Awasi penggunaan media sosial anak

Surat Pembaca
Typography

SAUDARA pengarang, baru-baru ini saya telah menyaksikan satu video realiti bagi menyokong kempen menentang grooming seksual yang hakikatnya sedang berlaku dalam kalangan remaja zaman ini.

Dalam video itu, seorang wartawan wanita telah menyamar menjadi seorang remaja polos dan berkenalan dengan lelaki asing di Wechat. Lelaki yang dikenali sebagai K’Boy itu telah menyatakan hasratnya untuk berjumpa selepas seminggu perkenalan.

Video tersebut turut memaparkan mesej bagaimana mudahnya remaja kini mengikuti orang asing yang baru sahaja dikenali.

Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana remaja terdedah pada gejala seksual dengan hanya menggunakan telefon pintar milik mereka.

Sudah menjadi lumrah seorang kanak-kanak apabila menginjak remaja, mereka lebih sukakan perhatian dan tertarik untuk berkenalan dengan rakan baru. Atas sebab itulah pelbagai jenis medium sosial saban hari timbul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Jika dahulu kita hanya punya Yahoo Messengger, MySpace dan Friendster, kini Facebook, Twitter dan Wechat semakin hangat menjadi pilihan anak muda untuk bersosial. Dunia tanpa sempadan ini boleh membunuh generasi akan datang dalam diam seperti musuh dalam selimut jika tidak dipantau oleh ibu-bapa.

Saya tidak katakan teknologi yang perlu dipersalahkan tetapi dalam usaha mahu mendedahkan dunia moden kepada anak-anak kita, janganlah kita terlalu leka sehingga terlepas pandang keselamatan anak-anak. Saya tidak mengatakan bahawa anak anda itu jahat tetapi anasir-anasir luar itulah yang membahayakan.

Pantau tanda anda sayang. Pantau tanda anda mengambil berat. Bukan bermakna tidak percaya kepada anak sendiri, tetapi lebih kepada mahu mencegah perkara buruk daripada terjadi. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. – HARAKAHDAILY 13/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia