Fesyen muslimah menurut Islam

Surat Pembaca
Typography

ADAKAH berfesyen dibenarkan dalam Islam? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan.

Jelas disini, Islam telah memberi kebenaran kepada umatnya supaya berhias. Hadis daripada Abdullah Ibnu Masu’d r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun sebesar zarah. Maka telah berkata seorang lelaki kepada baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” (Riwayat Imam Muslim).

Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk berfesyen malah baginda menerangkan bahawa Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekeliling.

Seperti yang kita ketahui pakaian menjadi salah satu keperluan asas sejak zaman-berzaman. Jika diteliti, dunia fesyen sekarang semakin berkembang sehingga mempengaruhi pemakaian penampilan menerusi pemakaian hijab mahupun pakaian itu sendiri.

Kini, perkembangan pelbagai teknologi media sama ada dalam bentuk percetakan mahupun elektronik telah menyebarkan maklumat tentang perkembangan dan perubahan imej fesyen Islam yang semakin popular. Kepelbagaian bahan media ini telah memberi ruang kepada muslimah untuk mencuba sesuatu fesyen baru.

Dunia fesyen berkembang luas dan semakin ramai pihak menceburi  bidang ini. Bukan itu sahaja, malah masyarakat kini lebih gemar berfesyen berbanding masyarakat dahulu yang menggunakan pakaian hanya sebagai penutup aurat. Persoalannya, adakah pakaian berfungsi sebagai fesyen atau penutup aurat? Husna Hassan, kolumnis majalah Solusi, ada menyatakan dalam penulisannya bahawa majoriti setiap helaian pakaian yang direka dan dipertontonkan oleh muslimah kini antara wanita muslimah dan yang lain. Namun, apa yang menyedihkan, kebanyakan fesyen yang ditonjolkan tidak mengikut cara pemakaian yang sebenar dalam Islam.

Sebagai seorang muslimah, saya melihat ramai dikalangan wanita kini berfesyen tanpa menjaga etika pemakaian cara Islam yang betul. Sebagai contoh, memakai tudung tetapi berbaju ketat dan berseluar ketat. Bagi mereka, dengan menutup kepala sudah dianggap menutup aurat.

Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslimah dalam pemakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:

-Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
-Pakaian hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan.
-Pakaian tidak menyerupai lelaki.
-Pakaian itu mestilah diperbuat daripada kain yang tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan.
-Bertudung sehingga paras dada.
-Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah turunkan kepadamu pakaian untuk melindungi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Oleh yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raf: 26)

Penurunan ayat ini, adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT supaya wanita muslimah wajib menutup aurat mereka kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, wajiblah bagi muslimah itu  bertudung.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan bersederhana supaya agama lain dapat melihat bahawa Islam itu agama yang indah. Bagi saya, tuntutan berfesyen terpulang kepada si pemakai sama ada pakaian itu sekadar berfesyen atau sebaliknya. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia