Rahsia usrah di sebalik kejayaan kejayaan PAS

Fikrah
Typography

USRAH terjemahannya keluarga. Dalam usrah kita mengasihi dan saling menjaga kebajikan ahli usrah bagaikan keluarga sendiri. Dalam usrah ada perkongsian ilmu dan kefahaman, ada perkongsian soal kehidupan dan kebajikan. Di situ terbina ikatan persaudaraan, pertautan silaturrahim dan mahabbah, saling mengasihi.

Orang tercengang setiap kali bencana seperti di Pulau Pinang, PAS boleh mengorganisasikan ribuan sukarelawan yang membawa aset masing-masing, kenderaan ringan dan berat, jentolak, waterjet, genset, dapur secara percuma. Bantuan makanan yang mencurah curah.

Semua percuma. Bukan ada 'peruntukan khas bencana' oleh kerajaan.

Semua terbina daripada proses pendidikan, tarbiyah, pembentukan jati diri yang panjang prosesnya melalui usrah, tamrin, mukhayyam, juga melalui pendidikan formal sejak kecil di PASTI, sekolah sekolah DAR, Madrasah.

Bayangkan jika PAS yang memimpin negara. Menukar seluruh sikap rakyat yang penuh ciri individualistik, nafsi nafsi kepada satu 'bangsa Malaysia' yang terbina atas jati diri yang dipimpin oleh Islam. Yang menjadikan kita semua bagaikan satu keluarga yang saling menjaga, melindungi antara satu sama lain. Saling mendorong setiap ahli supaya maju dan berjaya.

Tak mengapa jika kita berbeza bangsa dan agama serta taraf kehidupan. Islam menganjurkan kesejahteraan dan kebajikan untuk semua.

Kerana sifat keluarga, usrah, mahukan setiap ahlinya berjaya, bukan sahaja di dunia, tetapi sejahtera perjalanannya sehingga ke akhirat.

Kita berusaha, hidayah bukan kuasa kita. Ia anugerah Allah Yang Maha Kuasa.

Itulah kebahagiaan kita berkeluarga. Keluarga besar Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/11/2017

NBalaS