LUMUT: Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut buat julung kalinya telah mengadakan program mencandat sotong di hadapan Masjid Seribu Selawat, Pulau Pangkor, di sini malam tadi.
 
Program yang menjadi aktiviti sulung bagi sesi kepimpinan baharu sayap PAS Lumut ini bertujuan mendekati dan mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat di pulau pelancongan itu.
 
Pun demikian, program tersebut ternyata menggamit kehadiran peminatnya yang tersendiri di mana selain disertai penduduk tempatan dari pelbagai peringkat umur, turut bersama adalah peserta dari Pasir Salak.
 
Walaupun santai dan menikmati cuti, program tersebut juga menjadi pengalaman baharu kepada mereka yang kali pertama mencandat sotong, sementara peserta lainnya mempamerkan teknik pelbagai.
 
Pengerusi DACS Lumut, Mohd Firdaus Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya bercadang mengadakan lagi program seumpama ini disamping menyantuni dan beramah mesra dengan warga setempat.
 
Program tersebut turut dijayakan oleh Pemuda PAS Cawangan Pangkor dan Cawangan Sungai Pinang Besar diketuai Mohd Firdaus Armi dan Mohd Zailani Yusof yang menyediakan BBQ buat peserta. - HARAKAHDAILY 31/3/2019
IMG 20190331 WA0015

ALOR  SETAR: Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Utara telah melangsungkan Majlis Syahadah Maahad Tahfiz Ar-Rahmah Li Tahfiz Al-Quran (MARLIQ), di sini semalam.
 
Acara tersebung diadakan sebagai meraikan kejayaan melahirkan huffaz sulung institusi ini yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sejak ia ditubuhkan hujung tahun 2014.
 
MARLIQ secara khusus menjadi pemangkin kepada anak-anak pelarian Rohingya menerima pendidikan aliran Tahfiz al-Quran selain mengembangkan motivasi pelajar tempatan.
 
Menurut Penyelaras MAPIM Wilayah Utara, Muhammad Shukri Saari, walaupun pelajar Rohingya yang ada merupakan pelarian, tetapi mereka komited untuk belajar dan menghafaz.
 
Malah katanya, kekurangan serba serbi di MARLIQ tidak menghalang minat anak-anak tersebut untuk mencapai kejayaan sebagaimana diusahakan institusi lain yang wujud.
 
"MAPIM berharap masyarakat setempat turut sama memberi sokongan di atas usaha kepedulian ummah dijalankan ini. MAPIM menghargai sumbangan kewangan, masa dan tenaga telah semua pihak curahkan," ujarnya.
 
Majlis penyampaian sijil tamat hafiz al-Quran itu telah disempurnakan sendiri oleh Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. - HARAKAHDAILY 29/3/2019
IMG 20190329 WA0025

LUMUT: PAS Kawasan Lumut menerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi telah mengadakan lawatan ke kilang perusahaan produk Muslim di Kampung Permatang Manjung, di sini semalam.
 
Lawatan diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abd Rahman dan Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad itu bertujuan membina jaringan usahawan Muslim dalam kawasan ini.
 
Ia juga dalam usaha berkongsi pandangan dan idea untuk membangunkan usahawan Muslim khususnya dan memajukan ekonomi umat Islam keseluruhan amnya.
 
Pada kesempatan tersebut, delegasi melihat sendiri proses pembuatan produk bebola dan kek ikan keluaran hasil tangan penduduk jati kampung tersebut yang dihasilkan dengan jenama Mak Cuu.
 
Pihak kilang sendiri melahirkan harapan agar sokongan dan bantuan dari pengguna akan sama-sama menjayakan kempen membeli serta mengguna produk Muslim, sekali gus merancakkan ekonomi umat Islam.
 
Pihak PAS Lumut pula berbangga dengan kegigihan para usahawan yang meneroka bidang ini di mana juga telah mewujudkan peluang pekerjaan serta meluaskan pasaran umat Islam.
 
Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Pengerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Lumut, Nizam Majid serta aktivis masyarakat, Raie Yusuf. - HARAKAHDAILY 24/3/2019

IPOH: Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Istiqamah telah mengadakan Majlis Doa Selamat Kesyukuran dan Ramah Mesra di Bandar Meru Jaya, di sini semalam.
 
Selain menikmati hidangan bersama, majlis turut berlangsung dengan solat berjamaah, bacaan Yaasiin dan doa, selain dimeriahkan oleh persembahan nasyid dan bercerita dari para pelajar.
 
Penasihat SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Hafez Sabri dalam tazkirahnya mengajak memberi perhatian untuk menunaikan hak anak-anak yang pada zaman ini lebih terdedah kepada cabaran teknologi.
 
Hal tersebut menurutnya, menyebabkan ibu bapa kurang memberi masa, selain tidak berlaku komunikasi dua hala yang baik antara anak-anak dengan ibu bapa.
 
"Kita berikan tumpuan sepenuhnya setiap cerita dan luahan mereka terutama mengenai dirinya dam kisah-kisah sekolahnya sebab ibu bapalah tempat pertama mereka luahkan," pesan beliau.
 
Turut berucap adalah Pengerusi SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Bahrin yang melahirkan harapan agar semua pihak menjayakan operasi institusi pendidikan tersebut. - HARAKAHDAILY 23/3/2019
 
IMG 20190323 WA0003
 
IMG 20190323 WA0004
 
IMG 20190323 WA0006

LUMUT: Wanita Umno dan Muslimat PAS dalam Parlimen Lumut telah mengadakan majlis bersama bacaan Yaasin di Dewan Pejabat Umno Bahagian Lumut, Sitiawan, di sini semalam.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Kawasan Lumut, Rohawati Abidin berkata, program seumpama itu dilihat sebagai platform yang baik ke arah pengukuhan ukhwah kedua-dua pihak.
 
Bahkan menurut beliau, dikesempatan majlis tersebut, wakil beberapa Cawangan PAS dan Umno telah berbincang dan bercadang untuk mengadakan majlis yang sama di Cawangan masing-masing.
 
Sementara itu, beberapa Muslimat PAS yang hadir melahirkan rasa terharu dan gembira dengan pertemuan julung kali diadakan melibatkan dua entiti tersebut setelah lebih 60 tahun ‘berlawan’ di arena politik.
 
Begitu juga rata-rata Wanita Umno amat menghargai kesudian Muslimat PAS untuk hadir menjejaki kaki ke program yang diadakan di premis milik Umno ini di mana berbeza dengan program sebelum ini diadakan di Markas-markas PAS.
 
Bacaan Yaasin telah dipimpin oleh Ketua Penerangan Umno Bahagian Lumut, Ustaz Hairul Abdul Karim yang seterusnya menyampaikan tazkirah menyentuh mengenai janji Allah S.W.T terhadap orang beriman dan beramal soleh. 
 
Majlis yang dihadiri lebih 50 anggota Muslimat dan Wanita itu diakhiri dengan jamuan minum petang dan sesi bergambar. - HARAKAHDAILY 20/3/2019

IPOH: PAS Kawasan Ipoh Timur telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-21 yang diadakan di Dewan Komuniti Cempaka Sari, di sini semalam.

Perasmiannya telah disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Antara disentuh beliau adalah kecaman terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan berikutan tragedi tembakan rambang yang berlaku di New Zealand, Jumaat baru-baru ini.

Beliau berharap pelaku terbabit dibawa ke muka pengadilan dan turut merakamkan takziah terhadap kehilangan nyawa yang dialami keluarga mangsa kejadian.

Yang DiPertua PAS Ipoh Timur, Ustaz Azmi Murad Mohd Yusof dalam ucapannya menyeru ahli memelihara dan mempertahankan Islam dari dicemari musuh-musuh.

Hadir sama memeriahkan perasmian mesyuarat tersebut adalah Ketua Bahagian Ipoh Timur, Dato' Azian Osman. - HARAKAHDAILY 18/3/2019  

IMG 20190318 WA0052

IMG 20190318 WA0053

TELUK  INTAN: Setiap ahli PAS perlu melipatgandakan pelaksanaan strategi serta persediaan dalam menghadapi PRU15 dengan mengimani tuntutan Allah sebagaimana ayat 200 surah Ali Imran.
 
