Vince Focarelli: Sebuah perjalanan menuju Tuhan

Lain-Lain
Typography

BAYAN LINNAS SIRI KE-93 : VINCE FOCARELLI: SEBUAH PERJALANAN MENUJU TUHAN

Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 26 Mei 2017

Mukadimah

Kehadiran Vince Focarelli ke pejabat kami pada pagi ini (Khamis, 25 Mei 2017) adalah satu rahmat daripada Allah SWT. Pertemuan yang tidak dirancang ini telah memberikan kami peluang untuk lebih mendekati susuk sasa Vince Focarelli yang mana pada satu masa dahulu pernah tular di media sosial apabila ramai netizen berkongsi akan kisahnya yang kembali kepada Islam, berubah 180 darjah dari kehidupannya yang dahulu.

Vince Focarelli dilahirkan di Italy namun pada usianya yang kecil, beliau telah berpindah ke Australia bersama keluarganya dan membesar di sana. Vince Focarelli adalah bekas ketua gangster (kumpulan motosikal) di bahagian selatan Australia. Difahamkan juga bahawa kumpulan tersebut adalah antara kumpulan gangster terbesar yang terdapat di Australia. Beliau sangat dihormati di kalangan ahli kumpulan dan ahli kumpulan juga amat senang dengan beliau. Kumpulan yang diketuainya itu adalah serpihan dari kumpulan sebelumnya yang mana beliau bertindak keluar dari kumpulan asal dan bertekad menubuhkan kumpulannya sendiri.

Kumpulan baru ini mendapat sambutan dari mereka yang amat mengagumi dirinya di samping pengaruhnya yang sedia ada. Kewujudan kumpulan baru ini tidak disenangi oleh kumpulan-kumpulan yang lain dan dari rasa tidak senang inilah berlakunya huru-hara, pergaduhan serta peperangan di antara kumpulan-kumpulan ini.

Bermulanya Hidayah

Di dalam kehidupan Vince, beliau tidak pernah mengetahui akan Islam. Bahkan perkataan Islam itu sahaja tidak pernah singgah ke telinganya apatah lagi ingin mengetahui Islam itu sebagai sebuah agama, amatlah jauh sekali. Vince dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang beragama Kristian (katolik). Hidayah itu mula timbul tatkala Vince selalu meluangkan masa bersama ahli-ahlinya, duduk bersembang dengan mereka. Dalam banyak-banyak ahli yang menganggotai kumpulannya itu, terdapat sebahagiannya yang berbangsa Arab dan beragama Islam. Perbincangan mengenai Nabi Isa A.S (Jesus) menarik minat Vince sehingga apabila diceritakan perihal Nabi Isa A.S mengikut kaca mata Islam, Vince kemudiannya mengaitkannya dengan kefahaman agama sedia adanya pada ketika itu. Perbincangan semakin rancak pada hari-hari yang berikutnya dan sehinggalah Vince merasakan ada sesuatu yang tidak kena mengenai agama sedia ada yang sedang dianutinya. Vince merasakan ada sesuatu yang bertentangan dengan apa yang selama ini diiktikadkan. Bagaimana tuhan itu boleh disalib sedangkan dia tuhan? Bagaimana tuhan itu boleh diusung dan diarak dalam keadaan yang amat menyedihkan? Dimanakah kekuasaan tuhan sehingga boleh diperlakukan sedemikian rupa?

Persoalan-persoalan di atas sering menghantui dirinya sehinggalah hidayah itu muncul dan Vince sendiri mengucapkan syahadah, penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT. Maka di sini, bermulalah bahagian kehidupannya sebagai seorang muslim.

Perjalan Sebagai Seorang Muslim

Tidak dinafikan bahawa perjalanan seorang muslim itu pasti akan diuji. Begitulah juga keadannya Vince. Meskipun Vince telah memeluk Islam, namun dia tetap meneruskan aktiviti bersama kumpulannya. Boleh dikatakan pada waktu itu, Vince hanyalah seorang muslim pada nama dan bukan pada penghayatannya.

Menjadi ketua di dalam sebuah kumpulan gangster memerlukan dirinya sentiasa berwaspada. Kumpulan-kumpulan gangster yang lain sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Vince tidak terlepas dalam beberapa siri pergaduhan ini dan dalam enam percubaan untuk membunuhnya, kesemuanya dia terselamat termasuklah juga satu percubaan bunuh menggunakan bom. Namun, dalam siri-siri percubaan untuk membunuh itu, salah satu daripadanya telah meragut nyawa Giovanni, anaknya. Vince mengalami kecederaan setelah diserang hendap oleh kumpulan gangster yang lain dan ekoran dari pergaduhan tersebut yang menyaksikan aksi tembak-menembak, Vince telah dipenjarakan.

Di dalam penjara, takdir Allah SWT telah menempatkannya bersama seorang senior gangster dari kumpulan yang pernah dianggotainya dahulu. Entah bagaimana, pergaduhan antara mereka berlaku dan Vince menceritakan kepada kami bagaimana dirinya melutut, berdoa kepada Allah agar diberikan kemenangan pada pertarungan kali ini. Menyedari bahawa lawannya itu adalah seorang ahli tinju professional, ini menjadikan perlawanan tersebut amat sukar. Di atas kertas, pastilah kemenangan lebih berpihak kepada lawannya namun kuasa Allah SWT, Vince berjaya mengalahkan lawannya dalam masa yang amat singkat dan ekoran dari pergaduhan tersebut, Vince telah diasingkan ke dalam sebuah bilik tahanan yang lain yang mana Vince ditempatkan bersendiri.

Sebaik sahaja mendengar kisah beliau tersebut, kami mencelah dengan mengemukakan kisah Nabi Muhammad SAW yang bergusti dengan Rukkanah yang akhirnya ditewaskan oleh Nabi dan Rukkanah memeluk Islam. Hakikat ini menunjukkan kekuatan kita adalah daripada Allah dan milik-Nya. Benarlah bacaan zikir kita:

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksudnya: Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Setelah itu, beliau dipindahkan ke sel tahanan yang lain, Vince meminta al-Quran sebagai penemannya. Di dalam penjara inilah Vince membaca al-Quran dari mula hinggalah berjaya mengkhatamkannya meskipun Vince sendiri tidak mengetahui isi kandungan al-Quran tersebut. Sejurus sahaja mengkhatamkan bacaan al-Quran, datang warden penjara mengatakan bahawa dirinya telah bebas. Vince menghabiskan masanya selama 14 bulan di dalam penjara atas kesalahan dadah dan senjata api.

Perkara pertama yang dilakukan olehnya apabila dibebaskan dari penjara adalah dengan pergi ke masjid dan solat di dalamnya. Ekoran peristiwa-peristiwa yang telah menghambat kehidupannya, Vince mula memikirkan arah tujuan kehidupannya. Anaknya telah mati dibunuh dengan cara kehidupannya yang lampau. Kehidupan yang amat tidak berbaloi untuk diikutinya semula. Bermula di sinilah Vince mula mengubah kehidupannya. Meninggalkan kumpulannya bersama segala aktiviti lampau. Vince memulakan hidup yang baru dengan membuka sebuah restoran di Australia. Restoran yang menyediakan makanan halal dan turut menyumbang kepada masyarakat dengan memberi makan kepada gelandangan di samping amal jariah yang lain. Vince kini mendapat kehidupan yang tenang setelah kembali mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Vince Abdul Salam Focarelli

Vince memilih Abdul Salam sebagai nama Islamnya. Apabila ditanyakan mengapa anda memilih nama Abdul Salam? Jawab Vince: “Dahulu aku banyak membuat huru-hara, kini aku seorang muslim, hamba Allah SWT. Aku tidak akan membuat huru-hara lagi.”, sesuai dengan nama yang dipilih (Salam) yang membawa maksud selamat sejahtera.

Terkini, Vince telah diarahkan untuk menjalani hukuman deportasi yang mana menjadikan dirinya tidak lagi boleh tinggal di Australia. Oleh itu, Vince telah kembali ke negara asalnya iaitu Italy dan itu tidak mematahkan semangatnya dalam berdakwah, mengajak manusia lain untuk mengenal Islam. Kisah perubahan dirinya yang menjadi tular pada satu masa dahulu banyak dijadikan sebagai motivasi untuk melakukan perubahan dalam kehidupan bahkan membuka mata ramai pihak bagaimana Islam mampu merubah kehidupan seseorang itu.

Penutup

Sebelum kami berpisah, ketika waktu Zohor kami mengajak Vince bersolat bersama-sama. Alhamdulillah, kami menyaksikan sendiri bahawa beliau benar-benar menunjukkan istiqamah dengan ibadat solat dan tidak mencuaikannya.

Kami sempat bertanya kepadanya satu soalan, “Apakah perasaannya selepas memeluk Islam dan memahaminya?” Beliau mejawab, “Tiada bahasa yang dapat menggambarkan hatinya apabila bergantung kepada Tuhan dan memeluk Islam." Itulah bernilainya nilai syahadah seseorang yang memahami Islam dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT memberikan kepada saudara Abdul Salam, juga kepada kita semua, akan kekuatan, istiqamah, taufiq dan hidayah untuk melayari kehidupan yang mendatang dan akan terus berada di atas jalan Islam dan iman serta menggunakan segala kelebihan yang telah Allah SWT anugerahkan buat dirinya untuk terus memperlihatkan kepada manusia akan kehebatan serta kecantikan Islam itu sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.

Doa ini mengikut sebahagian ulama’ dinisbahkan kepada Saidina Umar dan dikatakan bahawa Imam Nawawi kerap menyebut dalam kitabnya al-Azkar. Sebahagian ulama’ seperti al-Buhuti telah menyebut dan membincangkannya dengan panjang lebar melalui kitabnya yang masyhur. Lihat Syarah Muntaha al-Iradat, 3/497

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
26 Mei 2017 bersamaan 29 Sya’ban 1438H