Mengapa dan bagaimana Monggol musuhi Islam?

Fikrah
Typography
ANTARA perkara yang menyukarkan para sejarawan adalah ketika menggali sejarah bangsa Monggol atau Tatar. Ini disebabkan kerana mereka merupakan bangsa yang berpindah randah (nomad). Bahkan, perpindahan mereka tidak tertakluk dalam suatu daerah yang kecil, malahan tidak ada sempadan geografi yang tepat untuk menisbahkannya kepada mereka. 
 
Akan tetapi, muncul sejarawan yang bersungguh membuat penelitian terhadap mereka kerana bangsa ini meninggalkan kesan yang amat besar terhadap dunia pada waktu itu! Berdasarkan beberapa penelitian, kita datangkan beberapa pandangan tentang asal usul bangsa yang telah merobek maruah umat Islam ini.
 
Bangsa ini mula dikenali dalam sejarah dunia pada akhir abad ke 6 Hijriah atau abad ke 12 Masihi. Secara tepatnya mereka muncul pada tahun 603H melalui Panglima utama mereka iaitu Genghis Khan (Temujin). Bermula di Wilayah Utara China iaitu di wilayah Monggolia.  Dalam tempoh yang amat singkat, mereka telahpun menguasai hampir dua pertiga dunia! Mereka menakluk bermula dari Jepun hinggalah Eropah Barat dan Asia Barat.
 
Genghis Khan merupakan gelaran bagi ketua tertinggi mereka yang bermaksud Raja Dunia atau Penguasa Dunia. Nama sebenar Genghis Khan ialah Temujin yang merupakan seorang individu yang bengis, berjiwa tentera, keras dan sangat ganas.
 
Apa perbezaan antara Tatar dan Monggol?
 
Hubungan antara keduanya adalah umum dan khusus. Iaitulah Monggol umum, dan khusus adalah Tatar. Orang Tatar pastilah dia merupakan orang Monggol, dan orang Monggol tidak semestinya dia orang Tatar. Dalam sejarah pertempuran tradisi sesama mereka, Tatar pernah menguasai keseluruhan bangsa Monggol, namun di bawah kekuasaan Genghis Khan, Tatar tunduk dan menjadi sebahagian daripadanya. Adalah lebih tepat dikatakan bahawa yang menguasai dunia adalah bangsa Monggol, bukannya Tatar.
 
Para ahli sejarah menyebutkan beberapa ciri-ciri mereka yang menjadi sebab mengapa begitu cepat tersebar:
• Bersifat buas
• Gerakan gerila yang tersusun dan kemas
• Jumlah kepuakan yang ramai
• Membawa budaya yang keras
• Kepimpinan Genghis Khan dan Jeneralnya yang tangkas
• Tidak berhati perut
• Tidak menerima pendapat selain daripada puak mereka
• Tidak menepati janji
 
Tanah air bangsa Monggol
 
Mereka muncul di Asia Tengah di antara Sungai Seihun dan Sungai Jeihun dari Barat hingga ke sempadan Cina. Dari Timur pula, meliputi hingga hujung Timur Laut Benua Asia. Di kawasan Tanah Tinggi pula, meliputi pergunungan Tian Shn, Altai dan bukit-bukit di sekitarnya. Perpindahan bangsa Monggol adalah berdasarkan perubahan cuaca atau musim. Pada waktu musim dingin, mereka akan mendiami di kawasan kaki bukit dan gunung, manakala ketika musim panas mereka akan mendiami di tempat-tempat yang lebih tinggi.
 
Etnik-entnik membentuk bangsa Monggol
 
Untuk mengatakan etnik-etnik berikut merupakan keseluruhannya daripada Monggol, adalah amat sukar. Kerana kehidupan nomad ini juga merangkumi sesetengah bangsa Cina, Turki dan Monggolia. Boleh dikatakan etnik-etnik berikut mewarnai sosiologi dan perubahan masyarakat Bangsa Monggol.
• Suku Turki
• Suku Kyrgz
• Suku Oghuz
• Suku Karluk
• Suku Khitai
• Suku Tatar
• Suku Khereit
• Suku Naiman
• Suku Bergqin Monggolia
 
Pegangan agama
 
Monggol memiliki latar pegangan agama yang unik. Genghis Khan menggabungkan beberapa amalan dari pelbagai ajaran dan anutan termasuklah ajaran Kristian, Buddha dan Islam, lalu membentuk ajaran mereka sendiri yang disebut Yasuk, atau Yasah atau Yasiq.
 
Kehidupan sosial bangsa Monggol
 
Terdapat tiga kasta yang melatari bangsa Monggol. Kasta terhormat disebut Bahadir yang bermaksud Pahlawan, atau gelaran Tuban yang bemaksud Terhormat, atau digelar Stassen yang bermaksud Bijaksana.
 
Kasta yang kedua disebut Nokor yang bermaksud Kaum Merdeka. Golongan inilah yang biasanya menyusun atur bala tentera dan pasukan Monggol. Manakala Kasta yang ketiga dan terendah adalah orang awam dan budak belian (hamba).
 
Ini hanyalah sebagai pengetahuan umum terhadap Bangsa Monggol, bagi yang berhajat untuk mengetahui dengan lebih mendalam, dipersilakan. Kerana
 
Ada persoalan lebih penting untuk dijawab dalam siri Kisah Tatar ini iaitu, "Mengapa dan bagaimana mereka memusuhi Islam?"
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 27/5/2019