Tokoh dunia Islam: Al-Khawarizmi

Surat Pembaca
Typography

Setiap tokoh mempunyai sifat ketokohannya yang tersendiri. Jika ditanya mengenai tokoh Islam dalam bidang ilmu matematik, sudah pasti tidak lain dan tidak bukan beliau ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi atau lebih dikenali sebagai Al-Khawarizmi.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff.  Di barat, Al-Khawarizmi dikenali dengan beberapa cara ejaan lagi, antaranya al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi, al-Karismi, al-Goritmi, dan al-Gorismi.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 780 Masihi di Bukhara, Uzbekhistan. Yang mana merupakan salah satu kota tertua di Asia Tengah.

Penglibatan beliau dalam bidang pendidikan telah membuktikan bahawa Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas. Pengetahuan dan kemahiran beliau bukan sahaja meliputi bidang syariat tetapi juga dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Oleh itu, beliau sememangnya seorang pakar ilmu yang dikagumi dan dihormati orang ramai.

Al-Khawarizmi merupakan seorang guru aljabar di Eropah.  Beliau telah menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

Dalam usia muda, beliau bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, iaitu bekerja di Bayt al-Hikmah di Baghdad.

Beliau bekerja dalam sebuah observatory iaitu tempat menekuni belajar matematik dan  astronomi.  Al-Khawarizmi juga dipercayai memimpin perpustakaan khalifah.  Beliau pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.  Beliau juga merupakan seorang penulis Ensiklopedia Pelbagai Disiplin.

Ketokohan al-Khawarizmi dapat dilihat dari dua sudut iaitu dari bidang matematik dan astronomi.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi telah memperkenalkan aljabar dan ilmu hisab. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah ‘Mafatih al-Ulum’.  Sistem nombor adalah salah satu sumbangan dari beliau dan telah digunakan pada zaman tamadun Islam.

Banyak lagi kaedah yang telah diperkenalkan oleh beliau dalam setiap karya yang dihasilkan.  Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segitiga sama juga segitiga sama kaki dan mengira luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri.  Masalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.  Banyak lagi konsep dalam matematik yang telah diperkenalkan al-khawarizmi sendiri.

Selain itu, bidang astronomi juga membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam.  Astronomi dapat ditakrifkan sebagai ilmu falaq iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad.  Ini disebabkan oleh kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada penggunaan aritmetik dan geometri sahaja.

Di samping itu, Al-Khawarizmi juga banyak menghasilkan karya-karya beliau yang tersendiri. Antaranya ialah, Al-Jabr wa’l Muqabalah, Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah, dan juga Sistem Nombor.

Bukan itu sahaja, malah banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan juga menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang.

Sebagai seorang pelajar, menguasai kemahiran dan ilmu pengetahuan secara konsisten amat penting agar ilmu itu dapat diaplikasikan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, mahasiswa pada hari ini seharusnya menjadikan Al-Khawarizmi sebagai ikon dan idola dalam diri pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai cabang-cabang ilmu hisab yang telah diperkenalkan oleh Al-Khawarizmi pada zaman dahulu seperti geometri, algebra, aritmetik dan sebagainya.

Selain itu, sebagai seorang mahasiswa yang berwawasan tinggi, ciri-ciri akhlak mulia juga hendaklah disemaikan kedalam ilmu matematik dan juga ia perlu dimasukkan kedalam ilmu-ilmu Islam yang lain. Sebagai contoh, antara akhlak yang terdapat dalam bidang matematik ini adalah penemuan aljabar yang mana melambangkan keadilan. Hal ini kerana, sifat keadilan sangat dituntut dalam agama Islam. Oleh itu, melalui asas pradigma tauhid dan sya’iyah, dapat memperkukuhkan lagi pembinaan akhlak seseorang.

Di samping memiliki akhlak yang mulia, mahasiswa juga haruslah menanam semangat yang tinggi dalam mempelajari sesuatu ilmu dan tidak mudah berputus asa untuk mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh, kesungguhan Al-Khawarizmi dalam mempelajari sesuatu ilmu telah dibuktikan oleh beliau sendiri melalui hasil-hasil karyanya yang terdahulu. Buktinya, hasil-hasil karya beliau masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

Seperti mana yang kita ketahui, beliau juga bukan hanya mahir dalam satu ilmu, bahkan mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu falsafah, muzik, kejuruteraan, falak, dan sebagainya. Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut, bukanlah hanya dipetik dengan jari bahkan memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi sehingga menjadikan beliau di antara tokoh-tokoh Islam yang berpengaruh dan terkenal pada zaman usianya yang muda.

Oleh itu, dalam menuntut ilmu sebagai seorang pelajar, mahasiswa perlulah bijak dalam mengendali dan mengatur aktiviti hariannya supaya tidak lupa akan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Kesibukan mempelajari ilmu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meninggalkan amalan-amalan wajib seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebagai contoh, sekalipun Al-Khawarizmi sentiasa sibuk mengkaji dan mempelajari ilmu-ilmu baru, tidak menjadikan beliau lupa kepada tuntutan yang wajib dalam Islam. Beliau bukan hanya dikenali sebagai tokoh yang mahir dalam pelbagai ilmu, bahkan beliau juga dikenali sebagai tokoh yang alim dan kuat dalam amal ibadah. Ini bermakna Al-Khawarizmi berjaya mengatur kehidupannya dengan baik dan berjaya mengimbangkan aktiviti hariannya antara dunia dan juga akhirat.


Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.