Media sosial sebagai inisiatif perkasa dakwah

Surat Pembaca
Typography

DALAM era zaman globalisasi kini yang mendedahkan masyarakat terhadap kemajuan teknologi yang pesat dengan kepantasan internet tanpa had, dapat lihat bahawa media sosial adalah salah satu medan dakwah yang penting dan sesuai dilakukan untuk meningkatkan dakwah Islam. Konsep dakwah merupakan aspek penting bagi mencapai kebaikan dan kejayaan dalam kehidupan. Berkait dengan itu, pendekatan media sosial mampu membuahkan hasil yang baik dalam berdakwah terhadap masyarakat umumnya.
       
Media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan melalui aplikasi-aplikasi tertentu seperti Facebook, Twitter dan Wechat. Media sosial juga merangkumi blog, forum dan rangkaian sosial. Dakwah pula merupakan suatu interaksi penyampai dan penerima melalui pelbagai cara yang bertujuan untuk menyeru masyarakat mahupun individu itu sendiri untuk beriman dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya bersesuaian dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islam.

Dakwah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud ajakan dan seruan sebagaimana frasa dalam bahasa arab yang membawa erti “Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”. Kita hendaklah berdakwah kerana Islam mengajar dan menegaskan kepada kita untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan  seperti mengajak untuk tolong menolong sesama jiran  yang berada dalam kesusahan. Contoh ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Maidah, ayat yang ke 2 yang bermaksud, “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan”. Kita juga ditegaskan supaya membawa masyarakat untuk keluar daripada lembah kemaksiatan dan keburukan seperti perbuatan melakukan zina yang sudah terang lagi bersuluh mengenai pengharamannya.
      
Berdakwah dalam media sosial merupakan inisiatif yang berkesan dan memberi implikasi positif . Implikasi melalui penggunaan media sosial ini dapat dilihat melalui sudut masyarakat dan individu itu sendiri. Implikasi terhadap individu melalui pendekatan dakwah memberi kesan apabila seseorang individu mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Dakwah yang disebarkan memberi jalan lurus kepada manusia untuk sentiasa melakukan perintah Allah mengikut acuan yang betul. Faktor penting implikasi terhadap individu ini ialah kembali mentaati perintah Allah.  Hal ini disebabkan oleh ukuran Allah adalah melalui takwa kepada-NYA. Allah tidak melihat pangkat atau kedudukan seseorang hambaNYA ataupun paras rupa.

Melakukan perintah Allah seperti solat menjadi kewajipan dalam beragama manakala dakwah memberi kesan terhadap kebaikan masyarakat sosial, apabila masyarakat hidup bersatu padu dan aman harmoni tanpa persengketaan. Hasil daripada implikasi dakwah Islam yang dibuat, ia dapat membendung kemaksiatan dan kemungkaran.
       
Dalam pada itu, penyebaran dakwah melalui media sosial menjadi keutamaan kerana mampu mensasarkan lebih ramai target melalui pendedahan dakwah yang dilakukan atas tujuan menyeru kepada kebaikan. Sebagai contoh, seorang pendakwah berceramah tentang adab menyambut tetamu melalui aplikasi Facebook.

Facebook merupakan antara aplikasi kegemaran yang digunakan oleh masyarakat  pada zaman kini untuk berkongsi cerita dan berhubung dengan kawan-kawan. Hal ini bukan sahaja dapat memberi impak apabila dilihat oleh masyarakat Islam, akan tetapi ia juga berupaya menarik kaum lain untuk sama-sama memahami keindahan Islam sebagai agama yang benar malah mampu mengangkat lebih ramai manusia untuk kembali mentaati Allah SWT apabila menjadikan media sosial ini sebagai wadah untuk menyampaikan dakwah Islam.

Sehubungan dengan itu, apabila pendedahan ilmu agama tidak dapat diterapkan dalam diri masyarakat rentetan cabaran yang besar telah berlaku di Malaysia seperti pengaruh budaya kuning yang melanda masyarakat Islam kini, faktor ini dapat mengelirukan umat Islam seterusnya memesongkan akidah disebabkan pendedahan hiburan yang melampau dan penyebaran agama sesat yang semakin berleluasa kini.

Kita seharusnya berdakwah atau menyeru masyarakat supaya keluar dari kepompong kejahilan kerana salah satu sebab diri mudah melakukan kejahatan adalah kerana kurang ilmu pengetahuan dan semua ini berkait rapat dengan agama kita. Dunia dahagakan ilmu pengetahuan yang meluas terutamanya ilmu agama.
      
Kita mesti menggunakan pendekatan media sosial dengan cara yang baik bukan melakukan benda yang tidak sepatutnya seperti menyebarkan fitnah, mengecam mana-mana pihak dan sebagainya yang boleh mendatangkan masalah lain seperti pergaduhan. Sabda Rasulullah SAW menurut riwayat Ummu Habibah yang dikeluarkan Tarmizi dan Ibnu Majah, “Tiap-tiap perkataan anak Adam adalah bencana atasnya, tidak baginya (iaitu tidak ada yang bermanfaat baginya), kecuali menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan dan ingat kepada Allah”.

Hal ini menunjukkan bahawa kita mesti meninggalkan perkara yang tidak berguna sebagaimana contoh lain seperti mengumpat, mencaci dan menghina orang lain seterusnya berdakwah dengan menyeru kepada kebaikan bagi memperoleh manfaat untuk diri, masyarakat dan negara.
     
Tambahan pula, jika kita faham dengan konsep sebenar dakwah itu sendiri, sebenarnya dakwah ini adalah satu didikan dan didikan tersebut bukanlah kepada ilmu agama semata-mata akan tetapi merangkumi kesemua ilmu yang ada. kita dapat menyumbang dari  pelbagai aspek sebagai contoh melalui bidang perniagaan, sesetengah penjual menjual barang yang tidak berkualiti pada harga yang mahal secara keterlaluan dan tidak adil sehingga membebankan pembeli. kita mengajak masyarakat supaya jangan menipu ketika berniaga.  

Masyarakat memerlukan nasihat itu dan salah satu jalannya adalah dengan berdakwah. Jika kita lihat keadaan teknologi zaman sekarang, media sosial adalah salah satu jalan yang sesuai digunakan untuk menyampaikan seruan kebaikan tersebut.
      
Justeru, peranan media sosial yang meluas dan boleh dikatakan menjadi keutamaan generasi Y kini amat penting dalam penyampaian dakwah. Dakwah adalah perlu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikan dari ku walaupun satu ayat”. Berdasarkan riwayat Al- Bukhari  ini telah menunjukkan bahawa dakwah adalah penting untuk dilakukan yang mana nabi Muhammad SAW menyuruh untuk berdakwah dan menyampaikan dakwah tersebut melalui pelbagai cara walaupun hanya satu ayat yang digunakan untuk menyeru masyarakat melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sesungguhnya dakwah itu dituntut dalam Islam. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.