Pemuda: Bicaranya masa depan, kerjanya dibanggakan

Fikrah
Typography
PERJALANAN sebuah kehidupan di dunia ini sudah pastinya akan berakhir di akhirat. Soalnya adakah kita sebagai anak muda hari ini sentiasa berada dalam landasan menuju ke syurga Allah S.W.T lebih-lebih lagi muhasabah kepada ahli gerakan haraki?
 
Jika hendak dialihkan gunung dan bukit, panggilah pemuda kerana tenaga dan keupayaan idea penyelesaiannya, tetapi jika hendak dialihkan rumah, serahlah kepada orang tua yang lebih banyak pengalaman dan mahir selok beloknya. 
 
"Apabila bicaranya seorang pemuda adalah melibatkan masa depan yang ingin dilihat lebih baik dan tahniah kepada Pemuda PAS yang bukan hanya memberikan idea yang bernas, tetapi juga gerak kerja yang mantap dan berjaya direalisasikan," kata Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 yang berlangsung hari ini di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang.
 
Pengiktirafan tersebut dibuktikan melalui sesi perbahasan Buku Laporan Muktamar pada kali ini sangat rancak di kalangan para muktamirin. Pelbagai idea dan pandangan dilontarkan khususnya melibatkan Sektor Pendidikan yang sangat penting kepada peranan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Negeri dan Kawasan.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin melahirkan kebanggaan di atas kemampuan para perwakilan berbahas dengan berkualiti dan bersedia menegur pimpinan atas tujuan penambahbaikan demi Islam, InsyaAllah. 
 
Beliau turut menggariskan sembilan perkara merangkumi semua perkara ketika menjawab pertanyaan dan mengulas pandangan yang dibangkitkan oleh para perwakilan. Antara lainnya adalah berkaitan pengukuhan institusi di bawah DPPM yang mesti dan akan diberi perhatian termasuklah Yayasan Pendidikan PAS, Institut Perguruan PAS dan pemerkasaan PASTI, SRITI dan SMITI. 
 
Oleh yang demikian, ayuh seluruh para perwakilan sambutlah segala penjelasan dan cadangan untuk sama-sama kita menggembleng tenaga menjayakan keseluruhan agenda bersama "Demi Islam" bertepatan dengan tema muktamar pada kali ini. - HARAKAHDAILY 19/6/2019