Isu Pasar P. Puteh: Kenapa sukar berubah?

Surat Pembaca
Typography

PASAR Lama Pasir Puteh ditutup setelah pembinaan Pasar Baru siap. Penjenamaan semula Pasar Awam dilakukan seluruh Kelantan dengan pembinaan bangunan baru yang lebih luas bagi menampung peniaga yang ramai dan pembeli semakin bertambah ekoran pertambahan penduduk.

Kedudukan Pasar Lama Pasir Puteh yang sesak dengan ruang letak kenderaan sedikit serta keadaan kebersihan pasar yang kurang memuaskan serta aliran longkang tersumbat menyebabkan kerajaan merancang pembinaan Pasar Baru Pasir Puteh dan pasar lain di seluruh Kelantan.

Bagaimanapun konflik timbul apabila ada sebilangan peniaga dengan campur tangan politik telah enggan berpindah walau sebahagian besar peniaga telah berpindah. Peniaga Engkar memfailkan kes di mahkamah namun ditolak kerana tiada asas bagi bantahan mereka kerana lot niaga baru telah kerajaan sediakan.

Namun peniaga mengemukakan rayuan dan menunjukkan surat dari peguam mereka yang kes akan disebut 15 Mac 2018 dan bukan arahan mahkamah menyebabkan ia tidak diterima sebagai alasan perpindahan oleh Pejabat Daerah Pasir Puteh yang bertanggungjawab ke atas harta Pasar. Tindakan peniaga menghalang penjawat awam menjalankan tanggungjawab meletakkan mereka dalam risiko hadapi pendakwaan.

Khabarnya konflik timbul kerana ada penyewa lama menyewakan kepada peniaga lain dengan kadar sewaan yang tinggi menjadikan harga barangan dijual peniaga di Pasar Lama mahal. Selain keadaan pasar yang sesak dan kotor dengan perniagaan luar kawalan, tempat letak kereta yang terhad menjadikan faktor pihak Majlis Daerah merancang satu kawasan baru yang strategik di tepi laluan Bypass Pasir Puteh - Kota Bharu - Machang.

Difahamkan 80 peratus peniaga lama telah berpindah ke Pasar Baru dan selebihnya masih berdegil. Degil kerana peluang menyewakan gerai kepada peniaga lain kini tertutup kerana Pasar Baru mampu menampung peniaga yang lebih ramai. Ali Baba berjaya dihapuskan kerajaan Kelantan. - HARAKAHDAILY 14/3/2018