TIDAK mesti tidak dalam kehidupan seorang manusia mesti mempunyai guru. Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan
    
Diriwayatkan oleh Imam At Thabrani, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhuklah kepada orang yang mengajarmu”.
    
Melalui pesanan baginda ini, dapatlah disimpulkan bahawa baginda sangat menitikberatkan soal menghormati guru. Malaikat Jibril a.s merupakan guru kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’. Dalam peristiwa tersebut, baginda telah diajar oleh malaikat Jibril a.s untuk membaca surah Al-A’laq dari ayat satu hingga lima.
    
Begitu mulia tugas seorang guru dalam hidup setiap manusia. Kita seharusnya menghargai setiap pengorbanan guru dalam mendidik kita.
    
Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.
    
Antara objektif utama sambutan ini adalah untuk menghargai pengorbanan guru-guru dalam melahir dan membentuk anak-anak muda yang berpotensi menjadi pemangkin kejayaan negara pada masa hadapan. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pendidik dan pelajar di samping menitikberatkan soal akhlak dan adab antara pelajar dengan guru.
    
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sawajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Para sahabat dan salaf al-soleh merupakan suri teladan umat manusia yang telah memberikan banyak contoh dalam menghormati seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).” (Riwayat Ahmad).
    
Justeru, kita mestilah menghormati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka. Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan anak-anak muridnya dengan cahaya ilmu. Sebagai murid yang sangat kasihkan guru, wajarlah kita untuk bertanya khabar, menziarahi dan mendoakan mereka bukan pada tarikh 16 Mei sahaja, malah di setiap masa. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

WAHAI anak muda yang mendapat pembelajaran tinggi dalam pelbagai peringkat sama ada Sijil, Diploma, Ijazah dan sebagainya. Apabila engkau bergelar graduan bukanlah bermakna engkau paling berkuasa dan berhormat dalam kalangan manusia di dalam dunia ini. Hal ini kerana, acapkali kita mendengar akan kurangnya adab graduan universiti terhadap pensyarah dan masyarakat di sekitar universiti yang didiami. Maka perkara ini berlaku disebabkan tinggi ilmu yang dirasakan dan ego tinggi tanpa mengamalkan dan mempratikkan adab-adab yang pernah dipelajari semasa di bangku sekolah.

Fenomena mahasiswa yang selalu hadir ke kuliah atau kelas lewat dengan keadaan yang tidak bersedia untuk menimba ilmu menyebabkan akan menimbulkan kecil hati terhadap pensyarah. Maka wahai anak muda ingatlah semula adab yang pernah dipelajari sewaktu dibangku sekolah lagi, hadis riwayat ath-thabarani mengatakan  

“Wahai manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan feqh itu dengan mempelajari ilmu feqh. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”

Maka berkait dengan hadis diatas menyatakan bahawa tingginya darjat seorang guru itu. Selain itu, Islam juga sangat menitikberatkan dalam mempelajari ilmu sebagaimana ilmu fardhu ain dianggap sebagai satu kewajiban untuk umat Islam dalam dunia ini. Maka melalui gurulah yang akan menjadi pengantara untuk kita memperoleh ilmu. Justeru, sebagai graduan atau mahasiswa haruslah berfikir secara bijak dan kritis dengan menghadiri kelas seiring dengan niat yang betul.

Selain itu, cara percakapan kita juga harus dijaga supaya tidak menyinggung perasaan guru atau orang yang kita memperoleh ilmu darinya. Sebagai mana kita menghormati ibu bapa begitulah juga hormat kita kepada guru walaupun bukan mereka yang menjaga kita atau mengandungkan kita akan tetapi jangan dilupakan warga inilah yang mendidik kita akan ilmu mengira dan mengeja.

Tambahan pula, kita haruslah menghormati pensyarah dengan tidak bermain gajet semasa proses pembelajran. Hal ini kerana akan menjadi ketidakselesaan suasana pembelajaran kerana menimbulkan anggapan negatif terhadapa pensayarah yang mengajar kerana mereka menganggap pelajar-pelajar tidak mengambil perhatian terhadap pembelajaran yang diajar dan seperti kata orang mereka syok sendiri.

Justeru itu, anak-anak muda haruslah menanam niat yang betul sebelum menuntut ilmu bukan hanya menghadiri kelas dengan hanya melepasi syarat Universiti. Selain itu, gajet seperti telefon bimbit dan computer ini bukan bermakna tidak boleh langsung digunakan semasa proses pembelajaran tetapi kita sebagai mahasiswa haruslah menggunakan pada tempatnya.

Justeru itu, sempena hari pendidik yang disambut oleh semua golongan tenaga pengajar pada 16 Mei ini akan melahirkan kemeriahan dan kebanggaan dalam jiwa pendidik kerana mereka dapat melahirkan anak-anak muda yang berjaya du dunia dan akhirat seperti bukan sahaja Berjaya dalam segi kerjaya dan gaji yang besar akan tetapi selari dengan nilai murni dan akhlak yang mulia. Hal ini kerana, perkara inilah yang menjadi faktor utama  warga pendidik. – HARAKAHDAILY 8/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

Sedar atau tidak, kita sedang menjalani kehidupan seharian di bulan Sya’ban. Sebentar lagi kita akan didatangi oleh ‘tetamu’ yang dirindui iaitu bulan Ramadhan. Setelah sekian lama berpisah, kini Ramadhan akan kembali hadir di tengah-tengah kita.

Bagi seorang muslim, sudah pasti kedatangan bulan Ramadhan akan disambut dengan rasa gembira dan penuh syukur kerana bulan Ramadhan merupakan bulan maghfirah, rahmat dan ‘ladang’ menuai pahala amal kebajikan untuk bekalan di dunia akhirat kelak.

Oleh kerana itu, sepatutnya kita sudah mula melakukan persiapan diri untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan agar dapat memiliki nilai yang tinggi dan amalan seperti orang yang bertaqwa.

Jadi, bagaimana sebenarnya cara kita menyambut Ramadhan? Apa yang mesti kita persiapkan dalam hal ini? Tentu saja persiapan diri yang dimaksud di sini bukanlah perancangan menu sahur dan berbuka, bukan juga perancangan program menarik di televisyen tempatan.

Sebagai seorang Muslim, banyak hal yang perlu dilakukan dalam rangka persiapan menyambut kedatangan Ramadhan, antaranya:

Pertama, berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang disarankan oleh para ulama agar dipertemukan dengan bulan Ramadhan sejak enam bulan sebelumnya dan enam bulan berikutnya, juga berdoa agar Allah SWT menerima amalan puasa yang dilakukan kerana berjumpa dengan bulan ini merupakan nikmat yang besar bagi orang-orang yang terpilih menerima taufik daripada Allah SWT.

Di antara doa yang disarankan:”Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”.
    
Kedua, bersegera menggantikan puasa Ramadhan yang lalu sebelum datang Ramadhan berikutnya. Namun sekiranya seseorang mempunyai kesibukan atau halangan tertentu untuk menggantikannya seperti seorang ibu yang sibuk menyusukan anaknya, maka hendaklah dia melunaskan hutang puasa tahun lalu pada bulan Sya’ban. Sebagaimana Aisyah r.a tidak bisa menggantikan puasanya kecuali pada bulan Sya’ban.

Melambatkan puasa ganti (qadha) dengan sengaja tanpa ada uzur syarie sampai masuk Ramadhan berikutnya adalah dosa, maka kewajipannya adalah tetap menggantinya dan ditambah kewajipan membayar fidyah menurut sebahagian ulama.

Ketiga, memahami ilmu fiqh puasa. Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah berkata, ”Orang yang berilmu mengetahui tingkat-tingkat ibadah, perosak-perosak amal, dan hal-hal yang menyempurnakannya dan hal yang menguranginya”.

Maka dalam hal ini, hanya dengan ilmu kita dapat mengetahui cara berpuasa dengan betul dan sesuai mengikut amalan Rasulullah SAW. Begitu juga ilmu sangat diperlukan dalam melaksanakan ibadah lain seperti wudhu, solat tarawih, iktikaf, membaca al-Quran dan sebagainya.

Keempat, mempersiapkan jiwa dan spiritual untuk melaksanakan ibadah puasa dan amalan sunat yang lain di bulan Ramadhan dengan sebaik-sebaiknya.

Memperbanyak puasa pada bulan Sya’ban merupakan sunnah Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata (maksudnya), “Aku belum pernah melihat Nabi SAW berpuasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadhan, dan aku belum pernah melihat Nabi SAW berpuasa sebanyak yang Baginda lakukan di bulan Sya’ban.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kelima, menjaga kesihatan agar tetap bertenaga dan kuat di bulan Ramadhan yang mendatang. Kesihatan merupakan modal utama dalam beribadah, orang sihat dapat melakukan ibadah dengan baik, namun apabila seseorang sakit, maka ibadahnya terganggu.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), “Pergunakanlah kesempatan yang lima sebelum datang yang lima; masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa luangmu sebelum masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Al-Hakim)

Menjelang ketibaan bulan Ramadhan, Rasulullah SAW memberikan penjelasan mengenai puasa kepada para sahabat. Baginda juga memberi khabar gembira akan kedatangan bulan Ramadhan dengan menjelaskan pelbagai keistimewaannya.

Abu Hurairah RA berkata (maksudnya), “menjelang kedatangan bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersabda, “Telah datang kepada kamu bulan mubarak (bulan yang diberkati). Diwajibkan kamu berpuasa padanya. Pada bulan tersebut pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Padanya juga terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang terhalang kebaikan pada malam itu, maka ia telah terhalang dari kebaikan tersebut.” (HR. Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Baihaqi)

Akhir kata, persiapkanlah diri untuk beribadah dengan penuh rendah diri. Semoga kita dipertemukan dengan Ramadhan dan dapat meraih berbagai kelebihan. - HARAKAHDAILY 7/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Marhaban Ya Ramadhan

Tidak dinafikan lagi, bulan Ramadhan merupakan bulan yang amat dinantikan oleh seluruh manusia yang bergelar umat Islam di dunia ini. Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang istimewa kerana ia adalah bulan yang menuntut umat Islam berkewajipan menunaikan ibadah utama yang wajib dilaksanakan.

“Ramadhan adalah bulan yang di dalam Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta membezakan (hak dan batil). Oleh itu, barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka ia harus berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa yang sakit dalam perjalanan, maka (wajib baginya mengganti puasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan dan tidak menghendaki kesukaran bagimu, dan (dengan mengganti puasa tersebut) supaya kamu dapat menyempurnakan jumlah (hari yang telah ditentukan itu), mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, dan supaya kamu bersyukur.” (Al- Baqarah: 185)

Inilah peluang terbaik kita untuk memperbaiki disiplin kita dari pelbagai aspek kehidupan dan mendidik akhlak yang baik dengan akhlak yang terpuji dan murni. Muhasabah diri harus sentiasa dilakukan agar kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini dengan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Dalam bulan Ramadhan, perkara yang wajib dilakukan oleh manusia yang bergelar umat Islam ialah berpuasa. Puasa mendidik umat Islam menuturkan kalimah dan ucapan yang baik. Sentiasa mengungkapkan kalimah mulia kerana amalan baik adalah sedekah yang digandakan pahalanya. Elakkan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kesucian Ramadhan dan juga menyakitkan hati orang lain sama ada dengan perlakuan ataupun ucapan. Selain itu puasa juga melatih manusia menjaga hati dan juga lidah serta pancaindera lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat.” (Riwayat Imam Malik)

Selain itu, dalam bulan Ramadhan diseru kepada umat Islam untuk membaca Al-Quran dan terjemahannya. Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran diturunkan sebagaimana firman Allah Ta’ala yang membawa maksud: “Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (hak dan batil)” (Al-Baqarah: 185)

Oleh itu, manfaatkanlah waktu kita di dalam bulan Ramadhan dengan membaca Al-Quran. Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa setiap huruf Al-Quran yang kita baca adalah sepuluh pahala. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan, setiap amalan dan ibadah yang dikerjakan sudah tentunya akan dilipat gandakan pahala.

Solat tarawih berjemaah adalah sunat dilakukan pada waktu malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat pada malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari)

Seterusnya menghidupkan malam Lailatul Qadar juga adalah amalan yang harus dilakukan oleh umat Islam. Lailatul qadar adalah malam kemuliaan yang lebih baik dari seribu bulan. Menurut Quraish Shihab (dalam Tafsir Al-Quran,1997), perkataan lailat dari segi bahasa bererti “hitam pekat”. Ini kerana malam dan rambut yang hitam, keduanya dinamakan lail. Malam dimulai dari terbenamnya matahari sehingga terbitnya fajar, begitu ulama-ulama Ahlu-Sunnah mentakrifkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan”. (Al-Qadr: 3)

Iktikaf merupakan amalan yang lazim dilakukan pada bulan Ramadhan. Iktikaf dari segi bahasa adalah berdiam diri atau menahan diri dari sesuatu tempat, tanpa memisahkan diri. Dari segi istilah pula bermaksud berdiam diri di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT dengan cara tertentu, sebagaimana telah diatur oleh syariat. Seorang yang beriktikaf menyibukkan dirinya hanya untuk Allah dengan ibadah, berzikir, membaca Al-Quran, memperbanyakkan solat, dan amalan-amalan ibadah yang lain. Amalan terakhir yang dilakukan pada bulan Ramadhan ialah dengan bersedekah. Sedekah merupakan salah satu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama (afdhal) adalah sedekah di bulan Ramadhan”. (HR Tirmizi)

Dari Jabir RA dari Nabi SAW (maksudnya), “Ketika datang akhir bulan Rmadhan, langit-langit dan bumi, para malaikat menangis kerana merupakan musibah bagi umat Nabi Muhammad SAW. Dikatakan: wahai Rasulullah, musibah yang mana? Rasulullah menjawab: lenyaplah bulan Ramadhan kerana sesungguhnya doa-doa di bulan Ramadhan dikabulkan, dan sedekah diterima, kebaikan dilipat gandakan, dan azab ditolak”.

Tidak ada musibah yang lebih besar kecuali habisnya bulan Ramadhan dan ketika langit dan bumi menangis kerana habisnya anugerah dan kemuliaan ini.

Masih ada peluang dari hari terakhir Ramadhan tahun ini. Marilah kita perbanyakkan istighfar, mohon dihapuskan dosa-dosa, bersedekah, memberi tambahan perhatian kepada keluarga, infaq untuk sabilillah terutamanya dakwah, dan basahkan selalu lidah kita dengan berzikir dan selawat atas Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah memakbulkan doa-doa kita selama Ramadhan dan memberi keampunan atas dosa-dosa kita semua. - HARAKAHDAILY 7/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut mendapati bahawa terdapat percambahan kedai arak di kawasan Little India, Pulau Pinang. Kami percaya kedai arak tidak seharusnya dibenarkan dibuka di kawasan yang terdapat rumah dan pejabat.
 
Kami telah menerima banyak aduan mengenai kedai arak yang meletakkan meja di sepanjang jalan untuk pelanggan yang mengunjungi kedai mereka. Meja ini diletakkan jauh melebihi jarak premis kedai mereka dan menceroboh ruang kawasan jiran mereka (perniagaan lain yang telah ditutup pada hari itu).
 
Penduduk, pemilik perniagaan dan pekerja pejabat di kawasan Little India menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan suasana waktu gembira yang bermula di kawasan terbuka selepas waktu bekerja itu. Tingkah laku yang sukar dikawal yang dipamerkan oleh pengunjung kedai arak ini menjadikan kawasan itu tidak selamat untuk mereka yang tinggal dan bekerja di situ.
 
Bukan hanya di kawasan Little India sahaja tetapi ia juga turut berlaku di sepanjang Lebuh Chulia di mana banyak kedai jenis “bistro” yang mengiklankan diskaun untuk bir dan menjual pelbagai arak jenis lain. Idea kedai ini dibuka adalah dengan niat untuk memenuhi keperluan orang asing yang datang ke sini untuk bercuti terutama sekali pekerja asing. Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa kesejahteraan mental dan fizikal penduduk tempatan adalah lebih penting dan perlu diberikan keutamaan.
 
Kita juga perlu ingat bahawa kedai arak ini dibuka di kawasan yang berdekatan dengan Lebuh Harmoni yang terdiri daripada Gereja St. George, Kuil Kuan Imm, Kuil Sri Mahamariamman dan Masjid Kapitan Keling. Ini semua adalah tempat beribadat dan mereka yang berada di kawasan sekelilingnya seharusnya bertingkah laku dengan hormat dan sopan, bukannya mabuk dan bertingkah laku tidak sopan.
 
