Tip kekal sihat dan cantik semasa Ramadhan

Surat Pembaca
Typography

KESIHATAN dan kecantikan merupakan salah satu nikmat dan rahmat Allah yang sangat besar diberikan kepada umat manusia. Setiap orang ingin kelihatan sihat dan cantik tidak kira dalaman dan juga luaran terutamanya pada bulan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi. Antara tip yang patut diamalkan bagi setiap insan ialah mandi sebelum subuh. Tip ini sangat mudah diamalkan dan juga banyak kebaikannya jika diamalkan setiap hari.

Menurut  kajian sains, kandungan gas ozon pada waktu pagi lebih tinggi dari waktu lain. Oleh itu, gas ozon ini juga amat penting untuk tubuh badan kita. Jika kita mandi sebelum subuh, ia bukan sahaja membersihkan malah memberikan kesegaran dan kecantikan untuk tubuh badan kita. Terdapat  enam kebaikan dan manfaat mandi sebelum subuh yang kita patut tahu dan harus mengamalkannya.

Kebaikan yang pertama ialah  jika anda memiliki lingkaran hitam di bawah mata, mandi di waktu pagi dan menggunakan air sejuk dapat mengurangkan kegelapan pada bawah mata. Begitu juga dengan kuku, ia akan menjadi lebih sihat dan tidak mudah rosak. Kulit kita juga akan kelihatan lebih lembut dan halus.

Melalui mandi sebelum subuh, ia dapat melancarkan peredaran darah. Jika peredaran darah kita lancar, tubuh badan kita akan lebih sihat, cergas, dan bertenaga. Dengan memiliki badan yang cergas dan bertenaga kita dapat melakukan aktiviti harian dan juga ibadah wajib kepada Allah dengan bersemangat tanpa rasa letih walapun berada pada bulan Ramadhan.

Kebaikan yang ketiga, mandi sebelum subuh dapat meningkatkan kesuburan dan kesihatan hormon terhadap lelaki dan wanita. Pada waktu awal pagi, kesihatan tubuh badan manusia akan mendapat reaksi yang positif malah meningkatkan hormone testosteron bagi lelaki manakala hormon estrogen untuk wanita.

Risiko darah tinggi juga dikatakan dapat dikurangkan bagi yang memiliki penyakit darah tinggi apabila mengamalkan mandi sebelum subuh setiap hari. Insya-Allah, dengan izin Allah, jika ia diamalkan selalu, mungkin kesihatan kita lebih baik dan terhindar dari segala penyakit tidak kira risiko darah tinggi  dan juga penyakit-penyakit lain.

Mandi sebelum subuh juga dikatakan dapat mengurangkan tekanan serta kita akan berasa tenang. Air yang sejuk pada waktu pagi sebelum subuh akan melancarkan kembali peredaran darah setelah lama berbaring. Bagi yang mengalami depresi atau dengan kata lain tekanan yang mungkin disebabkan bebanan masalah, inilah cara yang terbaik untuk anda menghilangkannya.

Kebaikan yang keenam mandi sebelum subuh terhadap tubuh badan kita ialah dapat meningkatkan sel darah putih. Mandi dengan air sejuk dapat meningkatkan sel darah putih yang berfungsi sebagai daya tahan penyakit serta tubuh badan kita boleh melawan virus.

Islam amat menitikberatkan kesihatan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal penganutnya. Rasulullah SAW  ada bersabda;  

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga kesihatan dan kecantikan tubuh badan kita dengan mengamalkan tip yang bermanfaat seperti mandi sebelum subuh setiap hari supaya menjadi mukmin yang kuat dan cergas dari segi fizikal, mental, emosi, dan rohani. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, kita berupaya untuk mencapai matlamat kehidupan berpandukan agama yang diredhai Allah dengan sempurna. Rasulullah  SAW ada bersabda yang bermaksud;

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim).HARAKAHDAILY 12/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia