Kehidupan dan cabaran alam universiti

Surat Pembaca
Typography

DI Malaysia, banyak universiti yang ditubuhkan bagi menempatkan anak-anak bumiputera yang ingin melanjutkan pelajaran, sama ada dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Ijazah Doktor Falsafah. Sesetengah pelajar akan mengalami tempoh pembelajaran selama empat ke lima tahun.

Kehidupan sebagai mahasiswa bukanlah senang seperti apa yang boleh dilihat dengan mata kasar oleh masyarakat luar, tetapi banyak yang mereka tidak ketahui liku-liku mahasiswa sebelum mereka memegang segulung ijazah. Ada peribahasa yang mengatakan, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Apabila ingin mendapatkan sesuatu kejayaan atau keberhasilan di kemudian hari, perlulah merasa susah dahulu sebelum menggapai kejayaan. Hakikat menggapai kejayaan bukanlah mudah untuk dikecap kalau bukan dengan usaha dan tekad yang teguh untuk meniti lorong yang penuh onak.

Kehidupan di universiti sangat mendedahkan mahasiswa dengan kehidupan sebenar di luar sebelum memasuki ke alam pekerjaan. Kerjasama dalam kerja berpasukan, kesungguhan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan, ketekunan dalam meneliti atau menilai keberhasilan kerja, dan sebagainya.

Waktu ini juga mahasiswa juga harus pandai memilih kawan untuk susah senang bersama. Kerja berpasukan bukanlah asing lagi bagi mahasiswa dalam tempoh pembelajaran, tetapi ia menjadi satu kemestian dalam konsep belajar yang cuba diketengahkan oleh kebanyakan universiti. Ini membolehkan mahasiswa merasa diri masing-masing punya rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Tidak kurang juga banyak masalah yang sering dihadapi oleh sesetengah mahasiswa di Kampus seperti masalah percintaan yang sering berbangkit dan berlegar di pemikiran mereka. Ada sesetengah berpendapat, masa di alam universitilah masa yang sesuai dan ideal untuk mencari pasangan. Memilih pasangan di kampus ada yang mengatakan boleh melakukan tugas bersama, belajar bersama, dan akhirnya berjaya bersama. Mungkin ia kedengaran sungguh manis di halwa telinga, tetapi wujud juga impak yang sebaliknya yang akhirnya membawa kerosakan dalam membina masa depan yang sepatutnya baik dan cantik sepertimana apa yang diharapkan oleh setiap ibu dan bapa di luar sana.

Oleh hal yang demikian, hal yang banyak berlaku marcapada ini adalah mahasiswa berkahwin sewaktu di Kampus lagi dan akan menyebabkan sesetengah biasiswa akan diberhentikan seperti yang syarat yang telah dipersetujui sebelum meminjam.
    
Mahasiswa yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga selalu merungut bahawa duit yang dipinjamkan tidak mencukupi untung menampung kehidupan di Kampus.

Setelah diperhatikan gaya kehidupan mahasiswa, bukanlah ketidakcukupan duit yang diberikan oleh keperluan kehidupan mahasiswa, malah duit yang diberikan terus dihalakan ke barang-barang yang tidak diperlukan yang boleh dikatakan ia  hanyalah dikategorikan sebagai barang kehendak sahaja seperti baju yang sangat mahal harganya, makanan segera yang dibeli setiap minggu seperti KFC, barang-barang solekan dan lain-lain lagi. Hal ini yang menyebabkan berlakunya kes mahasiswa makan mi segera sebagai makanan asasi mereka di Kampus, bahkan masalah ini berpunca daripada diri sendiri.

Kehidupan sebagai mahasiswa tidak akan lengkap andai tiada assignment yang diberikan. Assignment yang diberikan adalah untuk menguji mahasiswa berada di tahap yang mana mengikut kesesuaian kemampuan mahasiswa. Sewaktu inilah bermacam-macam senario boleh dilihat. Assignment yang diberikan siap dalam masa sat akhir, ada yang mengelat jika diberi tugasan dalam bentuk kumpulan, ada yang menyiapkan tugasan sambil lewa dan sebagainya.

Hal yang demikian, ini merupakan penentu masa depan mahasiswa dalam membentuk shahsiah diri dan memungut segala kemahiran soft-skills yang diterapkan oleh tenaga pengajar yang berkelayakan.

Kejayaan itu manis andai disulam dengan rasa tanggungjawab. Peribahasa mengatakan “berpahit-pahit dahulu supaya manis kemudian”. – HARAKAHDAILY 11/5/2017

Penulis ialah pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM),