SIAPA ahli PKR yang tidak kenal dengan Tian Chua? Nama yang sinonim dengan perjuangan Reformasi. Setiap demonstrasi dia hadir mewakili pimpinan PKR yang lain. Tidak seperti orang Cina yang lain. Beliau sentiasa di hadapan, banyak kali dipukul, diterajang, dibantai hingga koyak bajunya sebelum digari. Lori Black Maria Polis kenderaan rasminya, penjara rumah keduanya.

Beliau pernah dipenjara di bawah Akta ISA bersama Ezam dan lain-lain. Kesetiannya pada PKR tidak boleh dipertikaikan. Semua orang Melayu, Cina dan India dalam PKR senang dan percaya dengan Tian Chua kerana dia sangat sederhana dan boleh bercampur dan bersama dengan rakyat marhaen.

Satu-satunya orang Cina yang dilantik menjadi Naib Presiden PKR sejak 2004. Beliau antara orang terawal membantu Wan Azizah menubuhkan PKR bersama Azmin dan Ezam. Hampir separuh hidupnya bersama PKR.

Namun kemunculan geng Ponorogo, diketuai Rafizi Ramli yang melabelkan Tian Chua sebagai geng Kartel di bawah Azmin telah menyebabkan pergolakan dalaman yang hebat. Geng Ponorogo mahu merampas kerusi Parlimen Batu untuk menghalang Tian Chua bertanding di kerusi tradisinya itu.

Siapa Rafizi Ponorogo ini? Rafizi (selepas ini saya sebut Ponorogo sahaja) adalah bekas pelajar MCKK dan pernah menjadi Pengurus Kanan di beberapa anak syarikat Petronas. Ketika itu Mahathir masih Pengerusi Petronas.

Dan agak pelik kerana tiba-tiba Ponorogo berhenti dari Petronas pada 31 Julai 2009 sebelum menjadi Pengurus Besar Pharmaniaga pada 10 Ogos 2009. 2 hari sebelum mula bekerja di Pharmaniaga, Ponorogo kononnya bertemu secara "tidak dirancang" dengan Anwar di Kemaman pada 8 Ogos 2009 dan menjadi Pengerusi ceramah Anwar pada malam tersebut.

Kemudian selepas beberapa bulan bekerja dengan Pharmaniaga, Ponorogo tiba-tiba dilantik sebagai CEO di pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sekali gus aktif bersama PKR. Kononnya Anwar menemuinya dua kali untuk memujuknya sertai PKR. Penasihat Ekonomi Selangor ketika itu adalah Anwar. Inilah fasa permulaan Ponorogo menyerap masuk dalam PKR.

Ponorogo adalah generasi junior Anwar di MCKK dan ini mempercepatkan keakraban mereka. Di awal penglibatannya, Ponorogo menarik perhatian Anwar dan rakyat keseluruhannya dengan pendedahan skandal NFC (projek ladang lembu suami Sharizat) dan beberapa isu lain. Dari situ Ponorogo menambat perhatian ahli PKR untuk dicalonkan sebagai ahli Parlimen Pandan pada 2013 dan menang.

Hingga ke hari ini semua orang hairan macam mana dia boleh dapat maklumat tersebut dan menyebarkannya. Dan semua yang dia bongkar adalah kroni Najib bukan kroni Mahathir.

Selepas berjaya menambat keyakinan penyokong PKR, beliau mengatur fasa kedua dengan Langkah Kajang untuk menyingkir Khalid Ibrahim yang setia dengan Anwar dan menaikkan Wan Azizah sebagai MB untuk dijadikan bargain cip bagi menghalang Anwar dipenjarakan kerana kes liwat. Namun misinya gagal kerana Sultan memilih Azmin. Ponorogo ajak Pakatan menyalahkan PAS kerana membantah penyingkiran secara paksa Khalid Ibrahim dan kemudian calonkan Azmin sebagai alternatif kepada Wan Azizah. Bermula dari situ Ponorogo memulakan fasa ketiga beliau untuk membuang PAS dari Pakatan.

Mengunakan rakan tali barut dalam PAS seperti Khalid Samad, Ponorogo berjaya memecah belahkan PAS dengan menuduh Presiden PAS ingin bergabung dengan Umno. Ponorogo akhirnya berjaya memecah PAS dari dalam dan membuang PAS dari Pakatan.

Walaupun Langkah Kajang dan hasrat melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar gagal, namun cita-cita Ponorogo untuk porak-perandakan PKR baru bermula. Ketiadaan Anwar dalam PKR kerana dipenjara menyukarkan aktiviti Ponorogo kerana Kartel Azmin sangat berkuasa walaupun beliau berjaya menjadi Naib Presiden. Oleh itu Ponorogo menggerakkan fasa ke-4 dengan mewujudkan Invoke.

Semua orang tahu, Ponorogo tidak layak bertanding untuk PRU14 kerana kes BAFIA - NFC dan beliau telah bersedia dengan mewujudkan Invoke lebih awal. Invoke satu badan NGO yang wujud tanpa restu PKR, ianya satu badan haram dalam PKR.

Ponorogo membina tenteranya melalui Invoke. Daripada bersendirian ketika mula-mula dibawa masuk oleh Anwar, kini Ponorogo mempunyai tentera yang ramai. Dan dengan Invoke Ponorogo berjaya memperdayakan Wan Azizah dengan menunjukkan kekuatan Invoke sebagai alternatif kepada Kartel Azmin.

Ponorogo mengambil peluang mendapatkan sokongan Wan Azizah dan Nurul Izzah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam PKR. Ponorogo menyerang Kartel Azmin dengan memainkan persepsi bahawa Azmin berkomplot dengan PAS dan Umno merampas kerusi MB dari Azizah.

Aktiviti Invoke sangat fokus untuk menarik orang muda dalam PKR untuk bersama Ponorogo. Ponorogo juga berjaya menarik pemimpin PAN dan DAP untuk bersama Invoke dengan menawarkan tajaan bagi calon-calon seperti Khalid, Mahfuz, Mat Sabu dan lain-lain melalui projek Bina Semula Negara sempena PRU14.

Lathefa Koya yang juga ahli Majlis Tertinggi PKR mengesahkan yang Ponorogo ini tidak pernah lagi hadir Mesyuarat PKR selepas mewujudkan Invoke.

Kebangkitan fasa 5 geng Ponorogo ini disaksikan dalam proses penamaan calon-calon PKR bagi PRU14. Di mana selepas mereka berjaya bersekutu dengan Wan Azizah dengan mengambarkan Kartel Azmin akan belot selepas PRU14, Ops cantas dimulakan. Kartel Azmin bakal dihapuskan dari senarai kerusi selamat PKR dan digantikan dengan orang-orang Ponorogo dari Invoke. Tian Chua adalah salah seorang sasaran mereka selain Azmin, Zuraida, Lathefa dan ramai lagi. Sasaran mereka jelas, mereka akan cadang pindahkan calon Kartel Azmin di kawasan luar Lembah Klang yang kurang selamat atau calon-calon ini tidak dilantik terus. Geng Ponorogo menamakan calon mereka sebagai pengganti.

Selain menubuhkan Invoke sebagai tentera peribadi, Ponorogo juga melahirkan Invoke sebagai persiapan sekiranya strategi fasa ke-5 ini gagal atau jika PKR hancur dan berpecah selepas PRU14. Sekurang-kurangnya dengan Invoke beliau masih ada tempat untuk meneruskan aktiviti politiknya dengan pihak lain. Perpecahan dalam PKR ini memang dirancang dan bukannya secara kebetulan.

Ponorogo adalah Giant Assassin dalam PKR dan Pakatan dalam senyap. Beliau telah "bunuh" Khalid Ibrahim, biarkan Anwar dipenjarakan, buang PAS dari Pakatan, pecahkan PAS, tundukkan Otai Reformasi kepada Mahathir dan kini sedang menghapuskan Kartel Azmin.

Bila kita patah balik melihat sejarah Ponorogo ini bermula dalam PKR. Ianya adalah sejarah misteri. Beliau menjual nama rakannya Adlan Benar Omar atau Ben yang meninggalkan dunia pada 2008 sebagai inspirasi untuknya sertai PKR.

Walaupun beliau berkata menyokong PKR sejak di Universiti, namun beliau lewat bersama PKR. Iaitu selepas PKR sudah berkuasa dan BN kalah teruk di Selangor pada 2008. Tidak seperti Tian Chua dan Azmin, mereka bermula ketika PKR tidak punya apa-apa. Sedangkan Ponorogo hanya bertemu Anwar dua tiga kali sudah dilantik jadi CEO, kemudian jadi MP PKR dan jadi Naib Presiden PKR. Semuanya kurang dari 5 tahun.

Ponorogo disyaki spy Mahathir kerana beliau bekerja di Petronas ketika Mahathir Pengerusinya. Beliau masuk terlebih dahulu dalam PKR untuk hancurkan imej Anwar dengan idea Langkah kajang. Kononnya Anwar tidak akan dipenjara jika berjaya gadai Selangor pada BN bila Anwar atau Azizah jadi MB.

Dokumen Langkah Kajang memang sengaja dibocor supaya PAS bergaduh dengan Anwar. PAS mencalonkan Azmin dan Anwar ke penjara. Kemudian Pakatan pecah dengan PAS juga berpecah. Kini PKR pula dipecahkannya selepas mengangkat Mahathir jadi calon PM walaupun Kartel Azmin menolak.

Ponorogo sebenarnya dikatakan sudah lama bekerja untuk Mahathir. Misi Mahathir sebenarnya adalah menghapuskan semua musuh Umno-BN dari dalam tulang rusuk musuhnya sendiri. Sebab itu dia hantar Ponorogo dahulu dan kemudian selepas fasa kedua berjaya memisahkan PAS dari Pakatan, barulah Mahathir keluar Umno tubuh PPBM tapi tidak bersama PKR, manakala Rafizi tubuh Invoke juga di luar PKR.

Mahathir jika masuk PKR tidak akan jadi Presiden sebab Wan Azizah ada, nak jadi Ketua Umum pun tidak boleh sebab Anwar masih hidup walaupun dipenjara. Lagipun PKR ditubuhkan kerana Anwar dipecat oleh Mahathir.

Oleh itu Mahathir perlukan satu jawatan besar untuk memposisikan dirinya lebih tinggi atau sebaris Presiden parti-parti komponen Pakatan. Jadi menubuhkan PPBM dan jadi Penasihat adalah laluan paling mudah. Walaupun PPBM adalah parti yang sangat rapuh, tapi cukup untuk Mahathir berpijak untuk merebut jawatan Pengerusi PH dan calon PM.

PPBM sengaja dibiarkan digantung oleh ROS atas sebab strategi. Pertama, ingin tarik simpati rakyat pada Mahathir yang kononnya dibuli Najib. Kedua, sebagai alasan untuk menggunakan bendera PKR tanpa perlu jadi ahli PKR. Ini sudah dirancang awal sebab majoriti penyokong PH lebih percaya PKR dari Mahathir. Ini adalah taktik untuk kelirukan penyokong PKR dan PH. Sekali gus menukar objektif PKR heret Mahathir dan Najib ke mahkamah kepada heret Najib sahaja.

Mahathir tawan PKR dengan cara ini dan DAP serta PAN jadi bodoh, mengikut di belakang tanpa soal jawab. Memang Mahathir tak suka Najib, tapi dia lebih risau Anwar dan Pakatan yang berjaya tewaskan undi popular kepada BN pada 2013.

Jika dia tak masuk sekarang dan PH menang PRU14, dia juga akan dibicarakan. Sekarang, sama ada PH atau BN menang, dia akan selamat kerana BN belum cukup berani heret beliau ke mahkamah lantaran orang-orang BN ramai yang terlibat sama dengan penyelewengan Mahathir.

Ini cara paling mudah untuk beliau tewaskan Pakatan dengan strategi Trojan Horse. Selepas hantar Rafizi, Mahathir pula masuk untuk total disaster ke atas musuh-musuh politiknya.

Perasan tak Mahathir tidak pernah serang BN secara keterlaluan sepanjang bersama Pakatan, beliau hanya serang Najib. Sama ada Pakatan menang atau BN menang, Mahathir boleh balik kepada Umno BN pada bila-bila masa. Ketika itu rakyat sudah hilang kepercayaan kepada semua pakatan pembangkang yang selama ini menjadi saingan kuat BN.

Semua orang PH kata ini semua adalah idea gila. Mustahil Mahathir balik ke Umno. Tengok Anwar kata mereka, dari dulu hingga kini masih dengan pembangkang.

Hei! Jangan lupa, sepanjang Anwar dalam Pakatan, masanya banyak dihabiskan di penjara. Anwar lawan Mahathir, Anwar masuk penjara. Mahathir lawan Najib, Anwar juga kena penjara. Banyak projek politik Anwar terbengkalai kerana asyik dipenjarakan.

Jika dulu Pakatan kata mustahil Mahathir bersama Anwar dan DAP, kini yang mustahil itu sudah tidak mustahil. Mahathir juga sudah beberapa kali keluar masuk Umno.

Dia lawan Tunku Abd Rahman dan keluar Umno, kemudian masuk balik. Dia lawan Pak Lah, Keluar Umno kemudian masuk balik. Kini lawan Najib, keluar Umno, tunggulah dia masuk balik.

Jika Najib setuju kembalikan projek kroni beliau atau Najib berjaya dijatuhkan, Mahathir akan kembali memeluk Umno-BN. Dari Umno dia datang, kepada Umno dia akan kembali.

Ponorogo adalah buah catur Mahathir. Azmin dan Tian Chua adalah penghalang mereka dalam PKR. DAP dan PAN bersedialah. Satu persatu musuh Mahathir dalam Pakatan akan dimusnahkan.

Saya kesian tengok rakan-rakan lama dan Reformis dalam PKR sekarang. Suara mereka semakin terpinggir. Wan Azizah sebagai Presiden sangat lemah. Jika orang seperti Azmin dan Tian Chua tiada, sudah lama PKR bungkus. Wan Azizah hanya fokus untuk membebaskan Anwar. Manakala urusan politik PKR dibiarkan bergoncang. Wan Azizah sanggup gadai apa sahaja termasuk partinya untuk bebaskan Anwar.

Diharapkan rakan-rakan PKR yang benar-benar berjuang untuk rakyat menyokong PAS selepas ini. Jika PKR menang di Selangor, krisis perlantikan Menteri Besar baru akan lebih buruk keadaannya berbanding sebelum ini. Ini tidak akan menguntungkan rakyat kerana pemimpin PKR bergaduh sesama sendiri.

HERMAN SAMSUDEEN 
Bangsar South
23 April 2018 - HARAKAHDAILY 24/4/2018

SEMALAM saya membaca kenyataan Anwar Ibrahim bertajuk "Gabungan Mahathir-Anwar: Kenapa Umno takut? Ya! saya bersetuju, Umno memang takut gabungan ini kerana mereka berdua adalah bekas pemimpin utama Umno suatu ketika dahulu yang mengetahui begitu banyak rahsia Umno.

PAS bersyukur kerana mereka kini bersama pakatan pembangkang. Kerana adanya mereka berdua di pihak pembangkang, rakyat banyak tahu kezaliman yang Umno buat, termasuk apa yang mereka sendiri buat ketika bersama Umno.

Anwar ditendang keluar dari Umno oleh Mahathir. Dan selepas itu rakyat tahu banyak perkara tentang kezaliman Mahathir. Hingga Anwar berjanji jika beliau jadi PM, beliau akan heret Mahathir ke mahkamah atas pelbagai isu salah guna kuasa, Kronisme dan Nepotisma.

Kita tidak lupa Anwar bongkar bagaimana Mahathir:

●     Melambatkan proses penyiasatan ke atas kroni-kroni BN seperti Eric Chia, Zahara Sulaiman, Khir Toyo, Ling Liong Sik dan lain-lain.

●     Dana-dana awam seperti KWSP, Tabung haji, UEM, BCB, TRI, Dana Harta dan lain-lain digunakan untuk bail out syarikat kroni beliau.

●     Menyalahgunakan Akta-akta draconian seperti ISA, OSA dan Akta Cetak dan Mesin Cetak bagi tujuan kepentingan politik.

●     Menyekat kebebasan badan penguatkuasa seperti Polis, BPR, peguam Negara dan SPR.

●     Mempengaruhi integriti dan kebebasan kehakiman.

●     Menghina dan menyekat Islam seperti pecat Mufti Selangor, tolak Hudud, tarik bantuan sekolah agama rakyat.

●     Menghapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta kuasa Sultan dan YDP Agong melalui pindaan Akta.

Dan ketika Mahathir pula keluar Umno dan bersama pembangkang, sekali lagi kita didedahkan kepada kezaliman dan penyelewengan pemimpin Umno. Kali ini Najib. Dari isu Wanita Pertama yang kuat shopping, Kapal Selam, Altantuya hinggalah kepada Skandal 1MDB.

Inilah sajian mereka kepada rakyat sebaik sahaja mereka berpisah dari Umno-BN. Mereka membuktikan Umno-BN memang penuh korupsi dari satu kepimpinan kepada pimpinan lain. Tukarlah siapa pun, mereka memang koruptor atau bahasa PH, mereka ini kleptokrat.

Hanya PAS satu-satunya parti yang bersih dari sebarang tuduhan rasuah dan penyelewengan. PAS konsisten memerhati dan belajar dari pengalaman bagaimana Anwar khianati PAS dalam Krisis Menteri Besar Selangor dan Langkah kajang.

Anwar cuba memperbodohkan Presiden PAS untuk beliau melakukan kerosakan lebih besar di Selangor. Namun PAS dapat menghidu perancangan beliau untuk menjual Kerajaan Selangor kepada BN sekiranya Azizah yang menjadi Menteri Besar. Dan sebagai balasan Kes Anwar meliwat Saiful Bukhari ditarik balik. PAS terpaksa memilih untuk berbeza pendapat dan mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar walaupun hari ini, Azmin juga khianat pada PAS.

PAS sememangnya tidak terkejut bila Anwar berkata kezaliman yang Mahathir lakukan ke atasnya adalah "luka kecil" walaupun pernah dipukul, dibogelkan, difitnah, dimalukan dan dipenjara oleh Mahathir hingga dianggap setaraf dengan Mandela. Malangnya Mandela sendiri selepas dibebaskan tidak pernah bekerjasama dengan kumpulan Apartheid. Tapi Anwar pula kembali bekerjasama dengan musuhnya, kononnya demi rakyat. Walhal, demi kuasa kerana impian beliau nak jadi Perdana Menteri masih belum tercapai.

PAS sedih kerana Anwar mengkhianati rakyat khususnya kumpulan yang hadir menyokong beliau ketika era kebangkitan Reformasi. Ramai yang ditangkap dan dipenjara oleh Mahathir juga kerana sokong Anwar. Namun Kumpulan Otai Reformasi akhirnya turut menyatakan sokongan kepada Mahathir dan menjadi pengkhianat yang menjilat kembali ludah mereka kepada Mahathir.

Ini menunjukan Anwar dan pengikutnya dalam PKR tidak lebih dari "Political Animal" yang bertindak ikut nafsu dan bukannya akal kerana sanggup menggadai prinsip perjuangan untuk berkuasa.

Jika hari ini mereka boleh maafkan dan sucikan dosa Mahathir begitu sahaja, tidak mustahil jika Najib juga akan mendapat pengampunan yang sama. Sepatutnya PKR memegang prinsip yang tegas untuk terus berjanji bicarakan Mahathir dan Najib secara adil jika mereka menang.

Namun sekarang itu tidak berlaku. Sebab inilah PAS terpaksa menjauhkan diri dari Anwar dan PKR sehinggalah mereka melihat sendiri kerosakan yang mereka lakukan hari ini dengan menamakan Mahathir sebagai calon PM.

PAS tidak takut untuk berhadapan gabungan Anwar-Mahathir kerana sebelum Anwar tubuh PKR, PAS sudah melawan mereka berdua ketika mereka bersama-sama memikul bendera dacing.

Hanya rakyat yang bijak sahaja akan melihat percaturan mereka ini sebagai satu penipuan terbesar dalam politik Malaysia. Dulu ada warna hijau dan merah melawan biru tua. Sekarang tinggal hijau sahaja melawan biru tua (Old BN) dan biru muda (New BN). PAS kekal istiqamah melawan. Allahuakbar.

HERMAN SAMSUDEEN
Mid Valley City
13 April 2018 - HARAKAHDAILY 13/4/2018

SAYA ada menerima mesej pendek daripada kawan saya yang dihantar oleh bos Sinar Harian (SH) Dato’ Dr Hussamuddin Yaacub (DHY) kepada group yang beliau berada bersama. Kata beliau, mesej itu boleh disebarkan, jadi ia bukan mesej rahsia.

Saya tidak mahu menyentuh berkenaan permohonan maaf SH kerana ia dikira sebagai sudah selesai. Saya ingin sentuh ialah di dalam mesej itu antara luahan beliau yang dikira sebagai suatu sangat sukar untuk diterjemahkan ialah menjadi pihak yang neutral.

Antara isi mesejnya ialah bila menjadi neutral, kerana pasti akan ada orang yang tidak berpuas hati. Jika tersalah siar berita negatif, akan dikutuk, walaupun sebelum ini penuh dengan berita baik.

Beliau juga turut menyelar sebahagian manusia yang merasakan sebagai golongan suci, seperti memegang neraca untuk menghantar orang ke neraka. Difahami juga beliau kesal dengan caci maki pembaca yang menggambarkan hati budi mereka sendiri. Begitulah gambaran kesulitan yang beliau hadapi.

Sebagai seorang insan yang mempunyai hati dan perasaan simpati, pastinya kita terasa akan kedukaan yang sedang melanda DHY. Akan tetapi semua itu masih tidak dapat dibandingkan dengan fitnah yang dihadapi oleh Presiden PAS.

DHY dikutuk kerana kesalahan benar-benar dibuat yang fatal, iaitu SH telah menyiarkan satu fitnah yang menjuruskan persepsi jahat oleh anak buah beliau dengan mensasarkan Presiden PAS.

Manakala Presiden PAS adalah mangsanya hanya kerana beliau membawa Islam. Fitnah sudah berdekad lamanya juga berlaku ke atas beliau sebelum ini. Kalau boleh saya senaraikan beberapa.

Apa rasa hati kita jika dituduh sebagai seorang yang mengajar ajaran sesat? Apa tindakan kita jika difitnah mandi bogel di dalam kolah tempat wuduk di Masjid Rusila kerana mahu menyihir penyokongnya?

Cekalkah hati kita jika kita dituduh sebagai penyebar amanat songsang yang memecah belahkan masyarakat, kafir mengkafir, sehingga dikatakan penyokongnya sanggup mati.

Manakala amanat itu ditimbulkan setiap lima tahun bagi kempen PRU? Mungkin DHY masih ingat sehinggakan diterbitkan sebuah drama berjudul ‘Guru Yahya’ ketika itu, bagi menjadikan fitnah itu lebih berkesan.

Tidak terhenti setakat itu, beliau difitnah dengan tuduhan memakan duit derma ahli PAS dengan membeli sebuah Pajero.

Apa agaknya reaksi keluarga kita terutama isteri, apabila dicop sebagai MB yang gatal kerana difitnah berkahwin dengan seorang gadis berumur 17 tahun selepas menjadi MB?

Tidak cukup dengan itu, dilagakan pula dengan Mursyidul Am sendiri oleh orang dalam parti yang sekian lama sakit hati kepada ketuanya sendiri. Tidak cukup ruang ini untuk menyenaraikan fitnah-fitnah itu.

Namun, apakah tindakan beliau? Adakah kedengaran dia mengamuk? Bagi sesetengah kes, ya beliau membawanya ke mahkamah. Tetapi dalam banyak kes, beliau hanya menyerahkan urusan itu kepada Allah.

Diceritakan bahawa beliau hanya membelek kembali al-Quran bagi menenangkan jiwa beliau akibat bahana fitnah itu dengan memujuk hati, ujian yang tertimpa ke atas para Anbiya', lebih dahsyat.

Wartawan akhbar DHY telah membuka ruang fitnah, ia tidak terhijab lagi. Sebaran itu bagaikan tiada dia merasakan dosa dan pahala.

Bagi saya, tidak salahnya jika SH berpihak. Berpihaklah jika dirasakan itulah yang terbaik. Tiada salahnya juga jika hanya memberitakan tentang sisi baik pihak tertentu. Atau mahu memberikan gambaran gelap sahaja kepada sesuatu pihak. Namun syaratnya ialah, ia mesti berita benar.

Isunya sekarang, wartawan SH sudah mengfitnah, dan DHY mengeluh sukar melaksanakan tugas meneutralkan akhbar SH. Jauh itu Dato’. Belajarlah dengan Presiden PAS bagaimana menghadapi fitnah. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, insyaa Allah selamat.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
29 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 29/3/2018

AKHIRNYA mati. Jangka hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau turut digelar ramai penganalisis politik tempatan dengan panggilan Parti Bunga muktamad tidak akan bertahan lama.

Kemungkinan besar pada 30 Mac ini, tempoh hayat parti serpihan Umno itu sudah lengkap berada di penghujung jika pucuk kepimpinannya masih lagi gagal mengikut segala peruntukan undang-undang pertubuhan di Malaysia.

Parti rekaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu berdepan tindakan pembatalan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana tidak menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki agensi itu.

Ia sepatutnya dikemukakan dalam masa 30 hari, berkuat kuasa 28 Februari lalu, waima keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan 1966 sebenarnya adalah hanya tujuh hari bagi memberikan maklum balas.

Ironi Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim masih bertimbang rasa dengan memberikan parti bunga itu masa yang jauh lebih panjang, iaitu genap 30 hari. Malangnya, apa yang dipohon oleh RoS itu masih belum lagi diserahkan.

Dengan tempoh hanya seminggu sahaja lagi, maka kelihatan sudah hampir pasti PPBM akan dibatal pendaftaran. Jika berlaku, siapakah yang untung? 

Sudah pasti ada pihak akan ‘berdrama’ konon simpati kepada parti berkenaan. Puak ini tentu menganggap pihak kerajaan konon ada agenda tersembunyi, walhal kesalahan sebenar terletak pada pemimpin PPBM sendiri yang mustahil kalau mereka sendiri bodoh mengenai peraturan ditetapkan ROS selama ini.

Sedangkan pemimpin tertingginya iaitu Mahathir, pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin pula pernah menjawat posisi dalam jemaah Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bayangkan tiada cawangan dan bahagian buat mesyuarat, tiba-tiba boleh pula PPBM mengadakan Persidangan Agung Tahunan, malahan tiada laporan mengenai jumlah keahlian dan penyata kewangan parti didedahkan pun!

Disebabkan enggan ikut arahan, maka mereka ‘tuding jari’ kepada kerajaan. Apapun bagi Mahathir, tidak kelihatan risau jika pendaftaran PPBM dibatalkan kerana beliau pernah menyatakan sedia bertanding atas tiket DAP.

Bukan kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mahu bersara dari politik, tetapi kerana sudah bersiap sedia untuk ‘salin kulit’ menjadi sebahagian dari darah daging DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ini.

Perkara ini tidak mustahil berlaku. Niat Mahathir membuat ‘come back’ ke arena politik bukanlah untuk perjuang nasib rakyat. Beliau sekadar mahu melihat anak kesayangannya, Mukhriz berjaya memanjat kuasa di Putrajaya.

Jika Mukhriz berjaya tawan Putrajaya, adakah harapannya untuk membawa pulang trillion Ringgit Malaysia seperti yang didakwa menerusi internet sebelum ini, akan tercapai? Dakwaan berkenaan bukan satu rahsia baharu lagi.

Taip sahaja perkataan `harta Mahathir’ dalam enjin carian siber, bersepah isu berkenaan diperkatakan netizen. Hanya menunggu masa Mahathir untuk tampil menjawab sahaja persoalan mengenai kekayaan anak-anaknya itu.

Apabila Mahathir bertanding menggunakan logo DAP sebagai calon ketika PRU ke-14 kelak, maka lenyaplah sudah segala perjuangan dan doktrinisasi tegar beliau selama puluhan tahun sewaktu dalam saf Umno dan BN dahulu.

Hilanglah semua kecaman keras beliau terhadap DAP, iaitu parti yang dikatakannya sebagai rasis dan cauvinis anti-Melayu. Malah lenyaplah sudah dakwaannya bahawa DAP mahu membina negara sekular anti-Islam di Malaysia.

DAP selepas ini di mata Mahathir adalah sebuah parti paling mulia. Apa yang pasti, orang Melayu telah berjaya ditipu oleh kelicikan Mahathir hipokrit kerana sanggup bekerjasama dengan DAP.

H AMREE AHAMAD Mynewshub.cc - HARAKAHDAILY 27/3/2018

 

PASAR Lama Pasir Puteh ditutup setelah pembinaan Pasar Baru siap. Penjenamaan semula Pasar Awam dilakukan seluruh Kelantan dengan pembinaan bangunan baru yang lebih luas bagi menampung peniaga yang ramai dan pembeli semakin bertambah ekoran pertambahan penduduk.

Kedudukan Pasar Lama Pasir Puteh yang sesak dengan ruang letak kenderaan sedikit serta keadaan kebersihan pasar yang kurang memuaskan serta aliran longkang tersumbat menyebabkan kerajaan merancang pembinaan Pasar Baru Pasir Puteh dan pasar lain di seluruh Kelantan.

Bagaimanapun konflik timbul apabila ada sebilangan peniaga dengan campur tangan politik telah enggan berpindah walau sebahagian besar peniaga telah berpindah. Peniaga Engkar memfailkan kes di mahkamah namun ditolak kerana tiada asas bagi bantahan mereka kerana lot niaga baru telah kerajaan sediakan.

Namun peniaga mengemukakan rayuan dan menunjukkan surat dari peguam mereka yang kes akan disebut 15 Mac 2018 dan bukan arahan mahkamah menyebabkan ia tidak diterima sebagai alasan perpindahan oleh Pejabat Daerah Pasir Puteh yang bertanggungjawab ke atas harta Pasar. Tindakan peniaga menghalang penjawat awam menjalankan tanggungjawab meletakkan mereka dalam risiko hadapi pendakwaan.

Khabarnya konflik timbul kerana ada penyewa lama menyewakan kepada peniaga lain dengan kadar sewaan yang tinggi menjadikan harga barangan dijual peniaga di Pasar Lama mahal. Selain keadaan pasar yang sesak dan kotor dengan perniagaan luar kawalan, tempat letak kereta yang terhad menjadikan faktor pihak Majlis Daerah merancang satu kawasan baru yang strategik di tepi laluan Bypass Pasir Puteh - Kota Bharu - Machang.

Difahamkan 80 peratus peniaga lama telah berpindah ke Pasar Baru dan selebihnya masih berdegil. Degil kerana peluang menyewakan gerai kepada peniaga lain kini tertutup kerana Pasar Baru mampu menampung peniaga yang lebih ramai. Ali Baba berjaya dihapuskan kerajaan Kelantan. - HARAKAHDAILY 14/3/2018

SAYA tidak menjangkakan sama sekali, begitu terdesak sekali Haji Husam Musa selaku Naib Presiden PAN memperdagangkan agama Islam dengan memberi perspektif buruk berkenaan hukum halal dan haram apatah lagi apabila beliau secara semberono mengaitkan PAS dalam tuduhan pramatang beliau.

Mengikut kenyataan yang dipetik daripada Malaysiakini beliau menyatakan, "Mengundi ini melibatkan hukum, PAS kata haram kalau tak undi bulan. Kita kata tidak, sebaliknya haram undi bulan. Ini ambo (saya) nak pegang. Jadi PRU14 nanti, kita tak boleh pangkah dah BN dan PAS. PAS kata tak pangkah PAS haram sebab akan jatuh kerajaan Islam. Jadi nak undi apa? Undi Harapan, dapat pahala undi Harapan. Ambo nak duduk situ. Kalau tak ada hukum payahlah, semua benda dalam amalan kita ini ada hukum."

Polemik berkenaan undi PAS dapat pahala bukan satu perkara yang baru. Bahkan isu ini sudah digunakan oleh kelompok dalam Umno untuk mengalih tumpuan masyarakat daripada terus mempersoalkan kebobrokan pemerintahan di bawah rejim ini. Sudah pasti, mangsa kepada serangan serakah Umno ini ialah PAS kerana dasar pengenalan pemerintahan Islam yang dibawa PAS kekal konsisten daripada fasa awal penubuhan parti ini sehinggalah ke hari ini. Perkara ini jelas, tiada sesiapa pun yang berani menafikannya. Malahan atas dasar ini juga, al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mengeluarkan pandangan tepat, mengundi PAS, Insya Allah akan mendapat pahala.

Marilah sama-sama kita selami pendirian bahawa Undi PAS dapat pahala mengikut sudut pandang al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat dilihat melalui kenyataan yang dibuat pada 24 Januari 2002 tertulis:

“Oleh kerana benda yang kita buat di Kelantan ini setelah kita dapat undi banyak, maka sudah tentu orang yang mengundi itu akan dapat pahala, kerana kita telah (membantu) tonjolkan kepada masyarakat dunia seluruhnya bahawa Kelantan itu duduk atas Islam, sebagaimana tuhan hendak. Jadi mana-mana orang yang mengundi kami di Kelantan tahun 1990 dulu hingga kami boleh membentuk kerajaan begini iaitu kami tonjolkan yang halal kita kata halal dan yang haram kita kata haram, sudah tentulah ada balasannya; balasan baik di akhirat dalam bentuk pahala. Oleh yang demikian, bila saya kata benda ini boleh pahala, bukan pandai-pandai tuhan nak beri sesuka hati, tidak, ada kaedah dia.”

Penegasan kedua al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat: Undi parti lain tiada pahala.

Penegasan yang dibuat al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dibuat melalui sudut pandang keutamaan mengundi parti Islam sahajalah yang boleh menjaminkan ganjaran kerana memang sudah jelas pahala itu hanya diberikan apabila menyokong Islam, bukannya menyokong parti kebangsaan. Kenyataan yang dibuat pada 18 Jun 2012 di bawah ini menyatakan dengan jelas bahawa:

“Hendak undi parti mana lagi untuk mendapat ganjaran pahala? Hanya parti yang memperjuangkan Islam sahaja di negara ini yang boleh menjanjikan seseorang Islam itu dengan ganjaran pahala. Saya ulangi lagi, sesiapa yang inginkan mendapat pahala di akhirat nanti, undi (parti) Islam, ia sudah tentu menjamin untuk mendapat pahala, bukannya undi parti kebangsaan.”

Sokongan oleh al-Marhum Ustaz Fadzil Noor terhadap penegasan yang dibuat oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz dalam isu undi PAS dapat pahala. Sokongan ini tercatat:

“Saya telah menyatakan saya menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyid Am bahawa mereka yang menyokong, mengundi PAS insya alllah akan mendapat pahala. Sebab menolong, membantu menegakkan yang ma'ruf:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Barangsiapa yang menunjukan kepada kebaikan maka dia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.

[HR. Muslim no. 1893]

“Ini hadis Nabi. Mahathir bukan tahu semua ini. Nabi kata orang yang menunjukkan satu kebaikan, pahalanya macam orang yang membuat kebaikan itu. Kalau kerajaan kita telah dapat melepaskan rakyat Kelantan daripada amalan riba dan terjebak dengan cengkaman riba, kerana rakyat Kelantan mengundi PAS, menolong PAS, PAS membuat kebaikan, pimpinan PAS membuat kebaikan, pimpinan kerajaan membuat kebaikan. Orang yang membantu atas kebaikan juga dikira sama seperti orang yang membuat kebaikan. Ini hadis Nabi, hadis Mahathir memang tak ada. Dia bukan tahu dosa dan pahala. Bagi dia, dosa dan pahala ini tidak ada. Lepas itu dia kata, kenyataan saya tengok dia jawab. Dia kata, mana kita tahu lepas mati kita ke syurga ke neraka. Memanglah kita tidak tahu tetapi tuhan telah memberi petunjuk. Jalan ke syurga begini, jalan ke neraka macam ini. Ini sebab tak tahu ke jalan mana hang nak pi, ikut pi mana.

Nabi kita bersabda:

كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى، قيل ومن يأبى يا رسول الله؟! قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى

“Setiap umatku akan masuk syurga, kecuali orang-orang yang enggan untuk memasukinya. Ada seseorang yang bertanya, siapakah orang yang enggan tersebut wahai Rasulullah ? Beliau bersabda, “Barang siapa mentaatiku akan masuk syurga, barang siapa tidak taat kepadaku sungguh dia orang yang enggan masuk syurga“

[HR. Bukhari]

“Nabi dah tunjuk, bila kita terang apa yang Nabi cakap, apa yang Allah sebut dalam al-Quran. Dia kata pula Tok Guru Nik Abdul Aziz nak berlagak macam tuhan pula dah. Inilah susah, bercakap dengan orang tak mengaji ini susah. Sebab itulah orang Arab berkata, musuh yang alim lebih baik daripada sahabat yang jahil. Tetapi dia bukanlah, nak kata sahabat pun tak berapa boleh juga. Maknanya dia tak tahu, tetapi apabila orang cakap benda yang orang tahu, dia tak tahu, dia hentam lagi teruk. Tetapi rakyat boleh ukurlah. Kita pun tak kata orang ni masuk syurga, orang ini masuk neraka.

“Tetapi ada petunjuk daripada Allah. Lalu saya kata, saya sokong. Sebab kita berjuang dalam PAS, kalau kita tak dapat pahala, kalau kita berjuang dalam PAS, buat apa kita nak berjuang. Membuang masa kita, umur kita, tenaga kita, fikiran kita, kadang-kadang wang ringgit. Kerana kita mengharapkan pahala, selain mengharapkan kemenangan, sama ada kita mendapat Husnayaian, dua kebaikan di dunia kita menang di akhirat kita dapat pahala ataupun kita mendapat "Ihdal Husnayain" satu daripada dua kebaikan. Kalau kita tidak menang di dunia, kita dapat pahala di akhirat dengan syarat berdasarkan "Imanan Wahtisaban".

“Perjuangan kita, pergerakan kita, penyertaan kita, penglibatan kita didasarkan kepada keimanan kita, dan keredhaan kita dan keikhlasan kita. Insya allah kita akan dapat sama ada Ihdal Husnayain atau kita bernasib baik mendapat Husnayain dua kebaikan, di dunia kita menang, di akhirat kita mendapat pahala. Kalau tak dapat kemenangan di dunia, Insya Allah kita dapat pahala di akhirat. Tetapi ini, kita kena yakin. Ini setiap pejuang Islam, dia yakin dengan ini. Kalau tidak buat apa kita nak menghabis masa berpuluh-puluh tahun tuan-tuan dan puan-puan. Berpuluh-puluh tahun dalam PAS."

Jadi di sini sudah dilihat kewajaran Haji Husam Musa dalam mengeluarkan fatwa syok sendiri adalah satu tindakan yang jelas mempergunakan agama untuk kepentingan sendiri. Bahkan tindakan melulu beliau ini jelas bertentangan dengan kenyataan yang di buat oleh penasihat PAN, Ustaz Ahmad Awang pada 28 Februari 2018 yang menyatakan:

“Kita di dalam PAN ini tidak akan menggunakan hukum-hukum agama semata-mata untuk kepentingan politik.”

Bahkan jika Haji Husam Musa berpandangan secara peribadi sekalipun dalam memberikan justifikasi mengundi Pakatan Harapan dapat pahala dan mengundi PAS dapat dosa, tidak selari dengan pendirian parti komponen lain dalam Pakatan Harapan. Lebih-lebih lagi daripada parti PAN sendiri. Sebagai contoh:

1) Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN secara terbuka menyokong penyertaan COMANGO yang jelas mempunyai agenda terselindung dalam demontrasi Wanita Tolak Politik Toksik pada 10 September 2017.

2) Minum Arak dalam Pesta Better Beer seperti minum air teh sahaja: Pengarah Komunikasi PAN Khalid Samad: Hansard Parlimen 26 Oktober 2017:

“Orang bukan Islam hendak buat. Kita kata, “Oh, ini menghina Islam. Ini mencabar Islam”. Sedangkan, dia hendak buat, dia minum, bagi dia macam minum teh sahaja. Bagi dia. So, kenapa kita tidak boleh tangani masalah ini dengan satu pendekatan yang mengiktiraf hak umat Islam dan mengiktiraf juga hak yang bukan Islam?"

3) Gesaan supaya golongan atheis diiktiraf oleh MP Sepang, Hanipa Maidin: November 2017 Sidang Parlimen:

“Saya ialah seorang Muslim, dan saya tiada masalah untuk mempertahankan hak mana-mana atheist untuk menganuti atau untuk mengamalkan atheisme,".

Saya mengajak rakyat Malaysia yang mempunyai akal yang sihat supaya merenung kembali apakah kewajaran Naib Presiden PAN, Haji Husam Musa mengeluarkan fatwa kononnya boleh dapat pahala apabila mengundi Pakatan Harapan, sedangkan mudarat yang di bawa pimpinan PAN sendiri jauh lebih membahayakan.

Akal sihat saya lebih memilih pandangan yang dikeluarkan al-Marhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat dan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor bukan kerana saya ini ahli PAS. Ini kerana pandangan kedua-dua Murabbi Ummah ini selari dengan apa yang PAS perjuangkan. Belum pernah ada seorang pimpinan PAS pun yang menyokong Pesta Arak, dan menyebelahi golongan atheis. Dan yang lagi penting belum ada seorang pun pimpinan PAS mengaku mendapat maklumat sulit dengan bantuan jin.

IMAN ASYRAFF
16 Jamadil Akhir 1439H - HARAKAHDAILY 7/3/2018

KAMI tertarik dengan keanjalan dan pendekatan kerjasama politik yang dimainkan oleh PAS dalam arena politik negara.
Jika kita susuri pendekatan kerjasama politik PAS ianya sudah melangkah ke depan berbanding dengan parti politik yang lain dengan pelbagai pengalaman politiknya. Antaranya:

PAS bertahaluf siyasi dengan kerajaan atau pemerintah
- Kerajaan Perpaduan (1973)
- Barisan Nasional (1974-1978)

PAS bertahaluf siyasi pembangkang
- Angkatan Perpaduan Ummah (1989-1995)
- Barisan Alternatif (1999-2001)
- Pakatan Rakyat (2008-2015)

Jika dibandingkan dengan parti utama yang lain, seperti Umno mereka tidak pernah merasa sebagai parti pembangkang, begitu juga PKR dan DAP tidak pernah merasai pengalaman sebagai kerajaan pusat. 

Pendekatan PAS sebelum ini telah meletakkan PAS pada 'class'nya yang tersendiri. Class inilah yang menyebabkan anak muda tertarik dengan pendekatan politik PAS. 

Apatah lagi setiap pendekatan yang dilakukan PAS itu tidak pernah menggadaikan prinsipnya, bahkan prinsip PAS-lah yang menjadi penyebab sesuatu kerjasama itu terbentuk ataupun tidak. 

Menariknya kini, PAS melangkah selangkah lagi meninggalkan parti politik yang lainnya apabila mengambil pendekatan yang baru dalam politiknya iaitu dengan memperkenalkan konsep Taawun Siyasi

Iaitu pendekatan yang lebih terbuka dengan dasar pendekatan kerjasama atas perkara kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara kemungkaran. Dan, menariknya kerjasama ini tidak menghadkan kepada mana-mana pihak sama ada pemerintah mahupun pembangkang. Asalkan perkara yang dibawa itu memberikan kelebihan kepada Islam dan juga rakyat, maka, PAS akan turut bekerjasama.

Ini suatu eksperimen politik yang sangat 'wow' bagi anak muda. PAS telah mempersembahkan satu pendekatan yang akan membawa anak muda dan rakyat mendiskusikan pendekatan terbarunya ini. 

Sekali gus mengeluarkan faham politik rakyat yang hanya dipersembahkan dengan politik pertembungan dua pihak kerajaan dan pembangkang kepada suatu makna politik yang lebih luas iaitu politik suatu solusi mencari kebajikan buat rakyat. 

Kami dari PAMI mengucapkan tahniah kepada PAS atas eksperimen baru dalam politik tanah air ini. Anda membentuk cara fikir politik kami kini.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Founder
Projek Anak Muda Islam - PAMI - HARAKAHDAILY 24/2/2018

SAYA membaca komentar Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin dalam Malaysiakini bertajuk "Idris Ahmad tak perlu 'berlidah biawak".

Sehingga habis saya membacanya, saya tidak melihat komentarnya yang membantah keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pengIslaman anak-anak Mohd Ridhuan Abdullah terbatal kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, Indira Gandhi yang masih bukan Islam.

Nampaknya beliau lebih suka membazirkan hujahnya untuk menghentam Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Ustaz Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS mengenai Enakmen 2 tahun 2001, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal agama Islam (Terengganu) yang tiada kena mengena dengan kes Ridhuan vs Indira.

Dalam kesibukan beliau menghentam Idris, beliau menyembunyikan fakta bahawa kes pengIslaman anak-anak Ridhuan ini dibuat berdasarkan Seksyen 106 (b) Enakmen 4 Tahun 2004, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) Bahagian IX - Memeluk Agama Islam. Ini klausa yang beliau sembunyikan.

"Seksyen 106. Keupayaan untuk memeluk agama Islam.

Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan--

(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya."

Jelas di situ, jika kes penjagaan dan isu kedudukkan agama anak-anak Ridhuan-Indira ini hanya dibicara di Mahkamah Syariah Perak, maka anak-anak Indira masih Islam kerana hanya memerlukan kebenaran seorang antara ibu atau bapa.

Suka atau tidak, kita perlu akui bahawa masih terdapat kelemahan dalam undang-undang syariah di negara ini kerana peraturan Enakmen yang sedikit berbeza seperti di Perak dan Terengganu. Dan sepatutnya Wan Ji memberikan idea untuk mengukuhkan sistem perundangan Islam di negara ini, bukannya mengambil kesempatan menyerang pemimpin PAS yang cuba menyelamatkan akidah anak-anak Ridhuan.

PAS tidak bersetuju dengan pindaan Akta 164 kerana Pindaan Seksyen 3 dalam akta itu, merampas bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pihak-pihak berkuasa agama negeri terhadap mualaf dan anak-anaknya yang beragama Islam.

Seksyen tersebut memberikan hak dan bidangkuasa 'eksklusif' kepada Mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan pertikaian berhubung perkahwinan, perceraian, pembahagian harta, hak jagaan anak, dan lain-lain yang melibatkan seseorang mualaf dalam perkahwinan sivilnya.

Ia memberi ruang terlalu luas untuk Mahkamah Sivil membuat satu keputusan yang berkemungkinan bertentangan dengan Undang-undang Substantif Hukum Syarak dan Fiqh Islam ke atas kepentingan seorang muallaf dari segi dirinya, tanggung jawabnya, hartanya dan anak-anaknya yang mungkin telah menjadi Muslim.

Kes Ridhuan dan anak-anaknya menjadi bahan ujikaji pertama yang mana akhirnya tidak menyelesaikan apa-apa. Malah merugikan umat Islam yang mualaf seperti Ridhuan.

Nampaknya Wan Ji membutakan mata hatinya dan lebih suka membuat serangan politik dari menyelamatkan akidah anak-anak Ridhuan. Beliau sewajarnya bertaubat kerana sikapnya membiarkan tiga orang mualaf muda menjadi Murtad demi mencari populariti politik sangat memalukan.

Jika tidak mampu mempertahankan akidah Islam baik diam sahaja dari cakap merapu. Beliau tidak lebih dari sekadar biawak hidup yang dibayar oleh Lim Guan Eng untuk menyerang PAS dan Islam. Beliau membawa pemikiran Islam yang salah dan mengelirukan dalam masyarakat.

Semoga Allah membalas kezaliman beliau kepada Ridhuan dan anak-anaknya dengan balasan yang sewajarnya. Kita hidup kat dunia ini tak lama, jangan jadi biawak, jangan jadi budak suruhan, jangan khianat pada Islam.

HERMAN SAMSUDEEN
Eden City, Segambut
22 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 23/2/2018

NAMPAKNYA cerita kehadiran Diplomat Kanan Israel, Davit Roet yang mengetuai delegasi Israel ke World Urban Forum (WUF) ke-9 di Kuala Lumpur begitu seronok dimainkan berulang-ulang oleh pemimpin dan ahli Pakatan Harapan (PH).
 
Saya setuju pandangan mereka yang menyelar kegagalan Wisma Putra dan Kerajaan BN untuk menghalang kemasukan Roet ini. Memang sukar dipercayai bahawa dia boleh masuk dengan mengunakan pasport Israel dan hadir atas kapasiti mewakili Kerajaan Zionis Israel.
 
Hubungan sulit Kerajaan Malaysia - Israel bukan baru. Walaupun banyak penafian dibuat, namun bukti surat-menyurat pada zaman Mahathir serta hubungan dagangan secara rahsia yang turut melibatkan beberapa syarikat dalam negara sudah banyak didedahkan. Ini ditambah lagi dengan pendedahan penglibatan APCO sebagai perunding Kerajaan BN, segalanya memang sangat jelas.
 
Sebenarnya bukan BN sahaja mempunyai hubungan dengan Israel. Pembongkaran Mohamad Razali Abdul Rahman mengenai perancangan-perancangan sulit DAP untuk menawan Putrajaya pada 31 Disember 2015 melalui bantuan ejen Israel memang sangat mengejutkan.
 
Razali yang mendakwa dirinya adalah bekas Pengarah Strategik Hal Ehwal Orang Melayu-Islam DAP, turut mendedahkan bahawa Lim Guan Eng mewujudkan kumpulan G17 bagi merangka strategi untuk DAP menguasai Putrajaya mengunakan Pakatan.
 
Beliau mengatakan bahawa kumpulan G17 yang di ketuai oleh Tony Pua ini dilatih selama 3 tahun oleh ejen Israel dan pernah mengadakan sesi latihan sulit di Pulau Pinang, di Hotel Shangg, Johor dan di Hotel Quality Shah Alam, Selangor. Tidak cukup dengan latihan mereka juga diberikan bantuan kewangan dari Israel ketika PRU-13.
 
Sehingga kini DAP hanya menafikan yang mereka tiada menerima wang RM1.2 bilion dari Israel. Tapi bila disemak semua kenyataan Razali memang beliau tidak kata DAP terima wang RM1.2 bilion masa PRU-13. Tapi itulah nilai yang dijanjikan Israel jika mereka berjaya tawan Putrajaya dan benarkan Israel bina Pangkalan Tentera Laut di Port Dickson. Namun DAP hingga kini masih gagal mencapai apa yang dikehendaki oleh Israel.
 
LGE juga enggan memberikan respon bila ditanya mengenai kebenaran dakwaan Razali yang kumpul G17 dilatih oleh Israel. Beliau mengelak dan tidak menjawab soalan wartawan mengenai hal ini. LGE hanya fokus untuk mendedahkan kedudukkan Razali yang dikatakan hanya ahli biasa dan bukan Pengarah Strategik seperti yang didakwa Razali.
 
Pada 2 Januari 2016, Lim Kit Siang berkata, DAP akan mengemukakan saman terhadap Razali atas pendedahan yang dibuat. Namun pada 4 Januari 2016 Kit Siang mengubah fikiran dan menjelaskan bahawa DAP tidak jadi saman Razali. Kit Siang menyifatkan Razali tidak layak untuk disaman dan dibawa ke mahkamah, tetapi lebih sesuai untuk dimasukkan ke hospital mental. Jawapan dan tindakan Kit Siang ini sangat tidak masuk akal.
 
DAP kemudian menyerang dan mengugut untuk menyaman pemimpin PAS, Dr Zuhdi Marzuki kerana menyebarkan pendedahan yang dibuat oleh Razali. Namun hingga kini DAP tak berani kemuka saman pada beliau kerana tulisan Zuhdi tidak memberikan locus standi yang kuat untuk DAP bawa ke mahkamah. Zuhdi hanya mengulas kenyataan Razali, bukannya mencipta apa-apa yang boleh di sabitkan sebagai fitnah.
 
Hingga ke hari ini, dah 2 tahun, DAP masih membisu mengenai hubungan parti itu dengan Israel. Sikap membisu dan keengganan DAP untuk menyaman Razali dilihat masyarakat seolah-olah satu pengakuan bahawa benarlah DAP dilatih oleh ejen Israel untuk tawan Putrajaya bersama Pakatan. DAP tidak boleh salahkan masyarakat jika menganggap parti itu bekerjasama dengan Israel. Kerana mereka pun tidak menafikan yang mereka ada menerima latihan dari ejen Israel.
 
Hubungan DAP dan Mahathir serta Anwar juga begitu unik walaupun mereka pernah jadi musuh ketat. Nampaknya jarum isu Israel ini berjaya menyulam hubungan 3 kumpulan seteru politik ini untuk bergandingan.
 
Dan seperti biasa, PAS yang pernah dilabel teroris oleh CIA yang juga rakan akrab Mossad menjadi sasaran mereka. Pelik kan? PAS bukan Kerajaan di Putrajaya tapi diserang bertalu-talu oleh DAP dan Mahathir. Ini kerana Israel dan mereka melihat PAS juga berpeluang untuk menguasai Putrajaya dan mungkin boleh jadi kuasa penentu dalam PRU14.
 
Inilah beza antara Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS berbanding PH dan BN yang sebenarnya masih dibawah bayang-bayang Israel. Hanya PAS bersama Gagasan Sejahtera satu-satunya kumpulan yang masih gagal dipengaruhi oleh Israel.
 
Jika anda marah pada Israel, pastikan PRU14 nanti anda menolak BN dan PH. Undilah PAS, undilah Gagasan Sejahtera.
 
HERMAN SAMSUDEEN
Kuala Lumpur - HARAKAHDAILY 18/2/2018

KEHADIRAN Diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia Ke Sembilan (WUF9) di Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan kegusaran dan kemarahan terutamanya kepada umat Islam di dalam negara. 
 
Kegusaran dan kemarahan tersebut terbentuk takala rakyat masih lagi terkesan dengan program MyAqsa yang diadakan di Putrajaya sebelum ini di mana umat Islam bersolidari untuk mendukung dan berdiri sama teguh dengan rakyat Palestin menentang kezaliman dan penjarahan yang dilakukan Israel termasuk merampas bumi Palestin dari rakyatnya.
 
Namun yang menjadi kehairanan, disalahkan pula Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di atas kemasukkan Diplomat Israel tersebut ke dalam negara, logikkah tuduhan murah sebegitu? Berhentilah menjadi pelacur politik murahan!
 
PAS konsisten bersama Palestin
 
Isu Palestin ialah isu umat Islam sejagat. PAS sejak dari dahulu konsisten menentang apa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin dan penjajahan ke atas bumi Palestin. Sudah berpuluh program sama ada di dalam negara mahupun luar negara disertai PAS ataupun yang dianjurkan PAS dan belum pernah PAS kendur walau sedikitpun dalam isu Palestin. Sejarah membuktikan PAS sememangnya memperjuangkan nasib Palestin dan warganya.
 
PAS menentang keras kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin, pendudukan secara haram oleh Israel ke atas Palestin, penutupan sempadan Gaza dan Mesir yang menyukarkan urusan harian rakyat Palestin dan pelbagai lagi kekejaman Israel ke atas Palestin. Kesatuan Ulama Islam Sedunia melalui Tuan Guru Presiden PAS adalah di antara suara utama dunia Islam dalam menentang pendudukan haram Israel ke atas Palestin dan kekejaman yang dilakukan mereka ke atas warga Palestin.
 
Bukan sekadar solusi dua negara ditentang seperti yang diperjuangkan kebanyakkan pihak, malah PAS mahu Israel berundur sepenuhnya dari bumi Palestin. Sebaliknya diiktiraf negara Palestin serta menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin. Bermula dari Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sehinggalah Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, perjuangan PAS terhadap Palestin tidak pernah berubah.
 
Bila membenci tidak ketahuan
 
Menjadi kemusykilan mengapa dikaitkan Tuan Guru Presiden PAS dengan kemasukan Diplomat Israel ke dalam negara seolah-olah Tuan Guru Presiden PAS yang menjemput Diplomat tersebut. Ada juga yang tiba-tiba menghentam Tuan Guru Presiden PAS kerana tidak bersuara menentang kemasukan Diplomat Israel seolah-olah beliau tahu jadual mahupun program PBB atau pun beliau Menteri Luar Negeri.
 
Bukan menjadi bidang kuasa Tuan Guru Presiden PAS untuk diberitahu kepada beliau mengenai program tersebut, kerana beliau bukan sebahagian dari kerajaan atau wakil kerajaan di dalam PBB.
 
Menolak dengan konsisten
 
Seharusnya sebelum menerima tawaran untuk menjadi tuan rumah forum tersebut, kerajaan sepatutnya menyemak dahulu senarai negara yang akan menghantar wakil dalam forum tersebut. 
 
Maka apabila Israel terbabit dalam forum tersebut, satu sudut kerajaan seolah menerima kehadiran Diplomat Israel. Pada pandangan umum nampak seperti kerajaan hanya beretorik dalam memperjuangkan nasib Palestin dan warganya, berlawanan dengan apa yang diucapkan dalam bantahan dan program terdahulu.
 
BPMS lebih mulia dari kebencian
 
PAS mengajak seluruh masyarakat agar berpolitik dengan matang, politik yang berpaksikan kebenaran, berfakta serta membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Berpolitik dengan kebencian, tipu daya, memfitnah, menghasut, mengeluarkan kata-kata kesat dan menimbulkan prasangka buruk hanya akan merosakkan masyarakat dan negara. 
 
Walau berbeza pandangan mahupun ideologi, keharmonian dan kesejahteraan rakyat patut diberi keutamaan. Jangan kerana hendak menang sokongan rakyat dan pilihan raya, digunakan segala jenis tipu daya dan helah licik tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal terjadi kepada masyarakat dan negara. Maka disebabkan itu PAS mengajak seluruh pihak agar mengamalkan BPMS agar masyarakat dan negara terpelihara.
 
Mengaitkan Tuan Guru Presiden PAS dengan kemasukan Diplomat Israel ke dalam negara ataupun dengan mengatakan Tuan Guru Presiden PAS berdiam diri membiarkan Diplomat Israel menjejakkan kaki di dalam negara akan menghakis sokongan masyarakat terhadap PAS, sebenarnya ia tidak akan berlaku dan hanyalah kerja sia-sia.
 
Rakyat makin celik dan sedar realiti politik semasa kerana segala maklumat hanya di hujung jari sahaja. Setiap kali difitnah, PAS makin kuat. Setiap kali dihenyak, PAS makin hebat.
 
SYAIFUL HIZAM
Pemerhati Politik

YAKIN untuk menang itu tak salah, tapi jangan sampai over confident, kena terus berdoa dan berusaha. Bilangan yang ramai tak guna, kalau kita sekadar syok berkumpul ramai-ramai sesama kita. Bilangan ahli yang ramai juga bukan jaminan mutlak untuk suatu kemenangan.

PAS bukan parti yang eksklusif untuk ahli sahaja. Dekati semua jiran tetangga dan rakyat secara inklusif, buat aktiviti kerjasama dengan rakyat, NGO, Persatuan Penduduk setempat yang membuka ruang rakyat bersama. Tidak dnafikan dalam era sekarang ini masih ada lagi rakyat yang fobia dgn PAS akibat dakyah fitnah BN dan DAP.

