Ramadan yang dinantikan

Surat Pembaca
Typography

KEDATANGAN Bulan Ramadhan mampu mendekatkan diri dengan “Sang Pencipta lebih erat”. Berbekalkan sebulan lebih hari sahaja lagi, Umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut bulan Ramadhan yang mulia.

Ucapan yang seringkali kita dengar apabila datangnya bulan Ramadhan ialah “Ramadhan Kareem”, manakala jawapan yang dibalasnya pula “Allahhuakram”. Tahiyat atau ucapan ini merupakan simboliknya dengan kedatangan Ramadhan yakni bulan penuh barokah ini.

Pelbagai aktiviti yang menarik dapat dilakukan apabila tibanya bulan mulia ini. Di samping berpuasa yakni dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, umat Islam juga turut digalakkan melakukan aktiviti yang bermanafaat serta dapat mendidik jiwa menjadi lebih murni.

Qiamullail atau bangun sepertiga malam
Qiamullail bermaksud beribadah malam iaitu bangun pada 2/3 malam atau sekurang-kurangnya 1/3 akhir malam, bermula dari pukul 2.30 pagi hingga terbitnya fajar.  Waktu ini amat sesuai bagi umat Islam bagi melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT kerana merupakan waktu yang terbaik untuk beribadat di malam hari setelah penat seharian mencari rezeki di kala petang dan merupakan salah satu turunnya rahmat Allah ke bumi bagi hambanya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau kamu berminat menjadi seorang dari orang-orang yang mengingati Allah pada saat yang tersebut, maka hendaklah kamu lakukannya.” (At-Tirmizi)

Ibadah Qiamullail sangat digalakan di dalam Islam. Qiamullail boleh dikerjakan secara berseorangan atau secara beramai-ramai. Orang yang mengamalkan Qiamullail akan diangkat darjat dan dihapuskan dosa-dosa mereka.

Tadabbur aI-Quran
Al-Quran merupakan sebuah kitab yang suci penuh dengan kalam Allah. Ia mengandungi mutiara-mutiara yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, kita perlulah menghayati atau memahami ayat-ayat suci ini dengan lebih mendalam iaitu dengan bertadabur dan bertalaqi dengan guru yang mahir di dalam bidang tersebut bagi memahami makna balaghah yang terkandung dalam kalamulallah bukan dengan sekadar membuka dan membacanya sahaja.

Tadabbur juga dapat diertikan proses berfikir secara mendalam dan menyeluruh dengan menggunakan ketajaman mata hati supaya dapat memahami maksud Al-Quran dan dapat mencapai makna yang jauh. Hal ini kerana, dengan bertadabbur itulah umat Islam akan lebih memahami seterusnya dapat mengaplikasi dalam kehidupan seharian disamping ianya merupakan cara berinteraksi dengan al-Qur`an yang diinginkan oleh al-Qur`an sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak nafsu
Apabila menyebut bulan Ramadhan, pastinya umat Islam di Malaysia khususnya gembira kerana banyak gerai atau bazaar akan dibuka. Kemeriahan Ramadhan dapat dirasai apabila pelbagai jenis makanan akan dijual. Ia juga boleh dikenali sebagai “Syurga Makanan” kepada pengunjung yang hadir.

Namun, disebalik kemeriahan ini, pastinya akan berlaku pembaziran kepada pembeli atau penjual jika ia tidak dibendung awal. Sebagai Umat Islam kita perlulah bersederhana dalam melakukan perkara.

Pada takrif umum, membazir adalah berlebih-lebihan daripada kadar sepatutnya. Pembaziran dapat dielakkan dengan berbelanja secara berhemat. Berbelanjalah mengikut keperluan bukan dengan hanya mementingkan nafsu semata-mata.

Pembaziran ini juga merupakan salah satu cara iblis yang terkutuk dalam memujuk kita, dan telah menunjukkan kita tewas dengan godaan nafsu dek kerana sifat tamak yang menguasai diri kita.  Allah SWT juga telah berfirman dalam kitab sucinya;

 إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورً

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Al-Israk: 27)

Oleh itu, kita akan dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah SWT amat murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur di atas nikmatnya dan mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah SWT disebabkan kelalaian menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah SWT.

Kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini juga turut dirasai kemeriahan berpuasa apabila umat Islam dapat melakukan solat Sunat Tarawih bersama-sama serta dapat menambahkan amal soleh dalam mengejar pahala di sisi Allah SWT.

Justeru, kedatangan bulan Ramadhan yang barokah ini kerap ditunggu oleh Umat Islam setiap tahun apabila pahala dibulan Ramadhan ini ditambah berkali ganda dari bulan Islam sebelumnya disebabkan tutupnya pintu neraka serapatnya, dan di buka pintu syurga seluasnya bagi mereka yang beribadah kepada Allah SWT serta turunnya kitab suci Al-Quran kepada umat Islam sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)