Bersediakah kahwin pada usia muda?

Surat Pembaca
Typography

BENARKAH ada segelintir yang mengatakan bahawa berkahwin pada usia muda itu, indah khabar dari rupa? Tidak dinafikan kahwin muda adalah satu isu yang sering dibicarakan oleh pelajar IPT sejak akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan anak muda melangsungkan perkahwinan pada awal usia sama ada ketika masih belajar atau ketika baru sahaja memasuki alam pekerjaan atas dasar ingin menjauhkan diri daripada cenderungnya dalam lembah maksiat.

Seperti yang kita ketahui berkahwin adalah satu fitrah bagi manusia. Apabila sebut berkahwin, semuanya mahu berkahwin. Tiada yang indah selain perkahwinan. Tidak bukan? berkahwin juga satu sunnah yang sememangnya digalakkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Maka apabila mana kita berkahwin, alhamdulillah, kita sudahpun mengikut salah satu daripada sunnah Nabi. Persoalannya bagaimana kita melaksanakan sunnah itu?  

Ramai orang yang mahu berkahwin disebab untuk menghalalkan ikhtilat dengan jalan yang halal. Tapi, adakah berkahwin ini merupakan tujuannya hanyalah untuk tinggalkan maksiat? Kita jangan beranggapan selepas berkahwin, maksiat yang kita lakukan sebelum ini akan hilang. Ramai orang yang mengatakan bahawa selepas berkahwin, kita tidak akan melakukan maksiat.

Ada yang berkahwin disebabkan untuk menjaga ikhtilat. Dan ada juga yang berkahwin disebabkan melakukan penzinaan dan terlanjur, bagi mengelakkan rasa malu mereka hendaklah bertanggungjawab dengan berkahwin, Tapi, terdapat beberapa kes seperti suami curang selepas berkahwin, kes isteri curang selepas berkahwin dan sebagainya. Apakah puncanya? Hal ini kerana disebabkan sebelum berkahwin mereka sudah berlaku curang dan menjadi tabiat dalam kehidupan mereka. Justeru itu, kita jangan ingat bahawa dengan berkahwin, kita mampu untuk  tinggalkan maksiat.

Sebenarnya dalam perkahwinan terdapat banyak sebab yang perlu diambil kira dalam Islam antaranya ialah kita perlu ingat bahawa berkahwin bukan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Dan perlu meletak berkahwin itu disebabkan perintah Allah dan mahu ikut sunnah Junjungan Nabi SAW. Apa gunanya kita berkahwin tapi bukan kerana Allah? Apa guna berkahwin kalau hanya kerana nafsu? Apa guna kahwin tapi tidak ikut sunnah Nabi? Ingatlah bahawa jika kita berkahwin bukan kerana Allah, dan berkahwin kerana cinta dan nafsu semata-mata, dan akhirnya apabila dalam bahtera perkahwinan dah tidak mempunyai rasa cinta, boleh menyebabkan  pergaduhan dan konflik dalam alam rumah tangga.

Dan ingatlah bahawa kita berkahwin untuk mendapatkan takwa dari Allah SWT, sepertimana Nabi SAW yang bersabda:

مَنْ تَزَوَّجَ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الْإِيمَانِ، فَلْيَتَّقِ اللَّهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

“Barangsiapa berkahwin, dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa dengan separuhnya yang lain…” (HR Tabrani)

Kesimpulannya, berkahwin pada usia muda adalah antara perkara yang terpuji. Namun, hakikatnya isu dalam alam perkahwinan di usia muda ini ialah sangatlah mencabar, pastikan kita cukup bersedia untuk menempuh alam berumah tangga ini pada usia yang muda.

Bila kita sebut “bersedia” mahu berkahwin, bukanlah bermakna kita perlu menunggu duit yang banyak, perlu memiliki rumah, dan juga adanya kereta sendiri. Yang penting sejauh mana kita bersedia memikul tanggungjawab perkahwinan, sejauh mana kita bersedia untuk memikul segala beban dan cabaran yang bakal berlaku dalam menempuh badai ombak dalam perkahwinan. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia