Hargai pengorbanan guru

Surat Pembaca
Typography

TIDAK mesti tidak dalam kehidupan seorang manusia mesti mempunyai guru. Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan
    
Diriwayatkan oleh Imam At Thabrani, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhuklah kepada orang yang mengajarmu”.
    
Melalui pesanan baginda ini, dapatlah disimpulkan bahawa baginda sangat menitikberatkan soal menghormati guru. Malaikat Jibril a.s merupakan guru kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’. Dalam peristiwa tersebut, baginda telah diajar oleh malaikat Jibril a.s untuk membaca surah Al-A’laq dari ayat satu hingga lima.
    
Begitu mulia tugas seorang guru dalam hidup setiap manusia. Kita seharusnya menghargai setiap pengorbanan guru dalam mendidik kita.
    
Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.
    
Antara objektif utama sambutan ini adalah untuk menghargai pengorbanan guru-guru dalam melahir dan membentuk anak-anak muda yang berpotensi menjadi pemangkin kejayaan negara pada masa hadapan. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pendidik dan pelajar di samping menitikberatkan soal akhlak dan adab antara pelajar dengan guru.
    
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sawajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Para sahabat dan salaf al-soleh merupakan suri teladan umat manusia yang telah memberikan banyak contoh dalam menghormati seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).” (Riwayat Ahmad).
    
Justeru, kita mestilah menghormati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka. Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan anak-anak muridnya dengan cahaya ilmu. Sebagai murid yang sangat kasihkan guru, wajarlah kita untuk bertanya khabar, menziarahi dan mendoakan mereka bukan pada tarikh 16 Mei sahaja, malah di setiap masa. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia