PERASAAN saya bukan sahaja girang, bahkan pelbagai rasa yang tak mampu diungkap bila seorang demi seorang pelajar-pelajar OKU diketengahkan sebaik keputusan cemerlang mereka perolehi dalam peperiksaan masing-masing. Hanya lafaz syukur dan kata-kata memuji dan memuja Allah S.W.T sahajalah mampu diungkapkan sebagai meluahkan rasa girang di hati.

Terbaru dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adik MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi sekali lagi muncul dengan keputusan cemerlang yang tersendiri. Beberapa minggu lepas, adik Ahmad Faiz sekian kalinya telah mengejutkan masyarakat dengan keputusan cukup cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Tahniah buat ibu bapa mereka yang berjaya menyerlahkan potensi dan keupayaan mereka berdua yang masing-masing merupakan seorang OKU penglihatan dan OKU terlantar.

Saya cukup rasa gembira setiap kali bertemu dengan bapa kedua-dua mereka iaitu Sarimi Yusoff dan mutakhir ini Ustaz Ibrahim Yunus. Sungguh dapat saya rasakan, bagaimana pengorbanan kedua orang tua saya membentuk diri saya, demikianlah cukup hebat sebagai seorang bapa yang tabah, pengorbanan mereka bersama pasangan masing-masing membesar dan mendidik seorang anak OKU hanya Allah S.W.T sahajalah yang sebenar-benarnya tahu.

Dalam ruang ini, saya akan membawa perhatian para pembaca kepada keperluan yang wajar kita fikirkan bersama agar cerita-cerita hebat ini tidak hanya sifatnya bermusim dan timbul pada waktu-waktu tertentu. Telah memadai pelbagai kisah suka duka tokoh-tokoh istimewa ini dipaparkan dalam pelbagai media dan ruang kesempatan.

Jika dihalusi, Allah S.W.T telah bekalkan setiap anak OKU itu dengan keupayaan dan potensi yang tersendiri. Senarai sahajalah apa kecacatan atau ketidakupayaan yang dialami, sudah tentu pasti ada kurniaan Allah S.W.T pada setiap individu OKU tersebut. Hal inilah yang seharusnya difikirkan oleh setiap dari anggota masyarakat, terutamanya mereka yang berada pada tampuk kekuasaan pada mana peringkat sekalipun.

Bagi mengenal pasti pelbagai keperluan dan potensi individu OKU, ia bukanlah semudah yang disangkakan. Bermula dari memahamkan ibu bapa dan keluarga OKU, ia akan berkembang kepada penyediaan pelbagai system sokongan dalam masyarakat agar setiap keperluan dan potensi OKU itu dikenal pasti.

Setiap kali hal ini kami timbulkan, jawapan seragam yang diterima, “Bukankah telah ada NGO-NGO untuk OKU?”. Untuk makluman pembaca dan kalian di luar sana, apa yang saya bangkitkan di atas bukanlah sekadar tanggungjawab NGO-NGO yang ada. Ia lebih dari itu.

NGO-NGO berkaitan OKU boleh saja menjadi badan-badan pelengkap kepada usaha mencukupkan keperluan dan pembinaan potensi OKU. Lebih dari itu, usaha ini harus dirintis dan diselenggarakan secara penuh perencanaan oleh satu badan yang dibentuk khusus oleh pihak kerajaan.

Dengan adanya unit pembangunan OKU dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan OKU di bawah Yang Berhormat Menteri, kewujudannya tetap memberi manfaat dan faedah yang tersendiri. Namun ia masih tidak memadai bila keperluan dan usaha pengupayaan OKU itu masih berada atas kertas dan tidak mendasari rakyat terbawah.

Begitu juga usaha ini bukan hanya wajar dibincangkan di peringkat persekutuan, pihak berkuasa di pelbagai peringkat termasuklah di negeri-negeri tidak boleh bersikap lepas tangan dan memberi alasan itu bukan bidang kuasa mereka. Dengan unjuran 15% penduduk terdiri dari OKU, hal menyediakan sistem sokongan bagi membina keperluan dan pengupayaan OKU ini wajib diberi perhatian yang lebih serius oleh pihak berkuasa.

