Sayang anak, ubah diri

Surat Pembaca
Typography

ANAK adalah anugerah Tuhan sebagai pengikat kasih sayang dan mewarisi keturunan kita. Tetapi berapa ramai yang mampu untuk mendidik anak-anak pemberian Tuhan ini pada jalan yang sebetulnya.

Mungkin anak-anak boleh dijaga, diberi makan minum sekolah dan sebagainya, tetapi mendidik untuk menjadi manusia, bagaimana?

Salah satunya adalah percakapan ibu bapa itu sendiri terhadap anak-anaknya. Ada yang berkomunikasi dengan cara yang baik, ada juga yang berkomunikasi dengan menjerit. Malah perkataan yang tidak sesuai turut digunakan bagi sebilangan ibu bapa.

Realitinya, Islam mengamanahkan ibu bapa untuk mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih suci), maka ibu bapalah yang bertangungjawab sama ada menjadikannya Yahuidi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim).

Menurut Dr. Ming-Te Wang, profesor bidang psikologi pendidikan di University of Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat, memarahi anak dengan suara tengkingan boleh merosakkan keperibadian mereka semasa sedang membesar. Berikut kesan buruk yang boleh berlaku kepada anak.

1. Rasa rendah diri. Apabila ditengking apatah lagi disusuli dengan kata-kata melabel anak dengan perkara negatif akan membuatkan anak rasa rendah diri. Mereka akan menganggap diri mereka sebagai anak yang tidak berharga.

2. Agresif. Semakin kerap ibu bapa menengking dan bercakap kasar dengan anak, semakin tinggi risiko anak mempunyai perilaku agresif dan suka memberontak. Semakin mereka membesar, mereka tidak takut untuk berlaku kasar pada kawan-kawan seperti memukul, menolak dan menggigit.

3. Ketakutan. Anak yang kerap dibebel serta diherdik akan membesar sebagai kanak-kanak yang penakut. Sifat ini akan menyukarkan mereka untuk bersosial dengan kawan-kawan serta mengurangkan kebolehannya menyelesaikan masalah.

4. Sukar beri tumpuan. Kesan jika selalu ditengking akan membuatkan anak boleh mengalami gangguan tumpuan.

5. Cakap kasar. Akibat selalu mendengar orang menengkingnya, jangan terkejut jika anak juga akan pandai menengking orang lain termasuk anda.

Anak kecil ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan anak tersebut mengikut acuan dan kemampuan masing-masing agar corak yang terhasil adalah corak yang terbaik dan paling cantik perlakuannya. Kelakuan mereka memang kadang kala buat kita rasa nak menjerit tapi bila tahu kesan buruknya lebih baik kita simpan tengkingan tersebut dan cuba untuk bercakap lemah lembut dengan mereka. – HARAKAHDAILY 6/4/2017