Lesen untuk mengusahakan kedai arak dikeluarkan oleh Jabatan Kastam. Tidakkah mereka memeriksa terlebih dahulu di mana kedai itu akan dibuka sebelum mengeluarkan lesen untuk menjual arak?
 
Di sesetengah negara Barat, di mana pengambilan alkohol adalah perkara biasa dalam budaya mereka, penduduk tidak dibenarkan membuka bekas (tin, botol atau gelas) minuman alkohol di ruang terbuka atau kenderaan. Tetapi di Malaysia nampaknya semua boleh. Oleh itu, kedai arak tempatan kita boleh beroperasi dan meletakkan meja di sepanjang laluan pejalan kaki tanpa halangan.
 
Walaupun majlis tempatan tidak mengeluarkan lesen untuk kedai arak, tidakkah mereka boleh melakukan sesuatu terhadap mereka yang meletakkan meja yang menghalang pejalan kaki dan laluan kaki lima itu?

Semua perkara dipertimbangkan, CAP menggesa kedai arak yang beroperasi di kawasan Little India hendaklah ditutup demi untuk kesejahteraan penduduk dan pekerja di kawasan itu. Kami tidak mahu insiden seperti “rusuhan Little India 2013” di Singapura, di mana ramai daripada perusuh itu adalah mereka yang mabuk akibat pengambilan alkohol itu berulang semula di Little India kita.
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

SEBAGAI umat yang hidup di pengakhiran bagi seluruh kehidupan, atau dikenali juga dengan umat akhir zaman, tiada seorang insan pun yang lebih menyayangi umat ini sehinggakan melebihi daripada kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, iaitu dialah insan yang bernama Muhammad bin Abdullah iaitu Rasulullah, penutup bagi segala para rasul dan nabi.
 
Kehidupan pada akhir zaman, adalah kehidupan yang terlalu banyak kejahilan dan kejahatan melebihi dari kebaikan. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita akan satu fitnah atau penyakit yang akan melanda umat akhir zaman yang dikenali dengan penyakit “WAHAN.”

Daripada Tsauban berkata, Rasulullah SAW bersabda:
 
“Akan terjadi masa yang mana umat-umat di luar Islam berkumpul di samping kalian semua wahai umat Islam, sebagaimana berkumpulnya orang-orang yang memakan hidangan makanan, kemudian salah seorang sahabat bertanya: apakah pada saat itu kami sedikit ya Rasulullah? Nabi menjawab: tidak, bahkan pada saat itu kalian dalam jumlah yang banyak, namun pada saat itu kalian bagaikan buih yang ada di lautan. Ketika itu Allah telah hilangkan dari musuh-musuh kalian rasa takut dan segan terhadap kalian, dan kalian terkena Wahan. Kemudian seorang sahabat bertanya kembali: Ya Rasulullah apa yang kamu maksudkan dengan Wahan itu? Rasulullah berkata: Cinta dunia dan takut mati.”

APAKAH ITU WAHAN?

Wahan dari sudut bahasa dapat kita fahami dengan makna lemah atau dhaif. Manakala dari sudut istilah kita dapat fahami maknanya berdasarkan hadis di atas iaitu cinta kepada dunia dan takut akan mati.

Punca penyakit ini muncul adalah kerana hati yang telah bertaut kepada dunia, merasakan dunia ialah tempat nikmat yang sebenar dan memandang seakan-akan kehidupannya terhadap dunia adalah kehidupan yang kekal abadi sehingga tidak merasakan kesedaran dalam diri akan adanya kehidupan selepas dari alam dunia.

Sebagaimana dalil  firman Allah swt. dalam Al-Qur’an Al-Karim yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” (Q.S Ali Imran:14)

Dari firman Allah SWT di atas, menjelaskan adanya bermacam-macam kesenangan duniawi yang dikurniakan oleh Allah SWT yang dijadikan indah pada pandangan manuasia, sehingga mengakibatkan manusia menjadi tergila-gila pada kenikmatan dunia sehingga mereka berusaha untuk memperoleh kesenangan duniawi tersebut, dan melupakan kehidupan kekal kelak di akhirat.

Setelah manusia memperoleh pelbagai kesenangan duniawi, kemudian mereka takut untuk kehilangan kenikmatan tersebut dan selepas dari timbul perasaan cinta dan sayang kepada dunia maka akan timbul dalam pemikiran bahawa akan takut untuk mati, kerana rindu dan sayang untuk meninggalkan segala kenikmatan yang telah diperoleh di dunia sehingga membuatkan seseorang tidak mahu berpisah dengan dunia yang dicintai. Mereka juga takut datangnya kematian sehingga mereka tertimpa musibah berbentuk wahan iaitu penyakit cinta dunia dan takut akan kematian.

UBATI PENYAKIT WAHAN
Setiap penyakit sudah pasti ada ubatnya, begitu juga dengan penyakit ini kita mestilah mencari penawar untuk mengelakkan penyakit ini semakin berleluasa dalam diri kita.

Antara penawarnya ialah kita hendaklah belajar untuk bermujahadah dan mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW, agama Islam dan umat Islam dengan mengorbankan diri dari kehendak akan duniawi yang hanya menjauhkan diri daripada pengabdian diri kepada Allah SWT, kerana hakikat cinta adalah pengorbanan.

 Kita juga haruslah menyedari akan hakikat sebenar manusia ini diciptakan dan hakikat sebenarnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Jadilah sebaik-baik hamba yang sentiasa bertaqwa kepada Allah kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang bertaqwa kepada Allah.

 Sentiasa mendampingi para alim ulama atau orang yang soleh merupakan salah satu penawar daripada penyakit ini kerana merekalah yang akan menunjukkan jalan pada kita di akhir zaman ini. Selain itu, kita mestilah menuntut ilmu dan memenuhi masa dengan mengingati Allah SWT kerana nafsu jika ia tidak dengan perkara yang benar maka ia akan sibukkan kita dengan kebatilan. – HARAKAHDAILY 5/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

KEDATANGAN Bulan Ramadhan mampu mendekatkan diri dengan “Sang Pencipta lebih erat”. Berbekalkan sebulan lebih hari sahaja lagi, Umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut bulan Ramadhan yang mulia.

Ucapan yang seringkali kita dengar apabila datangnya bulan Ramadhan ialah “Ramadhan Kareem”, manakala jawapan yang dibalasnya pula “Allahhuakram”. Tahiyat atau ucapan ini merupakan simboliknya dengan kedatangan Ramadhan yakni bulan penuh barokah ini.

Pelbagai aktiviti yang menarik dapat dilakukan apabila tibanya bulan mulia ini. Di samping berpuasa yakni dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, umat Islam juga turut digalakkan melakukan aktiviti yang bermanafaat serta dapat mendidik jiwa menjadi lebih murni.

Qiamullail atau bangun sepertiga malam
Qiamullail bermaksud beribadah malam iaitu bangun pada 2/3 malam atau sekurang-kurangnya 1/3 akhir malam, bermula dari pukul 2.30 pagi hingga terbitnya fajar.  Waktu ini amat sesuai bagi umat Islam bagi melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT kerana merupakan waktu yang terbaik untuk beribadat di malam hari setelah penat seharian mencari rezeki di kala petang dan merupakan salah satu turunnya rahmat Allah ke bumi bagi hambanya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau kamu berminat menjadi seorang dari orang-orang yang mengingati Allah pada saat yang tersebut, maka hendaklah kamu lakukannya.” (At-Tirmizi)

Ibadah Qiamullail sangat digalakan di dalam Islam. Qiamullail boleh dikerjakan secara berseorangan atau secara beramai-ramai. Orang yang mengamalkan Qiamullail akan diangkat darjat dan dihapuskan dosa-dosa mereka.

Tadabbur aI-Quran
Al-Quran merupakan sebuah kitab yang suci penuh dengan kalam Allah. Ia mengandungi mutiara-mutiara yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, kita perlulah menghayati atau memahami ayat-ayat suci ini dengan lebih mendalam iaitu dengan bertadabur dan bertalaqi dengan guru yang mahir di dalam bidang tersebut bagi memahami makna balaghah yang terkandung dalam kalamulallah bukan dengan sekadar membuka dan membacanya sahaja.

Tadabbur juga dapat diertikan proses berfikir secara mendalam dan menyeluruh dengan menggunakan ketajaman mata hati supaya dapat memahami maksud Al-Quran dan dapat mencapai makna yang jauh. Hal ini kerana, dengan bertadabbur itulah umat Islam akan lebih memahami seterusnya dapat mengaplikasi dalam kehidupan seharian disamping ianya merupakan cara berinteraksi dengan al-Qur`an yang diinginkan oleh al-Qur`an sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak nafsu
Apabila menyebut bulan Ramadhan, pastinya umat Islam di Malaysia khususnya gembira kerana banyak gerai atau bazaar akan dibuka. Kemeriahan Ramadhan dapat dirasai apabila pelbagai jenis makanan akan dijual. Ia juga boleh dikenali sebagai “Syurga Makanan” kepada pengunjung yang hadir.

Namun, disebalik kemeriahan ini, pastinya akan berlaku pembaziran kepada pembeli atau penjual jika ia tidak dibendung awal. Sebagai Umat Islam kita perlulah bersederhana dalam melakukan perkara.

Pada takrif umum, membazir adalah berlebih-lebihan daripada kadar sepatutnya. Pembaziran dapat dielakkan dengan berbelanja secara berhemat. Berbelanjalah mengikut keperluan bukan dengan hanya mementingkan nafsu semata-mata.

Pembaziran ini juga merupakan salah satu cara iblis yang terkutuk dalam memujuk kita, dan telah menunjukkan kita tewas dengan godaan nafsu dek kerana sifat tamak yang menguasai diri kita.  Allah SWT juga telah berfirman dalam kitab sucinya;

 إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورً

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Al-Israk: 27)

Oleh itu, kita akan dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah SWT amat murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur di atas nikmatnya dan mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah SWT disebabkan kelalaian menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah SWT.

Kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini juga turut dirasai kemeriahan berpuasa apabila umat Islam dapat melakukan solat Sunat Tarawih bersama-sama serta dapat menambahkan amal soleh dalam mengejar pahala di sisi Allah SWT.

Justeru, kedatangan bulan Ramadhan yang barokah ini kerap ditunggu oleh Umat Islam setiap tahun apabila pahala dibulan Ramadhan ini ditambah berkali ganda dari bulan Islam sebelumnya disebabkan tutupnya pintu neraka serapatnya, dan di buka pintu syurga seluasnya bagi mereka yang beribadah kepada Allah SWT serta turunnya kitab suci Al-Quran kepada umat Islam sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

TERDAPAT banyak manfaat dan kebaikan yang boleh kita perolehi apabila kita membela dan menyayangi kucing. Membela kucing memberi kesan kepada banyak aspek kehidupan manusia seperti  kesihatan fizikal, kesihatan mental, cara hidup dan sebagainya.

