Imsak oh imsak

Fikrah
Typography

TERDAPAT dua hadis yang menjadi pertikaian ramai berhubung Imsak. Yang pertama bahawa Nabi menyuruh dilewatkan sahur. Kedua bahawa Nabi berhenti sahur sekira-kira bacaan 50 ayat.

Mengikut kaedah usul, menggunapakai kedua hadis adalah lebih baik daripada mengabaikan salah satu. Hakikatnya kedua hadis ini tidak bertembung bahkan melengkapi antara satu sama lain.

Kita jadikan asas bahawa sahur yang Sunnah itu ada waktu tertentu, iaitu pada lewat malam iaitu di akhir sebelum fajar Subuh, makin lewat makin baik tetapi bukanlah sampai sesaat sebelum masuk waktu fajar. Sebaliknya selesai sebelum tempoh kadar 50 ayat sebelum masuk waktu Subuh.
(Kalau buat ilustrasi timeline ni lebih mudah faham.)

Untuk memudahkan praktikal, saya kelaskan kepada tiga situasi:

1. Bagi mereka yang dapat bangun awal, seeloknya memulakan makan sahur 45 minit atau 30 minit sebelum masuk waktu Subuh. Supaya dapat makan dengan tenang dan cukup untuk mengharungi puasa. Kemudian cuba berhenti pada waktu imsak atau sekiran-kira bacaan 50 ayat al-Quran sederhana panjang dengan tempo sederhana. Ambil tempoh itu untuk bermunajat kerana akhir malam juga waktu tuhan paling dekat dengan hambaNya. Ini situasi yang terbaik.

2. Bagi yang bangun lewat, iaitu hampir waktu Subuh, maka bersahurlah juga walaupun sedikit dan walaupun telah masuk waktu Imsak. Sebaiknya pilihlah makanan yang boleh dihabiskan cepat tanpa perlu makan dengan gelojoh, dan juga yang berkhasiat tinggi untuk membantu puasa di siang hari.

3. Bagi yang bersahur awal sebelum tidur, dan tidak bangun di sepertiga akhir malam, elakkan amalan sebegini kerana anda bukan sahaja tidak mengamalkan sunnah iaitu melewatkan sahur, tetapi boleh memudaratkan kesihatan juga kerana serta tidak begitu membantu puasa anda di siang hari walaupun membalun nasi sampai tiga pinggan.