Berhutang adalah satu penyakit

Surat Pembaca
Typography

ORANG yang berhutang tidak diampunkan dosanya oleh Allah. Islam menitikberatkan dalam soal memberi, menerima dan membayar hutang kerana ia berhubung kait dengan hubungan sesama manusia ketika di dunia dan di akhirat kelak.  

Firman Allah bermaksud: "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Jika kita lihat hari ini, pemberi hutang pula yang segan untuk mengingati si penghutang daripada membayar hutangnya.

Pada waktu yang sama, Islam menggalakkan umatnya untuk membantu dan memberi pertolongan sesama mereka apabila dalam kesusahan, dari segi pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang untuk meringankan beban mereka yang sedang dihadapi, terutama dalam memenuhi keperluan asasi hidup.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." (Surah al-Hadid, ayat 18)

Bagaimana boleh terjadinya amalan berhutang ini?

Antara faktor yang menyebabkan terjadinya sikap berhutang itu adalah yang pertama, cuba memenuhi kehendak hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu dimiliki.

Kedua, sikap rasa tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki sehingga sanggup meminjam duit dengan orang lain demi mendapatkannya.

Ketiga, kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan, mungkin menggalakan mereka untuk berhutang.  
 
Dalam situasi sebegini, jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah yang melibatkan keperluan asasi seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pelajaran maka islam membenarkan meminjam dari orang lain. Sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya."

Kesan kepada orang yang berhutang sangatlah besar jika tidak diambil serius akan kesannya.  
 
Seseoarang yang berhutang itu tidak akan berasa tenang selagi mana hutangnya tidak dilangsaikan. Sikap suka berhutang akan menjadi satu tabiat yang akan sentiasa dilakukan sehingga susah untuk tinggalkan perangai tersebut.
 
Seseorang yang terbeban dengan hutang dan sikap tersebut mungkin akan mendorong beliau untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak seperti mencuri bagi melunaskan hutang tersebut.
 
Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya yang bermaksud: "Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.

Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat dan itulah yang paling kita takutkan jika kita berhutang dan tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Berhutang memang dibolehkan, namun menghindarinya adalah lebih baik. Setiap rezeki sudah diaturkan oleh Allah SWT. Hanya tinggal bagaimana kita menjemput rezeki tersebut agar memperolehinya dengan cara yang halal.

Justeru, marilah kita sama-sama menjauhkan diri kita dari sifat berhutang dan mengamalkan sifat yang terpuji dalam kehidupan seharian kita supaya kita tidak cenderung ke arah keburukan.

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.