Kenapa ‘kiddie packs’ tidak perlu diperkenalkan semula

Surat Pembaca
Typography

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak tunduk kepada tekanan industri tembakau untuk memperkenalkan “Kiddie Packs”.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO), “tembakau membunuh sepertiga hingga separuh daripada mereka yang menggunakannya, pada purata 15 tahun.” Hujah ini sudah cukup penting untuk tidak melayan kehendak industri.

Atas alasan apakah kerajaan mesti tunduk kepada pihak industri dan kumpulan sokongan yang terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan perniagaan seperti empat persatuan kebangsaan yang mengemukakan permintaan mereka supaya diperkenalkan semula kotak rokok 10 batang? Tiada satu alasanpun.

Pada hakikatnya, Malaysia merupakan pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) WHO sejak 2005 dan pengharaman “Kiddie Packs” adalah selaras dengan Artikel 16 FCTC. Malaysia tidak boleh menarik balik keputusan yang telah dibuat sebelum ini tanpa dipandang tidak tegas oleh FCTC.

Pada awal bulan ini, empat persatuan - Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), dan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) – mengisytiharkan sokongan mereka bagi memperkenalkan semula “Kiddie Packs”.

Kami tidak terkejut dengan tindakan persatuan ini yang meletakkan keuntungan mengatasi kesihatan awam. Mereka berhujah bahawa pengharaman terhadap kotak rokok kecil bagi tempoh 10 tahun lepas tidak menangani masalah merokok dalam kalangan belia tidak menunjukkan penurunan. Penyeludupan rokok murah dipersalahkan terhadap peningkatan dalam penularan wabak merokok. Bagaimanapun, akibat tembakau yang bersifat menagihkan, pengurangan pengambilan tembakau hanya boleh diharapkan dalam jangka panjang memandangkan ia tidak akan menurun secara drastik dalam tempoh beberapa dekad daripada usaha kesihatan awam.

Penurunan wabak merokok secara perlahan telah digunakan oleh pihak industri dan persatuan peniaga yang mahukan kerajaan supaya menyerah dalam usahanya yang akan menyelamatkan kesihatan dan berjuta jiwa rakyat Malaysia. Sebaliknya, kerajaan perlu meningkatkan usaha dalam mencegah aktiviti penyeludupan dengan memperkenalkan hukuman penjara mandatori dan merampas aset mereka yang terlibat dan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang ditangkap kerana menjualnya.

Kajian pada 2005 mendapati RM2.92 bilion dibelanjakan untuk merawat tiga penyakit berkaitan merokok (kanser paru-paru, penyakit jantung iskaemik (IHD) dan penyakit sekatan pernafasan kronik (COPD). Bagaimana empat persatuan mendakwa mewakili 40,000 peruncit rokok di seluruh negara menjelaskan kepada keluarga yang kematian ahli keluarga mereka atau mati akibat penyakit berkaitan merokok yang memerlukan rawatan yang mahal?

Untuk perhatian Presma, Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa apa sahaja yang membahayakan tubuh adalah haram dan bahaya asap tembakau telah diakui oleh penyelidikan saintifik termasuk yang dilakukan oleh pihak industri sendiri. Dokumen industri menunjukkan mereka mengetahui mengenai hubungan antara merokok dan kanser pada awal 1950-an tetapi ia menafikan fakta ini kerana ingin menyelamatkan jualan tembakau.

Tambahan pula, terdapat fatwa yang dikeluarkan pada 1996 yang melarang merokok tetapi hanya Selangor dan Kedah mengumumkan bahawa merokok itu haram. Banyak masjid kini sudahpun melaksanakan kawasan bebas daripada merokok dan umat Islam digalakkan untuk berhenti merokok pada bulan puasa. Oleh itu, Presma seharusnya mengambil peluang ini dan menyebarkan fatwa daripada menggalakkan merokok.

Istilah “Kiddie Packs” merupakan satu perkataan yang menjadi pantang larang bagi industri tetapi apa sahaja yang dipanggil kotak rokok kurang daripada 20 batang ini adalah objektif industri untuk menggantikan perokok yang mati dan sakit dengan kumpulan perokok baharu yang terdiri daripada belia dan wanita.

Tembakau dan produknya adalah satu paradoks. Nikotina yang ditemui secara semula jadi dalam daun tembakau amat beracun (diklasifikasikan sebagai Racun Kelas C di bawah Akta Racun, dan Peraturan Kawalan Ubatan dan Kosmetik) dan ia lebih menagihkan berbanding Kokaina atau heroin. Asap tembakau mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia termasuk sekurang-kurangnya 70 bahan yang menyebabkan kanser dan produk tembakau bukan barangan makanan yang dikawal oleh Peraturan Kawalan Produk Tembakau di dalam Akta Makanan.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian dalam penjualan tembakau kerana wang yang dibelanjakan ke atas tabiat yang menagihkan ini boleh digunakan untuk keperluan keluarga. Kita tidak seharusnya bersimpati dengan penyeludup rokok dan peruncit rokok haram kerana mereka juga turut bersalah sepertimana mereka yang menjual dadah yang menagihkan, yang membunuh penggunanya secara perlahan-lahan. Kesihatan bukan perokok juga turut terjejas akibat bahaya asap rokok.

Produk tembakau mestilah hanya dijual oleh pelesen yang sah sahaja, bukannya oleh peruncit, memandangkan produk tembakau perlu dikategorikan sebagai produk kawalan kerana ia amat menagihkan, membunuh apabila ia digunakan sepertimana yang dikehendaki dan juga membunuh perokok pasif.

S.M Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 25/9/2017