Istimewanya melewatkan sahur

Surat Pembaca
Typography

BEBERAPA hari lagi kita akan meraikan kehadiran bulan Ramadan pada tahun ini. Bulan Ramadan pasti dinantikan seluruh umat Islam di dunia kerana bulan ini merupakan bulan pengampunan dosa.

Pada bulan Ramadan juga kita berkesempatan untuk merebut pahala sebanyak mungkin, bahkan ibadah yang sempurna pada bulan yang barakah ini akan menjadikan seseorang itu seperti bayi yang baru lahir.

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (HR. Bukhari)

Pada bulan Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan untuk mendidik diri agar mencapai ketaqwaan sebenar.

Sebelum kita memulakan ibadah puasa pada siang hari, janganlah kita lupa untuk bersahur. Ada mereka yang malas dan ada mereka yang bersahur terlalu awal sedangkan waktu Subuh masih agak lama untuk masuk waktunya. Mungkin mereka mahu menyambung waktu tidur selepas bersahur. Sudah terang lagi bersuluh, ini tidak mengikut ciri-ciri amalan Nabi Muhammad SAW yang melambatkan waktu untuk bersahur.

“Kata Zaid bin Thabit: Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh). Anas bin Malik bertanya beliau: Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut? Jawab Zaid: Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Jadi kita boleh bersahur selagi mana benar-benar belum masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang itu masih boleh lagi untuk bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak iaitu mula waktu berpuasa yang sebenar.

Daripada penjelasan Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda SAW.

“Kata isteri Baginda SAW, Aishah RA: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (Subuh).” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis Muslim pula, Baginda SAW bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

Ini bertepatan dengan kenyataan al-Quran yang maksudnya:

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam”. (Surah al-Baqarah: 187)

Tiada masalah jika bersahur dengan mengambil makanan yang sedikit walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Sudah memadai dengan buah tamar dan air putih seperti yang dilakukan Rasulullah SAW.

Kesimpulannya, melambatkan sahur mempunyai keistimewaannya tersendiri dan merupakan amalan Rasulullah SAW. Bersahur membantu kita meneruskan ibadah puasa pada siang hari dengan sempurna di bulan Ramadan. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia