Hijrah asas proses kesempurnaan Islam

Fikrah
Typography
SESUNGGUHNYA peristiwa Hijraturrasul yang berlaku 1439 tahun dahulu adalah satu titik tolak asas dan penting kepada proses kesempurnaan agama Islam. Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas Nabi Muhammad S.A.W bermula di Makkah. Ia tidak sempurna hanya sekadar berada di Makkah, tetapi ia menjadi satu syariat yang lengkap setelah berlaku peristiwa Hijrah. Setelah berangkatnya Nabi dan para Sahabat R.A daripada Makkah ke Yathrib, mereka bukan semata-mata membawa diri, jasad, jasmani dan fizikal berada di Yathrib, bahkan juga membawa fikrah, akidah dan syariat.
 
Justeru, diturunkan ayat-ayat ke atas Nabi Muhammad S.A.W untuk menyempurnakan syariat Islam, iaitu wahyu berkaitan dengan politik kenegaraan, tanggungjawab pemerintah kepada rakyat, rakyat kepada pemerintah, hubungan Negara Islam dengan orang-orang bukan Islam atau yang berada di luar Negara Islam, hubungan Negara Islam semasa damai dan semasa perang. Diturunkan ayat-ayat yang berkaitan dengan perang, damai, perundangan Islam seperti hudud dan qisas. Disempurnakan syariat Islam di dalam perkara-perkara yang berkaitan muamalat, munakahat dan lain-lain lagi.
 
Setelah 13 tahun Nabi S.A.W berada di Makkah, seterusnya disempurnakan 10 tahun berada di Madinah, maka lengkaplah syariat Islam. Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat-Nya ke atas Nabi S.A.W sebelum diwafatkan Baginda.
 
ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ [سورة المائدة : ٣
 
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (al-Ma‘idah: 3)
 
Syariat Islam yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad S.A.W ini telah membuktikan betapa ia adalah satu syariat sangat adil kepada seluruh alam, bukan sahaja kepada manusia. Syariat Islam yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.W ini juga telah terbukti berjaya menyelesaikan permasalahan-permasalahan manusia pada ketika itu. Syariat Islam ini juga telah menjadikan umat sebagai umat yang hebat, digeruni dan berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya iman dan Islam.
 
Setelah 1439 tahun berlalunya peristiwa Hijrah, maka menjadi kewajipan kepada umat Islam pada hari ini menilai kedudukan mereka. Adakah kedudukan mereka seperti generasi awal Islam yang menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia atau sebaliknya? Realiti yang kita lihat kepada umat Islam pada hari ini, walaupun disambut peristiwa Hijrah ini saban tahun, tetapi sedikit sahaja mengambil iktibar dan pengajaran.
 
Umat Islam perlu kembali berpegang kepada syariat yang lengkap dan sempurna ini untuk menjadi umat hebat dan digeruni. Dahulu, orang-orang Arab yang diutuskan Nabi S.A.W kepada mereka adalah bangsa dan kaum sering berperang di antara satu sama lain dan mereka sanggup membunuh anak-anak perempuan nereka demi untuk menjaga air muka. Lalu mereka mereka menjadi bangsa dan kaum yang hebat setelah mereka berpegang dengan syariat Islam.
 
Apabila mereka meninggalkan syariat Islam, kembalilah menjadi bangsa yang bangsat. Walaupun kaya raya dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan nikmat dan rezeki melimpah ruah, tetapi menjadi bangsa yang hina dan ke belakang serta dipergunakan oleh musuh-musuh Islam, kecuali mereka yang dipelihara dan dijaga oleh Allah S.W.T.
 
Walaupun syariat Islam tidak diturunkan hanya kepada satu bangsa atau keturunan atau baka, tetapi realitinya syariat Islam ini memenuhi fitrah kejadian manusia daripada bangsa keturunan baka mana sekalipun mereka itu. Jika sekiranya mereka berpegang dengan syariat Islam, mereka akan menjadi bangsa keturunan yang hebat. Apabila mereka meninggalkan syariat Islam, mereka akan dihina oleh Allah S.W.T.
 
Dahulu, bangsa Arab adalah sangat hebat apabila mereka berpegang dengan syariat Islam. Setelah mereka meninggalkan syariat Islam, mereka menjadi bangsa yang hina, lalu diganti dengan bangsa Kurdish. Al-Sultan Salahuddin al-Ayubi daripada bangsa Kurdish memimpin umat Islam sehingga berjaya mengembalikan kegemilangan Islam mengalahkan Tentera Salib dan membebaskan Baitulmaqdis daripada tangan orang-orang Kristian. Lalu mereka juga meninggalkan syariat Islam hingga akhirnya mereka juga menjadi bangsa yang hina.
 
Allah S.W.T gantikan pula dengan bangsa Turki memimpin umat Islam. Bangsa Turki berjaya menyebarkan syariat Islam ke seluruh pelusuk dunia dan menjadi satu bangsa hebat setelah mereka berpegang dengan syariat Islam.
 
Hari ini umat Islam tidak mempunyai kepimpinan, mereka umpama anak-anak ayam yang kehilangan ibunya. Mereka diratah, dihina, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuh Islam di serata pelusuk dunia, tidak ada sesiapa yang membela mereka. Dahulu di zaman kegemilangan Islam, seorang sahaja daripada kalangan umat Islam yang dizalimi dan ditindas, maka nasibnya akan dibela.
 
Hari ini ratusan ribu, bahkan jutaan nyawa umat Islam yang tergadai seperti umat Islam di Palestin, Rohingya Arakan di mana mereka dibakar hidup-hidup, umat Islam di Kashmir, di Iraq, Syria dan Yaman, nyawa mereka tidak ada nilai.
 
Maka, atas semangat kita berada di dalam bulan Muharram yang mulia ini, menyambut dan memperingati peristiwa Hijraturrasul, marilah bersama kita menjadi umat Islam yang betul-betul kembali kepada syariat Islam. Seterusnya berusaha untuk membinanya di dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat dan negara kita untuk berpegang dengan syariat Islam yang sebenar dan sempurna lengkap. Maka insya-Allah kita akan menjadi suatu ummat yang hebat sebagaimana di zaman kegemilangan Islam dahulu. 
 
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ [سورة آل عمران : ٨٥
 
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Ali-Imran: 85)
 
"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"
 
13 Oktober 2017 | 22 Muharam 1439