Setiap tokoh mempunyai sifat ketokohannya yang tersendiri. Jika ditanya mengenai tokoh Islam dalam bidang ilmu matematik, sudah pasti tidak lain dan tidak bukan beliau ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi atau lebih dikenali sebagai Al-Khawarizmi.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff.  Di barat, Al-Khawarizmi dikenali dengan beberapa cara ejaan lagi, antaranya al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi, al-Karismi, al-Goritmi, dan al-Gorismi.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 780 Masihi di Bukhara, Uzbekhistan. Yang mana merupakan salah satu kota tertua di Asia Tengah.

Penglibatan beliau dalam bidang pendidikan telah membuktikan bahawa Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas. Pengetahuan dan kemahiran beliau bukan sahaja meliputi bidang syariat tetapi juga dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Oleh itu, beliau sememangnya seorang pakar ilmu yang dikagumi dan dihormati orang ramai.

Al-Khawarizmi merupakan seorang guru aljabar di Eropah.  Beliau telah menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

Dalam usia muda, beliau bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, iaitu bekerja di Bayt al-Hikmah di Baghdad.

Beliau bekerja dalam sebuah observatory iaitu tempat menekuni belajar matematik dan  astronomi.  Al-Khawarizmi juga dipercayai memimpin perpustakaan khalifah.  Beliau pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.  Beliau juga merupakan seorang penulis Ensiklopedia Pelbagai Disiplin.

Ketokohan al-Khawarizmi dapat dilihat dari dua sudut iaitu dari bidang matematik dan astronomi.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi telah memperkenalkan aljabar dan ilmu hisab. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah ‘Mafatih al-Ulum’.  Sistem nombor adalah salah satu sumbangan dari beliau dan telah digunakan pada zaman tamadun Islam.

Banyak lagi kaedah yang telah diperkenalkan oleh beliau dalam setiap karya yang dihasilkan.  Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segitiga sama juga segitiga sama kaki dan mengira luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri.  Masalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.  Banyak lagi konsep dalam matematik yang telah diperkenalkan al-khawarizmi sendiri.

Selain itu, bidang astronomi juga membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam.  Astronomi dapat ditakrifkan sebagai ilmu falaq iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad.  Ini disebabkan oleh kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada penggunaan aritmetik dan geometri sahaja.

Di samping itu, Al-Khawarizmi juga banyak menghasilkan karya-karya beliau yang tersendiri. Antaranya ialah, Al-Jabr wa’l Muqabalah, Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah, dan juga Sistem Nombor.

Bukan itu sahaja, malah banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan juga menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang.

Sebagai seorang pelajar, menguasai kemahiran dan ilmu pengetahuan secara konsisten amat penting agar ilmu itu dapat diaplikasikan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, mahasiswa pada hari ini seharusnya menjadikan Al-Khawarizmi sebagai ikon dan idola dalam diri pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai cabang-cabang ilmu hisab yang telah diperkenalkan oleh Al-Khawarizmi pada zaman dahulu seperti geometri, algebra, aritmetik dan sebagainya.

Selain itu, sebagai seorang mahasiswa yang berwawasan tinggi, ciri-ciri akhlak mulia juga hendaklah disemaikan kedalam ilmu matematik dan juga ia perlu dimasukkan kedalam ilmu-ilmu Islam yang lain. Sebagai contoh, antara akhlak yang terdapat dalam bidang matematik ini adalah penemuan aljabar yang mana melambangkan keadilan. Hal ini kerana, sifat keadilan sangat dituntut dalam agama Islam. Oleh itu, melalui asas pradigma tauhid dan sya’iyah, dapat memperkukuhkan lagi pembinaan akhlak seseorang.

Di samping memiliki akhlak yang mulia, mahasiswa juga haruslah menanam semangat yang tinggi dalam mempelajari sesuatu ilmu dan tidak mudah berputus asa untuk mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh, kesungguhan Al-Khawarizmi dalam mempelajari sesuatu ilmu telah dibuktikan oleh beliau sendiri melalui hasil-hasil karyanya yang terdahulu. Buktinya, hasil-hasil karya beliau masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

Seperti mana yang kita ketahui, beliau juga bukan hanya mahir dalam satu ilmu, bahkan mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu falsafah, muzik, kejuruteraan, falak, dan sebagainya. Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut, bukanlah hanya dipetik dengan jari bahkan memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi sehingga menjadikan beliau di antara tokoh-tokoh Islam yang berpengaruh dan terkenal pada zaman usianya yang muda.

Oleh itu, dalam menuntut ilmu sebagai seorang pelajar, mahasiswa perlulah bijak dalam mengendali dan mengatur aktiviti hariannya supaya tidak lupa akan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Kesibukan mempelajari ilmu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meninggalkan amalan-amalan wajib seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebagai contoh, sekalipun Al-Khawarizmi sentiasa sibuk mengkaji dan mempelajari ilmu-ilmu baru, tidak menjadikan beliau lupa kepada tuntutan yang wajib dalam Islam. Beliau bukan hanya dikenali sebagai tokoh yang mahir dalam pelbagai ilmu, bahkan beliau juga dikenali sebagai tokoh yang alim dan kuat dalam amal ibadah. Ini bermakna Al-Khawarizmi berjaya mengatur kehidupannya dengan baik dan berjaya mengimbangkan aktiviti hariannya antara dunia dan juga akhirat.


Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.  Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”. (Riwayat Muslim)

Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal. Dengan bersedekah kita akan terhindar dari api neraka dan sekali gus mampu membukakan pintu rezeki. Seperti yang sering kita dengar bahawa dengan bersedekah kita tidak akan menjadi miskin malah rezeki akan dilipatgandakan sebanyak 700 kali ganda.

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji,. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

Sedekah adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Ia juga adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap redha Allah S.W.T dan pahala semata. Di dalam Al Quran, banyak ayat yang menyuruh kaum muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah.

Firman Allah S.W.T (maksudnya):  “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. (An Nisaa: 114)

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara. Setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya.

Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam sememangnya akan mendapat ganjaran pahala yang besar namun pahala sedekah akan lenyap apabila si pemberi selalu mengungkit-ungkit dengan sedekah yang telah diberikan atau menyakiti hati si penerima. Hal ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima”. (Al Baqarah: 264)

Sedekah merupakan sunnah Rasulullaah SAW dan hukumnya adalah sama dengan infak. Namun begitu, sedekah dan infak mempunyai perbezaan dari segi barangan yang dikeluarkan. Ini kerana sedekah tidak terbatas kepada harta semata-mata sedangkan infak berkaitan dengan harta.

Terdapat beberapa kelebihan bersedekah yang akan dirasakan pada orang yang melakukannya. Antaranya ialah:

1. Memperkuat keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
Jika kita bersedekah dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya. Dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi kerana-Nya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

2. Bertambah rezeki dan mendapat keberkatan
Allah akan memberi dan menggantikannya dengan hal yang lebih baik jika kita memberi kepada orang lain. Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita. Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga dan kesenangan dalam apa jua urusan. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.

3. Memberi ketenangan hati dan kebahagiaan
Sebagai umat Islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Bahkan, dengan membelanjakan harta kearah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.

4. Melatih berfikiran positif dan adil
Golongan yang gemar bersedekah adalah mereka yang memiliki sikap adil dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran (mencuri). Dengan melakukan amalan sedekah akan mengingatkan kepada kita mengenai kewajiban dalam aspek sosial iaitu bersikap adil kepada mereka yang memerlukan bantuan.

5. Melahirkan rasa syukur
Rasa syukur adalah apabila kita berterima kasih kepada Allah dengan apa yang kita terima. Lalu, dengan bersedekah adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT atas semua kurniaan dan pemberiannya. Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini itu adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT? Jadi, jika kita ini hamba yang bersyukur, maka memberilah tanpa berkira-kira.

Justeru, marilah sama-sama kita mengamalkan amalan bersedekah kerana dengan bersedekah akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Contoh terbaik dalam bersedekah adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda sering kali memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar. Rasulullah sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit saja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Bahkan pakaian Baginda sendiri dari bahan kasar dan berharga paling murah. - HARAKAHDAILY 23/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

ORANG yang berhutang tidak diampunkan dosanya oleh Allah. Islam menitikberatkan dalam soal memberi, menerima dan membayar hutang kerana ia berhubung kait dengan hubungan sesama manusia ketika di dunia dan di akhirat kelak.  

Firman Allah bermaksud: "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Jika kita lihat hari ini, pemberi hutang pula yang segan untuk mengingati si penghutang daripada membayar hutangnya.

Pada waktu yang sama, Islam menggalakkan umatnya untuk membantu dan memberi pertolongan sesama mereka apabila dalam kesusahan, dari segi pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang untuk meringankan beban mereka yang sedang dihadapi, terutama dalam memenuhi keperluan asasi hidup.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." (Surah al-Hadid, ayat 18)

Bagaimana boleh terjadinya amalan berhutang ini?

Antara faktor yang menyebabkan terjadinya sikap berhutang itu adalah yang pertama, cuba memenuhi kehendak hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu dimiliki.

Kedua, sikap rasa tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki sehingga sanggup meminjam duit dengan orang lain demi mendapatkannya.

Ketiga, kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan, mungkin menggalakan mereka untuk berhutang.  
 
Dalam situasi sebegini, jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah yang melibatkan keperluan asasi seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pelajaran maka islam membenarkan meminjam dari orang lain. Sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya."

Kesan kepada orang yang berhutang sangatlah besar jika tidak diambil serius akan kesannya.  
 
Seseoarang yang berhutang itu tidak akan berasa tenang selagi mana hutangnya tidak dilangsaikan. Sikap suka berhutang akan menjadi satu tabiat yang akan sentiasa dilakukan sehingga susah untuk tinggalkan perangai tersebut.
 
Seseorang yang terbeban dengan hutang dan sikap tersebut mungkin akan mendorong beliau untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak seperti mencuri bagi melunaskan hutang tersebut.
 
Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya yang bermaksud: "Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.

Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat dan itulah yang paling kita takutkan jika kita berhutang dan tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Berhutang memang dibolehkan, namun menghindarinya adalah lebih baik. Setiap rezeki sudah diaturkan oleh Allah SWT. Hanya tinggal bagaimana kita menjemput rezeki tersebut agar memperolehinya dengan cara yang halal.

Justeru, marilah kita sama-sama menjauhkan diri kita dari sifat berhutang dan mengamalkan sifat yang terpuji dalam kehidupan seharian kita supaya kita tidak cenderung ke arah keburukan.

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

TIDAK dinafikan bahawa semua orang suka akan keindahan dan kecantikan serta ingin mempunyai kesihatan yang baik. Justeru mereka sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan kecantikan dan kesihatan yang diinginkan sehingga sanggup mengambil suplemen yang dijual di pasaran tanpa mengira resiko yang bakal dihadapi.

Di pasaran kini, terdapat banyak produk kecantikan (kosmetik) dan kesihatan (suplemen) telah dipasarkan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Pengguna disajikan dengan pelbagai jenis testimoni yang kononnya berjaya daripada pihak penjual. Namun tahukah anda bahawa testimoni yang dipaparkan itu boleh direka? Ini kerana ada sesetengah penjual atau pengedar yang tidak bertanggungjawab menipu pembeli atau pengguna dengan memberikan testimoni palsu.

Produk Kecantikan (Kosmetik)
Produk kecantikan yang mempunyai bahan terlarang seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin untuk mencerahkan kulit sememangnya memberi kesan pemutihan yang cepat tetapi mempunyai kesan sampingan dalam masa jangka pendek dan panjang.

Produk kecantikan yang mengandungi merkuri biasanya terkandung dalam krim siang yang dioleskan pada kulit dapat meresap melalui aliran darah. Antara kesan jangka pendek penggunaan produk yang mengandungi merkuri dalam produk pemutihan kulit termasuklah iritasi kulit, mual dan muntah manakala kesan jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, Alzheimer, Parkinson dan gangguan perkembangan janin.

Produk Kesihatan (Suplemen)
Sesetengah pesakit sanggup mengambil apa sahaja suplemen tambahan untuk menyembuhkan atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami tanpa mengetahui kemungkinan kesan buruk yang bakal mereka hadapi.

Hal ini kerana sesetengah produk kesihatan yang berada di pasaran mengandungi bahan terlarang seperti dexamethasone iaitu sejenis steroid. Antara kesan buruk pengambilan steroid dalam jangka masa yang panjang serta tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit darah tinggi dan diabetes bertambah buruk. Antara kesan lain termasuklah menyebabkan kegagalan buah pinggang, tulang rapuh, mudah dijangkiti kuman dan sebagainya.

Dalam rencana ini, saya sertakan beberapa tips sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk. Antaranya:

1.Ikut saranan doktor
Bagi pengguna yang mempunyai penyakit yang berbahaya seperti sakit buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan seumpanya mestilah ikut saranan doktor dengan mengambil ubat-ubatan yang telah dibekalkan mengikut dos yang telah ditetapkan.

Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah penjual yang kononnya produk mereka mampu menyembuhkan penyakit yang anda hadapi kerana kemungkinan produk tersebut akan memburukkan lagi tahap kesihatan anda sehingga boleh membawa maut.
Ini kerana terdapat banyak kes yang telah dilaporkan oleh media tentang kematian pesakit kerana meninggalkan ubat-ubatan yang dibekalkan kerana terpengaruh dengan testimoni dan kebanyakan mangsa penipuan terdiri daripada golongan tua.

2.Pastikan mendapat kelulusan daripada KKM
Langkah ini untuk memastikan produk yang diambil bebas daripada bahan terlarang. Walaupun produk yang berdaftar dibawah KKM belum tentu 100% selamat tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan risiko kesihatan terdedah kepada bahaya.

3.Dapatkan nasihat pakar
Pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar yang bertauliah terlebih dahulu mengenai sesuatu produk untuk mengetahui maksud dan fungsi serta keperluannya yang sebenar.
Hal ini kerana setiap badan manusia berbeza keperluannya. Contohnya orang yang alergik dan tidak terhadap sesuatu akan berbeza cara pemakaian dan pemakanannya.

4.Baca apakah kandungan dan dos bahan
Perhatikan kandungan dan dos bahan yang digunakan. Jika terdapat bahan-bahan terlarang di dalamnya, hindari daripada membelinya meskipun produk tersebut menarik dan menjanjikan hasil yang memuaskan.

Jangan terlalu obses dengan kecantikan sehingga memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding dengan kecantikan fizikal yang tidak kekal. Apabila rohani cantik, automatik kecantikan fizikal pun akan terselah. Jadi, berhati-hatilah dalam memilih produk kecantikan dan kesihatan yang berlambak di pasaran. Pengeluar dan penjual tidak akan peduli jika produk mereka memberi kesan buruk kepada pengguna asalkan mereka dapat keuntungan yang diinginkan.

Pihak KKM menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin-Jumaat, 8 pagi-5petang) untuk orang awam bertanyakan apa sahaja berkaitan produk-produk di pasaran.

Melalui atas talian, pegawai farmasi yang bertauliah dan berpengalaman akan menjawab persoalan anda dengan memberikan informasi yang betul dan tepat. Maka gunakanlah perkhidmatan yang ditawarkan bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada penjual produk yang rakus mencari keuntungan semata-mata tanpa pedulikan kesan terhadap pengguna.

Tindakan yang tegas harus diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk mengatasi permasalahan pengeluaran produk yang merbahaya.

Sebarang aduan tentang penjualan produk yang mengandungi bahan terlarang boleh dibuat menerusi Sisitem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di laman sesawang berikut: http:// moh.spab.gov.my/ eApps/system/index.do. Aduan anda mungkin boleh menyelamatkan orang ramai daripada menjadi mangsa. Anda mampu mengubahnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah:195). - HARAKAHDAILY 21/4/2017

Penulis ialah peljar Universiti Sains Islam Malaysia

DI Malaysia kini boleh di lihat bagaiamana meningkat bilangan pelajar melanjutkan pelajaran ke IPT. Ini merupakan satu petanda baik bagi Malaysia kerana lebih ramai golongan intelektual dapat di lahirkan.

Walau bagiamanapun realitinya bukan seindah yang dikhabarkan bagi golongan Mahasiswa. Peningkatan bilangan mahasiwa dan graduan telah banyak meningkatkan persaingan tertuama kepada lepasan IPT.

Ketika memasuki IPT, persaingan telah berkurang iaitu hanya mereka yang ingin sambung pelajaran di IPT tempatan sahaja menjadi pesaing. Mereka yang ingin sambung ke luar negara dan mengambil sijil latihan sahaja telah dapat di singgkirkan awal. Walau bagaimanapun, lepasan IPT melihat bukan sahaja pelajar dari dalam Malaysia malah yang melanjutkan pengajian di luar negara pulang bagi menyumbangkan bakti kepada negara.

Mengambil peluang untuk bekerja ketika belajar dapat membawa pelbagai faedah bagi golongan mahasiswa. Pengalaman bekerja ketika belajar merupakan satu ilmu yang penting. Pelbagai kemahiran dapat dipelajari oleh golongan mahasiswa. Walaupun mendapat pekerjaan bukan dalam bidang pengajian tetapi mahasiwa dapat mempelajari bagaimana sesebuah organisasi itu berfungsi, bagaimana untuk berinteraksi bersama rakan sekerja sama ada sejawatan mahupun lebih tinggi. Kemahiran ini sangat penting dan jarang dipelajari di dalam kuliah kecuali bahagian teori. Ini dapat menjadi satu kelebihan bagi Mahasiswa tempatan dalam merebut peluang pekerjaan.

Mahasiswa juga dalam masa yang sama dapat menambah pendapatan pada saat kini biasiswa dan bantuan kewangan kurang diberikan. Wang yang dikumpul mungkin tidak sebanyak untuk membanyar yuran pengajian tetapi mencukupi untuk dibelanjakan untuk perbelanjaan seharian. Kenaikkan harga barang tidak dapat dinafikan dan pendapatan sampingan sangat penting untuk memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian.

Di samping itu, ia juga dapat membantu mengurangkan beban keluarga daripada menanggung mahasiswa. Ramai mungkin tidak sedar bahawa ibu bapa juga mungkin menghadapi kesempitan wang dengan kenaikan harga barang. Mencari kerja pada saat umur sudah sah di sisi undang-undang untuk bekerja sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang perlu dihadapi.

Walaupun bekerja boleh dilihat sebagia solusi dengan kenaikan harga barang, pelaksanaanya bukan lah sesenang dikatakan. Mahasiswa perlu ingat untuk berkerja bukan untuk kumpul duit dengan banyak sahaja. Tanggungjawab utama mahasiswa adalah untuk belajar untuk mendapat segulung Diploma dan Ijazah. Jika terlalu sukar untuk seimbangkan antara pelajaran dan beban kerja, berikan tumpuan utama pada pengajian dahulu dan ketepikan sebentar kerja.

Jangan berbelanja kesemua wang diperoleh. Simpan sebahagian untuk kecemasan. Jika boleh, laburkan di dalam Amanah Saham seperti ASB. Jangan terlalu ghairah dengan wang yang diperoleh kerana masa depan masih tidak menentu. Jika berlaku apa-apa kecemasan, ada simpanan yang dapat digunakan. Perlaburan yang dilakukan dapat digunakan ketika menamatkan pengajian di IPT dan memasuki alam pekerjaan yang sebenar.

Walau bagaimanapun semangat seseorang pelajar dalam mencari kerja, sokogan daripada pihak industri sangat diperlukan. Perniagaan perlu lebih terbuka dan mengambil pelajar sebagai pekerja bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka. Persatuan dan NGO juga perlu mula berikan sedikit imbuhan kepada pelajar yang telah membantu untuk merealisasikan objektif mereka. Sokongan daripada NGO dan perniagaan ini bukan sahaja dapat mengerakkan ekonomi negara malah membantu Mahasiswa mendapat sedikit bantuan kewangan dan kemahiran. – HARAKAHDAILY 20/4/2017

Pelajar ialah pelajar tahun akhir Bachelor Of Business Management, University Of Queensland, Australia

PERKAHWINAN bukanlah seindah dongeng Cinderella seperti yang diimpikan oleh setiap insan. Dan ia juga bukanlah dongeng duyung yang berakhir dengan kesepian. Perkahwinan ialah penyatuan jiwa dan telolet kebahagian untuk insan yang berjiwa ikhlas dalam menerima.

Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Perkahwinan pada usia muda sudah menjadi kebiasaan di negara kita. Perkahwinan pada usia muda banyak berlaku di kalangan orang Melayu sendiri berbanding dua etnik utama yang lain di negara ini. Agak menyedihkan apabila kajian yang sama mendapati keadaan itu wujud kerana pasangan dibelenggu nafsu semata mata.

Persoalannya, adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau dalam umur belasan tahun masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga? Adakah mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga, suami dan isteri serta sebagai ibu bapa setelah dikurniakan cahaya mata?

Kurangnya ilmu pengurusan rumah tangga juga menjadikan perceraian di kalangan kaum Melayu lebih tinggi berbanding kaum lain di negara ini. Perkahwinan adalah sesuatu yang indah. Ibarat syurga di dunia jika bijak melayarinya. Tetapi ada yang kekal dalam perkahwinan dan ada yang bercerai. Malah yang paling mengejutkan ada yang baru berkahwin juga sudah bercerai. Apabila berlaku perkahwinan singkat atau berkahwin untuk beberapa hari, maka ramai yang menuding jari ke arah mereka yang berkahwin di usia muda. Ini kerana pada mereka golongan yang berkahwin pada usia muda tiada ilmu rumah tangga, tidak mempunyai kewangan yang kukuh, tidak sabar dan seumpanya. Bila bertengkar pasti bercerai. Benarkah situasi ini berlaku kepada semua pasangan yang berkahwin pada usia muda?
 
Terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith Rasulullah SAW yang menerangkan tentang galakan dan suruhan Islam berhubung perkahwinan terhadap umatnya dengan menggariskan syarat-syarat yang teratur dalam menegakkan konsep perkahwinan Islam secara syumul, universal dan berhikmah. Antaranya, Firman Allah SWT dalam surah an nur ayat 32.

Ayat tersebut jelas menerangkan tentang  galakan berkahwin ke atas umat Islam. Ia menjelaskan juga bahawa kemiskinan bukanlah penghalang untuk berkahwin kerana keperluan kepada pasangan hidup adalah perlu selama mana keadaan jasmani seseorang itu berkemampuan..
    
Namun yang menjadi persoalan sekarang, masyarakat memandang serong dan ambil mudah dengan perkahwinan di usia muda. Ada yang mengatakan kahwin muda kerana menutup aib atas dasar keterlanjuran. Kita sepatutnya mengubah perspektif atau pandangan masyarakat yang serong terhadap perkahwinan di usia muda.

Sebenarnya mengikut anjuran Islam perkahwinan ini sangat mudah. Cuba kita nilai situasi berikut, seorang pemuda datang berjumpa dengan ayah si perempuan lalu menyatakan hasratnya untuk menjadikan si perempuan itu isterinya. Lalu ayah perempuan itu bertanya berapa yang kamu ada sekarang? Lalu dijawab oleh  pemuda itu saya ada RM100. Pak cik itu menjawab, baik simpan untuk maharnya, walimahnya sederhana sahaja, cukuplah sekadar meraikan hari bahagia dan hebahkan pada orang ramai. Subhanallah! senangnya ingin mendirikan masjid. Itulah sebenarnya anjuran Islam.
    
Dalam bab munakahat ini, Islam tidak meletakkan syarat yang membebankan umatnya. Apa yang penting adalah sunnah nikah itu, dan diri terpelihara daripada perkara yang merosakkan. Sekarang bagaimana situasinya? Nilailah situasi sekarang jika ingin mendirikan rumah tangga. Nilailah hantaran yang diminta kini, dengan dulang-dulang sebagai hantaran sedangkan pada agama cukup pada kemampuan membayar mas kahwin.

Mas kahwin itu ialah hadiah untuk wanita bukanlah syarat beg tangan beratus ratus pada harga serta perhiasan dan alat solek yang berjenama sebagai hadiah dalam kesempurnaan perkahwinan. Memang pada hakikatnya bukan semua ibu bapa beranggapan seperti itu. Alhamdulillah bagi ibu bapa yang menitikberatkan nilai sebuah perkahwinan ini sebagai asas agama, dengan tidak membebankan pasangan yang ingin berkahwin.

Sesungguhnya barakah itu pada mahar yang murah. Saya membuat penilaian tentang pemikiran kebanyakan orang tentang perkahwinan di usia muda, ramai yang mengatakan perkahwinan ini atas dasar nafsu semata mata. Betapa negatifnya fikiran sebegini sedangkan perkahwinan itu satu tuntutan dalam agama. Kebanyakkan ibu bapa akan berkata begitu pada anak anak mereka, tetapi andai mereka berada di tempat anak-anak, dengan persekitaran yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah maksiat, nescaya mereka ini pasti akan ada keinginan untuk berkahwin di usia muda.

Melalui sistem perkahwinan, ia akan meningkatkan rasa tanggungjawab dan berusaha di kalangan kaum lelaki dan wanita. Sebagai contoh kaum lelaki akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka bagi tujuan memenuhi hak-hak orang yang berada dibawah tanggungan dan jagaannya.

Selain itu, seseorang yang berkahwin dapat bermujahadah dan melatih dirinya dengan menjalankan pentadbiran dan pengurusan, menjaga dan menjalankan tanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Islam menggalakkan perkahwinan dan menyeru supaya berkahwin dengan penuh keimanan kepada Allah. Ini kerana selalunya perkahwinan itu sendiri akan memperbaiki keadaan yang sulit. Melalui perkahwinan, si suami akan bekerja bersungguh-sungguh memperbaiki kedudukan ekonomi, menghadapi cabaran dan tanggungjawab secara lebih telus dan si isteri pula membantu memelihara perbelanjaan keluarga.

Pada hakikatnya tiada masalah yang akan wujud sekiranya semua pasangan melakukan tanggungjawab masing masing dengan baik. Realitinya ibu bapa takut untuk mengahwinkan anak di usia muda kerana bimbang akan keadaan anak dari segi keperluan asas serta perbelanjaan masa hadapan. Saya ulaskan dengan lebih mendalam tentang masalah ini, Adakah apabila sah bergelar suami isteri maka bantuan memenuhi keperluan daripada ibu bapa itu tidak boleh diterima oleh anak anak? Tidak salah bukan?

Malah anak anak juga dengan kudrat mereka mampu bekerja bagi menampung keperluan hidup mereka walaupun bersederhana. Dalam mengharungi rumah tangga mereka di usia yang masih muda dan dalam status sebagai pelajar lagi, maka ibu bapa juga merupakan tempat dan perangsang bagi pasangan ini untuk menempuh hari-hari sebagai suami dan isteri.
     
Rumahtangga Islam dibina adalah berpaksikan ikatan perhubungan jiwa dan emosi yang suci serta luhur dan  tidak berpura-pura. Rumahtangga yang dibina hendaklah berasaskan ketaqwaan, pasangan suami isteri yang saling menghormati dan melindungi antara satu sama lain. Begitu juga pergaulan yang baik di antara suami isteri seterusnya akan melahirkan rasa tanggungjawab dan kebersamaan di dalam mengendalikan sesebuah rumahtangga. Perkahwinan menambahkan lagi kekuatan rohani, khusyuk dalam beribadah serta pengabadian diri kepada Allah SWT. Menerusi perkahwinan dapat mententeramkan perasaan berahi yang membara dalam jiwa manusia. Begitu juga dapat mendamaikan kerunsingan-kerunsingan jiwa kerana segala permasalahan hidup dapat dikongsi bersama dengan pasangan masing-masing. Sabda Rasulullah SAW:

           مُتَأَھِّلِ غَیرِ مِنْ رَكْعَةً سَبْعِینَ مِنْ خَیرٌ  مُتَأَھِّلِ   مِنْ  رَكْعَتَانِ

Maksudnya: "Dua rakaat sembahyang dari orang yang telah berumah tangga lebih baik daripada sembahyang orang yang masih belum berumahtangga."
     
Pemilihan pasangan pada hakikatnya boleh menjadi salah satu pencetus masalah keruntuhan rumahtangga sekiranya ia tidak difahami dan tidak dilakukan dengan betul. Aspek tersebut dianggap penting dalam mewujudkan keserasian dan persefahaman setelah akad nikah dimeterai. Oleh sebab yang demikian, maka matlamat dalam pemilihan pasangan perlu difahami dengan tepat agar tidak mendatangkan mudarat kepada perkahwinan yang telah dimeterai, sama ada masyarakat menyokong atau menentang tentang isu kahwin muda ini. Apa yang perlu difahami adalah bahawa setiap individu mempunyai pandangan dan prinsip masing masing.