Ziarah rakyat dari rumah ke rumah. Fahami masalah dan isu mereka. Beberapa wakil rakyat PAS sudah tunjukkan bagaimana cara betul untuk bekerja. Perlu strategi, fokus pada segmen pengundi untuk tingkatkan kepercayaan rakyat.

Masa ziarah jangan datang bramai-ramai macam rombongan mak jemah, cukup beberapa orang. Kalau serbu ramai-ramai ini bikin rakyat tak selesa. Hormati keadaan hidup dan privacy tuan rumah. Hormati perbezaan pendapat, berlapang dada terima kritikan secara berdepan, jangan buang masa berdebat, jangan paksa mereka undi PAS, biar mereka undi secara sukarela atas kefahaman. Jangan lupa doakan mereka. Tugas kita menyampaikan, mohon Allah beri hidayah.

Pacak banner, bunting, billboard dan bendera perlu strategi juga. Jangan habiskan wang buat hiasan kempen melampau, kita bukan sertai pertandingan replika PRU paling hebat, gunakan bahan buangan yang boleh direcycle.

Jangan tampal banyak bahan kempen di tempat yang tak ramai orang atau penuh dipacak dekat rumah sendiri sahaja, jika clash dengan bendera lawan yang terlalu banyak di persimpangan jalan, jangan gusar, bubuh saja sehelai bendera besar bulan atau billboard dekat situ.

Masa gantung bendera hati-hati. Memang seronok buat kerja parti, tapi keselamatan diri jgn diabaikan. Bila kemalangan, cedera bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, takut menyusahkan orang lain. Kalau strategi kempen dalam bandar dan luar bandar berbeza. Strategi dekat lapangan dan alam maya pun berbeza.

Yang penting kurangkan buang masa berdebat berjela-jela dalam ruangan komen. Berdebat itu tak ada faedah pun. Kena lagi kalau yang berdebat dengan kita itu orang PH atau BN. Kita dah tahu stand mereka, bagi fakta banyak pun dia dah buta hati. Yang penting banyakkan buat status untuk menerang dan serang secara bijak dan berfakta. Promo info tentang parti, promo calon-calon.

Memang bagus komen up. Lepas baca saja komen up. Tapi lebih bagus kalau sahabat-sahabat klik butang share. Share info-info yang sudah dibaca di wall sendiri atau dalam group, viralkan setiap bahan menarik yang kita jumpa. Wajibkan diri anda untuk share sekurang-kurangnya lima status di wall sendiri.

1000 orang share lebih baik dari 10 ribu orang komen up dan berjuta-juta like. Selain komen up, jangan lupa komen Allahuakbar, ini slogan PAS. Selain itu banyakkan buat komen doa, dan lebih baik buat solat malam dan bermunajat mohon kemenangan. Jangan pula sibuk selfie berdoa bagi pimpinan, kurangkan selfie di meja makan, kurangkan share benda-benda peribadi kat facebook. Banyakkan selfie gambar-gambar buat kerja atau jumpa rakyat. Untuk ubah keputusan PRU13 dalam PRU14 kita kena muhasabah banyak. Jangan guna strategi yang sama kalau mahu keputusan yang berbeza. Sekian, bersambung...

HERMAN SAMSUDEEN
Kuala Lumpur
10 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 10/2/2018

BAGAIMANA pertubuhan satu NGO diluluskan sedangkan ianya berlawan arus dengan Islam?Bagaimana kerajaan tidak menyedari bahawa kewujudan Sister in Islam (SIS) adalah satu pertubuhan yang telah menjadi satu tempat tersasarnya akidah Islam?

Atau memang dalam kerajaan terdapat sokongan kepada NGO ini berdasarkan kununnya mempertahankan hak wanita atau wanita Islam teraniaya?

Ramai yang tidak tahu SIS sudah lama wujud dalam negara kita di mana ditubuhkan pada tahun 1990, apabila Dr Amina Wadud dan sekumpulan wanita sealiran dengannya merasakan wanita Islam tidak mendapat keadilan dari segi hukum Islam. Mereka bersepakat untuk menubuhkan sebuah NGO bagi memperjuangkan hak yang didakwa mereka.

SIS berfahaman dengan fahaman Sekular dan Liberalisme walaupun bertopengkan nama Islam pada organisasinya. SIS dicengkam dengan gaya berfikir cetusan 'Enlightment' di Eropah beberapa kurun yang lalu.

Di tengah-tengah kedahagaan mereka berhubung dengan maklumat keislaman, mereka bertemu dengan watak yang lebih banyak mempersoalkan Islam dari mematuhi Islam.

SIS membawa fahaman Liberalisme di mana Sekularisme menyokong kewujudannya dengan berjayanya ajaran Sekularisme yang menyisihkan kehidupan agama kepada satu amalan peribadi, manakala kehidupan sosiopolitik dan ekonomi dibebaskan dari cengkaman agama (Kristian).

Keadaan ini terus terbawa-bawa oleh SIS yang mempersoalkan mengenai ketidakadilan di dalam menghadapi hukuman di Mahkamah Syariah, hak lelaki berkahwin lebih dari satu (poligami), lelaki boleh memukul isteri yang durhaka.

Lebih dari itu tidak mempercayai Islam sebagai ideologi politik yang boleh memerintah Negara, mempercayai agama hanya sebagai nilai yang boleh mengawal politik, tetapi undang-undang dan hukuman bukan keseluruhan dari Islam.

Menentang hudud, menentang menahan orang yang mahu murtad dan hukuman terhadapnya, menentang Negara Islam, menentang penentuan dan pengawalan nilai ke atas masyarakat.

Negara tidak seharusnya mengadakan undang-undang atau polisi mengenai seksualiti yang mendiskriminasi dan membezakan dari segi hukuman dan berpegang pada kebebasan beragama.

Atas sebab inilah, tidak sukar untuk memahami pemikiran SIS mengapa SIS lantang menyerang sistem nilai Islam, termasuklah undang-undang syariah dan penguatkuasaan hukum Islam.

Di sinilah SIS akan bertembung dengan sesiapa dan apa sahaja yang mahukan Islam, sebagai entiti peranan berwibawa, walaupun pihak tersebut adalah pihak PAS dan Jabatan Agama.

SIS adalah pejuang kebebasan individu yang membawa fahaman utilitarian dalam menentukan batasan 'akhlak' yang diizinkan. Utilitrian menganggap bahawa keseronokan maksima 'maximum pleasure' adalah pengukur moraliti.

Selagi ia menghasilkan keseronokan maksimum, maka seseorang bebas untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Fahaman ini menolak sebarang campur tangan mana-mana pihak menentukan bagaimana seseorang itu mahu dan boleh berseronok kerana kononnya ia adalah hak individu.

Mereka juga membawa pemikiran tuntutan persamaan hak ini di dalam sistem kekeluargaan. Mereka memperjuangkan kebebasan berkeluarga, maka kehidupan berumahtangga yang berdasarkan agama menjadi longgar. Kerana mengelak dari keterikatan, tanggungjawab dan beban yang ada dalam kehidupan berumahtangga, maka mereka memilih pasangan secara hidup bebas tanpa ikatan pernikahan dan fenomena anak luar nikah hasil dari penzinaan.

Sudah jelas mereka-mereka ada dalam kalangan PH dan Umno-BN. Jika dilihat isu-isu yang bertentangan dengan mereka, akan dilawan dan berusaha untuk menjadikan satu kemenangan bagi mereka.

Jika hal ini dibiarkan maka keparahan Islam dalam masyarakat kita akan menjadi satu bala bencana yang tidak dapat kita bendung. Fahaman SIS adalah satu fahaman dari penganut Kristian yang kita lihat dalam DAP.

Jadi dalam hal ini juga kerajaan harus mengambil serius dalam melibatkan akidah umat Islam. Bukan dengan mendiamkan diri Islam dipijak oleh bangsa lain. Tetapi jika dilihat dalam masyarakat Umno-BN mereka juga hidup bebas tanpa paksaan.

Moga Allah memberi petunjuk serta keampunan kepada mereka yang telah sesat agar dapat kembali ke jalan kebenaran. Neraka tu amat panas, tak terdaya kita untuk menahan kepanasannya, sekiranya sebesar titik jarum terbuka, apinya mampu membakar seluruh alam ini. Hukum al-Quran tidak boleh dipertikaikan oleh manusia.

Allah berikan kita akal jadi berakal untuk memilih pemimpin kita yang ada dasar al-Quran dan Sunnah. Bukan hanya memilih pemimpin yang bijak dari segi kemajuan tetapi memilih pemimpin boleh membawa rakyatnya ke jalan Allah.-HARAKAHDAILY 7/2/2018

SAL NASIR