Dalam satu pertemuan saya dengan wakil-wakil OKU peringkat Asian, satu kajian kasar juga telah dinyatakan bagaimana hanya 3% dari ahli-ahli politik di Asia Tenggara mengetahui isu-isu yang didepani oleh komuniti OKU. Kajian ini tentunya sangat tidak memberangsangkan memandangkan ahli-ahli politiklah yang menentukan dasar dan perundangan melalui dewan-dewan perundangan.

Tidak hairanlah selain Incheon Strategi 2013-2022 yang ditandatangani oleh menteri-menteri serantau, terbaru dalam Sustainable Development Goal SDG memberi penekanan khusus berkaitan penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan politik. Semuanya mengambil kira betapa suara komuniti OKU itu perlu mengambil tempat dalam proses perencanaan dan penyeddiaan dasar, perundangan serta pelaksanaan. Penyertaan suara-suara OKU ini dilihat sangat signifikan agar setiap dasar dan perundangan bertepatan dengan keperluan dan keupayaan OKU pelbagai kategori.

Harapan saya dengan kefahaman para pembaca melalui tulisan ini, pemikiran kita akan lebih terarah kepada pembinaan sistem sokongan sosial yang lebih menyeluruh berbanding sekadar rasa bangga dan teruja dengan keputusan-keputusan cemerlang dari pelajar-pelajar OKU. Bukanlah salah untuk kita rasa bangga dan girang dengan pencapaian pelajar-pelajar OKU, lebih dari itu kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa merencana dan melaksanakan perancangan yang lebih menyeluruh buat OKU itulah yang akan lebih bermakna.

Pelbagai penegasan dalam Al-Quran dan tauladan dari junjungan Rasul Allah S.A.W telah cukup sebagai panduan bagi membolehkan kita merencana dan melaksanakan usaha mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian. Apatah lagi ianya juga telah dibuktikan melalui pelbagai instrument perundangan di pelbagai peringkat sama ada antarabangsa, serantau mahupun domestik.

Ayuh, bersedialah Malaysia untuk membina sebuah masyarakat dan negara bangsa yang sifatnya mesra OKU! - HARAKAHDAILY 17/3/2017

SEHARI dua ini, aktiviti perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin telah tular dengan hangat dalam kalangan netizen.

Berikut tulisan penuh.

bayan

BAYAN LINNAS SIRI KE- 87: UPACARA PERBOMOHAN YANG DILAKUKAN OLEH DATUK IBRAHIM MAT ZIN / RAJA BOMOH
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 16 Mac 2017

Sehari dua ini, aktiviti perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin telah tular dengan hangat dalam kalangan netizen. Kami merasakan isu ini perlu diberi perhatian dan kami menjawabnya dalam ruangan kali ini dengan lebih tuntas. Kami namakan BAYAN LINNAS: Upacara Perbomohan Yang Dilakukan Oleh Datuk Ibrahim Mat Zin / Raja Bomoh.

Kami sempat meneliti beberapa video yang dimuatnaik di media sosial berkenaan kaedah perbomohan beliau sebelum membuat keputusan atas isu ini. Setelah kami melihat kepada amalan yang dilakukan oleh beliau, maka kami dapati bahawa  amalan tersebut tidak terdapat di dalam Al-Qur’an, hadis dan juga athar yang sahih daripada generasi salafussoleh. Untuk itu, di sini kami nyatakan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa amalan yang dilakukan itu adalah satu perkara yang baru dan ia tidak diterima serta bercanggah dengan ajaran agama yang suci ini.

Daripada Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

(Riwayat Muslim, no. 1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

(Riwayat Muslim, no. 1718)

Hadis ini adalah keadah yang agung di dalam agama dan ia merupakan sebahagian daripada jawami’ al-kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haithami :

“Hadis ini merupakan salah satu kaedah yang terdapat di dalam Islam dan manfaatnya amat luas jika dipandang dari sudut lafaznya kerana ia merupakan mukadimah umum bagi setiap dalil yang digunakan untuk menerbitkan hukum syarak.”

Hadis ini juga merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Sepertimana hadis “semua amalan adalah bergantung pada niat” yang merupakan neraca kepada setiap amalan manusia samada zahir atau batin. Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan beragama, maka ia bukanlah daripada agama ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie Rahimahullah:

“Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”

Selain itu juga, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullah antara lain berkata: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu perkara yang baru dalam urusan (agama) kami yang ia bukannya daripada urusan (agama) kami, maka ia tertolak”, yang dimaksudkan perkara baru yang diadakan di dalam agama ini terbahagi kepada dua:

Pertama: Perkara yang bukan daripada agama dan bercanggah dengan kaedah dan dalil yang sahih maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat lagi tertolak.

Kedua: Perkara yang disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil yang sahih maka ia diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.

Oleh itu, perlu untuk kita ketahui bahawa amalan yang dinilai bukan pada kualiti ataupun kuantiti tetapi sejauh mana kesesuaiannya menurut apa yang Allah SWT dan Rasul-Nya kehendaki. Walaupun amalan tersebut dilihat baik dan banyak dilakukan tetapi jika ia tidak berasaskan kepada peraturan syarak maka amalan tersebut adalah sia-sia.

Beberapa Isu Dalam Amalam Perbomohan Datuk Ibrahim Mat Zin

Di samping itu, antara masalah yang terdapat pada amalan perbomohan oleh beliau adalah seperti yang berikut:

Penggunaan alatan yang pelik seperti teropong, meriam buluh dan kelapa.

Tidak didapati sebarang nas syarak mahupun amalan sahabat dan salafussoleh yang menggunakan alatan seperti ini dalam berdoa dan juga perubatan. Ia dilihat perbuatan yang sia-sia kerana penggunaan asal teropong adalah bagi melihat sesuatu objek yang jauh. Begitu juga alatan simbolik seperti meriam buluh yang tidak dapat difahami tujuannya. Perbuatan berdoa dengan memegang buah kelapa juga bukanlah sebahagian daripada adab ketika berdoa. Selain itu, buah kelapa adalah makanan yang boleh diambil manfaatnya dan bukan dibuang ke laut.

Ritual yang meragukan

Terdapat beberapa bentuk ritual yang kami lihat, agak meragukan iaitu membaling buah kelapa ke dalam laut, merenjis air dari dalam bekas (seakan tempurung kelapa) ke dalam laut dan mengibas kain batik.

Kami nyatakan bahawa amalan sebegini tidak ada asasnya dalam al-Qur’an, hadis, mahupun athar yang sahih. Malah perbuatan membaling kelapa dan merenjis air ke laut amat menghampiri bentuk ritual membuang sial ke laut yang dilakukan oleh masyarakat yang menganut animisme di Nusantara. Walaupun perbuatan merenjis air ruqyah ke tempat yang sakit itu ada asasnya berdasarkan rawatan Rasulullah SAW pada Thabit bin Qais, malah merenjis air ruqyah ke rumah yang diganggu juga adalah dibolehkan berdasarkan fatwa sebahagian ulama’, namun merenjis air ke laut itu sama sekali tidak ada signifikannya menurut syarak.

Kesilapan dalam bacaan ayat suci al-Quran

Jika dilihat kepada bacaan ayat al-Quran yang dibaca olehnya, didapati banyak kesalahan dari sudut tajwid dan juga sebutan makhraj huruf. Ini bukan kali pertama kerana berdasarkan beberapa rakaman video beliau sebelum ini, ia adalah kesalahan yang berulang-ulang. Sedangkan bagi rawatan ruqyah syar’iyyah, tajwid dan sebutan makhraj huruf serta kefasihan amat diteliti.

Garis Panduan Perbomohan

Kami juga meneliti Garis Panduan Perbomohan menurut Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mendapati bahawa Datuk Ibrahim Mat Zin ada melanggar beberapa garis panduannya. Kami simpulkannya dengan beberapa poin di bawah:

Menggunakan alatan seperti teropong buluh, meriam buluh, buah kelapa yang dibuang ke laut dan mengibas kain batik adalah jauh daripada akhlak Islam yang sebenar dalam rawatan kerana boleh mengundang syak yang buruk terhadap Islam.
Ia menimbulkan salahfaham masyarakat dunia terutamanya bukan Muslim terhadap Islam.
Teropong buluh tersebut digunakan seakan untuk ‘melihat’ sesuatu yang tidak ada pada mata kasar dan ini bertentangan dengan Islam kerana ramalan atau tebakan atau tenungan untuk sesuatu perkara adalah dilarang dalam syarak.
Dalam tradisi masyarakat Melayu lama, pawang angin dipercayai dalam mengelakkan malapetaka dan pakar dalam ilmu ghaib. Perbuatan beliau itu dikhuatiri menghampiri peranan pawang angin yang jelas bersalahan dengan syarak, kerana sebelum ini, beliau pernah meneropong dengan teropong buluh dan mendakwa melihat kapal terbang MH370 tersangkut di atas awan, di antara 3 buah negara.
Perbuatan beliau telah menjatuhkan maruah beliau sendiri.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kesimpulannya, upacara dan amalan yang dilakukan ini, tidak terdapat di dalam ajaran Islam dan ia sama sekali bercanggah dengan agama ini. Kami amat bersetuju dengan keputusan fatwa yang telah diwarta oleh negeri Perak di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015 yang telah memutuskan bahawa amalan tersebut adalah sesat dan haram. Ini kerana amalan yang dibawa oleh bomoh tersebut didapati terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Manakala di Wilayah Persekutuan pula sebagaimana Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974 menetapkan segala perbuatan atau amalan kebatinan, tahan diri (kuasa ghaib) telah difatwakan sebagai bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, orang Islam ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya.

Kami berpandangan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh beliau – walaupun tidak menyerupai sepenuhnya – tetapi adalah amat hampir menyerupai amalan ilmu kebatinan dan tahan diri (kuasa ghaib) yang juga termasuk dalam peruntukan Seksyen 42 (3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1974    

Sebarang tindakan sebagaimana yang telah maklum tersebut, akan menjadi bahan ketawa orang ramai dan boleh menjatuhkan nilai keintektualan dan maruah diri sendiri serta menjejaskan imej negara. Oleh itu, berwaspadalah dalam setiap tindakan dan gunakalah logik akal dan mantik dalam menyusun gerak langkah kehidupan. Kami juga merasa kesal dan tidak selesa apabila video seperti itu disebarkan terlalu luas hingga sampai ke seluruh dunia. Ini bakal memberi persepsi negatif terhadap negara kita di mata dunia serta agama Islam itu sendiri. Sedangkan, ia sama sekali tidak melambangkan ajaran Islam walaupun ayat-ayat al-Qur’an digunakan.

Maka, kami dengan tegas menyatakan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Mat Zin adalah bid’ah yang wajib dihalang dari diteruskan. Kami mengambil peluang di sini menyeru kepada Datuk Ibrahim Mat Zin supaya kembali kepada landasan Islam yang sebenar dan bertaubat kepada Allah. Rujuklah kepada badan berautoriti agama seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri sebelum membuat apa-apa perbuatan yang bersangkut paut dengan agama Islam. Sesungguhnya Saidina Umar pernah berkata:

الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memberi kita petunjuk dan menerima setiap amalan yang kita lakukan. Amin. Wallahua’lam

Akhukum Fillah,

SS Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Mac 2017 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1438H

BERPOLITIK secara tidak rasional dalam mendokong amalan demokrasi masih menjadi perangai yang tidak berubah dalam pemerintahan negara, demikian gambaran diberikan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perkara itu diutarakannya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Politik anjuran Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat di Setiawangsa di sini 11 Mac baru-baru ini.

Kata beliau, sewajarnya demokrasi yang menjadi konsep kepada politik negara dihormati dan menerima hakikat keputusan pilihan raya.

"Malangnya 'politiking' ini tak tamat selepas pilihan raya. Subsidi, bantuan, biasiswa tak diberi kepada orang yang tak sokong kerajaan. Pegawai kerajaan kalau tak sokong kerajaan, tak naik pangkat, ditukar ke sana ke mari.

"Itu mentah amalan politiknya, ini kesilapan sangat besar yang perlu dibetulkan. Konsep Federalisme, ada pilihan raya negeri dan pusat, malangnya PAS jadi mangsa menang di Kelantan dan Terengganu.

"Bila kita menang, konsep Federalisme tak dihormati sehingga bidang kuasa negeri dicampur tangan. Dilantik JKKK, habis, ini menjadikan celaru. Hilang persaudaraan di kalangan rakyat kerana kita berperang sampai lepas pilihan raya macam pilihan raya juga," ujarnya menyeru perangai itu diubah.

Sedangkan menurutnya, Allah SWT Yang Maha Berkuasa apabila terdapat hamba yang derhaka tidak terus dimatikan, kerana adanya Mahkamah Akhirat.

Adilnya Allah SWT terang beliau, memberikan kurniaan-Nya sama ada hamba itu taat, derhaka, maksiat, baik atau jahat tetap diberi rezeki, kesihatan dan penghidupan.

Menunjukkan jelasnya, berpolitik seperti sedemikian bermakna berlagak lebih dari Tuhan yakni menolong mereka yang menyokong sahaja dan mengabaikan golongan tidak menyokong.

Kerana itulah katanya, PAS berpolitik secara persaudaraan dengan mengambil pendekatan sabar dan tidak berbalah yang disebut Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Hasilnya maklum Tuan Guru, dari budaya politik sedemikian hari ini telah menampakkan sedikit perubahan di peringkat bawahan terutama rakyat dengan rakyat di mana telah hilang ketegangan yang ada. – HARAKAHDAILY 13/3/2017

TEKNOLOGI dengan OKU penglihatan pada hari ini tidak lagi boleh dipisahkan. Adanya pelbagai teknologi yang berasaskan maklumat atau dikenali sebagai Information Technology (IT) sebenarnya sangat membantu aktiviti harian atau pekerjaan seseorang OKU penglihatan.

Bermula dengan kepesatan dan pertumbuhan teknologi telefon pintar, computer peribadi PC atau laptop, netbook atau note book, bagi OKU penglihatan kepesatan yang berlaku tetap diperhati agar manfaat yang ada dapat dioptimumkan. Kepesatan dalam pembentukan yang pelbagai dari sudut reka bentuk mungkin tidak banyak boleh membantu.

Namun kepesatan yang berlaku sangat memberi kesan dari kepelbagaian software atau pengisian. Justeru, bagi seseorang OKU penglihatan, maklumat berkaitan perkembangan software dan kebolehgunaan (compairtability) dengan hardware atau perkakasan yang ada sangat diperlukan.

Apa jua software yang diguna sangat bergantung kepada keperluan dan kemampuan. Seberapa mampu akan saya kongsikan dalam tulisan ini setidak-tidaknya dapat memberi maklumat umum kepada para pembaca.

Teknologi dalam perkembangan telefon pintar.

Secara umumnya, persaingan dua gergasi telefon pintar iaitu Apple dan Android dilihat menawarkan kepelbagaian kepada para pengguna. Begitu jugalah bagi pengguna OKU penglihatan, persaingan kedua-dua gergasi pengeluar telefon pintar ini sangat signifikan.

Kedua-dua pengeluar telah cuba memenuhi kepelbagaian pengguna mereka termasuklah dari kalangan OKU penglihatan. Bagi kedua-dua pengeluar telefon pintar ini, masing-masing telah menyediakan satu pengisian pembaca monitor atau screen reader untuk pengguna masing-masing.

Bagi Android, satu pengisian yang dikenali sebagai Talk Back dibangunkan dalam perkakasan kebanyakan pengeluar yang menggunakan system Android.

Begitu juga pengeluar Apple melalui telefon pintar mereka seumpama IPhone. Bagi Apple, suatu software telah juga dibangunkan untuk kegunaan OKU penglihatan iaitu Voice Over.

Kedua-dua pengeluar operating system (OS) di atas punyai kelebihan dan kebaikan tersendiri. Dari segi harga, kebanyakan pengguna memilih sistem yang berasaskan Android.

Namun bagi mereka yang perlu bergantung kepada telefon pintar untuk melakukan pelbagai tugasan dan aktiviti, pengeluar yang berasaskan IO system yang dibangunkan Apple dilihat memenuhi keperluan tersebut.

Justeru para pembaca kini seharusnya telah punya satu maklumat umum kenapa ada Oku penglihatan yang menggunakan telefon berasaskan Android dan ada yang menggunakan telefon yang dikeluarkan oleh Apple. Bagi OKU penglihatan, ukuran kemewahan dalam memilih telefon pintar bukan pertimbangan utama.

Faktor keupayaan system telefon pintar itu sendirilah menjadi faktor utama untuk kami memilih mana-mana sistem atau telefon pintar.

Apa yang boleh disimpulkan, pihak pengkaji di luar sana sememangnya telah memberi suatu perhatian khusus kepada kelompok OKU penglihatan khususnya dan OKU secara umumnya. Lihat saja bagaimana syarikat Apple membangunkan system IOs mereka untuk disesuaikan dengan OKU pelbagai katagori.

Pada ruang yang akan datang, Insya-Allah saya akan berkongsi secara seimbas lalu bagaimana system dalam pengoperasian computer peribadi membantu seseorang OKU penglihatan. – HARAKAHDAILY 11/3/2017

SEJAK Kelmarin, saya memerhati dan menilai berita-berita di Harian Metro (HM) tentang misi membantu muslim Rohingya. Saya kenal wartawan HM di kapal Nautical Aliya. Dia orang baik dan mesra.  

Laporan semalam dan hari ini di pautan: http://www.hmetro.com.my/node/211822.

Seolah-olah tiada apa-apa selain usaha berterusan pihak KP1M melanjutkan usaha murni food flotilla tempohari. Saya sentiasa positif tentang food flotilla dan akan mengulanginya jika ada lagi flotilla pada masa depan.

Sebetulnya saya bersama rombongan daripada PAS merancang ke Sittwe sebaik sahaja food flotilla tidak dibenarkan  berlabuh di sini.  Di Yangon pun sukarelawan tidak diizinkan turun.

Maka, sebaik sampai di Cittagong,  saya meminta bantuan Ust Ahmad Tarmizi Sulaiman (sepupu dan timbalan saya dalam PAS Kawasan Sik)  mengaturkan pertemuan dan menyusun program ke Sittwe melalui rakan-rakan MAPIM di Yangon dan Sittwe.  

Maka kami menetapkan beberapa kem penempatan dan kampung untuk dilaksanakan program sumbangan food pack dan tube well, menziarahi kem-kem untuk meninjau keperluan paling mendesak,  selain menziarahi sekolah dan rumah yang didirikan oleh MAPIM sebelum ini.

Kami membuat pesanan barangan dan telaga tiub lebih awal,  dan membuat pembayaran sebaik tiba di Yangon melalui wakil yang dilantik oleh pembekal.

Sewaktu berlepas dari Kuala Lumpur, dimaklumkan rombongan KP1M juga akan ke Sittwe untuk menyertai Duta Malaysia ke Myanmar untuk masuk ke Mangdaw untuk menyaksikan majlis penyerahan barangan flotilla di sana. Saya percaya hubungan baik mereka sebagai NGO kerajaan dengan pihak kedutaan akan memudahkan urusan mereka.

Hanya sepucuk surat daripada MAPIM memaklumkan kehadiran deligasi kami kepada  kedutaan, dan tidak mendapat jawapan.  Permit kebenaran memasuki Sittwe diuruskan oleh NGO di sini,  kakitangan kedutaan pun kami tak dapat bertemu.    

Pada pagi 7 Mac, dalam perjalanan memasuki kem,  kami 'terserempak' dengan wakil KP1M di hotel mereka. Saya rasa mereka ada menghubungi Ustaz Tarmizi memaklumkan situasi mereka.  Saya difahamkan mereka gagal memasuki Mangdaw bersama rombongan duta. Mereka tidak merancang tujuan lain. Tiket pulang hanya pada 8 Mac.  Jadi mereka tiada tempat untuk dituju,  tiada aktiviti untuk dilakukan. Mereka hanya makan maggi kerana tiada restoren makanan halal di Sittwe.

Atas dasar ingin membantu agar perjalanan mereka ke sini tidak sia-sia,  kami mempelawa mereka ikut masuk bersama kami ke kem, melihat sendiri program-program yang telah kami aturkan. Setidak-tidaknya mereka akan dapat menjamah nasi yang telah kami pesan di sana nanti. Itulah cerita sebenar.

Laporan HM semalam menyebut PAS hanya 'turut serta' dalam kunjungan KP1M dan MAPIM ke kem Rohingya. Laporan kelmarin tidak sepatahpun menyebut PAS dan aktiviti PAS di kem yang yang menyelamatkan perjalanan mereka daripada sia-sia itu.  

Malah laporan HM yang menjadikan aktiviti di kem dan perkampungan Rohingya sebagai program yang disusun oleh KP1M adalah bertentangan dengan hakikat sebenar. Saya rasa ini adalah kerja pemberitaan yang memalukan KP1M, lebih memalukan lagi jika KP1M sendiri yang meminta demikian.

