Ustaz biarkan isteri halal, layan pelacur

Fikrah
Typography

MENJADI seorang pendakwah adalah satu bidang tugas yang sangat berat. Ia tidak hanya memerlukan kemahiran mengajar, tetapi juga kemahiran untuk memahamkan pelajar atau pendengar berkenaan ilmu yang diajarkan. Dan yang paling utama, dia mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh mengamalkan dengan ikhlas, apa yang dia ajarkan. Itulah kemuncak kepada gelaran ustaz, guru atau ulamak mursyid yang dipercayai.

Rasulullah ialah guru terbaik. Tiada yang seumpama Baginda dalam menyampaikan ilmu. Contoh al-Quran dalam bentuk bacaan itu jelas diterjemahkan kepada perbuatan oleh Baginda dari semua segi. Semua orang yang beriman ingin menjadi seperti Baginda. Menyampaikan ilmu yang benar kepada umat demi menjadikan manusia sebagai hamba Allah yang beribadat hanya kepada Allah.

Banyak dinukilkan keistimewaan guru atau orang yang berilmu yang mengajarkan agama ini dengan benar, akan mendapat tempat istimewa di sisi Allah ketika di dunia lagi, apatah lagi di akhirat. Tidak tertumpu kepada Islam sahaja, malahan dalam agama lain pun, mereka memberikan tempat yang sangat istimewa kepada guru yang menerangkan perihal agama mereka. Guru tidak dinafikan, adalah berfungsi sebagai cahaya yang menerangi jalan untuk manusia sampai ke destinasi tuhannya.

Ibnu Abbas pernah diriwayatkan, diberikan tempat oleh Saidina Umar dalam Kabinetnya atas dasar keilmuan beliau. Keadaan itu tidak disukai oleh beberapa orang besar dalam kerajaan Umar kerana Ibnu Abbas sangat muda. Sangat enteng bagi Umar dalam menangani isu itu, kerana kepercayaan Umar kepada ilmu yang dimiliki Ibnu Abbas sangat tinggi. Ibnu Abbas didoakan terus oleh Rasulullah untuk memahami takwil al-Quran.

Maka diberikanlah satu soalan kepada ahli majlis pemikir kerajaan Umar itu, agar menafsirkan surah an-Nasr atas kefahaman masing-masing. Tiadalah salah penafsiran semua mereka itu, tetapi yang lebih disukai dan tepat ialah kata-kata penafsiran Ibnu Abbas, iaitu turunnya surah itu, menandakan hampirnya waktu untuk Allah mewafatkan Rasulullah. Lantas mematikan bangkangan mereka atas pemilihan Ibnu Abbas oleh Umar. Itulah tanda berilmunya Ibnu Abbas. Maka satu ilmu baharu diperolehi oleh pembesar-pembesar itu. Ilmu membezakan mereka, bukan umur.

Juga kita sudah maklum akan kisah menyayat hati perihal seorang guru yang dibunuh oleh raja musyrik kerana mengajar seorang budak tentang tauhid. Ia diperjelaskan dalam kisah Ashabul Ukhdud dalam tafsir surah al-Buruj. Ia berkisar tentang seorang budak yang setelah mendapat ilmu tauhid dari seorang guru, telah berjaya meng-Islamkan seluruh rakyat negeri itu. Dia tidak mati bila cuba dibunuh, melainkan dengan kalimah Allah. Maka menjadi asbab kepada peristiwa ini adalah kesungguhan almarhum gurunya mengajar tauhid kepada budak itu.

Di sebalik semua kisah kejayaan itu, tidak kurang juga kisah berkenaan kegagalan guru yang pada mulanya berniat untuk menjadikan Allah sebagai matlamat hidup, namun haluannya berubah setelah mendapat sesuatu di pertengahan jalan dakwahnya. Mereka mungkin dipengaruhi oleh anak isteri, kawan-kawan ataupun orang tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi. Tetapi paling besar pengaruh dalam perubahan diri ini ialah nafsu sendiri yang gagal dikawal.