Seruan tersebut dikemukakan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 di Dewan KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
 
Beliau turut menyentuh mengenai usaha menjalinkan hubungan dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak demi membawa keuntungan kepada perjuangan Islam.
 
Jelasnya, perkara tersebut juga memerlukan persediaan dengan memiliki sikap konsisten dan hadam terhadap konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan Presiden PAS.
 
Pemilihan yang diadakan untuk sesi baharu sempena mesyuarat tersebut menyaksikan jawatan Yang DiPertua, Timbalan dan Naib Yang DiPertua telah dimenangi tanpa bertanding.
 
Pada mesyuarat ini juga telah disampaikan Anugerah Pengurusan Terbaik kepada PAS Cawangan-cawangan iaitu Taman Cicely, Kampung Padang Tembak dan Kampung Bahagia. - HARAKAHDAILY 18/3/2019
IMG 20190318 WA0030

BESUT: PAS Kawasan Besut berjaya mendaftarkan keahlian baharu parti itu paling ramai di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2018, lalu sejumlah 2,109 orang.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, dengan jumlah keahlian baharu itu membuktikan PAS terus mara dan diterima oleh rakyat.

Oleh itu, katanya semua penyokong dan pendukung parti itu perlu memainkan peranan penting mengajak mengenali PAS secara lebih dekat.

“Semua penyokong dan pendukung PAS perlu memainkan peranan penting dalam menerang dan mengajak masyarakat, supaya lebih mengenali dan dekat dengan PAS.

“Kita bukan hanya sekadar parti politik, kita juga adalah sebuah parti dakwah dan tarbiah.

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada semua ahli PAS dan penyokong parti ini untuk hadir beramai-ramai dengan membawa ahli keluarga masing-masing, ke program sambutan 60 Tahun PAS Kawasan Besut, insya-Allah,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh 60 tahun PAS bertapak di Besut ini pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi dilalui.

Sehubungan itu, kata Ustaz Wan Azhar, jawablah tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan kepada PAS dengan penuh berhikmah.

Harakahdaily dimaklumkan, majlis sambutan 60 tahun PAS Besut itu diadakan pada 14 hingga 16 Mac di Kampung Pantai Air Tawar, Besut. – HARAKAHDAILY 14/3/2019

SERI MANJUNG: Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-21 Sekolah Rendah Islam At-Ta'alim telah berlangsung di Sekolah Menengah Dato' Seri Kamarudin, Seri Manjung, di sini semalam.

Temasya yang turut disertai atlet-atlet dari Sekolah Menengah Islam At-Ta'alim dan Pondok At-Ta'alim ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah At-Ta'alim, Rosli Abd Rahman.

Menurut beliau, temasya tahunan ini diharapkan dapat membuka minda masyarakat khususnya komuniti setempat terhadap kewujudan institusi At-Ta'alim di situ.

Menurutnya, At-Ta'alim terbukti mampu melahirkan pelajar-pelajar yang serba boleh dan kreatif, hasil usaha gigih para Ahli Lembaga Pengarah, guru-guru dan seluruh kakitangannya.

Termasya berlangsung gilang-gemilang dimulai perbarisan oleh semua kontinjen diikuti acara sukaneka dan balapan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan itu.

Turut diadakan ialah jualan amal dan kaunter tabung infaq pembangunan Kompleks At-Ta'alim bagi memudahkan hadirin untuk menghulurkan sumbangan pembinaan kompleks ini.

Temasya sukan pada kali ini menyaksikan Rumah Kuning telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala naib juara disandang Rumah Biru dan tempat ketiga dimenangi oleh Rumah Hijau bagi SRI At-Ta'alim.

Sementara bagi Sekolah Menengah At-Ta'alim, juara keseluruhan diungguli oleh Rumah Merah serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati pula disandang oleh Muhammad Hafiz Hakim dan Nur Aleeya Aimran masing-masinh dari Rumah Biru. - HARAKAHDAILY 3/3/2019   

 

IMG 20190303 WA0011

IMG 20190303 WA0012

IMG 20190303 WA0013

IMG 20190303 WA0015

IPOH: Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Megat Khas (SMK DMK) telah menjayakan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Inter Batch Alumni DMK Piala Cikgu Khairuddin di padang sekolah itu di Jalan Labrooy, di sini semalam.

Menurut Pengarah Kejohanan, Nazrin Jamaluddin, acara tahunan tersebut bukan sahaja meneguhkan hubungan bekas penuntut SMK DMK, malah berbangga kerana telah melahirkan ramai lagenda bola sepak negara.

Beliau menyebut beberapa nama yang merupakan produk sekolah itu dan pernah mewakili pasukan bola sepak negeri dan negara antaranya ialah Indra Putra Mauyudin dan Khalid Jamlus serta ramai lagi.

Katanya, pihak sekolah turut melahirkan kegembiraan atas penyertaan serta penganjuran melibatkan himpunan Alumni kembali ke sekolah serta menyumbangkan peranan yang meningkatkan imej dan kualiti SMK DMK.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri yang merasmikan kejohanan tersebut memuji ukhuwah ditunjukkan para Alumni DMK menerusi penganjuran sedemikian.

Beliau turut mempromosikan usaha Pemuda PAS antaranya menerusi Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan (DACS) dalam menjalankan aktiviti berkaitan di seluruh negara dan menegaskan ianya juga sebagai satu ibadah.

Edisi kejohanan penuh meriah dengan bakat dan kemahiran itu serta sorakan sokongan padu penyokong 'batch' masing-masing telah menyaksikan Team 98 Fighter muncul sebagai juara. - HARAKAHDAILY 24/2/2019

IMG 20190224 WA0044 

IMG 20190224 WA0043

IMG 20190224 WA0045

 

DUNGUN: Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setelah sembilan bulan pemerintahan PH terbukti gagal membela rakyat.

"Jika tidak semua manifesto ditunaikan, tunaikan dahulu untuk mengurangkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter, sudah tentu ianya akan disambut baik oleh seluruh rakyat.

"Dan sudah tentu ianya akan memberi impak kepada turunnya harga barang-barang yang lain, serta dapat mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan tegar, setelah sekian lama terhimpit didalam penderitaan akibat kos sara hidup yang tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Jalinan Kasih, yang diadakan di Bangunan Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billal Shah, semalam.

Menurutnya lagi, kini bukan masanya untuk rakyat terus menerus menyesal apa yang telah berlalu, sebaliknya mengambil iktibar dan beriltizam tidak mahu berpihak lagi kepada kerajaan yang tiada pernah mengambil berat kebajikan rakyat.

"Sekarang ini tanggungjawab para pengundilah bagi memastikan kegagalan tidak berterusan.

"Negara ini harus dibangunkan dengan pemerintahan Islam, yang melaluinya maka akan tertegak keadilan," ujar beliau.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk setiap ahli PAS berusaha sehabis daya bagi menampakkan kerja-kerja Islam, agar terserlah keindahan Islam supaya dapat menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. – HARAKAHDAILY 22/2/2019

TELUK INTAN: Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman selaku naqib jemputan telah mengisi Liqa' Fikri bulanan PAS Kawasan Teluk Intan yang diadakan di Dewan KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini semalam.

Dalam pembentangannya, beliau banyak menegaskan mengenai tahaluf dan ta'awun siyasi yang dilaksanakan PAS di mana ia semata-mata demi kepentingan dan perjuangan Islam.

Turut dikongsi beliau ialah pengalamannya sepanjang menjadi 'khadam' kepada Tuan Guru Presiden yang disifatkan beliau seorang pemimpin berdikari, memulia dan melayani tetamu.

Selain itu terangnya, Tuan Guru juga sangat mementingkan perbincangan dan mesyuarat sebelum memutuskan sesuatu di mana hal tersebut membuktikan Presiden PAS itu berjiwa besar.

Tuan Guru jugw menurutnya, biar sesibuk mana sekalipun tetap meluangkan serta berkesempatan untuk menulis yakni merujuk kepada usaha sebaran ilmu dan mengulas hal ehwal semasa.

Pada sesi tersebut beliau turut meluangkan kesempatan menjawab soalan hadirin termasuk isu-isu panas seperti saman RM90 juta, pertemuan dengan Perdana Menteri serta pergolakan PH. - HARAKAHDAILY 21/2/2019  

IMG 20190221 WA0006

IMG 20190221 WA0007