Generasi muda perlu contohi Muhammad al-fatih

Surat Pembaca
Typography

MUHAMMAD II bin Murad, nama lainnya adalah Mehmed atau lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fatih. Beliau telah dilahirkan di Edirne pada tahun 1432 masihi. Sejak awal, Muhammad Al-Fatih selalu dikelilingi oleh ulama-ulama terbaik pada zamannya dan mempelajari pelbagai  ilmu, sama ada ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an, thaqafah Islam dan juga ilmu fiqh, mahupun ilmu lain seperti bahasa, astronomi, matematik, kimia, fizik, dan juga ilmu perang. Beliau dilantik menjadi sultan oleh ayahnya ketika berumur 12 tahun.
     
Beliau mempunyai kepribadian yang sangat tinggi dipandangan umum dunia. Antaranya termasuklah sikap yang cintakan ilmu. Pelbagai ilmu yang dipelajarinya sehinggakan beliau suka untuk berdamping dengan para ulama demi mendapatkan ilmu daripada mereka. Bagi generasi muda sekarang, kita sememangnya dipenuhi pelbagai teknologi yang sebahagiannya telah menjadikan kita kurang minat dalam menuntut ilmu. Oleh hal hal yang demikian, kita seharusnya mencontohi beliau yang cintakan akan ilmu. Perbanyakkan mencari kelas-kelas agama serta guru yang berpengalaman untuk mempelajari ilmu agama supaya kita dapat memahami erti kehidupan dan tidak lari dari landasan sebenar sebagai seorang muslim.

Seterusnya, Sultan Muhammad al-Fatih seorang yang mempunyai matlamat yang tinggi dalam dirinya. Keyakinan beliau dalam menentukan bahawa beliaulah yang akan menakluki kota Konstantinopel menjadikan beliau tidak berputus asa dalam mempelajari ilmu berkaitan ilmu perang serta bekerja keras membuat persiapan dalam menguasai kota tersebut. Sebagai iktibar, generasi muda tidak seharusnya terus berputus asa dalam sesuatu perkara dan perlu berusaha gigih untuk menghadapinya supaya apa yang diinginkan itu tercapai.

Dalam menghadapi peperangan untuk menawan kota Konstatinopel pula, beliau seorang yang cekap dan bijak dalam menyusun strategi supaya tentera Islam tidak bertindak melulu tanpa arah dan tuju. Perancangan yang baik dan strategi itulah yang menjadikan mereka berjaya dapat menawan kota Konstantinopel tersebut. Sebagai anak muda, perancangan yang baik dalam menyusun kehidupan seharian perlu ada supaya hidup tidak terumbang-ambing dengan perkara yang tidak berfaedah. Kadang-kadang mereka yang hidupnya melepak, merempit dan sebagainya yang tidak berfaedah, mereka tidak ada perancangan hidup dan hala tuju yang baik dan sempurna. Perkara ini boleh merosakkan minda kita serta menjadikan kita orang yang tiada masa depan.

Selain itu, walaupun sibuk dengan urusan pimpinan dan ketenteraan, Sultan Muhammad al-Fatih tidak pernah lalai dan lupa dengan ibadahnya. Ketakwaan dalam diri beliau sangat tinggi. Beliau juga menitik beratkan tentang rakyat dan pasukan tenteranya dalam ibadah harian mereka. Generasi muda pada masa ini perlu tingkatkan amal ibadah kepada Allah sentiasa bagi menjaga diri dari terjatuh dalam tipu daya duniawi yang sekarang ini banyak berlaku diakhir zaman ini. Walau sesibuk mana sekalipun kita dalam urusan duniawi, kita perlu juga mendekatkan diri kepada Allah setiap waktu supaya hidup kita sentiasa dalam rahmat dan berkat di sisi Allah.

Sultan Muhammad al-Fatih pernah berpesan “jika suatu masa kelak kamu tidak lagi mendengar bunyi bising dan gelak ketawa anak-anak riang di antara saf-saf solat di masjid-masjid, maka sesungguhnya takutlah kalian akan kejatuhan generasi muda kalian di masa itu”. Oleh hal yang demikian, kita sebagai generasi muda perlu bangkit daripada lena duniawi dan perlu kuatkan diri dalam meneguhkan bahtera Islam supaya kita tidak jatuh ditangan orang yang tidak benar dan tidak jatuh dalam kehinaan dan keburukkan. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakuliti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)