Jalan raya mengancam hidupan liar

Surat Pembaca
Typography

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) merasa amat terkejut dengan kekerapan berlakunya kematian di jalan raya yang melibatkan spesies terancam. Dilaporkan sejak 2011, haiwan liar seperti musang, babi hutan, marbled cats, tapirs dan lain-lain terbunuh akibat kemalangan jalan raya.
 
Dalam kalangan hidupan liar, mamalia merupakan bilangan tertinggi haiwan yang terbunuh dalam kemalangan ini, melibatkan 1,110 kematian.
 
Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (14 Julai 2016, Bernama), spesies dilindungi ini terbunuh di jalan persekutuan, negeri dan bandaran melibatkan 61 jalan dan rangkaian lebuh raya di seluruh negara.
 
Tidak mengejutkan, kebanyakan kemalangan berlaku di kawasan berdekatan hutan di mana haiwan liar cuba untuk melintas jalan untuk ke satu kawasan hutan dan kawasan hutan yang lain.
 
Walaupun SAM dan NGO hidupan liar lain mengemukakan kesan bahaya jalan raya kepada hidupan liar. Pembinaan jalan terus meningkat di seluruh negara. Kerajaan persekutuan dan negeri dan jabatan pengangkutan tempatan mengeluarkan belanjawan yang banyak untuk membina dan menaik taraf jalan.
 
Institusi pinjaman multinasional seperti Bank Dunia, membiayai pembinaan jalan yang merentasi hutan hujan, dan menempatkan peneroka yang memusnahkan hutan hujan dan budaya orang asli. Agensi pengurusan tanah awam membina beribu batu jalan setiap tahun untuk menyokong aktiviti pengeluaran sumber mereka. Kebanyakan agensi awam tidak mempedulikan kesan ekologi jalan dan cuba untuk mewajarkan jalan pembalakan memanfaatkan pengurusan hidupan liar dan awam. Walaupun kesan daripada jenis jalan adalah berbeza, secara jelas semuanya buruk dan kesan semua jalan adalah satu bencana.
 
Kematian di jalan raya memberikan kesan kesatar ke atas bilangan hidupan liar. Ancaman terbesar yang dihadaoi oleh hidupan liar adalah kenderaan yang dipandu laju di lebuh raya. Jalan yang tidak berturap dan tidak rata mengurangkan bahaya. Peningkatan dalam jumlah lalu lintas mengakibatkan lebih banyak kemalangan jalan raya dan dalam masyarakat kita yang semakin makmur bermakna lebih banyak kereta dapat dilihat di jalan raya.
 
Manakala perangkaan kematian di jalan raya mengambilkira bilangan haiwan yang terbunuh, adakah ia mengambilkira haiwan yang merangkak dari jalan akan mati selepas dilanggar? Bagaimana pula dengan bilangan reptilia, amfibia, invertebra dan burung? Ular terutamanya mudah terdedah kepada kematian di jalan raya, memandangkan keadaan jalan yang panas menarik perhatiannya. Bagaimana pula dengan ribuan serangga yang melanggar cermin hadapan kenderaan?
 
Walaupun terdapat papan tanda amaran haiwan melintas jalan, pagar halangan, lampu amaran solar, laluan haiwan, terowong dan laluan khas di lokasi yang terdapat bilangan kematian di jalan raya yang tinggi, haiwan liar terus terkorban. Persoalannya ialah: Sejauhmanakah berkesannya lintasan haiwan ini dalam memastikan pengurangan kematian di jalan raya; dan Adakah sebarang kajian dijalankan untuk mencari peratusan hidupan liar yang menggunakan lintasan haiwan yang dibina ini?
 
Pada hakikatnya, kematian di jalan raya tidak seharusnya berlaku dengan semua perancangan yang sempurna dalam kalangan pelbagai agensi sebelum pembinaan jalan dan lebuh raya melalui habitat hidupan liar.

Jalan merupakan ancaman utama kepada kelangsungan hidupan liar. Ia bertindak sebagai faktor yang mengusir yang menjejaskan corak pergerakan dan penyebaran haiwan. Pemisahan bilangan haiwan berlaku apabila akses koridor yang menggalakkan pembangunan dan pembalakan menceroboh melalui hutan negara. Pemburuan haiwan dan tumbuhan nadir yang berlaku mengancam kewujudan flora dan fauna nadir hutan.
 
Tuntutan manusia terhadap jalan baharu sebagai perhubungan memaksa haiwan liar lebih dekat dengan jalan raya dan penempatan manusia, malah lintasan hidupan liar baharu tidak dapat menyelamatkan sepenuhnya nyawa haiwan ini.
 
Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia mestilah tidak menutup mata kepada kesan negatif jalan dan lebuhraya baharu terhadap alam sekitar. Kecuaian perancangan dan pembinaan jalan baharu akan memberikan kesan besar kepada persekitaran alam sekitar dan ekosistem.
 
Kematian di jalan raya boleh dielakkan jika bada kerajaan menunjukkan keprihatinan peringkat tinggi mengenai kepentingan hidupan liar dan pemuliharaan dan perlindungannya. Apabila potensi risiko kepada alam sekitar dikenal pasti dan dinilai, dan pilihan pengurusan diteliti serta dipertimbangkan sepenuhnya, pengurus jalan, perancang dan saintis boleh bekerjasama untuk menentukan di mana tapak yang terbaik untuk jalan baharu dan mengurangkan sebarang kerosakan ekologi. – HARAKAHDAILY 13/10/2017