Mengukuh diri dalam gerak perjuangan

Fikrah
Typography
 
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman, jika sekiranya kamu bertembung dengan satu kumpulan musuh, maka hendaklah kamu tetapkan pendirian, dan hendaklah kamu ingat akan Allah dengan ingatan yang banyak, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan. Dan taatlah kamu akan Allah dan Rasul-Nya, dan jangan sekali-kali kamu bertelingkah, maka kamu akan gagal, dan akan hilang kehebatan kamu. Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar."
 (al-Anfal: 45-46)
 
Orang yang duduk dalam perjuangan ini, tak kira muda, tak kira tua, yang pentingnya ialah sejauh manakah sumbangan kita untuk terus berada di dalam perjuangan bagi menegakkan ugama Allah S.W.T. ini.
 
Walaupun program kita pada malam ini ialah di peringkat UPU yang menghimpunkan empat buah Cawangan, kita nampak kecik sahaja, kita nampak...., apa sangat program UPU? Apa sangat Cawangan-Cawangan kalau diukur dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS yang ada di peringkat Du , yang ada di peringkat Kawasan, yang ada di peringkat Negeri, yang ada di peringkat Pusat, Pusat pula ada Dewan-dewan dia? 
 
Tetapi kita perlu menyedari bahawa kerja-kerja Islam ini di mana sahaja kita berada, ia adalah merupakan kerja yang besar. Walaupun kita di peringkat Cawangan-cawangan, kita kena ingat, bangunan yang besar, kita tengok bangunan yang besar, bangunan yang besar ini tidak jadi bangunan yang besar, yang kuat, yang kukuh melainkan dengan pasir-pasir yang halus, dengan paku-paku yang kecil. 
 
Begitulah juga Parti Islam Se-Malaysia PAS yang hari ini mempunyai hampir 1 juta ahli, mempunyai beribu Cawangan, beratus Kawasan, dalam Dewan Pemuda PAS sahaja kita mempunyai institusi-institusi. PASTI sebagai contoh, kita mempunyai lebih daripada 100 ribu pelajar-pelajar PASTI di seluruh negara. Walaupun kita duduk di peringkat Cawangan, kita nampak kecil, tetapi ianya adalah besar dari segi tanggungjawab dan kewajipan kita. 
 
Tidak berapa lama sebelum daripada ini saya pernah pergi ke satu program, dalam program dialog, lalu satu soalan diajukan kepada saya, dia kata, ustaz, saya nak tanya, bagaimana apa yang berlaku dalam PAS ini? Pimpinan di peringkat Pusat boleh lari daripada perjuangan. Bukan calang-calang orang, bekas Timbalan Presiden keluar lari, bekas Naib-Naib Presiden keluar lari, bekas Setiausaha Agong, bekas AJK-AJK PAS Pusat, dia kata, sedangkan dalam PAS kita tengok, yang duduk di peringkat Cawangan, kemas molek, hat peringkat Pusat, macam mana boleh jadi begini? Adakah tarbiyyah dalam PAS ini gagal? 
 
Saya kata, tarbiyyah dalam PAS ini ada tarbiyyah daripada kita, dan ada tarbiyyah daripada Allah. Tarbiyyah daripada kita, itu yang kita kena buat, sebab apa kita buat usrahnya, kita buat tamrinnya, kita buat rehlahnya, kita buat mukhayyamnya di semua peringkat, itu tarbiyyah daripada kita untuk mengukuhkan akidah perjuangan supaya tidak goyah, supaya tetap pendirian. Tetapi di sana ada tarbiyyah daripada Allah yang di luar kemampuan kita. Inilah apa yang berlaku di sepanjang sejarah perjuangan Islam.
 
Zaman Nabi S.A.W dulu berlakunya tarbiyyah daripada Allah, terdapat di kalangan orang-orang yang pernah bersama-sama dengan Nabi, lari daripada perjuangan Islam. Apakah sangat kita ini? PAS sebagai sebuah jamaah Islam yang meneruskan perjuangan Nabi S.A.W, kita juga melalui proses tarbiyyah daripada Allah. Allah Taala uji PAS.
 
Sebab itulah jangan pelik, bila dalam PAS ini, di kalangan pimpinan, ada yang lari daripada perjuangan. Kita juga minta daripada Allah supaya Allah Taala jadikan kita orang-orang yang istiqamah. Dan dalam PAS ini mempunyai ahli-ahli yang ikhlas berjuang kerana Allah S.W.T, sumbangan mereka, pengorbanan mereka.
 
Maka dengan itulah Allah Taala jaga jamaah Islam PAS ini sehingga boleh bertahan melalui pelbagai-bagai ujian. Ahli-ahli PAS di bawah yang beri sumbangan, buat tabung, macam-macam pengorbanan, orang tuanya, Muslimatnya, Pemudanya, kerana apa? Kerana aqidah perjuangan yang mereka miliki, keberadaan mereka dalam PAS ini bukan kerana mereka nak apa-apa jawatan, harta benda, tapi kerana yakin keberadaan mereka dalam PAS ini adalah satu tanggungjawab untuk memperjuangkan ugama Allah S.W.T di negeri Terengganu ini dan di Malaysia secara umum.
 
PAS adalah sebuah jamaah Islam. PAS bukan sahaja sebuah parti politik. Kalau PAS ini semata-mata parti politik, PAS hanya bergiat pada musim-musim pilihan raya sahaja. Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Kecil, buka markas, tutup markas. Habis pilihan raya, tutup markas, balik rumah masing-masing. 
 
Tapi PAS adalah sebuah jamaah Islam, yang buat kerja-kerja Islam sepanjang masa, tak kira sama ada kita menang ataupun kita kalah. Kalau ukur dari segi logik sebuah parti yang masuk bertanding dalam Pilihan Raya yang lebih banyak kalah daripada menang, PAS ini sudah berkubur, tetapi perkembangan PAS semakin hari semakin pesat. Ahli-ahli PAS semakin hari semakin bertambah. Cawangan-cawangan PAS semakin hari semakin bertambah, walaupun kita menghadapi pelbagai-bagai ujian dan cabaran.
 
Bila PAS putus dengan DAP dan PKR, mereka yang benci kepada PAS, mereka kata PAS akan berkubur. Orang tak akan sokong PAS. Rakyat akan tolak PAS. Tetapi alhamdulillah, kita lihat makin ramai orang bersama-sama dengan PAS. Tahun lepas sahaja, kita meluluskan lebih daripada 40 ribu orang ahli baru dalam tempoh satu tahun. Yang keluar daripada PAS 10 orang, yang masuk seribu orang, kerana apa? Kerana keberkatan yang ada dalam PAS. 
 
Keikhlasan ahli-ahli PAS yang yakin akan perjuangan yang dibawa oleh PAS, perjuangan untuk menegakkan ugama Allah di atas muka bumi Malaysia ini. Dalam PAS tak lari daripada empat perkara. Yang pertama dasar. Yang kedua kepimpinan. Yang ketiga strategi. Yang keempat pendekatan. 
 
Tiga daripada empat perkara ini boleh berubah, kepimpinan boleh berubah, dulu orang lain yang memimpin PAS, hari ini orang lain. Strategi boleh berubah, dulu PAS mengambil strategi bertahaluf siyasi dengan bermacam-macam parti-parti politik. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan Umno yang membentuk Kerajaan Perikatan. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan Semangat 46, dengan Parti Berjasa, dengan Parti Hamim dalam Angkatan Perpaduan Ummah. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan PKR dalam Barisan Alternatif, PAS pernah bertahaluf siyasi dengan PKR dan juga DAP dalam Pakatan Rakyat. Strategi ini boleh berubah.
 
Begitulah juga pendekatan boleh berubah. Hari ini pendekatan PAS ialah Muwajahah Silmiyah masuk Pilihan Raya. Mungkin satu hari nanti pendekatan ini akan berubah. Kita minta berlindung kalaulah negara kita jadi macam Palestin, musuh mari serang, masa itu, haram masuk pilihan raya. Kena pendekatan lain. 
 
Satu sahaja dalam PAS ini yang tak berubah daripada dulu sampai hari ini, sampai bila-bila iaitu dasar Islam yang kita perjuang. Dengan siapa sahaja PAS bertahaluf siyasi, kita tak ubah dasar Islam kerana bila PAS menegakkan Islam, itulah kemenangan kita di sisi Allah S.W.T. 
 
Ada orang kata PAS ini masuk Pilihan Raya tak mahu menang, kerana nak dapat redha Allah. Orang hat bercakap ini orang yang tak reti. Hari ini kalau kita lihat dalam kehidupan kita, orang berniaga sebagai contoh, kita sebagai orang Islam yang berniaga yang pertama sekali kita letak apa? Kita nak redha Allah, dalam masa yang sama kita berniaga kita nak untung, ada tak orang berniaga tak mahu untung? Tak ada. 
 
Kalau orang berniaga tak mahu untung ini orang bodoh. Kena hantar hospital orang gila. Anak-anak kita belajar di sekolah, kita ajar, mu belajar ini...., mu belajar ..... ialah untuk mendapat redha Allah. Tapi dalam masa yang sama kita nak anak-anak kita berjaya dalam peperiksaan, dalam UPSR, dalam SPM, periksa sanawi, peringkat ijazah dan lain-lain lagi.
 
Ada tak orang belajar tak mahu berjaya? Tidak ada. Maka begitulah juga bila kita PAS, kita masuk pilihan raya, kita kata kita nak redha Allah, kerana itu matlamat akhir. Bukan bermakna kita tak mahu menang, kita tak mahu memerintah Terengganu, kita tak mahu merintah Malaysia, kita tak mahu menang dalam kerusi-kerusi Dun, kerusi-kerusi Parlimen, tidak, kita nak menang. Orang yang duduk hina PAS dia kata PAS ini nak redha Allah, tak mahu menang dalam pilihan raya, kita tanya dia balik, mu buat kerja apa benda dalam pilihan raya? 
 
Kita PAS hat kata nak redha Allah, selepas daripada Pilihan Raya Umum yang 13, kita buat kerja itu. Daftar pemilih ini, Pemuda program Pemudanya, Muslimat program Muslimatnya, orang tua cara program orang tuanya. Naik rumah ke rumah, sembang kedai kopi, menerang isu-isu yang berlaku dalam negeri dalam negara, kita buat kerja kerana kita nak menang. 
 
Tapi kemenangan yang kita nak capai ini biarlah kemenangan yang diredhai oleh Allah S.W.T, yang meletakkan Islam di hadapan, bukannya kemenangan semata-mata meletakkan Islam di belakang. Ini yang menyebabkan kita bercanggah apabila PAS bertahaluf siyasi dengan DAP dan juga dengan PKR. 
 
Tahaluf Siyasi ini satu strategi yang boleh berubah. Mereka yang kecewa dalam PAS. Masa itu mereka kata PAS ini kena terus dengan PKR, kena terus dengan DAP kalau nak menang dapat Putrajaya. Masa itu berlakunya krisis dalaman PAS. Kita yang faham tentang perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini kita kata strategi ini benda boleh berubah, PAS ini sebuah parti Islam, kita nak tahaluf siyasi, kerjasama dengan mana-mana parti politik, biarlah ianya menguntungkan Islam. Kalau ianya merugikan Islam, maka kita lebih sayang Islam.
 
Dah dulu, mereka kata PAS boleh bekerjasama dengan DAP sekarang ini pasal apa putus dengan DAP? Kita kata dulu cerita lain. dulu DAP boleh terima dasar perjuangan PAS. Tetapi setelah DAP dapat kerusi besar dalam PRU yang ke-13 yang lepas, DAP letak syarat kepada PAS. DAP kata, kalau nak terus bersama dengan Pakatan Rakyat, PAS kena lupa agenda negara Islam, PAS kena lupa agenda perjuangan untuk menegakkan syariat. Kita kata kita lebih sayang Islam daripada rakan politik kita.
 
Kita putus dengan DAP, kita putus dengan PKR. Orang kata macam-macam, PAS ini akan ditolak, PAS ini tidak akan mendapat sambutan, kita yakin akan janji Allah:
 
 وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah Taala akan beri jalan keluar, dan Allah Taala akan kurniakan rezeki daripada jalan yang dia tak sangka."
 (at-Talaq: 2-3)
 
Alhamdulillah, sokongan itu kepada PAS semakin hari semakin meningkat. PAS akan menyertai Pilihan Raya yang ke-14 yang akan berlaku pada bila-bila masa. Dan kita telah meletakkan objektif yang jelas.
 
Objektif yang pertama ialah untuk memenangkan PAS. Maka untuk memenangkan PAS, kita kena lawan Umno. Tak ada isu bila musuh-musuh PAS kata PAS bila putus dengan DAP, putus dengan PKR, maknanya PAS nak bersama-sama dengan Umno, PAS nak UG dengan Barisan Nasional. Kita kata kita letak objektif yang jelas dalam PRU yang ke-14 ini iaitu untuk memenangkan PAS, maka untuk memenangkan PAS, kita kena lawan Umno. 
 
Dah macam mana nak lawan Umno tengok boleh duduk sepentas sekali? Tok Guru boleh pakai-pakaian sedondon dengan Najib? Saya kebetulan ada dengan Tok Guru masa itu, saya teman. Lepas program, bila tengok orang duduk hantar whatsapp, mesej macam-macam, saya kata, orang kata Presiden PAS pakai baju sedondon dengan Presiden Umno. Dia kata tak apa, baju sama, kepala lain-lain. 
 
Apa salahnya kita duduk dalam satu majlis, apa yang kita sampaikan ialah mesej kita, pendirian kita, kerana inilah tugas PAS bukan semata-mata parti politik. Kerja kita ialah untuk nasihat, menegur.
 
Kalau dulu dengan cara lain, sesuailah zaman itu, tahun 80-an dulu. Pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang memperjuangkan agenda politik lain ugama lain, yang hina hukum-hakam syarak, maka tindak balasnya sesuai dengan suasana masa itu.
 
Tetapi sudah berlaku satu kesedaran. Hari ini bila kita ada ruang untuk kita sampaikan mesej Islam, hatta dalam majlis yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno sekalipun, kita akan pergi. 
 
Kerana inilah Manhaj Al-Quran. Allah Taala cerita dalam Quran. Nabi Ibrahim pergi berjumpa dengan Namrud, kalau berjumpa itu tak boleh, tak akanlah Nabi Ibrahim pergi jumpa dengan Namrud? Nabi Ibrahim berjumpa dengan Namrud bukan ikut Namrud, Nabi Ibrahim pergi jumpa dengan Namrud, Nabi Ibrahim beritahu apakah dia Islam? Nasihat, mu buat ini tak betul, tegur, mu buat ini salah. 
 
Soal dia nak dengar tak mahu dengar itu hal dia. Tanggungjawab kita hanya menyampaikan mesej Islam. Allah Taala cerita dalam Quran, bagaimana Nabi Musa A.S pergi berjumpa dengan Firaun? Kalau tak boleh berjumpa dengan Firaun, takkanlah Nabi Musa pergi berjumpa? Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun bukan ikut Firaun. Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun nasihat Firaun, tegur Firaun benda yang mu buat ini salah, benda yang mu buat ini tak betul. Soal Firaun nak ikut tak mahu ikut, itu hal dia. Tanggungjawab Nabi Musa ialah menyampaikan mesej Islam. Dan inilah kerja yang dilakukan oleh kita. 
 
Hari ini kita lihat bermacam-macam masalah-masalah yang berlaku dalam negara kita. Masalah rasuahnya, salah guna kuasanya, kemudian kita lihat bermacam-macam penyelewengan-penyelewengan yang saban tahun didedahkan dalam laporan audit negara, pembaziran, ketirisan, dan juga kita lihat bagaimana polisi-polisi yang dilakukan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional yang menekan rakyat, kenaikan harga barang, kos sara hidup yang makin tinggi, semua yang berlaku ini rakyat yang merasai. 
 
Lalu kita lihat bermacam-macam cara dan kaedah yang digunakan. Parti-parti pembangkang selain daripada PAS iaitu Pakatan Harapan, Parti Bersatu, DAP, PKR, PAN, mereka kata, kita nak menjatuhkan Najib. Hat ini wirid yang dibuat sejak daripada dulu, nak perjatuh Najib, nak perjatuh Najib.
 
Lalu mereka marah ke PAS, habis pimpinan dalam PH marah ke PAS, termasuk Tun Mahathir yang begitu lantang marah kepada Presiden PAS dan juga pimpinan PAS. Mahathir kata, PAS ini nak bersama dengan Najib. Lim Guan Eng pun sebut dalam kenyataannya menyatakan bahawa Presiden PAS seolah-olah mengambil sikap menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak yang buat bermacam-macam penyelewengan. 
 
Saya pernah pergi ke satu program, program dialog juga orang tanya saya, dia tanya ustaz saya nak tanya, Mahathir ini dengan Najib ini hat mana se jahat? Saya kata, kita PAS ini bukan sebuah parti nak hukum orang, hat ini jahat, hat ini lagi jahat, hat ini zalim, hat ini lagi zalim. Kita PAS ini bukan sebuah parti untuk mengubah individu, kita PAS adalah sebuah parti untuk mengubah dasar, polisi.
 
Kalaulah jatuh Najib, naik orang lain, dasar sama, apa gunanya? Dulu duduk marah ke Mahathir, tentang Mahathir juga daripada pagi sampai ke malam. Dia ini kalau time pilihan raya, jap lagi umum bubar Parlimen, kita nak ceramah nak katok DAP, nak katok PKR, nak katok ke PAN tak payah ceramah, ambil tape, record hat pimpinan-pimpinan parti ini ceramah hat yang dia kata ke Mahathir, ambil hat itu. 
 
Dulu duduk marah ke Mahathir. Bila Mahathir jatuh, turun, naik Pak Lah, dasar sama, tetap berlaku penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, kemudian marah ke Pak Lah pula, naik Najib, sama sahaja. 
 
Sebab itulah mengubah individu tidak boleh menyelesaikan masalah. Apa yang perlu kita buat ialah mengubah dasar, mengubah polisi. Dan inilah yang PAS lakukan. Dasar kerajaan Umno Barisan Nasional, yang baik, yang molek kita sokong, kita sokong. Yang memberikan kebajikan kepada rakyat, yang buat pembangunan benda-benda asas infrastruktur dan lain-lain lagi, buat sekolah, jalan raya, ya ini kita sokong.
 
Yang tak betul, yang salah, ini kita bangkang, benda yang kita tegur kita tegur, nasihat, nasihat. Dasar GST sebagai contoh, ini satu dasar yang salah. Sepatutnya kalau ikut kaedah Islam, cukai ini hanya diambil daripada orang kaya, mengambil konsep zakat, 
 
تؤخذ من أغنيائهم وترَدُّ إلى فقرائهم
"Diambil daripada orang kaya, dan dikembalikan kepada orang miskin."
 
Tapi GST, semua orang kena. Orang kaya kena, orang miskin kena. Orang bandar kena, orang luar bandar pun kena, semuanya kena. Ini dasar yang salah. Kita tentang. Begitulah juga banyak lagi dasar-dasar lain yang tak betul, yang kita PAS menegaskan bahawa perlu kepada perubahan polisi dan dasar ini. 
 
Kita di Negeri Terengganu, masih lagi dianggap negeri kaya, rakyat miskin, sejak daripada dulu. Kita rasa malu orang kata Negeri Terengganu ini negeri kaya rakyat miskin, dengan royalti, hasil minyak yang begitu banyak, dengan sumber hasil yang begitu banyak melimpah ruah, airnya, mana ada negeri di Malaysia ini macam negeri Terengganu, ada air sebesar Tasik Kenyir. Apa manfaat? Sekadar buat ... 
 
Sedangkan di sana banyak lagi manfaat-manfaat lain yang boleh digunakan. Hasil hutan yang begitu banyak, hasil pelancongan, tetapi malangnya dipegang oleh tangan yang tidak amanah.
 
Betullah hat Nabi sebut dalam satu Hadis, bila mana Malaikat Jibrail mari tanya Nabi, wahai Rasulullah, bil kah berlakunya kiamat? Kiamat ini maksudnya kemusnahan. Alam semesta ini habis punah-ranah habis, hancur lebur habis. Nabi kata aku tak tahu, mu pun tak tahu. Sepatutnya mu hat tanya aku ini mu lagi tahu, tapi Nabi kata aku akan beritahu tanda-tandanya. 
 
Nabi pun sebut:
إذا وُسِّدَ الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
"Apabila urusan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, tunggulah berlakunya kiamat, kemusnahan."
 
Ini hat berlaku di Negeri Terengganu. Semenjak daripada Umno memerintah, sebelum PAS memerintah tahun 1999 dulu, kemudian Umno memerintah balik, tangan yang tidak bertanggungjawab, tangan yang tidak amanah, yang buat urusan untuk mereka ..... Terengganu. Terengganu yang kaya-raya masih lagi dianggap sebagai negeri kaya rakyat miskin. Sepatutnya tak menjadi begini.
 
Oleh kerana itulah kita ajak rakyat untuk buat perubahan, khususnya anak-anak muda, kerana pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa ini, kuasa penentu kepada mana-mana parti ialah di tangan pengundi-pengundi. Dan sejumlah besar pengundi-pengundi adalah daripada kalangan anak-anak muda.
 
Akhirnya saya nak sebut, walaupun kita lali melihat kelemahan-kelemahan musuh, sama ada Umno Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan. Kalau dulu tengok dalam surat khabar sahaja hari ini, whatsappnya, facebooknya pening, rasuahnya, salah guna kuasanya, balah sama sendirinya, tetapi yang penting kita sebagai ahli-ahli PAS, kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan-kelemahan musuh, kita mestilah membina kekuatan kita sendiri. 
 
Hari ini kita berkumpul untuk kita melancarkan bilik gerakan, maka jadilah ianya sebagai suatu asas untuk kita terus membina kekuatan di dalam UPU Merbau Patah Ini, dan juga di dalam Dun Wakaf Mempelam dan juga di dalam Parlimen Kuala Terengganu, bina kekuatan kita, dalaman kita, ukhuwwah, usrahnya, tamrinnya, ziarahnya dan lain-lain lagi. 
 
Bina kekuatan kita, gerakan untuk memenangkan PAS bukan sahaja mempertahankan kemenangan di Dun Wakaf Mempelam ini, di Parlimen Kuala Terengganu, bahkan juga untuk kita dapat merampas kembali Negeri Terengganu supaya ianya kembali ke tangan PAS dalam PRU yang akan datang insya-Allah.
 
Akhirnya, kita mestilah membina kekuatan kita, hubungan kita dengan Allah S.W.T, kerana kemenangan ini jangan kita anggap daripada kita, kemenangan ini ialah daripada Allah. Jangan kita anggap kemenangan ini daripada kita sebab aku buat kerja, pitih aku keluar, aku yang berkorban macam-macam, tidak, kemenangan ini ialah kurniaan daripada Allah. 
 
Allah Taala nak kurnia, Allah Taala beri kemenangan. Kalau Allah Taala nak tarik, Allah Taala boleh tarik bila-bila masa. Maka jaga lah hubungan kita dengan Allah, munajat kita, doa kita, permohonan kita kepada Allah untuk menjadikan kita orang yang istiqamah, tsabat dalam perjuangan, seterusnya mencapai kemenangan dalam PRU yang akan datang insya-Allah. 
 
 
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Majlis Perasmian Markas Besar PRU 14, UPU Merbau Patah, Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu pada 10 Januari 2018) - HARAKAHDAILY 11/1/2018