Dapat Membuang Sifat Pentingkan Diri Sendiri Dan Kedekut Dalam Diri Manusia
 
Membela kucing mengajar kita untuk berkongsi rezeki daripada Allah SWT di atas muka bumi ini tidak kira sama ada makanan, minuman, tempat tinggal dan khususnya kasih sayang. Sifat berkongsi dengan makhluk comel ini lambat laun akan menjadikan kita seorang manusia yang pemurah dan baik hati.  

Menjadi Terapi Emosi Yang Sangat Baik

Satu kajian oeh universiti Columbia mendapati aktiviti bersama haiwan kesayangan anda terutama kucing dapat meningkatkan hormon serotonin dalam badan anda. Hormon serotonin berfungsi untuk mengawal mood, mengurangkan emosi negatif dan membuatkan seseorang menjadi lebih bahagia. Sekaligus, dapat mengurangkan tekanan perasaan dan kesunyian dalam diri manusia. Kajian juga mendapati mereka yang berada dalam kemurungan boleh sembuh dengan berinteraksi dengan kucing.

Dapat Membantu Pesakit-Pesakit Autism

Membela kucing benar-benar membantu dalam kes penyakit ini. Hal ini dibuktikan dengan beberapa kejadian di mana kucing memainkan peranan penting dan menjadi pembantu utama dalam terapi untuk anak-anak autism yang mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi.

Menurunkan Risiko Penyakit Kardiovaskular dan Serangan Jantung

Aktiviti dengan kucing dapat merendahkan rembesan kimia bernama cortisol di dalam badan. Kadar cortisol yang tinggi akan meningkatkan tahap kolestrol dan tekanan darah. Risiko untuk meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular bagi mereka yang mempunyai kucing adalah 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak  mempunyai kucing. Tambahan lagi, risiko untuk seorang pemilik kucing meninggal akibat serangan jantung adalah sangat rendah.
 
Mendisiplinkan Diri dan Membentuk Sifat Bertanggungjawab
    
Kucing harus diberi makan dengan teratur. Jadi tuan kucing mesti tahu bila dan berapa jumlah makanan yang perlu diberikan kepada kucing-kucingnya. Bila kucing dijaga dari kecil, corak pemakanan yang berbeza juga perlu diperhatikan. Selain makan, banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian seperti imunisasi kucing, jadual makan ubat, temujanji doktor, mandi kucing, menyikat bulu, melatih kucing untuk membuang najis di tempat yang disediakan dan sebagainya. Pemilik kucing harus bertanggungjawab dengan tindakan kucingnya dan tahu menghormati hak jiran tetangga.
    
Kita harus memahami bahawa mungkin jiran anda alahan dengan kucing atau kurang selesa dengan bau-bau najis kucing yang mengganggu ketenteraman awam.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW bersumpah sebanyak tiga kali yang bermaksud:

“Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!”. Apabila ditanya, siapakah yang Baginda SAW maksudkan, Baginda menjawab: “Seseorang yang jirannya tidak berasa aman dan tenang disebabkan perangai jahatnya.” (HR Al-Bukhari & HR Muslim).

Mendapat Pahala dan Dimurahkan Rezeki
    
Selain itu, membela kucing juga sebagai cara untuk kita menuai ganjaran pahala daripada Allah SWT kelak. Apabila pemilik kucing mempunyai niat sedekah ketika membela kucing-kucingnya maka ganjaran sedekah akan kembali kepada pemilik kucing tersebut. Kucing adalah haiwan yang memiliki perasaan yang dizahirkan dengan cara yang tersendiri. Kucing antara haiwan yang boleh mengadu dan berdoa kepada Allah SWT dan barangkali kehidupan kita menjadi lebih senang dan gembira dek kerana doa seekor kucing begitu juga sebaliknya hidup kita dirundum kesedihan dan kesusahan dek kerana aduan seekor kucing kepada Allah SWT atas layanan buruk yang diterima.

Ekstra Tips Penjagaan kucing
    
Tips yang pertama ialah gunakan arang untuk menghilangkan bau najis kucing. Caranya ialah letak satu bekas arang di sebelah atau berdekatan dengan tandas kucing kita. Arang memiliki fungsi penyerapan yang sangat luar biasa iaitu dapat menyerap berbagai jenis kuman dan juga bakteria yang menyebabkan bau busuk di udara.
    
Simpan sekurang-kurangnya satu botol minyak kelapa dara di rumah sebagai persediaan untuk merawat kucing anda yang sakit. Minyak kelapa dara mempunyai banyak fungsi seperti melancarkan sistem pencernaan dan juga mampu bertindak sebagai antibakteria kepada kucing. Minyak kelapa dara juga mampu untuk meningkatkan selera makan dan antibodi kucing. Jika kucing anda selalu sakit dan kurang selera makan anda boleh campurkan minyak kelapa dara ke dalam makanan mereka atau suapkan  terus minyak kelapa dara itu ke dalam mulut kucing anda.

Di antara semua haiwan yang ada di muka bumi ini, haiwan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah kucing. Begitu juga salah seorang sahabat Baginda yang mendapat gelaran Abu Hurairah hanya kerana selalu dilihat membawa seekor anak kucing dalam lengan jubahnya kemanapun ia pergi dan sifat penyayang terhadap haiwan tersebut.

Dari Abdullah bin Umar, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya ia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana ia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah (HR.Muslim).HARAKAHDAILY 27/4/2017

Penuils ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

KURMA adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang masih mentah. Terdapat pelbagai jenis pokok kurma dan kebanyakannya tumbuh subur di negara-negara Arab. Kajian menunjukkan buah kurma mengandungi kalsium, serotonin, tannin, asid linoleik yang penting dalam mengawal pendarahan.

Selain daripada itu, buah kurma juga mengandungi glukosa yang penting untuk membekalkan tenaga pada badan dan juga penting untuk otot-otot uterus. Kurma juga membekalkan mineral dan vitamin yang berguna pada kesihatan. Kandungan vitamin dalam buah kurma ini bermanfaat untuk membantu membentuk sel-sel darah baru.

Mineral-mineral itu sangat diperlukan oleh tubuh. Dalam kurma juga terdapat hormon (potuchsin) yang boleh menciutkan pembuluh darah dalam rahim, lantas boleh mencegah perdarahan rahim.

Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa.

Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. Ini bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap oleh tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang menjelaskan bahawa kurma mengandungi ubat.

“Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, di dalam al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Sebagaimana kisah tersebut di dalam surah Maryam ayat 25:

"Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.”

Kurma lazimnya dimakan semasa bulan Ramadhan dan mempunyai khasiat serta nilai yang tinggi dalam dunia perubatan tradisional. Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih.

Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga.

Berdasarkan pada ayat al-Quran dan hadis, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Profesor Madya Aisyah Mohd Zain Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan.

Di samping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut. Hasil kajian Ahli Sains Mesir juga telah terbukti khasiat kurma dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari dari penyakit barah, merawat buah pinggang dan mencuci hati, dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.

Jadi, bagi masyarakat yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan bai buah, kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan rutin mereka, khususnya pada waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian.

Khasiat kurma juga adalah amat sesuai bagi pertumbuhan kanak-kanak. Mudah-mudahan dengan amalan pemakanan buah kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dengan lebih baik. – HARAKAHDAILY 27/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Saya ingin berkongsi kepada pembaca tentang kecanggihan teknologi zaman sekarang seperti telefon pintar, laptop dan sebagainya. Di sini saya ingin fokuskan kepada teknologi komunikasi. Memang tidak dapat di nafikan lagi, teknologi saat ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup manusia. Berbagai inovasi diciptakan dengan tujuan untuk memudahkan hidup manusia mahupun memberi manfaat kepada mereka. Kehadirannya telah memberi pengaruh yang cukup besar terhadap kehidupan umat manusia dalam pelbagai aspek. Kecanggihan teknologi juga mempunyai kebaikan serta keburukan dalam penggunaanya. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memerhatikan anak-anak ketika mereka sedang asyik melayankan “smartphone” mereka.

Antara kebaikannya ialah bagi para pelajar kecanggihan teknologi ini mampu membantu   mereka untuk mencari maklumat-maklumat penting tentang pelajaran. Kecanggihan teknologi yang disebutkan di sini ialah internet. Internet memberikan kepada kita kekuatan daya imaginasi, inovasi dan teknologi komunikasi yang membolehkan penyebaran maklumat dalam kualiti yang hampir sempurna dalam waktu yang sangat cepat serta mudah. Teknologi tidak menunggu kita malah kita yang harus mengejar kecanggihan teknologi zaman sekarang.

Selain itu, ia juga mampu menjimatkan masa kita dalam kehidupan harian sebagai contoh, membeli belah secara atas talian (online). Dalam era ini, kita tidak perlu bersusah payah beratur atau berebut untuk membeli barang keperluan harian secara terus. Ini kerana, dengan adanya smartphone ataupun gadget anda boleh membeli belah secara online, hanya dengan sentuhan pada skrin gadjet anda barang yang anda idamkan terus ada di depan pintu anda.

Di samping itu, kemudahan komunikasi juga dapat membantu kita untuk berkomunikasi dengan saudara-mara yang jauh dengan hanya menggunakan telefon, laman media sosial seperti facebook, whatsapp, skype dan lain-lain. Seperti kita ketahui, masyarakat pada zaman dahulu hanya menggunakan sehelai kertas untuk berkomunikasi dengan sahabat atau saudara-mara yang jauh berbeza dengan masyarakat zaman sekarang. Kemudahan komukasi ini banyak membantu kita untuk berhubung dengan masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Di samping itu, teknologi komunikasi juga mempunyai keburukan terhadap masyarakat zaman sekarang. Antaranya ialah menyebarkan khabar angin. Yang dimaksudkan dengan khabar angin di sini ialah sesuatu berita yang belum dipastikan lagi kebenarannya tersebar secara meluas tanpa sebarang sekatan. Perkara yang paling membimbangkan ialah kita tidak mampu menyaman atau mendakwa siapa yang menyebarkan khabar angin kerana laman web misalnya tidak memaparkan identiti sebenar penyabar tersebut. Melalui situasi ini, penyebaran khabar angin ini akan terus dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa takut. Justeru, tidak hairanlah banyak khabar angin disebarkan dalam laman web atau laman sosial pada hari ini. Erti kata lain ialah viral sudah menjadi trend kepada masyarakat zaman sekarang.

Teknologi komunikasi atau secara amnya gadjet boleh menyebabkan gangguan tidur kita. Kajian mengatakan untuk manusia normal, kita perlu tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Penulis juga mengalami masalah yang sama dimana kita selalu tidur lewat disebabkan leka bermain gadjet sehingga lewat malam. Kesannya cahaya yang bersinar dari skrin gajet boleh mengganggu urat saraf kita serta menjejaskan kesihatan kita sebagai contoh rabun pada usia yang muda.

Tambahan pula, ia juga mampu menjejaskan pelajaran para pelajar di mana pelajaran mereka boleh terjejas sekiranya masa untuk mengulangkaji pelajaran telah digantikan dengan masa melayan gadjet sekali gus telah melalaikan mereka. Pelbagai aplikasi yang menarik dalam gadjet lebih menarik minat mereka daripada menghadap buku pelajaran. Sekiranya pelajar membawa gadjet ke dalam kelas, perkara lebih buruk akan berlaku di mana tumpuan kepada apa yang diajar oleh guru akan terjejas. Oleh kerana itu pihak sekolah melarang pelajar untuk membawa sebarang alat komunikasi mereka ke sekolah.

Sebagai kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa teknologi zaman sekarang bergerak semakin pantas. Oleh itu kita perlulah menjadi pengguna yang bijak serta tahu membezakan yang baik dan yang buruk. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

Masjid merupakan rumah Allah yang mana menjadi tempat umat Islam beribadah. Masjid juga menjadi simbol penyatuan umat Islam apabila mereka menghadirkan diri untuk beribadah secara berjemaah. Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Islam bagi memacu mereka ke arah kemajuan.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi tempat menunaikan ibadah dan juga tempat pengajian al-Quran. Hal ini membuktikan masjid mempunyai kedudukan yang tinggi bagi umat Islam pada zaman itu. Namun, masyarakat pada zaman kini semakin sibuk dengan urusan dunia lalu tanggungjawab mengimarahkan masjid kian dilupakan.

Pergi ke masjid dari usia muda

Saban tahun, kita dapat melihat masjid hanya penuh dikunjungi para jemaah semasa bulan Ramadhan. Tamat bulan Ramadhan, maka masjid tidak lagi menjadi tumpuan umat Islam. Lazimnya, masjid hanya dipenuhi golongan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas. Seharusnya, sifat mengimarahkan masjid harus dipupuk dari awal usia walau sesibuk mana pun kita dengan komitmen di luar.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat ke-18 yang bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Tambah iman dan taqwa

Maka, apabila kita mengimarahkan masjid, ia dapat menambahkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita. Mengimarahkan masjid bermaksud menghadirkan diri ke masjid dan menunaikan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat. Antaranya, mendirikan solat secara berjemaah, mengadakan majlis ilmu, tadabbur al-Quran dan ibadah lain juga.

Kesatuan Umat Islam

Kepentingan dunia boleh memecah-belahkan umat manusia kerana mereka hanya sibuk dengan urusan mereka sendiri sahaja dan tidak menghiraukan masyarakat sekeliling. Hal ini juga boleh mencetuskan perasaan hasad sesama mereka.

Maka, pertemuan semasa menunaikan ibadah seperti solat berjemaah boleh mengeratkan silaturrahim sesama saudara Muslim dan mendamaikan permusuhan sekiranya niat untuk hadir ke masjid itu ikhlas dan bukan untuk menunjuk-nunjuk banyaknya ibadah yang dilakukan. Sesungguhnya tiada tempat yang lebih baik untuk menyatukan umat Islam melainkan di dalam masjid.

Secara tuntasnya, tanggungjawab mengimarahkan masjid merupakan peranan umat Islam bersama. Kita hendaklah menjaga dan mengimarahkan masjid demi kemaslahatan ummah.

Setiap individu Muslim haruslah mengambil bahagian dalam memastikan masjid terus menjadi pusat tumpuan umat Islam untuk beribadah dan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan agama. Tanamlah niat untuk menghadirkan diri ke masjid setiap hari dan bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara yang membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingatkan supaya menjaga serta memelihara hubungan sesama jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat secara umumnya dilihat masih kental. Namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Jiran merupakan tetangga atau jiran tetangga yang tinggal sebelah menyebelah dan berdekatan dengan kediaman kita. Jiran juga bukan sekadar yang tinggal di sebelah kedua- dua rumah kita, tetapi orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, depan, belakang, tingkat atas, tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap sudut. Sejak zaman berzaman manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan dalam menjalani kehidupan.

Hidup berjiran juga merupakan amalan mulia serta memberi manfaat kepada manusia. Dalam hidup berjiran mestilah saling mengenali antara satu sama lain dan berbuat baik sesama mereka. Hakikatnya Allah SWT. sendiri memerintahkan umat Islam supaya saling berbuat baik dengan jiran tetangga.

Justeru, masyarakat perlu menghayati tentang suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan pula, mana- mana kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW telah menyatakan dalam hadisnya bahawa Jiran tetangga mempunyai tiga kategori iaitu:

Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan baginya, maka dia mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga (kerabat) dan seorang Muslim.

Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu sebagai hak jiran dan hak seorang Muslim.

Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu sebagai hak jiran.

Di dalam hadis Nabi SAW juga banyak yang memberi penekanan kepada jiran, di antara hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah tingginya kedudukan jiran dari sudut pandangan islam. Maka Islam menganjurkan adab- adab yang baik dalam kehidupan berjiran iaitu:

1) Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat- menghormati antara satu sama lain.

Memulakan salam dan senyuman jika bertemu sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Hendaklah sentiasa bertoleransi yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

2) Tidak menyakiti mereka sama ada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar bersangka buruk.

Jiran yang tidak berakhlak sesama jiran seperti menganiaya, mengumpat, sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya:
“Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab:
 “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

3) Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya.

Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka kecuali setelah mendapat restu dan izin daripadanya.

Sepertimana yang disebut dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Demi Allah, sesungguhnya mereka yang membuatkan jiran tetangga tidak selesa dan tidak aman dengan gangguan yang mereka lakukan, mereka itu adalah orang yang tidak sempurna imannya. (riwayat Muslim no. 46)

4) Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

Dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama jiran dan mengamalkan apa yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis serta jauhi diri kita dari menyakiti jiran tetangga secara sengaja atau tidak sengaja. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.