Dato' Hussamuddin; fitnah dan neutral itu berbeza!

Surat Pembaca
Typography

SAYA ada menerima mesej pendek daripada kawan saya yang dihantar oleh bos Sinar Harian (SH) Dato’ Dr Hussamuddin Yaacub (DHY) kepada group yang beliau berada bersama. Kata beliau, mesej itu boleh disebarkan, jadi ia bukan mesej rahsia.

Saya tidak mahu menyentuh berkenaan permohonan maaf SH kerana ia dikira sebagai sudah selesai. Saya ingin sentuh ialah di dalam mesej itu antara luahan beliau yang dikira sebagai suatu sangat sukar untuk diterjemahkan ialah menjadi pihak yang neutral.

Antara isi mesejnya ialah bila menjadi neutral, kerana pasti akan ada orang yang tidak berpuas hati. Jika tersalah siar berita negatif, akan dikutuk, walaupun sebelum ini penuh dengan berita baik.

Beliau juga turut menyelar sebahagian manusia yang merasakan sebagai golongan suci, seperti memegang neraca untuk menghantar orang ke neraka. Difahami juga beliau kesal dengan caci maki pembaca yang menggambarkan hati budi mereka sendiri. Begitulah gambaran kesulitan yang beliau hadapi.

Sebagai seorang insan yang mempunyai hati dan perasaan simpati, pastinya kita terasa akan kedukaan yang sedang melanda DHY. Akan tetapi semua itu masih tidak dapat dibandingkan dengan fitnah yang dihadapi oleh Presiden PAS.

DHY dikutuk kerana kesalahan benar-benar dibuat yang fatal, iaitu SH telah menyiarkan satu fitnah yang menjuruskan persepsi jahat oleh anak buah beliau dengan mensasarkan Presiden PAS.

Manakala Presiden PAS adalah mangsanya hanya kerana beliau membawa Islam. Fitnah sudah berdekad lamanya juga berlaku ke atas beliau sebelum ini. Kalau boleh saya senaraikan beberapa.

Apa rasa hati kita jika dituduh sebagai seorang yang mengajar ajaran sesat? Apa tindakan kita jika difitnah mandi bogel di dalam kolah tempat wuduk di Masjid Rusila kerana mahu menyihir penyokongnya?

Cekalkah hati kita jika kita dituduh sebagai penyebar amanat songsang yang memecah belahkan masyarakat, kafir mengkafir, sehingga dikatakan penyokongnya sanggup mati.

Manakala amanat itu ditimbulkan setiap lima tahun bagi kempen PRU? Mungkin DHY masih ingat sehinggakan diterbitkan sebuah drama berjudul ‘Guru Yahya’ ketika itu, bagi menjadikan fitnah itu lebih berkesan.

Tidak terhenti setakat itu, beliau difitnah dengan tuduhan memakan duit derma ahli PAS dengan membeli sebuah Pajero.

Apa agaknya reaksi keluarga kita terutama isteri, apabila dicop sebagai MB yang gatal kerana difitnah berkahwin dengan seorang gadis berumur 17 tahun selepas menjadi MB?

Tidak cukup dengan itu, dilagakan pula dengan Mursyidul Am sendiri oleh orang dalam parti yang sekian lama sakit hati kepada ketuanya sendiri. Tidak cukup ruang ini untuk menyenaraikan fitnah-fitnah itu.

Namun, apakah tindakan beliau? Adakah kedengaran dia mengamuk? Bagi sesetengah kes, ya beliau membawanya ke mahkamah. Tetapi dalam banyak kes, beliau hanya menyerahkan urusan itu kepada Allah.

Diceritakan bahawa beliau hanya membelek kembali al-Quran bagi menenangkan jiwa beliau akibat bahana fitnah itu dengan memujuk hati, ujian yang tertimpa ke atas para Anbiya', lebih dahsyat.

Wartawan akhbar DHY telah membuka ruang fitnah, ia tidak terhijab lagi. Sebaran itu bagaikan tiada dia merasakan dosa dan pahala.

Bagi saya, tidak salahnya jika SH berpihak. Berpihaklah jika dirasakan itulah yang terbaik. Tiada salahnya juga jika hanya memberitakan tentang sisi baik pihak tertentu. Atau mahu memberikan gambaran gelap sahaja kepada sesuatu pihak. Namun syaratnya ialah, ia mesti berita benar.

Isunya sekarang, wartawan SH sudah mengfitnah, dan DHY mengeluh sukar melaksanakan tugas meneutralkan akhbar SH. Jauh itu Dato’. Belajarlah dengan Presiden PAS bagaimana menghadapi fitnah. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, insyaa Allah selamat.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
29 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 29/3/2018