29
Sat, Apr

Jangan mudah terperdaya dengan testimoni

Surat Pembaca
Typography

TIDAK dinafikan bahawa semua orang suka akan keindahan dan kecantikan serta ingin mempunyai kesihatan yang baik. Justeru mereka sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan kecantikan dan kesihatan yang diinginkan sehingga sanggup mengambil suplemen yang dijual di pasaran tanpa mengira resiko yang bakal dihadapi.

Di pasaran kini, terdapat banyak produk kecantikan (kosmetik) dan kesihatan (suplemen) telah dipasarkan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Pengguna disajikan dengan pelbagai jenis testimoni yang kononnya berjaya daripada pihak penjual. Namun tahukah anda bahawa testimoni yang dipaparkan itu boleh direka? Ini kerana ada sesetengah penjual atau pengedar yang tidak bertanggungjawab menipu pembeli atau pengguna dengan memberikan testimoni palsu.

Produk Kecantikan (Kosmetik)
Produk kecantikan yang mempunyai bahan terlarang seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin untuk mencerahkan kulit sememangnya memberi kesan pemutihan yang cepat tetapi mempunyai kesan sampingan dalam masa jangka pendek dan panjang.

Produk kecantikan yang mengandungi merkuri biasanya terkandung dalam krim siang yang dioleskan pada kulit dapat meresap melalui aliran darah. Antara kesan jangka pendek penggunaan produk yang mengandungi merkuri dalam produk pemutihan kulit termasuklah iritasi kulit, mual dan muntah manakala kesan jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, Alzheimer, Parkinson dan gangguan perkembangan janin.

Produk Kesihatan (Suplemen)
Sesetengah pesakit sanggup mengambil apa sahaja suplemen tambahan untuk menyembuhkan atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami tanpa mengetahui kemungkinan kesan buruk yang bakal mereka hadapi.

Hal ini kerana sesetengah produk kesihatan yang berada di pasaran mengandungi bahan terlarang seperti dexamethasone iaitu sejenis steroid. Antara kesan buruk pengambilan steroid dalam jangka masa yang panjang serta tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit darah tinggi dan diabetes bertambah buruk. Antara kesan lain termasuklah menyebabkan kegagalan buah pinggang, tulang rapuh, mudah dijangkiti kuman dan sebagainya.

Dalam rencana ini, saya sertakan beberapa tips sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk. Antaranya:

1.Ikut saranan doktor
Bagi pengguna yang mempunyai penyakit yang berbahaya seperti sakit buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan seumpanya mestilah ikut saranan doktor dengan mengambil ubat-ubatan yang telah dibekalkan mengikut dos yang telah ditetapkan.

Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah penjual yang kononnya produk mereka mampu menyembuhkan penyakit yang anda hadapi kerana kemungkinan produk tersebut akan memburukkan lagi tahap kesihatan anda sehingga boleh membawa maut.
Ini kerana terdapat banyak kes yang telah dilaporkan oleh media tentang kematian pesakit kerana meninggalkan ubat-ubatan yang dibekalkan kerana terpengaruh dengan testimoni dan kebanyakan mangsa penipuan terdiri daripada golongan tua.

2.Pastikan mendapat kelulusan daripada KKM
Langkah ini untuk memastikan produk yang diambil bebas daripada bahan terlarang. Walaupun produk yang berdaftar dibawah KKM belum tentu 100% selamat tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan risiko kesihatan terdedah kepada bahaya.

3.Dapatkan nasihat pakar
Pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar yang bertauliah terlebih dahulu mengenai sesuatu produk untuk mengetahui maksud dan fungsi serta keperluannya yang sebenar.
Hal ini kerana setiap badan manusia berbeza keperluannya. Contohnya orang yang alergik dan tidak terhadap sesuatu akan berbeza cara pemakaian dan pemakanannya.

4.Baca apakah kandungan dan dos bahan
Perhatikan kandungan dan dos bahan yang digunakan. Jika terdapat bahan-bahan terlarang di dalamnya, hindari daripada membelinya meskipun produk tersebut menarik dan menjanjikan hasil yang memuaskan.

Jangan terlalu obses dengan kecantikan sehingga memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding dengan kecantikan fizikal yang tidak kekal. Apabila rohani cantik, automatik kecantikan fizikal pun akan terselah. Jadi, berhati-hatilah dalam memilih produk kecantikan dan kesihatan yang berlambak di pasaran. Pengeluar dan penjual tidak akan peduli jika produk mereka memberi kesan buruk kepada pengguna asalkan mereka dapat keuntungan yang diinginkan.

Pihak KKM menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin-Jumaat, 8 pagi-5petang) untuk orang awam bertanyakan apa sahaja berkaitan produk-produk di pasaran.

Melalui atas talian, pegawai farmasi yang bertauliah dan berpengalaman akan menjawab persoalan anda dengan memberikan informasi yang betul dan tepat. Maka gunakanlah perkhidmatan yang ditawarkan bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada penjual produk yang rakus mencari keuntungan semata-mata tanpa pedulikan kesan terhadap pengguna.

Tindakan yang tegas harus diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk mengatasi permasalahan pengeluaran produk yang merbahaya.

Sebarang aduan tentang penjualan produk yang mengandungi bahan terlarang boleh dibuat menerusi Sisitem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di laman sesawang berikut: http:// moh.spab.gov.my/ eApps/system/index.do. Aduan anda mungkin boleh menyelamatkan orang ramai daripada menjadi mangsa. Anda mampu mengubahnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah:195). - HARAKAHDAILY 21/4/2017

Penulis ialah peljar Universiti Sains Islam Malaysia