Awas dedalu dalam PAS

Surat Pembaca
Typography

PEPATAH melayu ada menyebutkan “seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu : hinggap ke batang, batangnya mati; hinggap ke ranting, rantingnya patah”. Maksudnya orang yang jahat (khianat) apabila berhimpun dengan orang baik-baik, nescaya binasalah orang baik-baik itu.

Begitulah parti PAS ini, sentiasa dipenuhi dengan watak-watak ikhlas yang hanya menawaitukan diri mereka untuk melihat Islam tertegak di atas muka bumi Allah ini. Dalam hati mereka, tiada apa yang lebih patut diperjuangkan melainkan hanya untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Segala wang ringgit, masa dan tenaga disalur semampu mungkin. Hujan itu umpama panas, panas itu umpama hujan, mereka meredah tanpa mengira keadaan. Kekadang hati sayu melihat pengorbanan mereka yang tidak mampu kita ikuti. Siapalah kita.

Nama pun perjuangan Islam, lebih banyak susah dan kalah daripada senang dan menang. Tapi mereka juga manusia. Kalau kalah, mereka sedih, muram malah menangis juga. Apabila menang, mereka syukur, senyum dan kembalikan semula keadaan kepada Allah Maha Berkuasa yang memberi kemenangan.

Kalah atau menang, semuanya dari Allah. Mereka hanya ikut arahan pimpinan. Kalau A kata pimpinan, maka A lah yang mereka buat. Kalau esok pimpinan kata B, mereka tidak bantah. Maka B lah yang mereka laksanakan. Mereka yakin dengan kepimpinan ulama dan ulama tidak akan buat keputusan jika ia melanggar perintah Allah.

Mereka faham perjuangan dalam Islam bukan semudah A, B atau C. Tapi selepas penat lelah berjuang, minum ABC berjemaah lebih menyeronokkan. Penat panjat tangga pasang bendera mereka lupakan. Bimbang anak isteri ditinggal dirumah mereka simpankan. Pendekata pada mata orang ramai, orang PAS sentiasa gembira, walau menang ataupun kalah. Thumbs up untuk mereka.

Namun, dedalu ada dimana-mana. Di cawangan, di kawasan, di negeri malah diperingkat Pusat pun tidak terlepas. Mereka menanti saat sesuai untuk menonjolkan diri. Kononnya mereka bergerak dibelakang tabir. Tidak mahu glamor. Tidak mahu riak. Tapi dalam hati mereka...?

Ya, hanya Allah yang lebih Mengetahui niat masing-masing. Tapi tindakan mereka sentiasa dilihat  khalayak. Mereka seperti bebas, tidak suka diikat. Parti kata X, mereka buat Y. Parti nak Y, mereka buat X. Nampak berbeza tapi tetap bersama. Kerana apa? Kerana aku dedalu.

Sesuai dengan watak dedalu yang menghinggap, tentulah hinggapan mesti kena pada tempatnya. Kalau pokok sakit yang dihinggap, alamat sakit la dia. Sudah tentu pokok sihat, tegap dan subur menjadi sasaran. Tak gitu?

Kita ada mata, kita melihat. Mereka ada duit, mereka mengikat. Kalau tiada kepentingan, janganlah cuba-cuba diri nak diikat, kelak umpama hampas tebu dibuang merata, disepak sana sini. Ditanya pula soalan nakal, kenapa nak mengikat? Dah tentu lah hasil belakang hari yang akan diutamakan. Banyak pelaburan, banyaklah pulangan !!!

Nak memudahkan kerja, dicatur itu dan ini dan begitu dan begini. Kelak pelaburan yang dijana bakal berhasil. Penentang diketepikan seboleh-bolehnya. Jangan jadi pelambat kerja. Kerja kena pantas, cekap dan berwawasan.

Pengikhlas-pengikhlas parti, mereka melihat. Mereka ada telinga mereka dengar. Semuanya kawan-kawan mereka dahulu. Sama-sama bertepuk tampar. Tapi sekarang, kawan nampak dekat tapi sebenarnya jauh nak dicapai.

Apa yang dedalu nak? Tidak cukupkah apa yang mereka ada. Mengapa kawan-kawan kami dijadikan mangsa. Mereka kawan kami, jangan kata kami tidak sedih. Mereka sebantal dengan kami, jangan kata kami cemburu. Tidak sama sekali.

Kami hanya petugas parti yang melaksana setiap arahan pimpinan. Kami tiada jawatan, tiada pangkat, harta jauh sekali. Mampu kami buat, kami laksana. Tidak mampu kami buat, hanya doa keselamatan dan kesejahteraan kami titipkan. Kami tiada niat apa-apa. Hanya kerana Islam.

Petugas parti, hati-hati lah. Di kala kita kalah dan di bawah, kita bersatu bersama-sama. Tapi bila Allah kurniakan sedikit nikmat kemenangan, pasti ada dedalu yang akan menghinggap. Mereka menghisap sehingga kering. Pokok jadi layu, kering dan mati. Hati-hatilah kawan-kawanku. – HARAKAHDAILY 27/3/2017