Kisah Iblis, pastinya menduduki tempat paling utama bagi menjelaskan duduk perkara ini. Iblis berlaku sombong, enggan tunduk kepada arahan Allah untuk sujud kepada Adam ciptaan baharu Allah ketika itu. Maka dikatakan dia bercekak pinggang ketika melawan arahan Allah itu. Walhal, dia adalah ketua kepada malaikat.

Untuk menjadi seorang ketua pilihan dari Allah, pastinya yang paling baik akhlaknya, rajin, faqih dan kuat. Ia tidak sama dengan pemilihan ketua oleh manusia melalui 'appraisal' atau KPI yang kadang-kadang mengarut. Banyak yang terjadi, yang terhebat bodekannya akan mendapat kenaikan pangkat. Begitulah ghalibnya.

Maka Iblis rupanya sudah mempunyai niat terpesong dalam hati. Tidakkah Allah menyedarinya? Ya, Allah pemilik kepada segala makhluk, Dia Maha Mengetahui. Tetapi Dia juga berfirman yang dua jalan dibentangkan kepada hamba-hambaNya. Jalan kebaikan untuk dijalani dan jalan kejahatan untuk dijauhi.

Maka tiada boleh salah itu diletakkan kepada Allah kerana fikiran manusia dikuasai oleh hati manusia itu sendiri. Rasulullah berpesan, hati itu jika baik, baiklah segala anggota badan. Jika jahat, akan jahatlah anggotanya. Maka jahat dan baik adalah pilihan kita. Iblis memilih jahat.

Ada kalangan ustaz yang dikenali tahu agama sangat cergas bergiat menyebarkan fitnah berkenaan PAS. Ustaz-ustaz PH ini sangat gemar menjalankan aktiviti ini. Termasuklah cerita bahawa orang PAS sudah ditangkap dan harta sudah disita disebabkan isu terimaan wang RM90 juta daripada Umno.

Apabila didapati laporan itu adalah berkaitan dengan kes siasatan rasuah terhadap DAP Pulau Pinang, dan bukan orang PAS yang ditangkap, ustaz-ustaz ini diam. Mereka tidak menceritakan semula hal sebenar yang berlaku kepada orang yang dia sebar sebelum ini. Fitnah sudah disebar, pemadaman, tidak dilakukan. Betapa celakanya mereka bermain api fitnah.

Saya menyebutkan ini kerana ia benar-benar berlaku. Begitu tekun mereka menyebarkan fitnah. Dahulu ketika PAS berseteru dengan Umno, mereka menimbulkan pertanyaan keraguan kenapa tidak boleh bersatu sesama Islam. Dakwanya lagi, PAS adalah golongan yang menyebarkan kebencian.

Tetapi apabila golongan mereka PH, menyerang Umno, dia tiba-tiba bersetuju sambil berkata, Umno golongan yang rosak. Bila PAS kini berkerjasama dengan Umno, dia tuduh pula bersekongkol dengan perosak negara. Hilang sudah penyatuan PAS -Umno atas nama Melayu - Islam. Apa sahaja yang PAS buat, tidak kena.

Mereka tidak pernah mengaku bahawa mereka adalah PH. Mereka dengan memek muka untuk meyakinkan orang, mereka adalah PAS tegar. Ini adalah modus operandi mereka. Maklumlah, kalau diakui mereka PH, manakan laku jualan fitnah mereka. Tetapi dalam masa kononnya mengaku sebagai ahli PAS, Presiden PAS sentiasa menjadi bahan kutukan mereka. Hari-hari, tanpa jemu. Apa sahaja yang PAS buat, tidak kena. Sekali-sekala mereka akan kongsikan juga siaran dalam media sosial mereka berkaitan PAS, untuk tunjukkan mereka adalah PAS. Tetapi itu hanyalah drama. Golongan ini sangat merbahaya.

Ustaz-ustaz sebegini, saya ibaratkan seperti seorang suami yang mempunyai isteri yang solehah, tetapi membiarkan isterinya dan mencari pelacur bagi kepuasan diri mereka. Mereka sangat puas berzina dengan pelacur yang akhirnya mereka membawa penyakit kepada isterinya hasil zinanya dengan pelacur tadi. Dan apabila susah, dia kembali kepada isterinya kerana pelacur itu tidak akan susah bersamanya. Pelacur itu mencari pelanggan lain.

Apa maksud analogi saya? Begini. Ustaz-ustaz itu memiliki ilmu al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber utama Islam ini ibarat isteri yang solehah yang sanggup memberikan sepenuh jiwa raga kasih sayang dan segalanya untuk suami tercinta. Malangnya di sebalik mencari kebenaran dari kalam Allah dan hadis Rasulullah yang dijamin tidak akan sesat selamanya, mereka memilih mendapatkan cerita daripada sumber fitnah yang kita anggap sebagai pelacur tadi.

Apabila mereka mengajar atau menyampaikan sesuatu, mereka gunakan sumber fitnah. Oleh kerana mereka adalah ustaz, maka mereka membawa penyakit kepada al-Quran itu tadi. Lalu dipercayai oleh orang awam bahawa fitnah itu benar. Paling malang mereka tidak mencari ubat untuk mengubati penyakit itu apabila tidak menerangkan kembali fitnah yang telah tersebar itu. Maka berpenyakitlah al-Quran dan hadis tadi kerana campur aduk dengan sumber fitnah tadi. Dan apabila fitnah diketahui bohong, mereka akan kembali menyebut-nyebut al-Quran dan hadis, konon baik.

Percayakah anda, ada juga ustaz yang menyebarkan kebencian kepada Presiden PAS semata-mata Presiden tidak angkat tangan ketika memandu melalui dekat orang ramai? Isu itu dijaja bagaikan Presiden PAS seperti telah tiada aqidah. Lebih menghairankan mereka kenal dekat dengan Presiden. Tak ubah seperti pendeta Yahudi yang mengenali Rasulullah seperti mengenali anak sendiri, tetapi tetap tidak mahu beriman kepada Baginda. Mereka menyokong Musyrikin yang mereka tahu sesat, malah membenarkan pula yang Musyrikin betul dan Muhammad salah.

Apabila sudah mengenali Presiden PAS yang tidak meninggalkan solat, mengamalkan solat-solat sunat yang lain. Mengamalkan al-Quran dan sunnah semampunya, mengajarkan kitab sejak puluhan tahun, tidak pula pernah disabitkan salah atas sebarang pertuduhan, diketahui keamanahan beliau, tetapi, ustaz-ustaz ini lebih mempercayai fitnah Clare Brown si kafir, ia adalah episod malang bagi ustaz-ustaz ini.

Kecelakaan apakah lagi yang lebih besar jika sang ustaz tidak mahu menurut al-Quran dan sunnah? Tidakkah sama mereka diibaratkan sedang menyetubuhi pelacur, sambil meninggalkan isteri yang halal? Bukankah sombong itu menolak kebenaran? Dan bukankah tidak akan masuk syurga orang-orang yang mempunyai sifat sombong walau sebesar biji sawi dalam hatinya? Lupakah mereka kepada Iblis?

Kita memahami jika fitnah ini dibuat kerana mahukan projek, kekayaan atau apa-apa habuan dunia. Tetapi sangat malang kerana ada kalangan ustaz-ustaz itu miskin, tidak berharta. Kebencian ini tidak didasari kerana habuan apa-apa, kecuali hanya geram dan dendam. Hinanya mereka, miskin di dunia, muflis di akhirat. Apa lagi yang mereka ada? Bertaubatlah wahai ustaz.

MOHD NASIR ABDULLAH
Istanbul, Turki - HARAKAHDAILY 12/3/2019