SESUNGGUHNYA solat merupakan suatu ibadah yang besar di sisi Allah SWT. Dan ia merupakan suatu kewajipan ke atas manusia sebagai makhluk kepada sang pencipta. Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Sebagaimana kita ketahui, bahawa solat adalah benteng kepada diri  daripada melakukan dosa dan maksiat. Allah berfirman dalam surah al-'Ankabuut :

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah Al-'Ankabuut ayat 45]

Solat akan menjadi lebih sempurna apabila wujudnya khusyuk dalam diri hamba. Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendahkan diri dengan menumpukan fikiran semata-mata kerana Allah, disertai pergerakan badan yang tenang dalam melakukan ibadah solat. Cara untuk kita  merasakan Allah itu dekat, syaratnya ialah mestilah orang itu beriman dengan sebenar-benarnya, yakni percaya dengan sepenuh keyakinan terhadap kewujudan dan keagungan Allah SWT.

Jika imannya telah lemah kerana sudah dibahagikan sebahagian besar hatinya kepada cinta dunia, mustahil ia akan dapat merasakan kedekatan Allah dan mustahil untuknya merasakan nikmat khusyuk dalam beribadat. Orang yang khusyuk dalam solat adalah mukmin yang berjaya. Sebagaimana firman allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿23:1﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ‏ ﴿23:2﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah Al-Mu'minuun ayat 1-2]

Mereka yang khusyuk dalam solat akan dinaikan darjat dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat serta mampu merasa kemanisan dalam beribadat. Nilai khusyuk yang terpancar dalam diri seseorang dapat dilihat melalui ketenangan hati dan jiwa yang luhur. Seseorang yang hatinya hilang dalam solat, maka hilanglah nikmat khusyuk.

Apabila seseorang itu melakukan ibadah dengan menghadirkan sepenuhnya rasa kekhusyukan, semestinya hati akan lebih tenteram. Segala aktiviti dan pekerjaannya pasti Akan dipermudahkan. Khusyuk akan menjadikan seseorang menjadi lebih positif dan tidak mudah Berputus asa. Hal ini kerana, segala urusannya Diserahkan sepenuhnya kepada pencipta. Nescaya Allah akan menjamin kehidupan orang berserah diri dan melindungi dari sebarang  kejahatan. Dalam hadith nabi Muhamad saw bersabda:

“Serahkan urusan kalian berdua kepada Allah Azza wa jalla, agar kalian merasa tenang.”

Selain itu, kekhusyukan dalam solat dapat melahirkan sifat kesyukuran pada diri. Yakni mereka sentiasa bersyukur Di Atas kurniaan nikmat dan Rahmat yang tidak terhingga dengan melakukan ibadat Kepada-Nya. Dengan kewujudan sifat ini, sekaligus akan menghindar diri dari sifat mazmumah seperti tamak, iri hati dan hasad dengki. Menurut firman allah SWT:
 
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Rabbmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” [Ibrâhîm/14:7]

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Istilah yang sering kali kita dengar iaitu ‘kenapa orang itu solat tapi tetap melakukan maksiat?’, ‘kenapa orang itu solat tetapi dikeliling dengan pelbagai masalah?’. Hanya solat yang khusyuk sahaja mampu menyelam ke dalam diri manusia dan merubah rasa hati menjadi lebih tenang, gaya fikir yang lebih bijak, prinsip hidup yang harmoni dan akhirnya mengubah perilaku seseorang.

Solat yang khusyuk menjadikan seseorang sentiasa ingat jati dirnya sebagai seorang hamba Allah. Dia tidak akan sesekali merasakan dirinya sebagai tuan apatah lagi sebagai “tuhan” dalam hidupnya. Secara tidak langsung seseorang itu akan sentiasa dipenuhi sifat kehambaan dalam diri seperti rasa jahil, hina, malu, lemah, dan lain-lain sifat yang menzahirkan kekurangan diri apabila berhadapan dengan Allah.

Rasa kehambaan ini akan melahirkan seseorang yang sentiasa ingat akan Penciptanya. Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segalanya dapat diatasi dengan sempurna kerana wujudnya talian hayat dengan yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa, rasa diri yang lemah akan menjadi kuat apa hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir Allah melalui nilai khusyuk. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

CUACA panas memberi tekanan atau kesan fizikal kepada tubuh badan manusia. Kesan cuaca panas ini akan menyebabkan kesihatan menjadi tahap sederhana kepada tahap bahaya atau boleh mendatangkan masalah kesihatan yang ringan dan juga ada yang boleh menyebabkan maut seperti strok haba.

Kebanyakkan cuaca panas ini mudah terdedah kepada yang terbabit dengan aktiviti luar seperti pekerja buruh binaan, orang dewasa, warga emas dan juga kanak-kanak berumur 5 tahun kebawah. Tanda-tanda awal kesan cuaca panas kepada yang mudah terdedah seperti pening kepala yang berpanjangan, mual dan muntah, keletihan dan lesu seluruh tubuh badan.

Antara langkah-langkah segera yang perlu diambil terhadap mangsa strok haba iaitu mangsa strok haba mestilah menerima rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan kekal pada organ. Ketika cuaca panas ini perlulah ditempatkan mangsa ke kawasan yang teduh dan berhawa dingin / di bawah kipas. Kemudian, lap anggota badan mangsa dengan menggunakan tuala basah.  Hendaklah selalu memantau suhu badan mangsa dengan termometer sambil meneruskan usaha penyejukan sehingga suhu badan mangsa menurun.

Antara perkara-perkara yang paling penting untuk mencegah strok haba ialah pastikan kita dan keluarga minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. Bahkan, kita perlulah mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol, minuman berkafein seperti kopi/teh serta minuman yang mengandungi gula yang tinggi kerana minuman-minuman tersebut menyebabkan kita lebih mudah terhidrat.

Perkara paling penting ketika cuaca panas ini kurangkan melakukan aktiviti fizikal yang lasak semasa cuaca panas. Sekiranya  terpaksa melakukan aktiviti luar di cuaca panas, pastikan meminum banyak air dan minuman isotonik untuk mengekalkan tahap hidrasi. Kita perlulah sentiasa mengambil rehat yang kerap untuk hidrat diri sendiri.

Seperti mana yang kita tahu cuaca panas ini sangat membahayakan dan perlulah selalu beringat dan mengurangkan melakukan aktiviti luar agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan serta kesihatan badan. Oleh itu, kita haruslah selalu berwaspada akan gelombang cuaca panas yang melampau ini agar hari kita tidak lagi suram di masa yang akan datang. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

Penulis ialah pelajar Bahasa Arab dan Komunikasi Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM.

ZAMAN nabi Muhammad SAW  telah termaktubnya satu amalan wajib bagi semua umat nabi Muhammad yang beragama Islam iaitu solat . Yang mana nabi kita telah di isra’ dan mikraj kan untuk mendapat amanat daripada Allah iaitu solat lima waktu sehari semalam. Solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib Dan Isyak. Maka pada waktu itu bermulalah pelaksanaan solat.

Pada ketika itu, mereka melaksanaan solat secara berjemaah. Sebagai contoh, nabi Muhammad menjadi iman dan para sahabat menjadi makmum. Mereka hanyalah solat berbumbungkan pelepah tamar dan bersejadahkan kulit-kulit haiwan.

Pada zaman sekarang, pelaksanaan solat semakin luntur. Akibatnya amalan solat berjemaah semakin pudar dan pupus dalam lubuk iman seorang Islam. Maka disebabkan itu, ramailah yang menunaikan solat bersedirian di rumah atau selain daripada masjid. Kemudian, seperti yang kita ketahui sudah banyaknya masjid-masjid yang terbina megah. Mana tidaknya, lengkap dengan penghawa dingin, tempat letak kereta yang luas dan sebagainya. Namun begitu, masih sedikit yang mahu solat berjemaah terutamanya di masjid.

Sungguhnya solat secara berjemaah ini banyak fadilat dan kelebihannya. Malangnya, ramai umat Islam mengambilnya secara remeh dan acuh tak acuh. Sedangkan Allah dan Nabi Muhammad menitik beratkan amalan solat secara berjemaah ini. Maka setiap perkara yang dititik beratkan oleh Allah dan Nabinya ada banyak hikmah dan kebaikkannya.

Mana tidaknya, apabila kita solat secara berjemaah kita boleh merapatkan hubungan silaturahim kita dengan ahli jemaah yang lain. Jika kita tinjau balik, kenapa setiap kali kita nak mulakan solat berjemaah kita akan diingatkan oleh imam untuk rapatkan bahu? Ini kerana Islam hendak mengajarkan bahawa berjemaah itu penting dan saling berhubung bukannya terputus antara umat Islam sendiri.

Selain itu, kita boleh membetulkan bacaan dalam solat kita apabila kita mendengar imam kita membacanya. Tidak semua bacaan kita betul dan tepat belaka, kerana itu kita perlu memperbetulkannya. Tambah-tambah lagi, rukun-rukun qauli seperti surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir dan sebagainya. Jika salah, maka batallah solat itu. Kita solat kerana inginkan redho yang maha kuasa, bukanlah sekadar melepas batuk ditangga.

Allah telah menjelaskan dalam kitab suci, al-quran tentang tuntutan solat berjemaah ini. Allah berfirman yan maksudnya,

“Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta ruku`lah bersama orang-orang yang ruku`” (Al-Baqarah 2 : 43).  

Secara am nya, dapat kita faham bahawasanya tuntutan untuk solat secara berjemaah itu adalah penting di sisi Islam. Di samping itu, Allah juga berfirman, maksudnya:

“Dan jika engkau (hadir) bersama mereka, maka dirikanlah bersama mereka solat.” (Al-Nisa’ 4 : 102).  

Solat  berjemaah ini bukanlah satu amalan yang sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat Islam.

Seterusnya, solat berjemaah ini banyak pahalanya. Ia bersamaan 27 kali pahala berbanding solat bersendirian 1 kali pahala. Sesungguhnya besar pahala yang Allah berikan kepada orang Islam yang  menunaikan solatnya secara berjemaah. Islam bukan menghalang umatnya solat sendirian, tapi Islam ingin menyeru agar umat Islam cakna dengan manfaat daripada Allah.

Analoginya mudah, jika seorang pekerja ditawarkan dengan gaji RM27 atau RM2700 mana yang akan dipilih oleh pekerja itu? Sudah tentu RM2700. Begitulah Allah memberi pahala kepada umat Islam yang solat berjemaah.

Akhir sekali, marilah kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan  rasulnya menunaikan solat. Solatlah secara berjemaah bersama di masjid atau surau. Kita hidup kerana ingin abdikan diri kita kepada Allah. – HARAKAHDAILY 10/4/2017

Penulis ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

SUNNAH merupakan sumber kedua yang menjadi ikutan dan teladan untuk umat islam selepas al-Quran. Istilah ‘as-Sunnah’ dari perkataan Arab iaitu ath-thariq yang bererti jalan. Dijelaskan menurut Bahasa Arab bahawa perkataan ‘as-sunnah’ ialah ‘ath-thariqah’ membawa erti kebiasaan, perjalanan hidup, atau kelakuan yang terpuji mahapun tercela. Istilah Sunnah diulang-ulang dalam kitab hadis yang memberi erti ‘perjalanan’  dan ‘perilaku.’ (an-Nihayah 2;409) Diertikan perkataan as-Sunnah menurut Ibnu Rajab, Sufyan ats-Tsauri  adalah “perlakukanlah Ahli Sunnah dengan baik kerana mereka adalah orang-orang asing.” Sunnah yang dimaksudkan oleh imam-imam itu memberi pengertian kepada Nabi Muhamad SAW dan para sahabat-Nya yang bersifat suci dari  syubhat dan syahwat.

Dalam sebuah hadis disebutkan:

“Barang siapa melakukan Sunnah yang baik dalam Islam, maka selain memperoleh pahala bagi dirinya, juga mendapat tambahan pahala dari orang yang mengamalkan sesudahnya, dengan tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka. Dan barang siapa melakukan Sunnah yang jelek dalam islam, maka selain memperoleh dosa bagi dirinya, juga mendapat tambahan dosa dari orang yang melakukan sesudahnya dengan tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka.” (HR Muslim)

Maka dengan itu, jika kita meneliti apa yang diberitahu oleh Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya amalan Sunnah memiliki keistimewaan luar biasa yang boleh menyempurnakan amalan wajib yang kita kerjakan  dalam kehidupan seharian.

Rasulullah SAW mengamalkan amalan Sunnah dalam kehidupan seharian beliau malah Allah SWT telah menyeru setiap umatnya agar beribadah dan memiliki akhlak peribadi yang mulia. Amalan Sunnah adalah amalan-amalan apabila melakukannya akan mendapat pahala dan tidak berdosa jika kita meninggalkannya, “Sunnah itu bererti ketetapan dari Nabi Muhammad SAW yang bukan fardhu dan bukan wajib.” (asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, him. 31).

Amalan Sunnah menjadi mudah apabila setiap manusia mempunyai niat dan berusaha untuk mengamalkannya dalam kehidupan harian. Namun, amalan Sunnah Nabi dan para sahabat-Nya terdahulu sering dilupakan oleh masyarakat masa kini kerana mungkin sebahagian dari mereka menganggap cukup dengan mengamalkan amalan-amalan wajib harian sahaja dan amalan Sunnah hanya kadang-kadang dilakukan itupun jika mereka mempunyai kelapangan waktu

Apakah diantara amalan-amalan sunat Nabi Muhammad SAW yang jarang dilakukan oleh kaum muslimin?

Pertamanya adalah Solat Tahajud. Solat Tahajud lebih dikenal dengan Qiyamullai atau solat malam yang mempunyai fadhilat kebaikan dan keistimewaan untuk diri kita jika mengamalkannya.

Saidina Umar Al-Khattab menyatakan, “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.”

Tambahan pula, Solat malam atau Solat Tahajud merupakan satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan dengan Allah dan pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba-Nya. Pada masa itu, para Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat hamba-Nya bagi menyiram api neraka yang sedia menanti tubuh manusia di akhirat nanti.

Yang kedua adalah dengan mendahulukan kaki kanan saat memakai sandal dan kaki kiri saat melepaskannya. Nabi Muhammad SAW menggalakkan setiap umatnya supaya mendahulukan anggota kanan dan kemudiannya diikuti anggota kiri dalam setiap perkara yang dilakukan seharian.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika kalian memakai sandal maka dahulukanlah kaki kanan. Dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sekali.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Amalan ketiga yang dilakukan Nabi Muhammad SAW adalah membaca al-Quran, ia merupakan zikir terbaik yang mendatangkan banyak kebaikan bagi yang membacanya. Dengan membaca al-Quran kita akan peroleh ketenangan dan kedamaian jiwa. Malah, membaca al-Quran dapat meningkatkan tahap kecintaan dan ketakwaan terhadap Allah. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang sebagai pemberi syafaat bagi sahabatnya (orang yang membacanya).” (HR Muslim)

Amalan rutin keempat Nabi Muhammad SAW yang setiap hari dilakukan adalah dengan melakukan solat Dhuha yang mempunyai banyak kelebihan jika sentiasa mengamalkannya. Kelebihan bagi orang yang mengerjakan solat Dhuha adalah sepanjang hari berada dalam penjagaan dan perlindungan Allah.

Kelima amalan dilakukan Nabi Muhammad SAW setiap hari adalah dengan mengerjakan solat berjemaah tepat pada waktunya, Nabi SAW bersabda:

“Kalau saja manusia tahu pahala panggilan shalat dan shaf awal, kemudian mereka tidak bisa mendapatkannya selain harus dengan mengundi, pasti mereka akan mengundi.” ( HR Muslim)

Berikutnya, amalan keenam yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah dengan sentiasa bersedekah. Umat Islam umumya digalakkan memberi sedekah sebagai tanda syukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Selain itu, bersedekah juga dapat menghapuskan dosa-dosa lalu dan menjinakkan hati supaya tidak cinta pada dunia yang menjadi kelemahan umat Islam zaman sekarang.

Ketujuh, Nabi Muhammad SAW  adalah seorang yang sentiasa menjaga dan memelihara wudhu, malah sentiasa menjaga kesucian, sabda-Nya:

“Siapa yang berwudhu dan membaguskan wudhunya,kesalahan-kesalahannya akan keluar dari jasadnya, bahkan sampai keluar dari ujung-ujung kukunya.” (HR Muslim)

Amalan terakhir yang diamalkan Nabi Muhammad SAW adalah dengan beristighfar. Malah, amalan ini sangat mudah dan boleh dilakukan tidak mengira waktu dan tempat kita berada. Amalan berzikir di dalam hati pada setiap masa dan saat membuatkan kita sentiasa mengingati Allah. Sabda Nabi SAW:

“Demi Allah aku selalu beristighfardan bertaubat kepada-Nya lebih dari 70 kali dalam sehari.” (HR Muslim)

Itulah merupakan antara amalan harian yang Nabi Muhammad SAW sentiasa lakukan dalam kehidupan harian. Namun, tentu masih banyak amalan-amalan Sunnah lain yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, semoga kita tergolong dalam golongan umat Nabi Muhammad yang sentiasa istiqamah dalam mengamalkan amalan Sunnah disamping tidak meninggalkan amalan harian yang diwajibkan keatas setiap umat Islam. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia

ADAKAH berfesyen dibenarkan dalam Islam? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan.

Jelas disini, Islam telah memberi kebenaran kepada umatnya supaya berhias. Hadis daripada Abdullah Ibnu Masu’d r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun sebesar zarah. Maka telah berkata seorang lelaki kepada baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” (Riwayat Imam Muslim).

Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk berfesyen malah baginda menerangkan bahawa Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekeliling.

Seperti yang kita ketahui pakaian menjadi salah satu keperluan asas sejak zaman-berzaman. Jika diteliti, dunia fesyen sekarang semakin berkembang sehingga mempengaruhi pemakaian penampilan menerusi pemakaian hijab mahupun pakaian itu sendiri.

Kini, perkembangan pelbagai teknologi media sama ada dalam bentuk percetakan mahupun elektronik telah menyebarkan maklumat tentang perkembangan dan perubahan imej fesyen Islam yang semakin popular. Kepelbagaian bahan media ini telah memberi ruang kepada muslimah untuk mencuba sesuatu fesyen baru.

Dunia fesyen berkembang luas dan semakin ramai pihak menceburi  bidang ini. Bukan itu sahaja, malah masyarakat kini lebih gemar berfesyen berbanding masyarakat dahulu yang menggunakan pakaian hanya sebagai penutup aurat. Persoalannya, adakah pakaian berfungsi sebagai fesyen atau penutup aurat? Husna Hassan, kolumnis majalah Solusi, ada menyatakan dalam penulisannya bahawa majoriti setiap helaian pakaian yang direka dan dipertontonkan oleh muslimah kini antara wanita muslimah dan yang lain. Namun, apa yang menyedihkan, kebanyakan fesyen yang ditonjolkan tidak mengikut cara pemakaian yang sebenar dalam Islam.

Sebagai seorang muslimah, saya melihat ramai dikalangan wanita kini berfesyen tanpa menjaga etika pemakaian cara Islam yang betul. Sebagai contoh, memakai tudung tetapi berbaju ketat dan berseluar ketat. Bagi mereka, dengan menutup kepala sudah dianggap menutup aurat.

Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslimah dalam pemakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:

-Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
-Pakaian hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan.
-Pakaian tidak menyerupai lelaki.
-Pakaian itu mestilah diperbuat daripada kain yang tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan.
-Bertudung sehingga paras dada.
-Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah turunkan kepadamu pakaian untuk melindungi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Oleh yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raf: 26)

Penurunan ayat ini, adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT supaya wanita muslimah wajib menutup aurat mereka kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, wajiblah bagi muslimah itu  bertudung.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan bersederhana supaya agama lain dapat melihat bahawa Islam itu agama yang indah. Bagi saya, tuntutan berfesyen terpulang kepada si pemakai sama ada pakaian itu sekadar berfesyen atau sebaliknya. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia
 


 

DALAM era zaman globalisasi kini yang mendedahkan masyarakat terhadap kemajuan teknologi yang pesat dengan kepantasan internet tanpa had, dapat lihat bahawa media sosial adalah salah satu medan dakwah yang penting dan sesuai dilakukan untuk meningkatkan dakwah Islam. Konsep dakwah merupakan aspek penting bagi mencapai kebaikan dan kejayaan dalam kehidupan. Berkait dengan itu, pendekatan media sosial mampu membuahkan hasil yang baik dalam berdakwah terhadap masyarakat umumnya.
       
Media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan melalui aplikasi-aplikasi tertentu seperti Facebook, Twitter dan Wechat. Media sosial juga merangkumi blog, forum dan rangkaian sosial. Dakwah pula merupakan suatu interaksi penyampai dan penerima melalui pelbagai cara yang bertujuan untuk menyeru masyarakat mahupun individu itu sendiri untuk beriman dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya bersesuaian dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islam.

Dakwah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud ajakan dan seruan sebagaimana frasa dalam bahasa arab yang membawa erti “Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”. Kita hendaklah berdakwah kerana Islam mengajar dan menegaskan kepada kita untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan  seperti mengajak untuk tolong menolong sesama jiran  yang berada dalam kesusahan. Contoh ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Maidah, ayat yang ke 2 yang bermaksud, “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan”. Kita juga ditegaskan supaya membawa masyarakat untuk keluar daripada lembah kemaksiatan dan keburukan seperti perbuatan melakukan zina yang sudah terang lagi bersuluh mengenai pengharamannya.
      
Berdakwah dalam media sosial merupakan inisiatif yang berkesan dan memberi implikasi positif . Implikasi melalui penggunaan media sosial ini dapat dilihat melalui sudut masyarakat dan individu itu sendiri. Implikasi terhadap individu melalui pendekatan dakwah memberi kesan apabila seseorang individu mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Dakwah yang disebarkan memberi jalan lurus kepada manusia untuk sentiasa melakukan perintah Allah mengikut acuan yang betul. Faktor penting implikasi terhadap individu ini ialah kembali mentaati perintah Allah.  Hal ini disebabkan oleh ukuran Allah adalah melalui takwa kepada-NYA. Allah tidak melihat pangkat atau kedudukan seseorang hambaNYA ataupun paras rupa.

Melakukan perintah Allah seperti solat menjadi kewajipan dalam beragama manakala dakwah memberi kesan terhadap kebaikan masyarakat sosial, apabila masyarakat hidup bersatu padu dan aman harmoni tanpa persengketaan. Hasil daripada implikasi dakwah Islam yang dibuat, ia dapat membendung kemaksiatan dan kemungkaran.
       
Dalam pada itu, penyebaran dakwah melalui media sosial menjadi keutamaan kerana mampu mensasarkan lebih ramai target melalui pendedahan dakwah yang dilakukan atas tujuan menyeru kepada kebaikan. Sebagai contoh, seorang pendakwah berceramah tentang adab menyambut tetamu melalui aplikasi Facebook.

Facebook merupakan antara aplikasi kegemaran yang digunakan oleh masyarakat  pada zaman kini untuk berkongsi cerita dan berhubung dengan kawan-kawan. Hal ini bukan sahaja dapat memberi impak apabila dilihat oleh masyarakat Islam, akan tetapi ia juga berupaya menarik kaum lain untuk sama-sama memahami keindahan Islam sebagai agama yang benar malah mampu mengangkat lebih ramai manusia untuk kembali mentaati Allah SWT apabila menjadikan media sosial ini sebagai wadah untuk menyampaikan dakwah Islam.

Sehubungan dengan itu, apabila pendedahan ilmu agama tidak dapat diterapkan dalam diri masyarakat rentetan cabaran yang besar telah berlaku di Malaysia seperti pengaruh budaya kuning yang melanda masyarakat Islam kini, faktor ini dapat mengelirukan umat Islam seterusnya memesongkan akidah disebabkan pendedahan hiburan yang melampau dan penyebaran agama sesat yang semakin berleluasa kini.

Kita seharusnya berdakwah atau menyeru masyarakat supaya keluar dari kepompong kejahilan kerana salah satu sebab diri mudah melakukan kejahatan adalah kerana kurang ilmu pengetahuan dan semua ini berkait rapat dengan agama kita. Dunia dahagakan ilmu pengetahuan yang meluas terutamanya ilmu agama.
      
Kita mesti menggunakan pendekatan media sosial dengan cara yang baik bukan melakukan benda yang tidak sepatutnya seperti menyebarkan fitnah, mengecam mana-mana pihak dan sebagainya yang boleh mendatangkan masalah lain seperti pergaduhan. Sabda Rasulullah SAW menurut riwayat Ummu Habibah yang dikeluarkan Tarmizi dan Ibnu Majah, “Tiap-tiap perkataan anak Adam adalah bencana atasnya, tidak baginya (iaitu tidak ada yang bermanfaat baginya), kecuali menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan dan ingat kepada Allah”.

Hal ini menunjukkan bahawa kita mesti meninggalkan perkara yang tidak berguna sebagaimana contoh lain seperti mengumpat, mencaci dan menghina orang lain seterusnya berdakwah dengan menyeru kepada kebaikan bagi memperoleh manfaat untuk diri, masyarakat dan negara.
     
Tambahan pula, jika kita faham dengan konsep sebenar dakwah itu sendiri, sebenarnya dakwah ini adalah satu didikan dan didikan tersebut bukanlah kepada ilmu agama semata-mata akan tetapi merangkumi kesemua ilmu yang ada. kita dapat menyumbang dari  pelbagai aspek sebagai contoh melalui bidang perniagaan, sesetengah penjual menjual barang yang tidak berkualiti pada harga yang mahal secara keterlaluan dan tidak adil sehingga membebankan pembeli. kita mengajak masyarakat supaya jangan menipu ketika berniaga.  

Masyarakat memerlukan nasihat itu dan salah satu jalannya adalah dengan berdakwah. Jika kita lihat keadaan teknologi zaman sekarang, media sosial adalah salah satu jalan yang sesuai digunakan untuk menyampaikan seruan kebaikan tersebut.
      
Justeru, peranan media sosial yang meluas dan boleh dikatakan menjadi keutamaan generasi Y kini amat penting dalam penyampaian dakwah. Dakwah adalah perlu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikan dari ku walaupun satu ayat”. Berdasarkan riwayat Al- Bukhari  ini telah menunjukkan bahawa dakwah adalah penting untuk dilakukan yang mana nabi Muhammad SAW menyuruh untuk berdakwah dan menyampaikan dakwah tersebut melalui pelbagai cara walaupun hanya satu ayat yang digunakan untuk menyeru masyarakat melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sesungguhnya dakwah itu dituntut dalam Islam. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

ANAK adalah anugerah Tuhan sebagai pengikat kasih sayang dan mewarisi keturunan kita. Tetapi berapa ramai yang mampu untuk mendidik anak-anak pemberian Tuhan ini pada jalan yang sebetulnya.

Mungkin anak-anak boleh dijaga, diberi makan minum sekolah dan sebagainya, tetapi mendidik untuk menjadi manusia, bagaimana?

Salah satunya adalah percakapan ibu bapa itu sendiri terhadap anak-anaknya. Ada yang berkomunikasi dengan cara yang baik, ada juga yang berkomunikasi dengan menjerit. Malah perkataan yang tidak sesuai turut digunakan bagi sebilangan ibu bapa.

Realitinya, Islam mengamanahkan ibu bapa untuk mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih suci), maka ibu bapalah yang bertangungjawab sama ada menjadikannya Yahuidi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim).

Menurut Dr. Ming-Te Wang, profesor bidang psikologi pendidikan di University of Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat, memarahi anak dengan suara tengkingan boleh merosakkan keperibadian mereka semasa sedang membesar. Berikut kesan buruk yang boleh berlaku kepada anak.

1. Rasa rendah diri. Apabila ditengking apatah lagi disusuli dengan kata-kata melabel anak dengan perkara negatif akan membuatkan anak rasa rendah diri. Mereka akan menganggap diri mereka sebagai anak yang tidak berharga.

2. Agresif. Semakin kerap ibu bapa menengking dan bercakap kasar dengan anak, semakin tinggi risiko anak mempunyai perilaku agresif dan suka memberontak. Semakin mereka membesar, mereka tidak takut untuk berlaku kasar pada kawan-kawan seperti memukul, menolak dan menggigit.

3. Ketakutan. Anak yang kerap dibebel serta diherdik akan membesar sebagai kanak-kanak yang penakut. Sifat ini akan menyukarkan mereka untuk bersosial dengan kawan-kawan serta mengurangkan kebolehannya menyelesaikan masalah.

4. Sukar beri tumpuan. Kesan jika selalu ditengking akan membuatkan anak boleh mengalami gangguan tumpuan.

5. Cakap kasar. Akibat selalu mendengar orang menengkingnya, jangan terkejut jika anak juga akan pandai menengking orang lain termasuk anda.

Anak kecil ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan anak tersebut mengikut acuan dan kemampuan masing-masing agar corak yang terhasil adalah corak yang terbaik dan paling cantik perlakuannya. Kelakuan mereka memang kadang kala buat kita rasa nak menjerit tapi bila tahu kesan buruknya lebih baik kita simpan tengkingan tersebut dan cuba untuk bercakap lemah lembut dengan mereka. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong tindakan penutupan Taman Negeri Pulau Sembilan di daerah Bagan Datuk Perak oleh kerajaan negeri ini kepada semua aktiviti pelancongan berikutan keindahan alam semulajadinya yang kini terancam akibat aktiviti komersial.
 
Mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai perkara itu di akhbar tempatan hari ini ( Utusan Malaysia : 5 April 2017 ), SAM berpendapat tindakan sedemikian adalah wajar demi melindungi ekosistem dan biodiversiti di kawasan berkenaan dari mengalami kemusnahan.
 
Menurut baginda, perbuatan para pengusaha yang tidak menghormati peraturan dan kawalan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa menyebabkan berlakunya masalah ini. Sultan Nazrin juga menekankan mengenai perancangan pembangunan yang seimbang dengan hubungan manusia dan alam sekitar.
 
Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai 35 batang sungai di negeri Perak yang terdedah kepada pencemaran yang tinggi akibat aktiviti perindustrian,projek pembangunan,pembukaan tanah,perlombongan dan pembalakan. Manakala jumlah pembuangan sisa pepejal di negeri ini juga meningkat 20% pada tahun lalu (2016) berbanding tahun sebelumnya.
 
SAM berharap kerajaan Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan perancangan dengan lebih teliti sebelum membuat keputusan dan melaksanakan sesuatu projek pembangunan agar alam sekitar di negeri ini tidak mengalami kemusnahan.
 
Tinjauan SAM mendapati banyak kawasan di negeri Perak mengalami masalah alam sekitar yang meruncing. Kegiatan pembalakan dan perusahaan projek akuakultur telah mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan dengan begitu serius. Banyak kawasan tadahan air terancam dan kejadian banjir kilat yang berlaku di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan.
 
Di daerah Manjung dan Kerian misalnya beribu hektar hutan paya bakau dimusnahkan sekali gus mengancam hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan tempatan.
 
Justeru SAM meminta pihak kerajaan dan rakyat negeri ini memberi perhatian berat terhadap titah Sultan Nazrin dan harapan baginda agar alam sekitar semulajadi di Perak terpelihara dan selamat dari sebarang bentuk ancaman.
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden SAM

ISTILAH ‘dhuha’ dapat ditemukan di beberapa tempat dalam al-Quran, antaranya dalam surah Thaha:59, AI-A’raf:98, dan An-Nazi’at: 46. Perkataan ‘dhuha’ diertikan sebagai ‘pagi hari’ atau sebagai ‘panas sinar matahari’, di tempat lainnya dalam surah Thaha:119. Istilah dhuha juga mencakupi kedua-dua makna itu sehingga diertikan ‘sinar matahari di pagi hari’ (as-Syams:1). Pada tempat lain (an-Nazi’at :29), kata ‘dhuha’ diertikan sebagai ‘siang yang terang’.

Pada awal surah Ad-Dhuha, Allah berfirman, “Demi waktu dhuha”, Imam Arrazi menerangkan bahawa jika Allah SWT bersumpah dengan setiap sesuatu, itu menunjukkan hal yang agung dan besar kelebihannya. Ini bermaksud dhuha adalah waktu yang sangat penting.

Maka dengan itu, Allah memberi kelebihan kepada umatnya untuk meraikan waktu yang penting itu dengan mendirikan solat sunat dhuha. Waktunya adalah dari naik matahari dan berakhir ketika matahari tergelincir, tetapi sunat diakhirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik atau boleh disimpulkan dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi adalah waktu yg sangat tepat untuk mengerjakan solat sunat dhuha.

Apakah kelebihannya mendirikan solat sunat dhuha?

Pertama, sebagai wasiat dan sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW berwasiat kepada umatnya untuk merutinkan solat sunat dhuha. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata, “Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua, nilaian sedekah bagi seluruh sendi tubuh manusia. Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa ia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda; Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajiban bersedekah atas setiap ruas tersebut. Para sahabat bertanya, Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda, Ludah di dalam masjid yang ia timbun (dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan. Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah. Selain itu, solat dhuha juga adalah sedekah yang setanding dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, berdakwah dan mencegah kemungkaran.”

Ketiga, memperoleh keuntungan (ghanimah) yang besar. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” (Sahih al-Targhib: 666)

Keempat, dibangunkan sebuah rumah di syurga. Bagi golongan yang rajin mengerjakan solat dhuha juga akan dibangunkan sebuah rumah untuknya di dalam syurga. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” (Sahih al-Jami’: 634)

Kelima, mendapat rezeki dengan segera. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Keenam, mendapat pahala umrah. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib: 673)

Ketujuh, mendapat keampunan dosa terdahulu. “Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Oleh itu, sudah jelas akan kelebihan-kelebihan solat sunat dhuha ini dan betapa besarnya ganjaran kepada sesiapa yang menunaikan solat sunat ini, bahkan lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang beristiqamah mengerjakannya. Semoga solat sunat dhuha ini menjadi sebahagian daripada amalan hidup dalam mencari keredhaan Allah SWT.

Kita juga disunatkan mengamalkan doa waktu dhuha seperti di bawah ini.

doa waktu dhuha

Oleh itu, sudah jelas akan kelebihan-kelebihan solat sunat dhuha ini dan betapa besarnya ganjaran kepada sesiapa yang menunaikan solat sunat ini, bahkan lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang beristiqamah mengerjakannya.

Semoga solat sunat dhuha ini menjadi sebahagian daripada amalan hidup dalam mencari keredhaan Allah SWT.– HARAKAHDAILY 5/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

DALAM melakukan sesuatu pekerjaan kita mestilah melaksanakannya dengan  ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab bukan sahaja dari aspek ibadah seperti zikir, solat dan puasa malah ia juga termasuklah kerja-kerja harian sebagai contoh membantu orang yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah lagi (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya”. (az-Zumar: 11) .

Dalam Islam, kita diseru untuk sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan sesuatu perkara kerana keikhlasan yang dilakukan sudah pasti mendapat ganjaran yang hebat di sisi Allah kelak.

Dalam konteks Islam, ikhlas bermaksud melaksanakan sesuatu perkara itu semata-mata kerana Allah dan tidak mengharapkan balasan atau pujian sama ada dari manusia sendiri mahupun Allah SWT.

Perlu dipastikan juga kerja yang dilakukan hendaklah kerja yang berkat iaitu pekerjaan yang tidak melanggar syariat Islam. Keberkatan dan keikhlasan amat berkait rapat dalam melaksanakan sesuatu perkara yang telah diamanahkan. Jika sesuatu tugas yang dilakukan itu ikhlas akan tetapi ianya  datang dari sumber yang tidak dibenarkan syarak mana mungkin kita boleh mendapatkan rezeki yang diredhai oleh Allah?

Jadi usahlah kita berasa riak dan takabur dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana kunci rezeki itu datangnya dari Allah dan Dialah yang pemberi rezeki sejak alam rahim sehinggalah kita kembali kepada-Nya.

Terdapat beberapa perkara yang boleh kita amalkan untuk memperoleh rezeki yang berkat selain mengikhlaskan diri dalam melakukan sesuatu perkara antaranya ialah solat dhuha. Solat dhuha juga disebut sebagai magnet rezeki dan kita perlulah istiqamah dalam melakukannya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat “. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Namun terdapat segelintir orang beranggapaan mengerjakan solat dhuha mampu untuk mendapat  rezeki yang lebih. Jadi kita perlulah perbetulkan niat terlebih dahulu dan bersolatlah kerana Allah dan bukannya bersolat disebabkan untuk mendapatkan sesuatu.

Selain solat dhuha, bersedekah juga merupakan salah satu amalan yang boleh kita lakukan untuk mendapat rahmat dari Allah SWT. Perlu diingat bahawasanya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.

Jadi kita digalakkan supaya sentiasa bersedekah kerana dengan bersedekah mampu menarik rezeki yang melimpah ruah  kepada pemberi sedekah dan insya-Allah pintu rezeki kita akan sentiasa terbuka luas dan yang paling penting adalah niat kita bersedekah adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Untuk mendapat rezeki yang tidak tersekat, kita mestilah terima sesuatu kerja yang diamanahkan dengan hati yang terbuka. Janganlah sesekali kita mengeluh atau merungut seolah-olah kita tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikanNya. Allah tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya.

Jadi secara kesimpulan, kunci rezeki hanya berada di tangan Allah SWT dan Dia akan membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa ikhlas dan bersyukur. Teruskanlah berdoa dan jangan mudah putus asa kerana cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 4/4/2017

Penulis ialah pelajar di Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

PEPATAH melayu ada menyebutkan “seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu : hinggap ke batang, batangnya mati; hinggap ke ranting, rantingnya patah”. Maksudnya orang yang jahat (khianat) apabila berhimpun dengan orang baik-baik, nescaya binasalah orang baik-baik itu.

Begitulah parti PAS ini, sentiasa dipenuhi dengan watak-watak ikhlas yang hanya menawaitukan diri mereka untuk melihat Islam tertegak di atas muka bumi Allah ini. Dalam hati mereka, tiada apa yang lebih patut diperjuangkan melainkan hanya untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Segala wang ringgit, masa dan tenaga disalur semampu mungkin. Hujan itu umpama panas, panas itu umpama hujan, mereka meredah tanpa mengira keadaan. Kekadang hati sayu melihat pengorbanan mereka yang tidak mampu kita ikuti. Siapalah kita.

Nama pun perjuangan Islam, lebih banyak susah dan kalah daripada senang dan menang. Tapi mereka juga manusia. Kalau kalah, mereka sedih, muram malah menangis juga. Apabila menang, mereka syukur, senyum dan kembalikan semula keadaan kepada Allah Maha Berkuasa yang memberi kemenangan.

Kalah atau menang, semuanya dari Allah. Mereka hanya ikut arahan pimpinan. Kalau A kata pimpinan, maka A lah yang mereka buat. Kalau esok pimpinan kata B, mereka tidak bantah. Maka B lah yang mereka laksanakan. Mereka yakin dengan kepimpinan ulama dan ulama tidak akan buat keputusan jika ia melanggar perintah Allah.

Mereka faham perjuangan dalam Islam bukan semudah A, B atau C. Tapi selepas penat lelah berjuang, minum ABC berjemaah lebih menyeronokkan. Penat panjat tangga pasang bendera mereka lupakan. Bimbang anak isteri ditinggal dirumah mereka simpankan. Pendekata pada mata orang ramai, orang PAS sentiasa gembira, walau menang ataupun kalah. Thumbs up untuk mereka.

Namun, dedalu ada dimana-mana. Di cawangan, di kawasan, di negeri malah diperingkat Pusat pun tidak terlepas. Mereka menanti saat sesuai untuk menonjolkan diri. Kononnya mereka bergerak dibelakang tabir. Tidak mahu glamor. Tidak mahu riak. Tapi dalam hati mereka...?

Ya, hanya Allah yang lebih Mengetahui niat masing-masing. Tapi tindakan mereka sentiasa dilihat  khalayak. Mereka seperti bebas, tidak suka diikat. Parti kata X, mereka buat Y. Parti nak Y, mereka buat X. Nampak berbeza tapi tetap bersama. Kerana apa? Kerana aku dedalu.

Sesuai dengan watak dedalu yang menghinggap, tentulah hinggapan mesti kena pada tempatnya. Kalau pokok sakit yang dihinggap, alamat sakit la dia. Sudah tentu pokok sihat, tegap dan subur menjadi sasaran. Tak gitu?

Kita ada mata, kita melihat. Mereka ada duit, mereka mengikat. Kalau tiada kepentingan, janganlah cuba-cuba diri nak diikat, kelak umpama hampas tebu dibuang merata, disepak sana sini. Ditanya pula soalan nakal, kenapa nak mengikat? Dah tentu lah hasil belakang hari yang akan diutamakan. Banyak pelaburan, banyaklah pulangan !!!

Nak memudahkan kerja, dicatur itu dan ini dan begitu dan begini. Kelak pelaburan yang dijana bakal berhasil. Penentang diketepikan seboleh-bolehnya. Jangan jadi pelambat kerja. Kerja kena pantas, cekap dan berwawasan.

Pengikhlas-pengikhlas parti, mereka melihat. Mereka ada telinga mereka dengar. Semuanya kawan-kawan mereka dahulu. Sama-sama bertepuk tampar. Tapi sekarang, kawan nampak dekat tapi sebenarnya jauh nak dicapai.

Apa yang dedalu nak? Tidak cukupkah apa yang mereka ada. Mengapa kawan-kawan kami dijadikan mangsa. Mereka kawan kami, jangan kata kami tidak sedih. Mereka sebantal dengan kami, jangan kata kami cemburu. Tidak sama sekali.

Kami hanya petugas parti yang melaksana setiap arahan pimpinan. Kami tiada jawatan, tiada pangkat, harta jauh sekali. Mampu kami buat, kami laksana. Tidak mampu kami buat, hanya doa keselamatan dan kesejahteraan kami titipkan. Kami tiada niat apa-apa. Hanya kerana Islam.

Petugas parti, hati-hati lah. Di kala kita kalah dan di bawah, kita bersatu bersama-sama. Tapi bila Allah kurniakan sedikit nikmat kemenangan, pasti ada dedalu yang akan menghinggap. Mereka menghisap sehingga kering. Pokok jadi layu, kering dan mati. Hati-hatilah kawan-kawanku. – HARAKAHDAILY 27/3/2017

PERKATAAN ini jarang didengar dalam kalangan masyarakat terutama rakyat Malaysia. Menurut Lauren Sang, seorang  pengkaji budaya Jepun dan Korea, beliau mengatakan Weeaboo ialah seorang yang sangat obsess dan fanatik terhadap negara terutama budayanya. Golongan ini belajar budaya atau percakapannya melalui animasi Jepun atau dikenali sebagai anime. Weeaboo juga dikenali sebagai Wapanese. Singkatan bagi Wapanese ialah “wanna be Japanese”.

Menurut Nicholas Gurewitch dalam forum Known Your Meme, 2012, Gurewitch n.d.) Wapanese ialah seseorang yang bertingkah laku seperti  tinggal di Jepun, walaupun mereka bukan berasal dari warganegara Jepun dan juga mereka berharap terlahir dan hidup di Jepun. Weeaboo dianggap sebagai perkara yang negatif kerana mereka tidak menghargai budaya sendiri malah lebih kepada budaya Jepun.

6 CIRI-CIRI WEEABOO
1.Menukar nama asal kepada nama Jepun

Secara umumnya, para weeaboo selalunya mengubah nama asal kepada nama Jepun ataupun meletakkan nama mengikut watak-watak animasi Jepun yang disukainya. Contohnya, Kirigaya Hafiz atau Daniel Lamperouge. Nama-nama ini boleh dijumpai khususnya di laman sosial seperti Facebook, We-chat dan Whatsapp.

2.Mengguna gambar anime sebagai gambar profil sosial media

Daripada pengalaman saya sendiri, ini juga merupakan salah satu ciri-ciri Weeaboo. Kebanyakkan golongan weeaboo ini menggunakan gambar watak kegemaran anime, tokoh, cosplay atau artis Jepun sebagai gambar profil dalam media sosial.

3.Menghafal segala tajuk, siri dan watak anime

Kebanyakkan golongan ini menghafal segala tajuk, siri dan watak-watak yang terdapat dalam filem anime tersebut. Di samping itu, filem anime tersebut mempunyai watak dan jalan cerita yang boleh menarik minat para penonton. Tambahan pula, perwatakan penonton itu boleh berubah dengan  meniru gaya-gaya watak anime yang digemari olehnya. Antara filem-filem anime yang paling terkenal ialah Naruto Shippuden, One piece, Fairy Tail dan Dragon Ball. Daripada pengalaman saya sendiri, empat external hardisk telah saya beli dan di dalamnya penuh dengan semua filem dan siri anime.

4.Muat turun lagu Jepun

Bagi Weeaboo yang mempunyai hobi muzik, kebiasaannya mereka akan mendengar dan memuat turun lagu Jepun yang digemari oleh mereka. Oleh itu, mereka tidak mempunyai rasa minat terhadap lagu daripada negara sendiri.

5.Mengumpul koleksi atau cenderamata anime
Bagi yang perminat tegar terhadap filem animasi Jepun, mereka sanggup berkorban masa dan duit demi mencapai dan memenuhi kehendak mereka terhadap  koleksi barang tersebut. Barang-barang ini terdapat dalam pelbagai bentuk antaranya seperti pakaian cosplayer, poster, permainan video dan sebagainya. Selalunya, peminat ini akan membeli secara online atau pergi ke sesuatu tempat atau festival yang mengadakan jualan  barang-barang anime.

Terdapat satu festival yang dipanggil iaitu Anime Festival Asia atau AFA telah dilaksanakan pada tahun 2016 bertempat di Suntec International Convention and Exhibition Centre Singapore. Pada tahun itu pihak AFA telah mencatatkan sebanyak 94,270 pengunjung yang hadir pada festival tersebut. Terdapat satu halaman hiburan iaitu OTAKUNDES telah melaporkan 10 negara yang sangat gemar dengan Anime. Antaranya ialah Jepun, Filipina, Indonesia, Malaysia, Arab Saudi, Peru, Chile, Bolivia, Republic of El Salvador dan Mexico.

6.Mengutamakan barangan Jepun
Salah satu daripada ciri-ciri ini ialah mereka yang sangat obses dengan negara Jepun. Contohnya dalam aspek perniagaan, mereka hanya membeli produk atau barang yang diimport daripada Jepun dan berasa bangga apabila mereka dapat memilikinya. Produk atau barang-barang yang diimport selain daripada  negara Jepun dianggap kurang memuaskan bagi mereka.

Apakah Reaksi Orang Jepun terhadap Weeaboo
Terdapat satu video yang menarik dimuatkan oleh Yuta Aoki, seorang pengarang, blogger dan YouTuber dari Jepun. Beliau menemubual bersama orang Jepun di sana dan mendapati hasil yang positif. Hal ini disebabkan , mereka tidak mempunyai masalah dengan golongan weeaboo sama sekali. Malah, mereka berasa sangat kagum kerana orang-orang luar mempunyai rasa minat yang mendalam terhadap budaya Jepun.

Kesimpulanya, tidak menjadi kesalahan  jika ingin menonton anime, belajar bahasa atau budaya Jepun, tetapi kita  jangan sesekali “taksub” atau terlalu fanatik sehingga melanggar syariat yang digariskan dalam Islam. Dalam Islam kita dilarang meniru budaya jahiliyyah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya kalian akan mengikuti kebiasaan umat-umat sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sedepa demi sedepa, sehingga seandainya mereka masuk lubang Dhab (sejenis kadal)  nescaya akan kalian ikuti, para sahabat bertanya, “Ya Rasullah (maksudmu) orang-orang Yahudi dan Nasrani?” (jawab Rasullah), “Siapa lagi.”(HR. Bukhari & Muslim)

Seperti yang kita dapat lihat ramai masyarakat kita sudah meningalkan adat kebudayaan Melayu dan agama Islam. Oleh hal yang demikian elemen-elemen barat dan Jepun mudah mempengaruhi masyarakat Melayu. – HARAKAHDAILY 24/3/2017