Kenapa mereka mengatakan ekor itu adalah kepala? Kenapa perlu dihilangkan PAS dalam pemberitaan dalam situasi sebenar yang sama-sama diketahui? Kenapa perlu ada sikap tidak jujur seperti itu dalam misi kemanusiaan atau sebetulnya mereka sudah diresapi sifat ganas 'Myanmarism'. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

BantuR 13

BantuR 10

BantuR 7

SOALAN: Saya menerima rawatan di hospital dan saya dipasangkan jarum di atas tapak tangan saya untuk dimasukkan drip air dan ubat. Saya juga dipasangkan pelekat sokongan bagi jarum itu. Bagaimanakah wuduk saya? Adakah saya boleh menyapu sahaja air di atas pelekat sokongan itu?

Jawapan: Saudara perlu menilik kepada keadaan tempat yang ditampal. Jika boleh dicabut dan tidak mendatangkan mudarat, maka hendaklah dicabut dan mengambil wuduk seperti biasa. Jika sebaliknya yakni mendatangkan kesakitan dan lebih parah maka bolehlah disapu air di atas pelekat itu seperti hukum sapuan atas jabirah (balutan luka) dan bertayammum sebagai ganti wuduk anggota luka.

Disyaratkan hendaklah ketika memasang jabirah itu:

Orang yang terbabit berada dalam keadaan taharah. Yakni sudah mengambil wuduk sebelum itu. Ini diqiyaskan dengan hukum sapuan di atas khuf (stokin/kasut kulit). Jika jabirah dipasang bukan dalam keadaan taharah dengan air maka hendaklah tetap melakukan solat fardu, tetapi tidak boleh menjadi imam dan solat itu hendaklah diqadha'kan setelah sudah sembuh atau tidak memerlukan jabirah.
Solat juga diqadha'kan, jika tampalan jarum pada bahagian yang sihat secara berlebihan, tidak hanya sebagai istimsak (sokongan bagi bahagian yang sakit).
Begitu juga jika sakit itu pada anggota tayammum yakni muka dan tangan sehingga ke siku.
Ini yang muktamad dalam mazhab al-Syafie.

Bagaimana un, mengikut mazhab Maliki, Hanafiah, Hanabilah dan pendapat syaz dalam mazhab Syafie seperti kata Imam Nawawi, jabirah tidak semestinya dipasang ketika taharah untuk mendapatkan rukhsah tidak perlu diqadha’kan kerana ianya sangat susah secara realiti.

Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (15/108-109)

Justeru, jika di sana terdapat masyaqqah (kesukaran dan kepayahan) bagi pesakit, da ia berlangsung secara lama bolehlah bertaqlid kepada mazhab Malik dalam hal ini. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Mu`asirah (1/194). Bahkan menurut sebahagian ulama tidak perlu juga untuk melakukan tayammum sebagai ganti tempat wuduk yang tidak dibasuh.

Kami berpendapat jika hanya rawatan biasa yang memerlukan memasang jarum dan tampalan penguatnya pada anggota wuduk hanya beberapa jam, atau beberapa hari, bolehlah disapu air dan dilakukan tayammum, dilaksanakan solat fardu, dan diqadakan apabila sudah sembuh jika ditampal pada bukan pada waktu taharah. Namun jika rawatannya mengambil masa yang lama, dan mendatangkan kesukaran kepada pesakit, bolehlah bertaqlid kepada mazhab lain dengan hanya menyapu air atas balutan, tanpa perlu melakukan tayammum, dan tidak perlu diqadha’. Mereka berdalil zahir riwayat yang mauquf pada Ibn Umar R.anhuma yang disebut oleh Imam al-Baihaqi dan dinaqalkan juga oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (2/324-325) :

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَوَضَّأَ وَكَفُّهُ مَعْصُوبَةٌ فَمَسَحَ عَلَيْهَا وَعَلَى الْعِصَابَةِ وَغَسَلَ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya : Sesungguhnya Ibn Umar R.anhuma berwudhuk dan tangannya dalam keadaan berbalut, lalu dia menyapu (air) ke atas tangannya serta ke atas balutan, serta membasuh yang selainnya.

Berkata Imam al-Baihaqi: “Dan riwayat ini sahih daripada Ibn Umar.”

Wallahua'lam

Dipetik daripada ruangan AL-KAFI #561: KAEDAH WUDUK BAGI PESAKIT YANG DITAMPAL JARUM
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 03 Mac 2017