Ramai pemidato, sedikit ulama

Fikrah
Typography

SEBAGAIMANA yang disusun oleh Almarhum Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Dakwah, rukun dakwah itu ada empat iaitu pendakwah, sasaran dakwah, isi dakwah dan uslub (skil penyampaian) dakwah. Keempat-empat ini harus diadun sebati tanpa mengenepikan satupun daripadanya untuk menghasilkan dakwah yang berkesan.

Antara keempat rukun itu, yang paling penting adalah isi dakwah. Bercakap mengenai isi dakwah, ia adalah ajaran Islam itu sendiri. Untuk mendapatkan isi dakwah, mesti menuntut ilmu tentang Islam.

Realitinya, pendakwah hari ini ada empat ciri:
1. Tinggi ilmu, hebat skil penyampaian.
2. Tinggi ilmu, lemah skil penyampaian.
3. Rendah ilmu, hebat skil penyampaian.
4. Rendah ilmu, rendah skil penyampaian.

Yang paling diperlukan ummah adalah yang tinggi ilmu dan hebat penyampaian (no.1). Inilah ciri-ciri Nabi SAW. Mengadunkan antara isi dakwah dan uslub dakwah dengan baik.

Tetapi yang paling berbahaya kepada ummah bukanlah yang rendah ilmu dan rendah skil penyampaian, tetapi mereka yang lebih rendah ilmu namun hebat skil penyampaian (no.3).

Golongan nombor 3 ini berpotensi besar menyesatkan ummah berbanding golongan lain. Mereka cenderung untuk bercakap sesuatu yang mereka tidak tahu. Mereka pandai goreng. Kata-kata mereka memukau. Tetapi tidak dibina atas asas ilmu yang mendalam.

Malangnya penggiat dakwah hari ini lebih menumpukan tentang skil berbanding ilmu. Program melahirkan daie juga tampak melebihkan skil dari isi. Sangat berbeza daripada cara baginda SAW mentarbiyah para sahabat sebagai duat.

Mungkin inilah realiti yang disebut oleh Nabi SAW:

"إنكم اليوم في زمان كثير علماؤه قليل خطباؤه، من ترك عشر ما يعرف فقد هوى، ويأتي من بعد زمان كثير خطباؤه قليل علماؤه من استمسك بعشر ما يعرف فقد نجا"

Hari ini kamu berada di zaman ramai ulama tetapi sedikit pemidato. Sesiapa yang meninggalkan 10 daripada apa yang diketahuinya maka dia telah mengikut hawa nafsu. Dan akan tiba zaman iaitu pemidatonya ramai namun ulamanya sedikit. Sesiapa yang berpegang dengan 10 yang diketahui maka mereka selamat. [HR Tirmizi]

Malang juga bagi orang awam hari ini. Mereka tidak tahu membeza mana ulama mana pemidato. Yang pandai berceramah semua dilabel ulama. Yang pakai gelaran ustaz semua alim. Yang berkopiah berjubah semua berilmu. Akhirnya jadilah sebagaimana hadis Nabi SAW:

"حتى إذا لم يبق عالم اتخذ الناس رؤوساً جهالاً فسئلوا فأفتوا بغير علــــم ، فضلوا وأضلوا "

Sehingga jika tiada lagi tinggal orang alim, manusia akan mengikut orang jahil. Mereka akan ditanya, lalu mereka berfatwa tanpa ilmu. Maka mereka sesat lagi menyesatkan. [HR Bukhari] - HARAKAHDAILY 12/10/2017