Haram undi PAS: Akhirnya agama digunakan

Fikrah
Typography

SAYA melihat kenyataan Husam haram undi PAS dari sisi yang positif. Mustahil beliau tak fikir dulu apa yang keluar dari bibirnya. Kecuali kesan penyakit beliau belum benar-benar sembuh sepenuhnya.

Beliau mungkin faham realiti masyarakat Malaysia hari ini. Pengaruh agama sudah semakin kuat dalam pertimbangan kehidupan rakyat Malaysia. Satu perkembangan yang baik jika dibanding dengan puluhan tahun lepas, ketika negara diserang pemikiran sekularisme yang dibawa penjajah Barat.

Menghukum haram undi PAS bukan perkara baru dalam politik tanah air. Umno sudah biasa dengan fatwa seperti ini. Kalau masih ingat, Ulama mereka Abdullah Saamah pernah keluarkan kenyataan serupa. Malah Umno Terengganu di bawah kepimpinan Mat Said pernah menganjurkan wacana PAS parti ajaran sesat.

Dahulu, Umno terkenal sebagai parti yang pekat dengan sekularisme dan agenda sekularisasi. Pemimpin PAN pula dikenali sebagai golongan yang dipengaruhi dengan pemikiran liberalisme dan rapat dengan golongan beragenda liberalisasi. Kedua kutub ini berkongsi pandangan dari sudut hubungan agama dan politik, iaitu perlu dipisahkan dan dibezakan.

Tetapi akhir-akhir ini, kedua pihak ini terpaksa menggunakan agama untuk matlamat politik mereka. Umno mula bercakap isu wala', bara, bertakbir, yahanana dan sebagainya. PAN pula hari ini secara jelas mengeluarkan hukum haram undi PAS, walaupun sebelum ini mereka mengkritik PAS akan kerana kononnya PAS suka menghukum.

Apa yang dapat dilihat, walau apa pun pandangan mereka dari sudut agama dan politik, akhirnya parti-parti politik tidak dapat mengelak dari mengambil kira unsur agama dalam kelangsungan politik. Walaupun prinsip mereka berbeza, namun politik yang bertunjangkan pragmatisme tidak mempedulikan unsur prinsip. Yang penting dapat undi dan sokongan.

Masyarakat Malaysia sekarang semakin beragama. Ini adalah kejayaan yang PAS cita-cita dan perjuangkan sejak sekian lama sepanjang keberadaan di arena politik dan medan dakwah. Walaupun berhadapan dengan berbagai ranjau, dan akhirnya ramai mendabik dada mendakwa merekalah penyebab Islamisasi Malaysia, tetapi tiada siapa boleh menafikan kaitan orientasi perjuangan PAS dengan kesedaran Islam di Malaysia sekarang.

Parti-parti lain yang bimbang tenggelam dek arus pemikiran rakyat yang dipengaruhi pertimbangan agama ini lantas mengambil jalan mempergunakan agama. Kalau tak guna agama, mereka bakal ketinggalan. Itulah juga yang berlaku dalam peradaban Barat. Daripada teokrasi muncul protestan, daripada protestan muncul counter-reformation dan akhirnya, gereja kini sedang dilanda pemikiran evangelicalisme yang mahu balik kepada pegangan Bible. Hatta gereja orthodox turut terkesan.

Secara tidak langsung, akhirnya parti-parti lain menuruti pandangan PAS sejak sekian lama bahawa agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Tok Guru Nik Aziz dahulu dikecam hebat gara-gara mengeluarkan kenyataan undi PAS dapat pahala atas alasan memperdagang agama. Tapi hari ini, terbukti mereka terdesak untuk lakukan perkara serupa. Undi PH dapat pahala.

Tinggal sekarang, pertimbangan pengundi untuk memilih mana satu parti politik yang boleh diberi amanah memimpin negara. Mana satu yang benar-benar memperjuangkan agama, dan mana satu yang hanya mempergunakan agama. Jangan menilai kenyataan seminggu dua yang dekat dengan pilihan raya ini, tetapi nilailah secara keseluruhan sikap-sikap sebenar mereka terhadap isu agama. Isu RUU355, isu Sekolah Agama Rakyat, isu Pesta Arak, LGBT, kalimah Allah, murtad, hak penjagaan anak dan sebagainya.

Gunakan kebijaksanaan sebaiknya untuk menilai. Jangan mudah diperbodohkan politikus jahat. Sesungguhnya akhir zaman ini penuh dengan syaitan berupa manusia, dan manusia berlidah dajjal.

ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 8/3/2018