BPMS tangani perangai mentah politik

Lain-Lain
Typography

BERPOLITIK secara tidak rasional dalam mendokong amalan demokrasi masih menjadi perangai yang tidak berubah dalam pemerintahan negara, demikian gambaran diberikan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perkara itu diutarakannya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Politik anjuran Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat di Setiawangsa di sini 11 Mac baru-baru ini.

Kata beliau, sewajarnya demokrasi yang menjadi konsep kepada politik negara dihormati dan menerima hakikat keputusan pilihan raya.

"Malangnya 'politiking' ini tak tamat selepas pilihan raya. Subsidi, bantuan, biasiswa tak diberi kepada orang yang tak sokong kerajaan. Pegawai kerajaan kalau tak sokong kerajaan, tak naik pangkat, ditukar ke sana ke mari.

"Itu mentah amalan politiknya, ini kesilapan sangat besar yang perlu dibetulkan. Konsep Federalisme, ada pilihan raya negeri dan pusat, malangnya PAS jadi mangsa menang di Kelantan dan Terengganu.

"Bila kita menang, konsep Federalisme tak dihormati sehingga bidang kuasa negeri dicampur tangan. Dilantik JKKK, habis, ini menjadikan celaru. Hilang persaudaraan di kalangan rakyat kerana kita berperang sampai lepas pilihan raya macam pilihan raya juga," ujarnya menyeru perangai itu diubah.

Sedangkan menurutnya, Allah SWT Yang Maha Berkuasa apabila terdapat hamba yang derhaka tidak terus dimatikan, kerana adanya Mahkamah Akhirat.

Adilnya Allah SWT terang beliau, memberikan kurniaan-Nya sama ada hamba itu taat, derhaka, maksiat, baik atau jahat tetap diberi rezeki, kesihatan dan penghidupan.

Menunjukkan jelasnya, berpolitik seperti sedemikian bermakna berlagak lebih dari Tuhan yakni menolong mereka yang menyokong sahaja dan mengabaikan golongan tidak menyokong.

Kerana itulah katanya, PAS berpolitik secara persaudaraan dengan mengambil pendekatan sabar dan tidak berbalah yang disebut Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Hasilnya maklum Tuan Guru, dari budaya politik sedemikian hari ini telah menampakkan sedikit perubahan di peringkat bawahan terutama rakyat dengan rakyat di mana telah hilang ketegangan yang ada. – HARAKAHDAILY 13/3/2017