Kemanisan bersabar

Surat Pembaca
Typography

SEBAGAI hamba, kita pasti diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian mengikut kemampuan hamba-Nya. Begitu juga dengan Rasulullah SAW tidak lari daripada diuji oleh Allah walaupun diketahui Baginda seorang yang maksum iaitu bersih daripada dosa.

Dalam Allah memberi ujian kepada hambanya sama ada memberi ujian kesakitan, hilang orang yang tersayang, hilang pekerjaan namun Allah tidak pernah jauh. Ujian adalah tarbiyah Allah kepada hamba-Nya untuk lebih dekat dengan kepada-Nya. Setiap orang ditarbiyahkan dengan cara yang berbeza dan proses tarbiyah ini adalah untuk membentuk manusia menjadi lebih baik dan memperbaiki diri menjadi yang terbaik.

Rasulullah mengajarkan kita untuk bersabar dalam setiap ujian yang Allah berikan. Meskipun berat diuji dengan pelbagai rintangan. Sabar adalah salah satu ciri utama ketakwaan seseorang kepada Allah. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan”. (riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi).  

Sifat sabar sangat penting untuk mendidik hati menjadi lebih tenang dalam menghadapi musibah dan ujian. Namun, sifat ini haruslah dididik dan disemai dengan nilai keimanan dan kesedaran yang tinggi. Hal ini kerana, dalam kehidupan Allah akan sentiasa menguji kita, kerans ujian itulah yang akan menentukan tahap keimanan dan kesabaran kita kepada-Nya.

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud;

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang – orang yang sabar”. (surah al-Baqarah: 155).

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita bahawa janji Allah kepada mereka yang bersabar akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah sama ada pahala dan juga hikmah dalam urusan yang lain yang hanya Allah sahaja Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Terdapat pelbagai cara untuk mencapai kemanisan bersabar dalam menghadapi setiap ujian yang diberikan. Hendaklah kita sentiasa meminta perlindungan daripada Allah daripada syaitan yang direjam sebelum melakukan sesuatu perkara. Yakni menunjukkan setiap jiwa kita mestilah menyerahkan diri kepada Allah sebelum melakukan aktiviti dan berusaha menghindarkan diri daripada sesuatu yang boleh menyesatkan dari mengingati Allah. Dengan cara ini, kita akan lebih tenang dan positif dalam setiap perkara yang bakal dilalui.

Memupuk kemanisan sabar juga haruslah dengan memperbanyakkan amal-amal kebajikan seperti bersedekah dan menolong mereka yang dalam memerlukan. Seiring dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud;

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”. (surah al-Asr:1-3).

Jelas di dalam ayat ini untuk kita bersabar dan menjadi orang yang beruntung di sisi Allah.

Betapa Islam itu mendidik hambanya untuk lebih tenang dan sabar dalam setiap perkara yang dikerjakan. Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, maka seharusnya kita tidak mudah tewas dengan apa sahaja ujian yang diberikan. Sabar menerima ujian dan tidak mudah merungut mahupun resah gelisah. Kerana setiap musibah yang menimpa pasti ada hikmah dan tarbiyah yang ingin disampaikan oleh Allah kepada kita melalui rahmat dan kebesaran-Nya. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia