Ramadan: Medan terbaik berhenti merokok

Surat Pembaca
Typography

TAHUN silih berganti dan kini bulan mulia yang dinanti oleh semua umat Islam, bulan Ramadan bakal menjelma. Seperti yang diketahui, pada bulan ini umat Islam akan menahan lapar, dahaga dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sehingga mereka berbuka. Contoh perkara yang membatalkan puasa dan popular di negara Malaysia adalah merokok.

Merokok telah difatwakan sebagai haram di negara kita atas alasan membawa kebinasaan kepada diri sendiri. Fatwa tersebut sepakat dipersetujui atas dalil Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang membawa maksud larangan pada perbuatan yang membinasakan diri sendiri. Keputusan untuk mengharamkan gejala merokok juga dipersetujui atas dalil ayat 26 hingga 27 Surah Al-Isra’ yang menyatakan larangan perlakuan yang membazir.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dr S. Subramaniam menyatakan bahawa hampir 20,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit yang disebabkan oleh rokok seperti sakit jantung dan barah paru-paru. Beliau juga menyatakan bahawa kos perubatan bagi penyakit yang disebabkan oleh rokok mencecah sehingga RM3.8 bilion dan merokok merupakan penyebab kematian terbesar bagi rakyat Malaysia dalam tempoh 30 tahun.

Bagi mereka yang merokok dan ingin berhenti daripada gejala yang tidak sihat tersebut, bulan Ramadan kali ini merupakan satu medan yang sesuai untuk berhenti daripada terus merokok dan merosakkan diri sendiri. Namun begitu, bukanlah mudah untuk berhenti merokok dengan hanya berpuasa kerana rokok mempunyai nikotin yakni sejenis dadah membuatkan penghisap rokok ketagih dan sentiasa akan kembali menghisap rokok.

Jadi, antara cara untuk berhenti merokok pada bulan Ramadan ini yang pertama adalah dengan sentiasa mengingati Allah SWT. Apabila perokok ingat akan larangan Allah terhadap perbuatan yang merosakkan diri sendiri pasti mereka berasa takut untuk melakukannya.

Kemudian, mereka yang betul-betul ingin berhenti merokok haruslah cuba untuk menjauhi daripada golongan yang merokok. Bukan mudah sebagai perokok untuk menjauhkan diri daripada perokok lain tambahan pula apabila perokok lain itu merupakan sahabat sendiri. Jadi, dalam keadaan ini individu tersebut haruslah kuat menahan diri dari terus terjebak. Katakan yang anda sudah berhenti merokok dan cuba untuk tidak mengulanginya.

Seterusnya, berhentilah merokok kerana ahli keluarga. Kos rawatan bagi penyakit yang dihidapi oleh pesakit akibat merokok ini tidak lain tidak bukan akan ditanggung oleh ahli keluarga pesakit juga. Jadi, tetapkan dalam minda bahawa merokok hanya akan membawa kesengsaraan pada ahli keluarga anda yang lain. Tambahan lagi, merokok diibaratkan seperti membakar wang dan membazir. Pada era inflasi ini, amatlah tidak wajar kita menambahkan lagi bebanan hidup dengan pembaziran.

Kesimpulannya, jadikanlah Ramadan kali ini sebagai satu peluang untuk kita menjadi umat Islam yang lebih baik dan bebas daripada rokok. Amalkanlah gaya hidup sihat dengan bersenam dan menjaga pemakanan agar kebahagiaan dapat disemai dalam kehidupan bersama ahli keluarga yang tercinta. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.