Indahnya Ramadhan datang lagi

Surat Pembaca
Typography

Marhaban Ya Ramadhan

Tidak dinafikan lagi, bulan Ramadhan merupakan bulan yang amat dinantikan oleh seluruh manusia yang bergelar umat Islam di dunia ini. Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang istimewa kerana ia adalah bulan yang menuntut umat Islam berkewajipan menunaikan ibadah utama yang wajib dilaksanakan.

“Ramadhan adalah bulan yang di dalam Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta membezakan (hak dan batil). Oleh itu, barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka ia harus berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa yang sakit dalam perjalanan, maka (wajib baginya mengganti puasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan dan tidak menghendaki kesukaran bagimu, dan (dengan mengganti puasa tersebut) supaya kamu dapat menyempurnakan jumlah (hari yang telah ditentukan itu), mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, dan supaya kamu bersyukur.” (Al- Baqarah: 185)

Inilah peluang terbaik kita untuk memperbaiki disiplin kita dari pelbagai aspek kehidupan dan mendidik akhlak yang baik dengan akhlak yang terpuji dan murni. Muhasabah diri harus sentiasa dilakukan agar kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini dengan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Dalam bulan Ramadhan, perkara yang wajib dilakukan oleh manusia yang bergelar umat Islam ialah berpuasa. Puasa mendidik umat Islam menuturkan kalimah dan ucapan yang baik. Sentiasa mengungkapkan kalimah mulia kerana amalan baik adalah sedekah yang digandakan pahalanya. Elakkan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kesucian Ramadhan dan juga menyakitkan hati orang lain sama ada dengan perlakuan ataupun ucapan. Selain itu puasa juga melatih manusia menjaga hati dan juga lidah serta pancaindera lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat.” (Riwayat Imam Malik)

Selain itu, dalam bulan Ramadhan diseru kepada umat Islam untuk membaca Al-Quran dan terjemahannya. Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran diturunkan sebagaimana firman Allah Ta’ala yang membawa maksud: “Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (hak dan batil)” (Al-Baqarah: 185)

Oleh itu, manfaatkanlah waktu kita di dalam bulan Ramadhan dengan membaca Al-Quran. Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa setiap huruf Al-Quran yang kita baca adalah sepuluh pahala. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan, setiap amalan dan ibadah yang dikerjakan sudah tentunya akan dilipat gandakan pahala.

Solat tarawih berjemaah adalah sunat dilakukan pada waktu malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat pada malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari)

Seterusnya menghidupkan malam Lailatul Qadar juga adalah amalan yang harus dilakukan oleh umat Islam. Lailatul qadar adalah malam kemuliaan yang lebih baik dari seribu bulan. Menurut Quraish Shihab (dalam Tafsir Al-Quran,1997), perkataan lailat dari segi bahasa bererti “hitam pekat”. Ini kerana malam dan rambut yang hitam, keduanya dinamakan lail. Malam dimulai dari terbenamnya matahari sehingga terbitnya fajar, begitu ulama-ulama Ahlu-Sunnah mentakrifkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan”. (Al-Qadr: 3)

Iktikaf merupakan amalan yang lazim dilakukan pada bulan Ramadhan. Iktikaf dari segi bahasa adalah berdiam diri atau menahan diri dari sesuatu tempat, tanpa memisahkan diri. Dari segi istilah pula bermaksud berdiam diri di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT dengan cara tertentu, sebagaimana telah diatur oleh syariat. Seorang yang beriktikaf menyibukkan dirinya hanya untuk Allah dengan ibadah, berzikir, membaca Al-Quran, memperbanyakkan solat, dan amalan-amalan ibadah yang lain. Amalan terakhir yang dilakukan pada bulan Ramadhan ialah dengan bersedekah. Sedekah merupakan salah satu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama (afdhal) adalah sedekah di bulan Ramadhan”. (HR Tirmizi)

Dari Jabir RA dari Nabi SAW (maksudnya), “Ketika datang akhir bulan Rmadhan, langit-langit dan bumi, para malaikat menangis kerana merupakan musibah bagi umat Nabi Muhammad SAW. Dikatakan: wahai Rasulullah, musibah yang mana? Rasulullah menjawab: lenyaplah bulan Ramadhan kerana sesungguhnya doa-doa di bulan Ramadhan dikabulkan, dan sedekah diterima, kebaikan dilipat gandakan, dan azab ditolak”.

Tidak ada musibah yang lebih besar kecuali habisnya bulan Ramadhan dan ketika langit dan bumi menangis kerana habisnya anugerah dan kemuliaan ini.

Masih ada peluang dari hari terakhir Ramadhan tahun ini. Marilah kita perbanyakkan istighfar, mohon dihapuskan dosa-dosa, bersedekah, memberi tambahan perhatian kepada keluarga, infaq untuk sabilillah terutamanya dakwah, dan basahkan selalu lidah kita dengan berzikir dan selawat atas Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah memakbulkan doa-doa kita selama Ramadhan dan memberi keampunan atas dosa-dosa kita semua. - HARAKAHDAILY 7/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.