Kesimpulanya , berkahwin pada usia muda adalah terpuji. Namun pastikan kamu cukup bersedia untuk menempuh alam rumah tangga ini pada usia muda. Dapatkan restu kedua belah pihak dan kecapilah keindahan rumah tangga sebaik baiknya. – HARAKAHDAILY 19/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Islam Sains Malaysia
      

MUNGKIN di antara kita, telah mengenali Islam selama 20 tahun, 30 tahun atau bahkan 80 tahun. Alangkah beruntungnya manusia jika dilahirkan dalam keluarga Islam. Ini kerana Islam adalah nikmat yang paling besar diantara nikmat-nikmat lain dan merupakan agama pilihan Allah bagi kita. Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 132 yang bermaksud: "Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaacob. (Ibrahim berkata): Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi kalian, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam". Lihat, betapa bertuahnya kita apabila menjadi insan terpilih oleh Tuhan sekelian alam untuk merasai nikmat ini.

Namun fenomena hari ini, ada segelintir manusia yang tidak endah akan nikmat besar ini. Mereka hanya mengenali Islam kerana kedua orang tua adalah Muslim. Sehinggakan Islam yang mereka praktiskan seharian hanya mengikuti agama ibu bapa. Bagaikan Islam itu hanyalah sandaran pada nama sahaja.  Seolah-olah tidak terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat besar ini.

Golongan ini sudah tidak mementingkan Islam dalam kehidupan seharian mereka. Perkara ini dapat dilihat dari cara pemakaian, cara pergaulan antara lelaki dan wanita, gaya hidup dan pelbagai aspek lain yang langsung tidak menampakkan Islam sebagai pegangan dan panduan hidup.

Mungkin inilah yang dikatakan sebagai dunia akhir zaman. Di mana Islam hanyalah sandaran pada nama semata-mata. Islam tidak lagi dititikberatkan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Benarlah sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib R.A berkata: “Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa sudah hampir tiba suatu masa dimana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada dibawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jika diperhatikan, keadaan hari ini tidak jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Baginda S.A.W. Al-Quran hanya tinggal tulisan. Ya, Al-Quran hari ini hanya dijadikan perhiasan yang tersusun rapi di atas rak-rak mewah manusia. Helaian-helaiannya tidak lagi dibelek, apatah lagi difahami setiap kalimah yang tercetak di dalamnya. Masjid-masjid pula berdiri gah dengan ukiran mewah namun sunyi tiada penghuni. Umat Islam sekarang sedang leka dibuai mimpi, sedang sibuk mencipta nama. Islam yang sedari kecil dikurniakan oleh Allah, dibiarkan sepi hanya pada nama tanpa mempraktiskan panduan dan suruhannya.

Ketahuilah bahawa Islam yang diberikan kepada kita ini sangatlah mahal dan berharga. Sama-samalah kita berusaha untuk menghidupkan Islam yang sebenar-benarnya didalam hati kita dan mengamalkan dalam kehidupan seharian. Seharusnya kita sebagai Muslim, berkelakuan mengikut panduan yang sudah tersedia ada dan tidak membiarkan Islam itu tertera pada kad pengenalan sahaja.

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

SAUDARA pengarang, baru-baru ini saya telah menyaksikan satu video realiti bagi menyokong kempen menentang grooming seksual yang hakikatnya sedang berlaku dalam kalangan remaja zaman ini.

Dalam video itu, seorang wartawan wanita telah menyamar menjadi seorang remaja polos dan berkenalan dengan lelaki asing di Wechat. Lelaki yang dikenali sebagai K’Boy itu telah menyatakan hasratnya untuk berjumpa selepas seminggu perkenalan.

Video tersebut turut memaparkan mesej bagaimana mudahnya remaja kini mengikuti orang asing yang baru sahaja dikenali.

Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana remaja terdedah pada gejala seksual dengan hanya menggunakan telefon pintar milik mereka.

Sudah menjadi lumrah seorang kanak-kanak apabila menginjak remaja, mereka lebih sukakan perhatian dan tertarik untuk berkenalan dengan rakan baru. Atas sebab itulah pelbagai jenis medium sosial saban hari timbul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Jika dahulu kita hanya punya Yahoo Messengger, MySpace dan Friendster, kini Facebook, Twitter dan Wechat semakin hangat menjadi pilihan anak muda untuk bersosial. Dunia tanpa sempadan ini boleh membunuh generasi akan datang dalam diam seperti musuh dalam selimut jika tidak dipantau oleh ibu-bapa.

Saya tidak katakan teknologi yang perlu dipersalahkan tetapi dalam usaha mahu mendedahkan dunia moden kepada anak-anak kita, janganlah kita terlalu leka sehingga terlepas pandang keselamatan anak-anak. Saya tidak mengatakan bahawa anak anda itu jahat tetapi anasir-anasir luar itulah yang membahayakan.

Pantau tanda anda sayang. Pantau tanda anda mengambil berat. Bukan bermakna tidak percaya kepada anak sendiri, tetapi lebih kepada mahu mencegah perkara buruk daripada terjadi. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. – HARAKAHDAILY 13/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

SETIAP ahli keluarga mempunyai peranan dalam mewujudkan rumah tangga aman dan bahagia. Ketua keluarga memainkan peranan utama memimpin isteri dan anak berakhlak mulia dan melaksana perintah disyariatkan. Institusi keluarga adalah ejen sosial terkecil dalam masyarakat, namun memainkan peranan besar melahirkan insan cemerlang.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar kerana anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Keluarga adalah gedung bagi merebut pahala kerana Allah SWT menganugerahkan pahala kepada suami yang membantu isteri, begitu juga isteri membantu suaminya.

Tambahan daripada itu, anak dan menantu yang sentiasa memastikan kemakmuran rumah tangga juga tidak ketinggalan meraih pahala. Namun, adat hidup berkeluarga tidak lepas daripada masalah dan ujian sama ada kecil atau besar. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi yang kadangkala mengakibatkan krisis dalam rumah tangga.

Ini disebabkan syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia, memperdaya hati serta fikiran seseorang dengan cara memporak-perandakan rumah tangga bahagia. Institusi keluarga adalah asas sebuah masyarakat dan memainkan peranan penting bagi melahirkan generasi bertakwa serta beramal soleh.

Tidak dapat dinafikan, kejayaan dan keharmonian keluarga bermula daripada ketua keluarga. Maka ketua keluarga atau bapa mempunyai peranan besar memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT bagi memastikan keluarganya berada dalam keadaan aman dan sentiasa melaksanakan perintah disyariatkan oleh-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya."

Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab membahagiakan keluarga dengan berakhlak mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku anak yang sopan dapat menenangkan ibu bapa mereka. Ibu bapa mudah berkecil hati jika anak mengeluarkan kata-kata kasar.

Oleh itu, jagalah lidah jangan sampai terlanjur berkata kasar terhadap ibu bapa. Berlemah lembutlah terhadap mereka, walaupun kita tidak bersetuju dengan sikap mereka. Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim, tetapi Allah SWT menjadikan anak kecil itu tempat mencurah kasih sayang.

Kelahiran Baginda pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah di kota Makkah sebagai pembuka rahmat di seluruh pelosok alam semesta. Kasih sayang Baginda Kelahiran Baginda SAW adalah peristiwa utama dalam sejarah Islam. Baginda SAW memiliki kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya, tetapi juga semasa dan selepas dilahirkan.

Perkara ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan dan kasih sayang Baginda SAW yang tidak berbelah bahagi terhadap insan yang menatang Baginda bagai minyak yang penuh. Nama seperti Aminah, Halimatus Saadiah, Abdullah dan Abu Talib cukup dekat di hati Nabi Muhammad SAW. Mereka banyak berjasa dan berkorban mengasuh serta memberikan didikan sempurna ketika hayat Baginda SAW.

Selain itu, Baginda SAW cukup terkenal dalam memberikan layanan baik terhadap ibu dan bapa mentua. Melihat senario itu, umat Islam perlu meneladani sifat Rasulullah SAW yang tidak pernah sesekali meminggirkan insan bergelar ibu dan ayah yang telah membesarkan Baginda serta mereka yang memelihara anak Baginda. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

TIADA suatu kebiasaan atau pekerjaan yang berdampak negatif kecuali yang berlebihan. Prinsip ini menunjukkan bahawa kebiasaan yang baik atau pekerjaan yang baik sememangnya akan memberi kesan buruk jika dilakukan secara berlebihan.

Justeru, bagaimana dengan kebiasaan minum kopi? Kebiasaan minum kopi dasawarsa ini tidak hanya didominasi oleh orang dewasa untuk meningkatkan kualiti kerja, malahan para remaja dan anak sekolah turut tidak mahu ketinggalan. Para siswa dan siswi khususnya juga tergiur akan kopi. Ini tidak dinafikan bahawa kopi sememangnya akan menjadi pilihan utama mereka.

Tetapi persoalannya di sini, baikkah kopi untuk golongan muda mahupun golongan berusia di luar sana?

Jawapannya, boleh jadi baik dan boleh jadi tidak!

Minum kopi baik jika diamalkan secara teratur dan tidak berlebihan. Bagi kebanyakan orang yang menikmati minuman kopi sekadar secawan dua sehari memang tidak perlu risau. Hakikatnya, meminum dua ke empat cawan kopi sehari (200 ke 300mg kafein) berkemungkinan besar selamat.

Menurut fakta, zat kafein yang amat tinggi di dalam kopi menjadikan kopi sebagai minuman utama untuk membangkitkan semangat pagi hari, atau mencegah kantuk. Terutama untuk orang yang sering dikejar deadline atau lemau pada malam hari jarang hidup tanpa kopi.

Walau bagaimanapun, pengambilan kopi yang berlebihan seperti empat ke tujuh cawan sehari (500 ke 600mg kafein) akan mengundang pelbagai masalah seperti sukar tidur, cepat gemuruh, cepat marah, loya, degupan jantung yang laju, sakit kepala, kemurungan, tangan menggeletar dan sebagainya.

Bagi orang yang sensitif atau apabila kopi diminum terlalu banyak, kafein akan menyebabkan jantung berdebar-debar bukan sebab bertemu jodoh ya, tetapi disebabkan kenaikan tekanan darah dan menjadi susah tidur. Berikutan daripada itu, hal ini dapat menjadi faktor penyumbang kepada kematian kerana individu tersebut sedang menghadapi masalah berkaitan sistem pembuluh darah dan jantung.

Kopi juga memicu kepada timbulnya neurotransmitter bernama dopamin dalam otak. Neurotransmitter ialah zat pembawa informasi pada saraf dan otak. Salah satu neurotransmitter yang bernama dopamin berperananan untuk menyekat proses belajar, memori dan juga menyebabkan ketagihan atau ketergantungan terhadap sesuatu perkara.

Apabila mana-mana individu berterusan mengamalkan minum kopi, maka kopi akan merangsang penghasilan dopamin pada setiap saat. Apabila kadar dopamin dalam otak mulai menurun, maka kita akan mengalami gejala withdrawal. Gejala ini terjadi di saat kita mulai ketagih terhadap sesuatu benda. Orang yang ketagih terhadap kopi seringkali tidak dapat lagi memberi fokus yang jelas, susah bangun atau sakit kepala apabila tidak minum kopi.

Ini tidak ada bezanya antara ketergantungan terhadap narkoba, nikotin atau kopi. Apabila berhenti memasukkan zat tersebut, maka kesan putus ubat ataupun zat terus terasa kerana berpotensi menyebabkan ketagihan, maka sebaiknya jangan terlalu menlazimi diri minum kopi kecuali pada waktu yang diperlukan sahaja.

Sebagai penutup, kepada masyarakat terutamanya golongan remaja di luar sana yang belum menghadapi sindrom ketagihan terhadap kopi dan masih dapat mengawal diri sangat dianjurkan supaya tidak menjadikan minum kopi sebagai satu kebiasaan atau minuman berkafein contohnya minuman bersoda. Benar, kopi boleh diminum tetapi jangan keterlaluan. Ini kerana setiap perkara yang melampau-lampau akan mempunyai natijah yang buruk.

Diakhiri dengan firman Allah Ta’ala dalam kalam-Nya yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Qs 5:87). - HARAKAHDAILY 12/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

RAMADHAN yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.

Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang.

Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperoleh manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga.

Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut:

1.Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.

2.Ilmu tentang ibadah yang terdapat dalam bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.

3.Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca al-Quran dan sebagainya.

4.Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.

Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

Penulis ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

DIRIWAYATKAN oleh Imam Ahmad dari Umar Ibnul Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

قال: أنزل عليّ عشر آياتٍ من أقامهن دخل الجنّة, ثم قرأ:"قد أفلح المؤمنون" حتئ ختم عشر آيات.

Telah diturunkan kepadaku 10 ayat (yang dimaksudkan adalah ayat 1 hingga 10 surah Al-mukminun), sesiapa yang mengerjakannya akan masuk syurga. Kemudian dibacanya ayat pertama sehingga habis ayat ke-10.

Mukmin adalah orang yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat al-qur’an bertambah keimanannya. Bagi seorang mukmin, hidup adalah rangkaian ibadah. Mereka akan menempuh bahtera kehidupan mengikut cara-cara dan acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Orang mukmin sentiasa berusaha untuk memenuhi kehidupannya dengan melakukan ibadah dan kebaikan dengan tujuan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat. Jadi melalui surah al-Mukminun ayat 1-10 ini, penulis akan berkongsi kepada anda tentang ciri-ciri mukmin berjaya. Moga bermanfaat.

1. Khusyuk dalam solat.
Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendah diri dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Terdapat pelbagai cara untuk kita mendapat khusyuk dalam solat. Antaranya ialah kita perlu memahami maksud ayat dan lafaz yang dibaca, menumpukan pandangan ke tempat sujud, melakukan solat dengan tidak tergesa-gesa dan yang paling utama ialah kita menunaikan solat dengan ikhlas. Solat yang khusyuk dapat menghilangkan rasa takut, perasaan gelisah, jiwa menjadi berani dan bebas dengan kekusutan dunia. Orang yang beriman wajib menunaikan solat, namun solat tidak akan bererti sekiranya hanya melakukan gerak badan sahaja. Solat mestilah disertakan dengan khusyuk, kerana solat dengan khusyuk itu ibarat tubuh dengan nyawa. Kedua-duanya saling memerlukan.   

2. Menjauhkan diri daripada perkara yang tidak berguna dan sia-sia.
Perkara yang sia-sia merangkumi semua perkara yang membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah. Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah dan memudahkan hawa nafsu dan syaitan menguasai serta membawa kita ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada Allah. Mereka yang dapat menjaga diri daripada terlibat dan terjerumus dengan perkara yang sia-sia, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.

3. Menunaikan zakat.
Zakat berasal daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud pembersihan. Zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta, kedua-duanya adalah ibadah yang wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu. Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela ketika mana Allah memerintahkan untuk memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf). Tujuan Allah mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat dan berhak serta membersihkan harta, kerana di dalam harta kita terdapat hak orang lain.

4. Memelihara kemaluan.
Memelihara kemaluan bukan hanya sekadar memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara yang mendekati zina. Menjaga kemaluan sering dikaitkan dengan menjaga pandangan kerana awal dari segala bentuk perbuatan zina adalah ketidakmampuan kita dalam menjaga pandangan. Orang yang pandai menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, tip yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke-30,

”Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”.

Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Jadi jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.

5. Memelihara amanah dan janji.
Amanah dan janji merupakan perkara yang wajib kita menepatinya, kerana itu Islam sangat  menganjurkan umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.” (riwayat Ahmad).

Daripada hadis diatas, kita diwajibkan untuk memegang amanah dan janji, kerana jika kita mengkhianatinya ibarat kita tidak mempunyai iman dan agama. Orang yang mengkhianati serta tidak memelihara amanah dan janjinya dengan baik, mereka disifatkan sebagai orang yang munafik, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga (1) Apabila dia bercakap,dia berbohong. (2)Apabila dia berjanji, dia tidak tepati. (3) Apabila dia diberi amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya”.                               

6. Menjaga solat.
Islam menyuruh umatnya melakukan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang Mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak. Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud, ayat 114:

“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”.

Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai Allah, hatinya lembut, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadhilat lain. Kita juga dituntut untuk menjaga hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah solat di awal waktu, menunaikannya secara berjemaah, menyempurnakan rukuk dan sujud serta segala rukun-rukunnya. Mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya dan mendapat ganjaran daripada Allah di akhirat kelak.

Inilah ciri dan sifat-sifat mukmin yang berjaya yang di sebut oleh Allah di dalam surah al-Mukminun ini. Kadang-kadang, ada antara kita yang telepas pandang tentang fadhilat dan kelebihan yang terkandung dan tersirat dalam surah ini. Jadi, melalui sedikit perkongsian ini, penulis mengajak anda untuk sama-sama kita menghisab dan menghitung diri kita, adakah kita mempunyai sifat-sifat yang disebutkan oleh Allah itu. Jika sifat-sifat ini tiada dalam diri kita, sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya, kerana pada akhir ayat ini Allah berjanji akan mewarisi syurga-Nya iaitu syurga Firdaus kepada sesiapa yang mengamalkan sifat-sifat ini. Maka beruntunglah kita! – HARAKAHDAILY 12/4/2017

Penulis ialah pelajar, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia