29
Mon, May

Ramadan: Adat atau Ibadat?

Surat Pembaca
Typography

BAKI beberapa hari sahaja  lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan yang mulia, bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan, bulan sangat-sangat dirindui oleh orang-orang mukmin kerana hadirnya Ramadan membawa seribu satu kelebihan dan kebaikan. Pada bulan Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

Amalan sunat diberikan pahala amalan wajib, dikurniakan lailatul qadar, diampunkan segala dosa yang terdahulu seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu;

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala akan diampunkan baginya barang yang terdahulu daripada dosanya”.

Ini adalah antara kelebihan kepada sesiapa yang beramal di bulan yang penuh berkat ini.

Pada bulan Ramadan ini, kita akan dapat lihat dalam kalangan kita akan berlumba-lumba melakukan amal soleh pada bulan ini. Masjid atau surau di seluruh negara akan penuh sehinggakan kenderaan terpaksa di letakkan di bahu-bahu jalan, ringan untuk bersedekah, berusaha untuk khatam al-Quran sebanyak yang mungkin dan banyak lagi amal soleh dilakukan.

Keadaan ini menunjukkan kepada kita perkara yang baik dan positif berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Namun malangnya, ia berlaku pada satu bulan di bulan Ramadan sahaja, seolah-olah bulan Ramadan ini menjadi adat atau menjadi ‘program’ tahunan bukannya untuk menjadikan bulan Ramadan ini sebagai titik perubahan atau masa untuk kita menambah baik lagi ibadat kita sebelum ini.

Antara puncanya adalah disebabkan kerana melakukan amal tanpa tujuan yang betul. Kedua, beramal tanpa pedoman atau dengan lebih tepatnya beramal tanpa ilmu. Beramal tanpa ilmu ini akan menyebakan amal kita tidak ada roh dan tidak memberi kesan kepada seseorang. Selain itu, beramal secara ikut-ikutan juga antara sebab atau punca sebahagian dalam kalangan kita yang beramal hanya ketika bulan Ramadan sahaja.

Solusinya adalah, pertama sekali, untuk melakukan sesuatu amal itu, hendaklah setiap daripada kita mempunyai niat yang betul dan ikhlas dalam setiap amalan yang kita hendak buat. Niat sangat penting dalam ibadah kerana setiap amalan yang kita buat akan dikira berdasarkan niat kita. Direkodkan dalam hadis yang popular iaitu Rasulullah SAW bersabda;

“sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan”.

Seterusnya, mempunyai ilmu yang mantap sangat perlu dalam beramal ibadat supaya amal kita diterima oleh Allah SWT. Jadinya, sebelum memasuki bulan Ramadan ini hendaklah belajar dahulu tentang rukun, perkara membatalkan, perkara sunat puasa, membetulkan bacaan bacaan al-Quran yakni mempelajari ilmu tajwid dan setiap amal yang lain mestilah kita tahu dahulu sebelum mengerjakanya.

Terakhir, kita hendaklah menanamkan azam yang tinggi dalam diri dan mempunyai sasaran apa yang kita hendak capai daripada amal-amal kita. Dengan gabugan ketiga-tiga perkara ini iaitu niat yang ikhlas, beramal dengan ilmu yang benar, dan mempunyai azam yang tinggi akan memperoleh seperti apa yang dijanjikan oleh Allah SWT di penghujung ayat al-Quran di atas iaitu semoga kamu bertakwa.

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita membuat persediaan yang rapi dengan menyusun jadual ibadah kita bermula dari sekarang dan terutama sekali bersedia dengan ilmu yang cukup. Kita jadikan Ramadan pada kali ini Ramadan yang terbaik daripada Ramadan yang lepas yang kita telah lalui. Semoga, apabila kita keluar daripada bulan Ramadan nanti, kita menjadi orang yang bertakwa dan orang yang istiqamah pada jalan-Nya. – HARAKAHDAILY 19/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.