Kahwin campur: Baik atau buruk?

Surat Pembaca
Typography

PERKAHWINAN adalah perkara mulia yang dituntut agama. Rasulullah SAW sendiri menggariskan empat perkara untuk dijadikan panduan kepada umatnya dalam hal memilih pasangan, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW menasihati umatnya agar berkahwin dengan pasangan yang mempunyai latar belakang didikan agama yang teguh bagi mengelakkan pelbagai masalah timbul dalam kehidupan alam rumahtangga yang sentiasa bergolak.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ Ayat 1, yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

Antara isu lain yang berkaitan perkahwinan ialah kahwin campur. Antara kebaikan perkahwinan campur pertamanya ialah pasangan itu berpeluang untuk berkenalan di antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat dan ini bersesuaian dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan kaum.

Tidak dinafikan kelebihan lain seperti dapat melahirkan baka atau genetik yang baik dengan menerapkan perbezaan nilai budaya dalam diri anak-anak sekaligus menjadikan mereka lebih terbuka dalam berfikir.

Di samping itu, ia mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila kedua buah keluarga juga boleh mengenali dan mengetahui cara hidup yang berlainan daripada apa yang mereka lalui selama ini.

Melalui kahwin campur juga boleh meluaskan kenalan keluarga dan pandangan hidup apabila pasangan saling mempelajari budaya hidup dan adat yang bertentangan daripada kebiasaan mereka.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang punya impian dan cita-cita ingin berkahwin berlainan kaum mahupun agama terutama daripada kalangan anak muda, perlu disedari bahawa persiapan fizikal dan mental yang luar biasa hendaklah dipersiapkan bagi menghadapi onak dan duri dalam alam yang mencabar ini.

Hal ini kerana apabila kedua ibu bapa yang berlainan agama dan budaya ini bercerai, perebutan hak penjagaan anak akan berlaku dan waris mereka terpaksa memilih untuk mengikut agama ibu atau bapa.

Selain itu, pasangan yang berkahwin campur ini juga lebih terdedah kepada cabaran dalam menerima gaya hidup agama dan budaya yang berlainan yang boleh mendorong ketidakpuasan hati dan salah faham jika tiada cubaan untuk memahami dan mendalami hidup pasangan sendiri.

Campur tangan keluarga turut memberi pengaruh kerana penerimaan keluarga bergantung kepada keterbukaan mereka terhadap pegangan agama yang dianuti.

Dengan itu, penghayatan agama Islam yang sepenuhnya, sikap tolak-ansur dan saling memahami amatlah penting dalam sesebuah hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi apabila kedua pasangan merupakan berlainan agama, budaya dan warganegara bagi mewujudkan keluarga yang dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama dari Universiti Sains Islam Malaysia(USIM)