rasulullah? Sabda Nabi, "Apabila harta kekayaan dimonopoli, amanah dijadikan tempat mengumpul kemewahan.."

Islam mengajar umatnya bahawa urusan kepimpinan merupakan urusan penting yang tidak boleh dipandang enteng. Jawatan merupakan amanah terpelihara, bukan peluang mengkayakan diri.

Imam at-Tortushi al-Maliki rahimahullah pernah menulis sebuah pesanan kepada Ali bin Yusuf bin Tashfin (Amir kelima Daulah Murabitin, Andalus) yang berbunyi;

"Wahai Abu Ya'qub, sesungguhnya engkau telah diuji dengan urusan yang jika dipundakkan ke atas langit, nescaya ia akan terbelah. Jika dipikul oleh bintang, nescaya ia akan berguguran dan jika ditanggung oleh bumi dan gunung nescaya ia akan bergoncang. Engkau telah memikul amanah yang apabila ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, masing-masing tidak sanggup dan enggan menerimanya."

(Kisah ini dinukil oleh Abu Abdullah bin al-Azraq di dalam kitab beliau, Badai'u Salk fi Tobai'i Malik menurut catatan Syaikh Said Hawwa: Fusul fil Imrah wal Amir)

Memberi kesan tanpa mencengkam

Istilah kepimpinan yang berkesan seringkali disalah erti sebagai pemimpin yang mampu mempengaruhi dan menguasai pentadbiran secara memaksa dan angkuh. Seolah-olah kepimpinan yang kuat bererti ketua memiliki pengaruh yang mencengkam anak buah, pandangan ketua pula mesti diterima tanpa pertikaian. Mereka berkuasa dengan menundukkan orang bawahan tanpa kerelaan hati pengikutnya. Dalam aspek respon balas (feedback), idea dan pandangan pengikut pula mesti melalui tapisan ketat. Hanya respon yang positif dan bertepatan dengan kehendak ketua sahaja akan diterima. Sebaliknya, pandangan bersifat kritis dan berbeza dari ketua akan dibakul sampahkan.

Menelusuri ibrah kepimpinan Baginda Nabi S.A.W, kita akan dapati Baginda dinobatkan sebagai pemimpin yang efektif disebabkan interaksi Baginda yang santun terhadap para Sahabat. Di samping itu Baginda memiliki kekuatan hujah yang menggugat pihak lawan.

Kualiti seorang pemimpin

Sementara itu di pihak Barat, Amerika Syarikat menekankan bahawa kekuatan kepimpinan mesti difahami secara lebih mendalam dan meluas berbanding tanggapan kebiasaan masyarakat.

●     Santun, bukan berlagak VIP

Pemimpin kepada organisasi yang berjaya disifatkan mesti memiliki personaliti yang paling sopan, tidak meninggi diri dan tidak suka menonjolkan diri sebagai ketua yang gemar mengarah orang bawahan.

●     Inklusif

Mereka turut mengakui, sikap sesetengah ketua yang membolot maklumat tertentu bertujuan mengatasi orang bawahan, terlalu berahsia soal pengurusan (eksklusifiti), untuk berebut kuasa dan bersaing menagih pengaruh sememangnya dapat mengukuhkan kedudukan peribadi seorang pemimpin. Tetapi dalam masa yang sama, tabiat tersebut bakal melemahkan badan organisasi mereka akhirnya membawa kepada keruntuhan secara menyeluruh.

●     Dahagakan ilmu

Dalam perbincangan berkenaan kualiti yang mesti ada bagi seorang pemimpin unggul, Barat menyimpulkan bahawa karakter yang paling utama bagi seorang pemimpin ialah keinginan untuk terus belajar.

Stay hungry. Stay foolish.

     Keluar dari comfort zone

Pemimpin yang baik ialah mereka yang menunjukkan kesanggupan luar biasa dalam memaksa diri mereka keluar dari zon selesa, walaupun mereka telah mencatat rekod kejayaan.

     Berani mengambil risiko

Pemimpin yang hebat berani mengambil risiko, tidak sekadar statik dengan kaedah lama warisan turun-temurun.

"If you are not willing to risk the unusual, you will have to settle for the ordinary."

(John Rim)

     Tidak skeptik

Selain itu, sikap terbuka kepada idea dan pihak lain merupakan faktor yang menyumbang kepada pembentukan seorang pemimpin unggul. (Hesselbein, 1965)

Keseluruhan kriteria tersebut sebenarnya ada asasnya dalam Islam. Sikap kaum muslimin yang mengabaikan ajaran Islam ternyata merugikan diri sendiri lantas menyebabkan kita kekal di takuk lama. Sementara itu, musuh pula jauh meninggalkan kita.

Di sebalik jatuh bangun perniagaan Marks dan Spencer

Judi Bevan berkongsi dalam tulisan analisis beliau yang bertajuk The Rise and Fall of Marks And Spencer... And How It Rose Again pula menerangkan kemerosotan yang dialami perniagaan tersebut pada akhir 1990-an disebabkan oleh faktor utamanya kepimpinan yang tidak gemar mendengar pandangan yang berbeza. Keadaan diburukkan pula dengan budaya sycophantic followership, orang bawahan mengikut ketua membuta tuli. Ibarat zombie, mereka tidak berfikir, selesa dijadikan alat untuk menaikkan politikus. Mereka berpuas hati sekadar membawa watak tukang angguk dan pak turut demi menjaga kedudukan mereka. Sebahagian pengikut pula menganggap, sikap sedemikian memudahkan mereka mendaki tangga kuasa di masa hadapan.

Pengikut yang penakut, tidak yakin diri dan sentiasa teragak-agak dalam mengemukakan pendapat masing-masing ini tidak mampu memberikan cabaran argumentasi kepada pihak berautoriti dalam hierarki. Suasana ini apabila dibiar berlarutan, bukan sahaja membawa kepada kelemahan organisasi. Malah akan menumpulkan daya fikir pemimpin. Setiap pihak selesa bekerja tanpa wujudnya konfrontasi. Suasana yang kononnya harmoni tersebut sudah pasti merosakkan pentadbiran. Lama kelamaan organisasi mati mereput disebabkan kelemahan dalaman sendiri, tanpa perlu musuh luaran bersusah payah melancarkan serangan.

Budaya R&D

Suatu ketika dalam sebuah program bengkel kepimpinan, para majikan sama ada beraliran bisnes mahupun pendidikan diajukan senarai 15 bentuk sikap tidak kompeten yang menyumbang kepada ketidak upayaan organisasi mereka mempelajari perkara baharu, tidak mampu mencerap perubahan semasa (Senge, 1990). Lalu di antara pilihan sikap yang tertinggi dalam carta undi adalah sikap mereka yang:

     Tidak mampu meraih keuntungan berdasarkan pengalaman lalu. Buta sejarah.

     Tidak mahu mengambil peluang dari manfaat teknologi sedia ada, apatah lagi penerokaan taktik dan jalan baru.

     Keengganan melakukan survey atau culaan, ditambah pula dengan sikap skeptik terhadap badan pemikir secara intelijen.

●     Kecenderungan untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu orang lain.

     Sangat mengutamakan tradisi dan aspek-aspek konservatisme.

●     Kurang daya kreativiti, penambahbaikan dan keterbukaan minda.

Tao mencabar pemimpin

Buku Tao yang dianggap kitab hikmah bagi masyarakat China pula melontarkan persoalan yang mencabar kekuatan sebenar seorang pemimpin:

1.     Mampukah anda memimpin tanpa ego anda?

2.     Mampukah anda memimpin orang bawahan anda tanpa dilihat terlalu mengawal mereka?

3.     Mampukah anda melakukan sesuatu tanpa pergantungan kepada kedudukan?

4.     Meraih pencapaian tanpa mengambil kredit?

(Tao, 10)

Bagi mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin yang bijaksana Tao menukilkan pesanan;

Pertama,
Belajarlah memimpin dengan mengembangkan.

Kedua,
Belajarlah memimpin tanpa niat menguasai orang.

Ketiga,
Belajarlah memberi tanpa mengambil manfaat.

Keempat,
Belajarlah memimpin tanpa memaksa.

Kekuatan bagi seorang pemimpin adalah ketegasan berprinsip. Bukan kedegilan dan keras hati dalam menerima pandangan berbeza.

Disangka penjaga, sebenarnya penindas

Pemimpin yang bersikap diktator adakala mengalas kezaliman mereka dengan hujah mahu memelihara ahli dari kejahatan luar, tetapi dalam usaha tersebut mereka tidak sedar bahawa mereka telah menzalimi orang bawahan mereka.

Jahil psikologi

Dalam berhadapan dengan pesaing, sebahagian pemimpin kuno ini turut mewajarkan kekerasan mereka dalam bertindak balas terhadap ancaman. Kononnya demi kebaikan ahli dan mempertahankan status quo, akan tetapi tindakan tersebut membuktikan mereka jahil dalam memahami psikologi musuh dan ahli. Lantas pendekatan keras mereka mengakibatkan mereka tersingkir dari medan persaingan. Terus terkubur dan lenyap ditelan sejarah disebabkan gagal menyesuaikan diri dengan realiti semasa.

Kritis dan dinamik

Pendekatan subversif dalam menentang musuh hanya akan memalitkan imej kepimpinan dengan wajah radikal, gemar menimbulkan kekacauan, merombak keharmonian serta melanggar aturan.

Niat sekalipun baik, tidaklah dapat menghalalkan cara.

Sinergi ketua dan pengikut

Hidup di dalam dunia yang penuh dengan pembohongan, mitos rekaan dan pelbagai kontradiksi, tugas kepimpinan yang sebenarnya bukanlah untuk membentuk sebuah parallel world di mana ahli dan pengikut sentiasa berfikir satu hala tanpa percanggahan idea. Bukan juga dengan cara membina sebuah wilayah asing yang dipagari tembok, tidak disentuh kecelaruan dan cabaran ‘real' world. Bukan juga mengasingkan komuniti sendiri dari political spin demi menjaga diri. Akan tetapi sesebuah kepimpinan itu mesti mampu berkonfrontasi dengan kepalsuan dan penyelewengan tersebut dengan nilai kebenaran yang menjadi anutan mereka sendiri.

Kita sewajarnya merenung kembali episod perjuangan kita dari segenap sudut. Sikap dan tanggungjawab ketua, peranan pengikut serta strategi yang diguna pakai.

SOFIA ALWANI ALI - HARAKAHDAILY 24/10/2018 

FB IMG 1540388307587