Latar pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiah

Fikrah
Typography
SEBELUM kita memahami latar cerita fasa kejatuhan Abbasiah melalui serangan Bangsa Monggol, kita imbau seketika latar cerita secara umum Era Khilafah Bani Abbasiah.
 
Pengasasan Kerajaan Abbas As-Saffah
 
Bani Abbasiah memerintah selama lebih 500 tahun atau secara tepatnya selama 524 tahun dibawah 34 orang khalifah(132H - 656H | 750M - 1258M).  Kerajaan Bani Abbasiah selepas persengketaan panjang dengan Bani Umayyah memangkinkan ke arah penubuhan Kerajaan Monarki kedua dalam Islam yang diasaskan oleh Abu Abbas As Saffah (132 - 136H/ 750 -754M). Naiknya Abu Abbas dengan misi menghapuskan saki baki Kerajaan Bani Umayyah yang pada ketika itu dipimpin oleh Khalifah Marwan II pada tahun 750M. 
 
Dengan dibantu oleh golongan Syiah dan penduduk Khurasan, As Saffah melancarkan pemberontakan hingga menubuhkan dinasti baru di bumi Damsyik. Mengapa Abbas begitu memusuhi Umayyah? Ada yang menyebutkan ia merupakan refleksi daripada permusuhan tradisi antara Bani Hashim dan Bani Umayyah sejak jahiliah lagi. Para penyair dan pegawai istana pula sentiasa memarakkan lagi pertembungan perkauman ini dengan bahasa lunak mereka. 
 
Ditambah pula dengan kekejaman dan penindasan berterusan oleh pemimpin Bani Umayyah terhadap golongan Bani Abbasiah menambah kesumat mereka. Menyebabkan, apabila Abu Abbas As-Saffah menaiki takhta pemerintahan, dilakukan beberapa siri membalas dendam yang dahsyat. 
 
Abdullah Ibrahim, bapa saudara As-Saffah mebunuh 300 orang Bani Umayyah hanya selepas 3 bulan As-Saffah memerintah. Yazid bin Muawiyah bin Abdul Malik dan Abdul Jabbar bin Yazid bin Abdul Malik dan 70 orang yang lain dibunuh dalam satu majlis. Begitu juga As-Saffah menjemput keluarga Umayyah ke majlis keramaian, lalu mereka dibunuh dalam majlis tersebut. Abdul Rahman Ad Dakhil, antara kerabat Umayyah yang Berjaya menyelamatkan diri lalu melarikan diri ke bumi Andalus.
 
Semua ini bertujuan menghapuskan segala kemungkinan pemberontakan yang bakal berlaku sekiranya pesaing-pesaing tidak dihapuskan. As-Saffah, hanya sempat memerintah selama 4 tahun apabila beliau meninggal pada tahun 136H dan digantikan dengan Khalifah Abu Jaafar Al Mansur (136 – 158H / 754 – 775M).
 
Secara umum, pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiah, terbahagi kepada beberapa fasa:
 
Fasa  pertama: Era kemajuan dan kejayaan pemerintahan (132 - 232H) - Khalifah Abu Abbas As Sifah hingga Khalifah Al Wathiq Billah Harun 
 
Fasa  kedua: Era dominasi dan hegemoni Kesultanan Mamalik Turki (232H- 334H) - Khalifah Al Mutawakkil Alallah Jafar hingga Khalifah Al Mustakfi Billah
 
Fasa  ketiga: Era dominasi dan hegemoni Kesultanan Bani Buwaihi (334 - 467H) - Khalifah Al Mutiullah hingga Khalifah Al Qaim biAmrillah
 
Fasa  keempat: Era pemerintahan Kesultanan Bani Saljuk (467H - 530H) - Khalifah Al Muqtadi biAmrillah hingga Khalifah Ar Rashid Billah
 
Fasa  kelima: Era perpecahan dan perebutan kuasa (530H - 623H) - Khalifah Al Muqtafi Li Amrillah hingga Khalifah Az Zhahir biAmrillah
 
Fasa  keenam: Era kejatuhan (623H - 656H) - Khalifah Al Mustansir Billah hingga Khalifah Al Mustaksim Billah
 
Fasa  ketuju: Era kebangkitan - Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz (656H - 658H)
 
Adapun fasa selepas (659H - 903H) juga dikatakan masih lagi dalam Era Kerajaan Bani Abbasiah, yang akan dibahaskan seandainya punya waktu.
 
Fokus dalam perkongsian kita hanyalah pada fasa keenam dan ketujuh sahaja. Masih banyak lagi sejarah yang perlu digali bukan? Ayuh kita sama-sama suburkan budaya ini.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 26/5/2019
 
Rujukan:
Tarikh Khulafa Imam As Suyuti R.H
Sejarah Monggol Dr Ali Asolabi