IBU ialah insan yang sangat mulia dan berharga dalam hidup kita semenjak kita masih dalam kandungan lagi, ibulah yang menanggung kesusahan demi kesusahan masa mengandung bagi memastikan kita selamat dan sihat dalam kandungannya sampai melahirkan sepertimana disebut dalam surah Al-Ahqaf ayat ke-15:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya,Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula)”.

Tambahan pula, ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerana mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting sekali.

Nilai kasih sayang seseorang ibu tidak dapat diukur dengan wang ringgit dan harta benda. Ibu yang peka dan penyayang akan senantiasa mengambil berat dan menjaga hal ehwal kebajikan anak dengan sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran sehingga ke menara gading di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak. Lumrahnya, ibu sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak-anak supaya menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

Sebaliknya, jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita. Anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah jenayah maksiat dan dadah.

Justeru anak itu  mestilah dididik dan dibentuk keperibadiannya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. Anak itu  milik dan anugerah dari Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah.

Malangnya, pada alaf kemodenan ini, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di rumah kebajikan kerana tidak sanggup menjaga ibu mereka yang tengah uzur dan beranggap bahawa orang tua ini leceh dan mengada-gada.

Padahal, ibulah yang selama ini menjaga kita daripada kecil sampai dewasa yang menukar lampin kita, yang berjaga malam disebabkan bimbang anak itu akan diganggu oleh binatang kecil hatta seekor nyamuk pun yang mahu digigit di badan anaknya.

Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh keramat itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari tersebut, jasa bakti dan iltizam ibu selama ini diperkatakan, dikenang dan dihargai. Sesungguhnya kasih sayang ibu akan senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung badan. Syurga anak di hujung telapak kaki ibu.

Seorang ibu juga dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa badan’ anaknya. Ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu apa masalahnya.

Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Apabila anak balik bercuti atau beraya misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak.Mungkin ada seorang dua anak yang lebih dikasihinya kerana disebabkan anak tersebut lain daripada yang lain.

Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

Kesimpulannya,ibu insan yang patut dihormati.Jangan sesekali menderhaka kepada dia atau berkata ‘ah’ seperti dalam Firman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 23 ada menyebut:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.HARAKAHDAILY 17/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

BEBERAPA tahun dahulu, kita semua mengalami era di mana ‘pembantu menggantikan ibu bapa’ dalam proses pembesaran anak-anak. Kini, fenomenanya agak berbeza sedikit. Fenomena yang menimpa bukan sahaja pada masyarakat di Malaysia, tetapi juga masyarakat di luar negara, di mana ‘Gajet menggantikan pembantu rumah dan ibu bapa’.

Ramai yang mengakui, senang jika ada Ipad, sebab ia memudahkan mereka melakukan kerja rumah, mudah bagi mereka mengawal tingkah laku anak jika berada di rumah kawan sebagai contoh, ataupun di kedai makan. Tetapi, ramai yang tidak sedar, kesan yang boleh memudaratkan anak-anak kecil ini. Adakah anda tahu, bahawa rangsangan yang berlebihan dari penggunaan gajet ini boleh mengecutkan otak anak anda, terutamanya kanak-kanak yang berumur bawah 3 tahun? Gajet yang dimaksudkan ini juga termasuklah penggunaan televisyen, dan apa sahaja yang di tonton dan terhad dalam sebuah kotak. Kenapa?

Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang dibiarkan menonton rancangan di TV akan mengalami efek negatif yang lama pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa. Tumpuan di dalam kelas juga turut terganggu.  Kajian di Malaysia yang dilaporkan baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi pelajar di dalam kelas adalah 13 minit.

Hari ini, kadar masa fokus telahpun jatuh pada hanya 4 saat. Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam kelas, dan inilah antara puncanya iaitu terlalu banyak didedahkan dengan pelbagai jenis gajet, tanpa pengawalan yang serius. Seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan agar kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang sama sekali bagi menggunakan gajet. Antara sebab beliau ialah perkembangan otak dan perkembangan fizikal terbantut, obesiti epidemic, kurang tidur, penyakit mental, lebih  agresif dan demensia digital.

Cara kanak-kanak dibesarkan dan diberi pembelajaran menggunakan teknologi adalah tidak boleh lagi dikekalkan (Rowan 2010). Kanak-kanak ialah masa depan kita, tetapi tidak ada masa depan untuk kanak-kanak yang menggunakan teknologi secara berlebihan. Satu pendekatan berpasukan perlu dan penting untuk mengurangkan penggunaan teknologi di kalangan kanak-kanak.

Kehidupan kita hari ini sarat dengan teknologi dan agak janggal sekiranya seseorang itu menolak perkembangan teknologi terkini misalnya penggunaan telefon bimbit, komputer atau tablet.Kecanggihan teknologi tidak dapat dinafikan kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Ada ibu bapa yang bimbang sekiranya teknologi melalaikan anak mereka, membazir masa, malah lebih teruk merosakkan minda anak-anak mereka. Namun, masih ramai menganggap pendedahan awal terhadap teknologi boleh membuatkan anak mereka celik IT, menambah pengetahuan am, menajamkan IQ seterusnya membantu pembelajaran di sekolah.

Kebaikan gajet

Antara kebaikan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak termasuklah kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui imej yang bergerak dan bunyi. Ia juga membantu perkembangan intelektual dan pemahaman kanak-kanak. Tablet atau peranti yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi melalui sentuhan pada skrin antara cara terbaik menarik perhatian kanak-kanak untuk belajar dan faham dengan lebih pantas. Selain itu, aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.

Keburukan gajet

Selain kebaikan, terdapat juga keburukan dalam pengggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya termasuklah kurang bergaul atau bersosial dengan orang secara berdepan, sebaliknya lebih banyak masa dihabiskan dengan tablet, telefon atau gajet lain. Kanak-kanak perlu bergaul dengan rakan sebaya serta keluarga untuk membantu perkembangan kemahiran sosial seperti berinteraksi dan berkomunikasi. Tidak ada peranti yang dapat menggantikan faedah yang didapati daripada komunikasi secara berdepan dengan orang lain. Kurang masa bermain bersendirian yang mendidik mereka berfikiran lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah misalnya cara menyusun blok permainan supaya ia tidak jatuh atau mencampurkan jumlah tanah dan air secukupnya supaya ia menjadi lumpur yang boleh digunakan untuk membentuk sesuatu.
 
Terlalu banyak rangsangan seperti bunyi kuat, cahaya terang, warna yang menyala dan pelbagai gerakan. Jika terlalu terdedah dengan begitu banyak rangsangan, anak kecil mungkin akan meragam sekiranya mereka tidak dapat menggunakan tablet. Sebaliknya mereka perlu diajar dengan aktiviti lain seperti mengayuh basikal, bersukan, membaca buku cerita atau membuat reka cipta sendiri. Terlalu bergantung kepada teknologi pantas membuatkan kanak-kanak mudah bosan apabila berdepan dengan pengajaran yang diberikan guru menggunakan papan hitam.
 
Kanak-kanak yang bergantung kepada teknologi untuk mengisi masa lapang mereka menjadi kurang aktif dari segi fizikal sedangkan pergerakan penting untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak, membina otot yang kuat dan mengenal pasti kebolehan diri sendiri melalui gerakan. Kanak-kanak mungkin akan menjadi terlalu obses dan ketagih kepada teknologi. Apabila mereka tidak dapat menggunakan tablet atau komputer, ia akan menyebabkan mereka menjadi resah, terganggu dan mungkin melepaskannya dalam cara menangis dan mengamuk.

Oleh itu. Ibu bapa haruslah mengambil langkah membantu anak dengan banyak bertanya mengenai apa yang dipelajarinya daripada aplikasi yang digunakannya. Selain itu, bacalah buku elektronik bersama-sama dengan anak dan cari aplikasi yang memerlukan kanak-kanak menulis, merekod, melukis atau baca bersama. Akhirnya, pengetahuan yang didapati melalui aplikasi dimuat turun perlu digunakan dalam kehidupan sebenar, misalnya galakkan aktiviti luar, pemikiran kritikal dan kemahiran yang boleh dipraktikkan selepas melihatnya di aplikasi. – HARAKAHDAILY 15/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

DEWASA ini masalah kenaikan barangan harian telah menghimpit rakyat Malaysia. Pelbagai rungutan dilontarkan berkaitan hal ini terutama wang tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian, harga barangan yang mahal dan sebagainya. Oleh itu kita perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menyelesaiakan maslah ini, antaranya mengamalkan sikap berjimat-cermat.

Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat berjimat-cermat ditakrifkan sebagai berhemat-hemat atau berhati-hati (terutama dalam penggunaan wang). Islam turut mengalakkan penganutnya mengamalkan amalan berjimat-cermat dalam kehidupan seharian. Namun begitu amalan ini masih belum ada pada rakyat Malaysia, sehubungan dengan itu amalan ini seharusnya dijadikan satu sifat murni kita.

Amalan ini sebenarnya memerlukan kepada latihan supaya ia menjadi tabiat. Salah satu langkah yang boleh diambil ialah berbelanja mengikut keperluan sahaja. Sebagai contoh jika kita sudah mempunyai sebiji telefon pintar masih boleh digunakan tidak perlu kita mencari sebiji lagi telefon kerana beralasan telefon tersebut keluaran yang lama serta kita ini tidak mengikut perkembangan terkini.

Masalah sebeginilah yang akan menyebabkan perbelanjaan kita bertambah. Memang benar kita hidup di zaman teknologi berkembang dengan pesat namun tidak menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengikut trend terkini yang akhirnya akan memerangkap kita dalam pembaziran.

Satu penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015 menyatakan kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan  yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Daripada statistik ini boleh kita bayangkan berapa banyak pembaziran yang telah dilakukan oleh rakyat Malaysia serta berapa banyak wang yang telah digunakan dengan sia-sia. Kita sedar bahawa harga keperluan harian meningkat naik namun kita masih lagi melakukan perbuatan pembaziran dengan membeli makanan terlalu banyak dan dibuang begitu sahaja. Perlu untuk kita memastikan makanan yang kita beli cukup, sedap dan tidak akan membawa kepada perbuatan membazir.
 
Salah satu langkah yang boleh dilakukan bagi berjimat-cermat dalam perbelanjaan ialah sebelum membeli barang senaraikan terlebih dahulu barangan yang hendak dibeli. Golongan Ibu terutamanya perlu melakukan langkah ini, kerana ia akan menjadi panduan kepada kita untuk berbelanja. Janganlah pula semasa di rumah kita telah menentukan apa yang hendak dibeli namun kita sampai di pasar raya kita lupa pada senarai yang telah dibuat dan berbelanja mengikut kemahuan.

Bagi golongan muda perlu bagi mereka memupuk sifat menabung. Hal ini dianggap remeh namun menabung membawa banyak kebaikan. Menabung juga akan dapat membantu kita mengehadkan perbelanjaan harian kerana kita sedar bahawa sedikit daripada wang harian akan disimpan.

Tidak perlu kita menyimpan seratus ringgit tiap hari cukup hanya sekadar satu atau dua ringgit sehari. Dalam tempoh setahun kita akan dapat menyimpan hampir empat ratus ringgit. Tabung ini nanti boleh digunakan jika ada kecemasan.

Bagi menghadapi zaman yang penuh mencabar ini kita seharusnya bijak untuk mengambil pelung yang ada. Sebagai contoh kita boleh memanfaatkan tanah kosong di sekitar rumah untuk bercucuk tanam. Hasil tanaman ini akan menyebabkan kita tidak perlu terlalu bergantung harap untuk mendapatkan sayur-sayuran di kedai seterusnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

BENARKAH ada segelintir yang mengatakan bahawa berkahwin pada usia muda itu, indah khabar dari rupa? Tidak dinafikan kahwin muda adalah satu isu yang sering dibicarakan oleh pelajar IPT sejak akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan anak muda melangsungkan perkahwinan pada awal usia sama ada ketika masih belajar atau ketika baru sahaja memasuki alam pekerjaan atas dasar ingin menjauhkan diri daripada cenderungnya dalam lembah maksiat.

Seperti yang kita ketahui berkahwin adalah satu fitrah bagi manusia. Apabila sebut berkahwin, semuanya mahu berkahwin. Tiada yang indah selain perkahwinan. Tidak bukan? berkahwin juga satu sunnah yang sememangnya digalakkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Maka apabila mana kita berkahwin, alhamdulillah, kita sudahpun mengikut salah satu daripada sunnah Nabi. Persoalannya bagaimana kita melaksanakan sunnah itu?  

Ramai orang yang mahu berkahwin disebab untuk menghalalkan ikhtilat dengan jalan yang halal. Tapi, adakah berkahwin ini merupakan tujuannya hanyalah untuk tinggalkan maksiat? Kita jangan beranggapan selepas berkahwin, maksiat yang kita lakukan sebelum ini akan hilang. Ramai orang yang mengatakan bahawa selepas berkahwin, kita tidak akan melakukan maksiat.

Ada yang berkahwin disebabkan untuk menjaga ikhtilat. Dan ada juga yang berkahwin disebabkan melakukan penzinaan dan terlanjur, bagi mengelakkan rasa malu mereka hendaklah bertanggungjawab dengan berkahwin, Tapi, terdapat beberapa kes seperti suami curang selepas berkahwin, kes isteri curang selepas berkahwin dan sebagainya. Apakah puncanya? Hal ini kerana disebabkan sebelum berkahwin mereka sudah berlaku curang dan menjadi tabiat dalam kehidupan mereka. Justeru itu, kita jangan ingat bahawa dengan berkahwin, kita mampu untuk  tinggalkan maksiat.

Sebenarnya dalam perkahwinan terdapat banyak sebab yang perlu diambil kira dalam Islam antaranya ialah kita perlu ingat bahawa berkahwin bukan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Dan perlu meletak berkahwin itu disebabkan perintah Allah dan mahu ikut sunnah Junjungan Nabi SAW. Apa gunanya kita berkahwin tapi bukan kerana Allah? Apa guna berkahwin kalau hanya kerana nafsu? Apa guna kahwin tapi tidak ikut sunnah Nabi? Ingatlah bahawa jika kita berkahwin bukan kerana Allah, dan berkahwin kerana cinta dan nafsu semata-mata, dan akhirnya apabila dalam bahtera perkahwinan dah tidak mempunyai rasa cinta, boleh menyebabkan  pergaduhan dan konflik dalam alam rumah tangga.

Dan ingatlah bahawa kita berkahwin untuk mendapatkan takwa dari Allah SWT, sepertimana Nabi SAW yang bersabda:

مَنْ تَزَوَّجَ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الْإِيمَانِ، فَلْيَتَّقِ اللَّهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

“Barangsiapa berkahwin, dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa dengan separuhnya yang lain…” (HR Tabrani)

Kesimpulannya, berkahwin pada usia muda adalah antara perkara yang terpuji. Namun, hakikatnya isu dalam alam perkahwinan di usia muda ini ialah sangatlah mencabar, pastikan kita cukup bersedia untuk menempuh alam berumah tangga ini pada usia yang muda.

Bila kita sebut “bersedia” mahu berkahwin, bukanlah bermakna kita perlu menunggu duit yang banyak, perlu memiliki rumah, dan juga adanya kereta sendiri. Yang penting sejauh mana kita bersedia memikul tanggungjawab perkahwinan, sejauh mana kita bersedia untuk memikul segala beban dan cabaran yang bakal berlaku dalam menempuh badai ombak dalam perkahwinan. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

TAHUN silih berganti dan kini bulan mulia yang dinanti oleh semua umat Islam, bulan Ramadan bakal menjelma. Seperti yang diketahui, pada bulan ini umat Islam akan menahan lapar, dahaga dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sehingga mereka berbuka. Contoh perkara yang membatalkan puasa dan popular di negara Malaysia adalah merokok.

Merokok telah difatwakan sebagai haram di negara kita atas alasan membawa kebinasaan kepada diri sendiri. Fatwa tersebut sepakat dipersetujui atas dalil Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang membawa maksud larangan pada perbuatan yang membinasakan diri sendiri. Keputusan untuk mengharamkan gejala merokok juga dipersetujui atas dalil ayat 26 hingga 27 Surah Al-Isra’ yang menyatakan larangan perlakuan yang membazir.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dr S. Subramaniam menyatakan bahawa hampir 20,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakit jantung dan barah paru-paru. Beliau juga menyatakan bahawa kos perubatan bagi penyakit yang disebabkan oleh rokok mencecah sehingga RM3.8 bilion dan merokok merupakan penyebab kematian terbesar bagi rakyat Malaysia dalam tempoh 30 tahun.

Bagi mereka yang merokok dan ingin berhenti daripada gejala yang tidak sihat tersebut, bulan Ramadan kali ini merupakan satu medan yang sesuai untuk berhenti daripada terus merokok dan merosakkan diri sendiri. Namun begitu, bukanlah mudah untuk berhenti merokok dengan hanya berpuasa kerana rokok mempunyai nikotin yakni sejenis dadah membuatkan penghisap rokok ketagih dan sentiasa akan kembali menghisap rokok.

Jadi, antara cara untuk berhenti merokok pada bulan Ramadan ini yang pertama adalah dengan sentiasa mengingati Allah SWT. Apabila perokok ingat akan larangan Allah terhadap perbuatan yang merosakkan diri sendiri pasti mereka berasa takut untuk melakukannya.

Kemudian, mereka yang betul-betul ingin berhenti merokok haruslah cuba untuk menjauhi daripada golongan yang merokok. Bukan mudah sebagai perokok untuk menjauhkan diri daripada perokok lain tambahan pula apabila perokok lain itu merupakan sahabat sendiri. Jadi, dalam keadaan ini individu tersebut haruslah kuat menahan diri dari terus terjebak. Katakan yang anda sudah berhenti merokok dan cuba untuk tidak mengulanginya.

Seterusnya, berhentilah merokok kerana ahli keluarga. Kos rawatan bagi penyakit yang dihidapi oleh pesakit akibat merokok ini tidak lain tidak bukan akan ditanggung oleh ahli keluarga pesakit juga. Jadi, tetapkan dalam minda bahawa merokok hanya akan membawa kesengsaraan pada ahli keluarga anda yang lain. Tambahan lagi, merokok diibaratkan seperti membakar wang dan membazir. Pada era inflasi ini, amatlah tidak wajar kita menambahkan lagi bebanan hidup dengan pembaziran.

Kesimpulannya, jadikanlah Ramadan kali ini sebagai satu peluang untuk kita menjadi umat Islam yang lebih baik dan bebas daripada rokok. Amalkanlah gaya hidup sihat dengan bersenam dan menjaga pemakanan agar kebahagiaan dapat disemai dalam kehidupan bersama ahli keluarga yang tercinta. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

SEBAGAI umat Islam, apabila mengingati tentang keistimewaan bulan Ramadan tentunya anda ingin mendapatkan kemuliaan di bulan yang penuh rahmat ini. Pada bulan tersebut, semua amal ibadah yang anda lakukan akan diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT.

Keindahan suasana bulan Ramadan semakin terasa di hati kerana kita akan menyambutnya kurang dari sebulan lagi bagi seluruh umat Islam di semua sudut negara. Pelbagai cara yang dapat anda amalkan apabila tibanya bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan seperti beriktikaf di masjid, berkongsi makanan berbuka dengan orang yang memerlukan, solat terawih serta tadarus al-quran.

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW, bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari 4/99, Muslim 759)

Pada bulan ini, terdapat banyak keistimewaan yang perlu anda ketahui agar kita semua dapat mengambil tahu cara-cara yang dapat dilakukan pada bulan Ramadan.

Bulan yang mendidik untuk mencapai ketaqwaan

Dari puasa tersebut, anda secara tidak langsung belajar untuk menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Sehingga dari itu anda akan belajar untuk bersabar dan didasari dengan ketaqwaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadikan benteng mengapa berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan boleh mendidik anda untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Hal yang demikian juga berdasarkan ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah;183)

Bulan yang berpeluang menuju ke pintu syurga

Hal demikian sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa ketika bulan Ramadan, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Hal demikian boleh dijelaskan bahawa peluang umat Islam untuk menuju jalan yang lurus sudah terbuka luas. Ini bermaksud bahawa di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang yang penuh untuk menuju ke syurga Allah SWT.

Bulan yang terdapat lailatul qadar

Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul qadar ialah pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan lailatul qadar maka dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beriabdat seribu bulan.

Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan dosa

Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Ini bermakna sekiranya anda bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadan, maka dosa-dosa yang telah berlalu akan diampuni oleh Allah SWT sekalipun dosa itu adalah dosa kecil atau besar.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan

Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

Bulan yang memiliki pahala berlipat ganda

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadhan, Allah SWT akan berlipat ganda balasan dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Muttafaqun alaih (Bukhari, Muslim). Maka umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran kerana yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.

Bulan diturunkan al-Quran

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah anda memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita akan mendapat keberkatan yang lebih di bulan suci Ramadan. Sebagaimana hadis riwayat meriwayatkan bahawasanya barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan ilmu yang serba sedikit ini dapat kita fahami dan janganlah sia-siakan kesempatan terbaik ini kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan hadiah terbesar diberikan oleh Allah. Bagi umat Islam disyaratkan supaya berpuasa dengan baik dan betul. Kejarlah ilmu akhirat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan datang menjemput dan dengan amalan inilah yang akan menentukan kita adalah seorang hamba-Nya yang soleh. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

KESIHATAN dan kecantikan merupakan salah satu nikmat dan rahmat Allah yang sangat besar diberikan kepada umat manusia. Setiap orang ingin kelihatan sihat dan cantik tidak kira dalaman dan juga luaran terutamanya pada bulan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi. Antara tip yang patut diamalkan bagi setiap insan ialah mandi sebelum subuh. Tip ini sangat mudah diamalkan dan juga banyak kebaikannya jika diamalkan setiap hari.

Menurut  kajian sains, kandungan gas ozon pada waktu pagi lebih tinggi dari waktu lain. Oleh itu, gas ozon ini juga amat penting untuk tubuh badan kita. Jika kita mandi sebelum subuh, ia bukan sahaja membersihkan malah memberikan kesegaran dan kecantikan untuk tubuh badan kita. Terdapat  enam kebaikan dan manfaat mandi sebelum subuh yang kita patut tahu dan harus mengamalkannya.

Kebaikan yang pertama ialah  jika anda memiliki lingkaran hitam di bawah mata, mandi di waktu pagi dan menggunakan air sejuk dapat mengurangkan kegelapan pada bawah mata. Begitu juga dengan kuku, ia akan menjadi lebih sihat dan tidak mudah rosak. Kulit kita juga akan kelihatan lebih lembut dan halus.

Melalui mandi sebelum subuh, ia dapat melancarkan peredaran darah. Jika peredaran darah kita lancar, tubuh badan kita akan lebih sihat, cergas, dan bertenaga. Dengan memiliki badan yang cergas dan bertenaga kita dapat melakukan aktiviti harian dan juga ibadah wajib kepada Allah dengan bersemangat tanpa rasa letih walapun berada pada bulan Ramadhan.

Kebaikan yang ketiga, mandi sebelum subuh dapat meningkatkan kesuburan dan kesihatan hormon terhadap lelaki dan wanita. Pada waktu awal pagi, kesihatan tubuh badan manusia akan mendapat reaksi yang positif malah meningkatkan hormone testosteron bagi lelaki manakala hormon estrogen untuk wanita.

Risiko darah tinggi juga dikatakan dapat dikurangkan bagi yang memiliki penyakit darah tinggi apabila mengamalkan mandi sebelum subuh setiap hari. Insya-Allah, dengan izin Allah, jika ia diamalkan selalu, mungkin kesihatan kita lebih baik dan terhindar dari segala penyakit tidak kira risiko darah tinggi  dan juga penyakit-penyakit lain.

Mandi sebelum subuh juga dikatakan dapat mengurangkan tekanan serta kita akan berasa tenang. Air yang sejuk pada waktu pagi sebelum subuh akan melancarkan kembali peredaran darah setelah lama berbaring. Bagi yang mengalami depresi atau dengan kata lain tekanan yang mungkin disebabkan bebanan masalah, inilah cara yang terbaik untuk anda menghilangkannya.

Kebaikan yang keenam mandi sebelum subuh terhadap tubuh badan kita ialah dapat meningkatkan sel darah putih. Mandi dengan air sejuk dapat meningkatkan sel darah putih yang berfungsi sebagai daya tahan penyakit serta tubuh badan kita boleh melawan virus.

Islam amat menitikberatkan kesihatan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal penganutnya. Rasulullah SAW  ada bersabda;  

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga kesihatan dan kecantikan tubuh badan kita dengan mengamalkan tip yang bermanfaat seperti mandi sebelum subuh setiap hari supaya menjadi mukmin yang kuat dan cergas dari segi fizikal, mental, emosi, dan rohani. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, kita berupaya untuk mencapai matlamat kehidupan berpandukan agama yang diredhai Allah dengan sempurna. Rasulullah  SAW ada bersabda yang bermaksud;

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim).HARAKAHDAILY 12/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

MUNGKIN kita pernah mendengar hadis tentang segolongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat. Namun, siapakah golongan yang dimaksudkan itu? Pasti kita tertanya-tanya apakah amalan yang menyebabkan mereka mendapat naungan Allah SWT itu. Mari kita merenung sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah SWT, seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisahnya kerana Allah, seseorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘aku takut kepada Allah’. Seseorang yang bersedekah dengan secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir mengingati Allah dikala sendiri hingga mengalir air matanya.” (Sahih Bukhari, Hadis No 620).

Dalam hadis tersebut menceritakan terdapat tujuh golongan yang mendapat naungan Allah. Naungan Allah disini bermaksud naungan dari Arasy Tuhannya, atau boleh ditafsirkan sebagai kinayah iaitu dalam lindungan Allah dan ditempatkan di tempat yang dimuliakan. Tujuh golongan tersebut ialah:

Pertama: Pemimpin yang adil.

Pemimpin di sini ialah seorang yang diberi tanggungjawab yang diamanahkan dengan amanah beserta adil, contohnya Ketua Negara, Presiden, ketua kampung mahupun ketua keluarga. Dalam hadis, Rasulullah besabda: “Setiap daripada kamu adalah ketua, dan setiap daripada kamu akan dipersoalkan apa yang telah dipertanggungjawabkannya”. Oleh itu, setiap pemimpin haruslah melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil kerana setiap apa yang diamanahkan akan ditanya dihadapan Allah SWT kelak.

Kedua: Pemuda yang hidup dalam beribadah.

Usia muda sangatlah berharga bagi seorang yang bergelar manusia. Pada zaman yang serba mencabar inilah yang menguji tahap keimanan dan kesabaran kita. Hanya mereka yang kuat imannya sahaja yang mampu mengharunginya. Sebagaimana kisah 7 orang pemuda (Ashabul Kahfi) yang Allah selamatkan mereka dari penguasa yang zalim dalam mentauhidkan Allah.

Ketiga: Seseorang yang hatinya terikat dengan masjid.

Seseorang yang istiqamah dalam melakukan ibadah fardhu secara berjemaah di masjid, hatinya pasti akan gelisah apabila jauh dari masjid dan berasa sedih jika tidak dapat menunaikannya di masjid. Ini kerana apabila hatinya sudah merasai kelazatan iman pastinya akan merasa gelisah jika tidak berada dimasjid kerana disitu terdapat ketenangan yang tiada di tempat yang lain.

Keempat: Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.

Golongan yang keempat ini adalah tahap tingkatan iman yang tertinggi dimana mereka saling menjaga hubungan mereka dengan Allah. Bertemu mereka dengan asbab dalam mengingati pencipta dan berpisahnya mereka juga dalam zikir mengingati Allah. Mereka ini selamat dari fitnah pada hari kiamat kelak.

Kelima: Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang kaya dan cantik tetapi ia menolaknya dan berkata, “aku takut kepada Allah”.

Golongan kelima ini adalah mereka yang mempunyai tahap keimanan yang teguh yang menjaga imannya dari tercemar. Sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran mengenai perihal nabi Yusuf a.s. ketika mana didatangi Zulaikha untuk menggodanya melakukan maksiat. Nabi Yusuf yang ingin menjaga kehormatan dirinya rela dirinya dipenjara dari melakukan maksiat kepada Tuhannya. Berbahagialah mereka yang dapat memelihara dirinya dari melakukan maksiat kepada Allah kerana Allah telah menjanjikan balasan syurga bagi mereka.

Keenam: Seseorang yang bersedekah dengan sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.

Antara kelebihan sedekah adalah dibukakan oleh Allah SWT akan pintu rezeki kepadanya dan dihapuskan dosanya. Sedekah secara sembunyi “sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya” adalah mereka yang bersedekah dengan ikhlas hati sehingga tiada yang mengetahui apa yang diinfaqkannya. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi, marilah sama-sama kita perbanyakkan bersedekah kerana pahala ganjarannya akan dilipat gandakan.

Ketujuh: Seseorang yang berzikir mengingati Allah ketika bersendirian sehingga mengalirkan air matanya.

Mengingati Allah sehingga mengalirkan air mata keinsafan adalah sesuatu yang amat sukar, melainkan bagi mereka yang sentiasa dalam hidayah dan petunjuknya. Antara ciri-ciri orang yang teguh imannya adalah, mereka yang ketika mana mendengar nama Allah maka bergetarlah hati mereka dan bertambahnya iman mereka. Dengan mengingati Allah juga hati kita akan takut untuk melakukan maksiat. Mereka yang sentiasa berzikir mengingati Allah akan lebih tenang jiwanya. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud,

“Sesungguhnya dengan berzikir mengingati Allah hatinya akan tenang”.

Kesimpulannya, sebagai seorang hamba yang banyak melakukan dosa kekhilafan, marilah kita bersama-sama mengambil ibrah atau pengajaran daripada hadis diatas. Diharap kita semua termasuk dalam salah seorang daripada  tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat kelak, kerana pastinya naungan Allah sahajalah yang didambakan oleh setiap hamba-Nya dan dapat menyelamatkan diri kita daripada pedihnya hari perhitungan. – HARAKAHDAILY 11/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

KURANG dari sebulan dari sekarang, bulan yang amat ditunggu-tunggu dan dirindui oleh seluruh penganut agama Islam akan menjelang tiba iaitu Ramadhan. Bulan ini diwajibkan kepada semua penganut agama Islam sepertimana dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.”

Pelbagai keistimewaan di dalam bulan ini  antaranya ia penuh dengan keberkatan dan kerahmatan serta kelebihan yang diberikan oleh Allah berlipatkali ganda bagi setiap hambanya yang beriman. Selain itu, bulan ini juga melatih diri untuk menjadi seseorang yang berdisplin dalam mematuhi segala suruhan Allah.  Tetapi, apakah kita semua bersedia yang sebaiknya untuk menghadapi bulan tersebut? Terdapat beberapa persiapan yang boleh mempersiapkan kita untuk menjalani ibadah puasa ini.

Persiapan rohani

Ramadhan ialah  bulan ibadah. Semua umat Islam menunggu bulan yang penuh rahmat ini kunjung tiba kerana keistimewaan yang begitu banyak. Hal ini kerana bulan ini Allah menurunkan rahmat dan pahala yang berlipatkali ganda setiap amal ibadah yang dilakukan. Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk mempersiapkan rohani kita dalam merebut keistimewaan tersebut. Segala persiapan hendaklah dilakukan seawal yang mungkin supaya puasa kita nanti menjadi yang istimewa di sisi Allah.
 
Perbetulkan niat kita dalam setiap ibadah kita yang kita lakukan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Setiap amalan itu bermula dengan niat”. Tumpukan niat kita kepada Allah semata-mata tanpa ada anasir yang lain. Setiap niat yang ikhlas akan mendapat keredhaan Allah SWT. Berdoalah kepada Allah untuk meluruskan hati kita dalam setiap ibadah yang dijalankan. Dekatkan diri dengan al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Selain itu, latih diri untuk sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan dan juga situasi. Semoga dengan persiapan yang dilakukan dapat menjadikan puasa kita ibadah yang berkualiti.

Persiapan jasmani

Ahli saintis di negara barat telah mengkaji mengenai ibadah puasa ini. Salah satunya ialah Elson M. Haas M.D, seorang Direktor Medical Centre of Marin telah mengatakan bahawa puasa ini boleh mengubati penyakit seperti Influenza, alergi makanan dan juga asma. Beliau juga mengatakan bahawa puasa ini merupakan satu bahagian yang hilang dalam diet di negara barat. Di sini kita dapat lihat bahawa puasa mempunyai pelbagai kesenangan bagi tubuh badan kita sendiri.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan ini bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang mana menahani diri daripada makan dan minum. Satu tempoh yang agak lama untuk menjalankan ibadah tersebut. Oleh sebab itu, badan kita sendiri memerlukan tenaga yang banyak untuk menjalani ibadah puasa ini. Maka persiapkan diri dengan sebaiknya seperti berpuasa sunat pada hari isnin dan khamis.  Selain itu, bersenam juga mampu menjadikan kita cergas ketika berpuasa. Tetapi elakkan daripada sebarang aktiviti yang membuatkan badan kita terlalu letih dalam menjalani ibadah tersebut.

Persiapan ilmu

Sebagai seorang muslim yang beriman, wajib bagi kita mempelajari setiap ilmu yang Allah telah letakkan di atas muka bumi ini terutama yang berkaitan dengan ibadah puasa ini. Tidak lama lagi, kita sendiri akan menjalani ibadah puasa. Ia bertujuan untuk kita lebih memahami akan ibadah puasa dan untuk menjalankannya dengan baik dan benar agar Allah SWT terima.

Dengan mempelajari ilmu berkaitan ibadah ini, kita dapat lebih memahami dari segi pembatalan puasa, rukun puasa, sunatnya dan sebagainya. Maka sudah sepatutnya bagi kita mengkaji dan mendalami berkaitan puasa bahkan boleh juga kita mempelajari ibadah yang lain yang berkaitan dengan ibadah ini seperti solat sunat tarawih, membaca al-Quran dan sebagainya. Dengan ilmu ini, kita dapat membuatnya dengan lebih  baik dan teratur. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Barangsiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah mudahkan dalam menuntut ilmu agamaNya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Persiapkanlah diri kita dengan sebaiknya agar kita dapat menjalani dengan dan juga supaya Allah terima ibadah kita yang dilakukan. Jadi, bersediakah kita? – HARAKAHDAILY 11/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

DI Malaysia, banyak universiti yang ditubuhkan bagi menempatkan anak-anak bumiputera yang ingin melanjutkan pelajaran, sama ada dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Ijazah Doktor Falsafah. Sesetengah pelajar akan mengalami tempoh pembelajaran selama empat ke lima tahun.

Kehidupan sebagai mahasiswa bukanlah senang seperti apa yang boleh dilihat dengan mata kasar oleh masyarakat luar, tetapi banyak yang mereka tidak ketahui liku-liku mahasiswa sebelum mereka memegang segulung ijazah. Ada peribahasa yang mengatakan, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Apabila ingin mendapatkan sesuatu kejayaan atau keberhasilan di kemudian hari, perlulah merasa susah dahulu sebelum menggapai kejayaan. Hakikat menggapai kejayaan bukanlah mudah untuk dikecap kalau bukan dengan usaha dan tekad yang teguh untuk meniti lorong yang penuh onak.

Kehidupan di universiti sangat mendedahkan mahasiswa dengan kehidupan sebenar di luar sebelum memasuki ke alam pekerjaan. Kerjasama dalam kerja berpasukan, kesungguhan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan, ketekunan dalam meneliti atau menilai keberhasilan kerja, dan sebagainya.

Waktu ini juga mahasiswa juga harus pandai memilih kawan untuk susah senang bersama. Kerja berpasukan bukanlah asing lagi bagi mahasiswa dalam tempoh pembelajaran, tetapi ia menjadi satu kemestian dalam konsep belajar yang cuba diketengahkan oleh kebanyakan universiti. Ini membolehkan mahasiswa merasa diri masing-masing punya rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Tidak kurang juga banyak masalah yang sering dihadapi oleh sesetengah mahasiswa di Kampus seperti masalah percintaan yang sering berbangkit dan berlegar di pemikiran mereka. Ada sesetengah berpendapat, masa di alam universitilah masa yang sesuai dan ideal untuk mencari pasangan. Memilih pasangan di kampus ada yang mengatakan boleh melakukan tugas bersama, belajar bersama, dan akhirnya berjaya bersama. Mungkin ia kedengaran sungguh manis di halwa telinga, tetapi wujud juga impak yang sebaliknya yang akhirnya membawa kerosakan dalam membina masa depan yang sepatutnya baik dan cantik sepertimana apa yang diharapkan oleh setiap ibu dan bapa di luar sana.

Oleh hal yang demikian, hal yang banyak berlaku marcapada ini adalah mahasiswa berkahwin sewaktu di Kampus lagi dan akan menyebabkan sesetengah biasiswa akan diberhentikan seperti yang syarat yang telah dipersetujui sebelum meminjam.
    
Mahasiswa yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga selalu merungut bahawa duit yang dipinjamkan tidak mencukupi untung menampung kehidupan di Kampus.

Setelah diperhatikan gaya kehidupan mahasiswa, bukanlah ketidakcukupan duit yang diberikan oleh keperluan kehidupan mahasiswa, malah duit yang diberikan terus dihalakan ke barang-barang yang tidak diperlukan yang boleh dikatakan ia  hanyalah dikategorikan sebagai barang kehendak sahaja seperti baju yang sangat mahal harganya, makanan segera yang dibeli setiap minggu seperti KFC, barang-barang solekan dan lain-lain lagi. Hal ini yang menyebabkan berlakunya kes mahasiswa makan mi segera sebagai makanan asasi mereka di Kampus, bahkan masalah ini berpunca daripada diri sendiri.

Kehidupan sebagai mahasiswa tidak akan lengkap andai tiada assignment yang diberikan. Assignment yang diberikan adalah untuk menguji mahasiswa berada di tahap yang mana mengikut kesesuaian kemampuan mahasiswa. Sewaktu inilah bermacam-macam senario boleh dilihat. Assignment yang diberikan siap dalam masa sat akhir, ada yang mengelat jika diberi tugasan dalam bentuk kumpulan, ada yang menyiapkan tugasan sambil lewa dan sebagainya.

Hal yang demikian, ini merupakan penentu masa depan mahasiswa dalam membentuk shahsiah diri dan memungut segala kemahiran soft-skills yang diterapkan oleh tenaga pengajar yang berkelayakan.

Kejayaan itu manis andai disulam dengan rasa tanggungjawab. Peribahasa mengatakan “berpahit-pahit dahulu supaya manis kemudian”. – HARAKAHDAILY 11/5/2017

Penulis ialah pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM),

TIDAK mesti tidak dalam kehidupan seorang manusia mesti mempunyai guru. Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan
    
Diriwayatkan oleh Imam At Thabrani, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhuklah kepada orang yang mengajarmu”.
    
Melalui pesanan baginda ini, dapatlah disimpulkan bahawa baginda sangat menitikberatkan soal menghormati guru. Malaikat Jibril a.s merupakan guru kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’. Dalam peristiwa tersebut, baginda telah diajar oleh malaikat Jibril a.s untuk membaca surah Al-A’laq dari ayat satu hingga lima.
    
Begitu mulia tugas seorang guru dalam hidup setiap manusia. Kita seharusnya menghargai setiap pengorbanan guru dalam mendidik kita.
    
Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.
    
Antara objektif utama sambutan ini adalah untuk menghargai pengorbanan guru-guru dalam melahir dan membentuk anak-anak muda yang berpotensi menjadi pemangkin kejayaan negara pada masa hadapan. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pendidik dan pelajar di samping menitikberatkan soal akhlak dan adab antara pelajar dengan guru.
    
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sawajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Para sahabat dan salaf al-soleh merupakan suri teladan umat manusia yang telah memberikan banyak contoh dalam menghormati seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).” (Riwayat Ahmad).
    
Justeru, kita mestilah menghormati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka. Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan anak-anak muridnya dengan cahaya ilmu. Sebagai murid yang sangat kasihkan guru, wajarlah kita untuk bertanya khabar, menziarahi dan mendoakan mereka bukan pada tarikh 16 Mei sahaja, malah di setiap masa. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

WAHAI anak muda yang mendapat pembelajaran tinggi dalam pelbagai peringkat sama ada Sijil, Diploma, Ijazah dan sebagainya. Apabila engkau bergelar graduan bukanlah bermakna engkau paling berkuasa dan berhormat dalam kalangan manusia di dalam dunia ini. Hal ini kerana, acapkali kita mendengar akan kurangnya adab graduan universiti terhadap pensyarah dan masyarakat di sekitar universiti yang didiami. Maka perkara ini berlaku disebabkan tinggi ilmu yang dirasakan dan ego tinggi tanpa mengamalkan dan mempratikkan adab-adab yang pernah dipelajari semasa di bangku sekolah.

Fenomena mahasiswa yang selalu hadir ke kuliah atau kelas lewat dengan keadaan yang tidak bersedia untuk menimba ilmu menyebabkan akan menimbulkan kecil hati terhadap pensyarah. Maka wahai anak muda ingatlah semula adab yang pernah dipelajari sewaktu dibangku sekolah lagi, hadis riwayat ath-thabarani mengatakan  

“Wahai manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan feqh itu dengan mempelajari ilmu feqh. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”

Maka berkait dengan hadis diatas menyatakan bahawa tingginya darjat seorang guru itu. Selain itu, Islam juga sangat menitikberatkan dalam mempelajari ilmu sebagaimana ilmu fardhu ain dianggap sebagai satu kewajiban untuk umat Islam dalam dunia ini. Maka melalui gurulah yang akan menjadi pengantara untuk kita memperoleh ilmu. Justeru, sebagai graduan atau mahasiswa haruslah berfikir secara bijak dan kritis dengan menghadiri kelas seiring dengan niat yang betul.

Selain itu, cara percakapan kita juga harus dijaga supaya tidak menyinggung perasaan guru atau orang yang kita memperoleh ilmu darinya. Sebagai mana kita menghormati ibu bapa begitulah juga hormat kita kepada guru walaupun bukan mereka yang menjaga kita atau mengandungkan kita akan tetapi jangan dilupakan warga inilah yang mendidik kita akan ilmu mengira dan mengeja.

Tambahan pula, kita haruslah menghormati pensyarah dengan tidak bermain gajet semasa proses pembelajran. Hal ini kerana akan menjadi ketidakselesaan suasana pembelajaran kerana menimbulkan anggapan negatif terhadapa pensayarah yang mengajar kerana mereka menganggap pelajar-pelajar tidak mengambil perhatian terhadap pembelajaran yang diajar dan seperti kata orang mereka syok sendiri.

Justeru itu, anak-anak muda haruslah menanam niat yang betul sebelum menuntut ilmu bukan hanya menghadiri kelas dengan hanya melepasi syarat Universiti. Selain itu, gajet seperti telefon bimbit dan computer ini bukan bermakna tidak boleh langsung digunakan semasa proses pembelajaran tetapi kita sebagai mahasiswa haruslah menggunakan pada tempatnya.

Justeru itu, sempena hari pendidik yang disambut oleh semua golongan tenaga pengajar pada 16 Mei ini akan melahirkan kemeriahan dan kebanggaan dalam jiwa pendidik kerana mereka dapat melahirkan anak-anak muda yang berjaya du dunia dan akhirat seperti bukan sahaja Berjaya dalam segi kerjaya dan gaji yang besar akan tetapi selari dengan nilai murni dan akhlak yang mulia. Hal ini kerana, perkara inilah yang menjadi faktor utama  warga pendidik. – HARAKAHDAILY 8/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia