KEMAMAN: Seramai 30 pemuda sekitar Kemaman mengikuti Kursus Asas Fotografi anjuran Lajnah IT Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman.
 
Ketua Fotografi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat (Lestari), Hishamuddin Abdullah
berkata, fotografi merupakan satu karya seni di mana seni ini menjurus kepada dosa dan pahala.
 
“Sebagai jurugambar, pilihlah jalan yang baik dan moga kelas tadi dapat memberi manfaat,” katanya.
 
Sementara itu, Penolong Setiausaha II Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Wan Muhammad Zawawi Wan Hassan berkata,
Latihan yang banyak amat penting bagi memantapkan lagi ilmu dipelajari.
 
Beliau hadir bagi penyampaian sijil dan hadiah kepada peserta program tersebut.
 
“Kursus seperti ini perlu diadakan lagi pada masa akan datang dan istimewanya ia merupakan tarikan kepada pemuda sekitar kemaman,” tambahnya lagi. - HARAKAHDAILY 29/10/2017

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Tahfiz Al-Yamani cawangan Gombak, baru-baru ini.

Sumbangan sebanyak RM1,500 itu sebagai tanda sokongan beliau atas usaha untuk membangunkan fasa dua madrasah itu.

“Sebagai pelancaran pihak saya menghulurkan sumbangan tersebut namun sumbangan dari pelbagai pihak sangat dialukan kerana pihak madrasah menampung para pelajar dan operasi madrasah,” katanya dipetik SelangorKini.

Sementara itu, beliau berpendapat pembangunan tahfiz telah bercambah dengan baik kerana banyak permintaan daripada ibu bapa untuk menghantar anak ke tahfiz pada masa kini.

“Di samping itu masyarakat juga mempunyai kesedaran untuk mendidik anak-anak berdasarkan didikan agama.

“Maka usaha ini disokong dan dari semasa ke semasa pengurusan dan prasarana akan dipertingkatkan supaya sekolah tahfiz dapat sampai kepada piawaian yang selamat dan selesa,” tambahnya.

Katanya, kerajaan negeri juga konsisten sejak lapan tahun lalu dengan membantu sekolah tahfiz dalam pelbagai aspek.

Dalam majlis itu, beliau telah melancarkan Program Kutipan Dana Fasa 2 madrasah tersebut.

MUSLIMAT PAS diseru agar menguasai pelbagai bidang ilmu untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Jamaluddin Jusoh berkata, ini kerana, ‘sayap kiri’ parti itu akan memainkan peranan lebih besar dan bukan hanya berada di posisi tradisinya.

“Mungkin muslimat menjadi ‘Poling Agent Counting Agent’ (PACA), menunjukkan banyaknya bidang untuk kita berjuang, untuk kita berjihad di jalan Allah.

“Boleh jadi ada yang terpaksa memikul tugas bergantung kepada UPU dan keperluan masing-masing,“ katanya pada program Munajat Jentera Muslimat PAS Kawasan Dungun, kelmarin.

Selain kekuatan zahir, tegas beliau, ‘batiniah’ juga perlu diperkukuhkan kerana ia termasuk bab akhlak, sesuatu sangat perlu disebatikan dengan diri para pejuang kebenaran.

“(Kukuhkan) akhlak kita sebagai pejuang, jadikan baca al-Quran sinonim dengan kita, qiamullail, solat sunat dan infak kerana ini kekuatan kita, kekuatan rohani,“ ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan Dungun.

Justeru beliau mengajak para muslimat yang hadir sentiasa berasa Allah sentiasa dekat dan kadang kala apabila berasa jauh daripada agama maka kembali semula, dengan memperbanyakkan istighfar.

“Istighfar sebanyak mungkin, selawat sebanyak mungkin, banyak mana tidak kiralah asal duduk saja, kita selawat, asal duduk saja, kita zikir,” kata beliau dipetik Buletin Online.

KEMAMAN: Peranan Muslimat dalam menggerakkan agenda perjuangan dengan pelbagai aktiviti siyasah dan dakwah sememangnya tidak dapat disangkal.
 
Kesungguhan sama diperlihatkan Muslimat PAS Dun Kemasik yang bergerak sebagai jentera mendekati masyarakat melalui program seperti ceramah kelompok dan majlis bacaan Yaasin.
 
Dipimpin Ketua Muslimat PAS Dun Kemasik, Ustazah Naliati Lamshah, seluruh tenaga Muslimat PAS Dun berpadu menjayakan setiap program yang disusun.
 
Menurut beliau, program tersebut telah menjadi rutin Muslimat Dun Kemasik yang sememangnya perlu dijalankan atas tanggungjawab ke atas penduduk.
 
Selain mengeratkan hubungan sesama ahli dan masyarakat, Muslimat juga mendapat reaksi balas terhadap isu-isu dihadapi penduduk. - HARAKAHDAILY 28/10/2017

ARTIS dikir barat bersuara emas, Megat Nordin meninggal dunia pagi semalam kerana penyakit kanser hati.

Allahyarham meninggal dunia kebetulan jatuh pada ulang tahun kelahirannya ke-56 semalam.

MegatNMegat meninggal dunia kira kira pukul 11.50 pagi di kediaman bapanya di Kampung Kenali, Kubang Kerian.

Nama sebenarnya Nordin Yusof, hanya mampu terbaring dan keadaannya makin serius sejak awal bulan ini.

Megat Nordin dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menjalani pembedahan 18 Oktober lalu untuk membuang lebihan cecair.  

"Malam tadi, suami mengadu sakit dan kepenatan sebelum menghembuskan nafaz terakhir," ujar isteri Allahyarham, Khorunnisa Madiyoh, 48.

Sebelum ini Khorunnisa memberitahu suaminya disahkan mengidap penyakit itu bulan April lalu.– HARAKAHDAILY 28/10/2017

PEMUDA PAS perlu beraksi dengan lebih agresif dan matang sesuai dengan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Ketua Pemuda PAS Dungun, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkefli berkata, anak muda hendaklah melahirkan rasa kasih dan sayang kepada Islam bagi melengkapkan perjuangan.
Katanya, selain itu mereka juga perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi menjunjung perintah agama.
“Pemuda PAS Dungun yang melewati usia 40 tahun membuktikan kematangan sayap itu dalam menyusuri arus perjuangan.
“Generasi muda hari ini hendaklah berkeyakinan Islam adalah jalan penyelesaian kepada segala masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia,” katanya pada sambutan Karnival 40 Tahun Pemuda PAS Dungun baru-baru ini.
Sempena program itu pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan, Konsert Kembalilah 3, santai dakwah, bola sepak penalti, pertandingan PS4 , persembahan seni silat, acara silap mata dan persembahan pelajar Pasti.
Selain itu lebih 1,000 anak muda berkonvoi motosikal mengiringi Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus bersama Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Puatan melalui Urusan Ulamak PAS Kawasan Putatan dan Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah (KPJ1439) pada 8 Oktober 2017. Bertemakan "Hari Ini Adalah Kehidupan dan Esok Adalah Kematian", kursus ini diadakan di Masjid Sembulan, Kota Kinabalu dengan jumlah penyertaan seramai 50 orang.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Kamal Othman.

Kursus ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu teori dan praktikal. Penerangan teori oleh Ustaz Hafiz, sangat penting bagi menyampaikan ilmu secara ringkas berkenaan pengurusan jenazah. Sewaktu sesi praktikal, peserta dibahagikan mengikut jantina. Peserta lelaki dibimbing oleh Ustaz Hafiz sendiri, manakala peserta muslimat dipimpin oleh Ustazah Sofea Sarin.

Salah seorang peserta yang ditanya mengenai program, menyatakan rasa gembira kerana terpilih untuk mengikuti kursus tersebut. Ilmu yang diperoleh sangat berharga, ujar beliau. Beliau juga berharap akan dapat dimaklumkan sekiranya kursus sebegini diadakan lagi pada masa akan datang.

Selesai solat zuhur, program diteruskan dengan Majlis Penutupan serta penyampaian sijil dan cenderahati. Insya-Allah, berkat ketekunan dan kesabaran para penganjur, serta kerjasama masyarakat setempat, objektif PAS Putatan untuk menubuhkan Pasukan Urusan Jenazah bakal tercapai. – HARAKAHDAILY 20/10/2017

jenazah2

jenazah3

DEWAN Undangan Negeri (Dun) Kadok memenangi hadiah RM10,000 setelah menduduki tempat pertama program Cakna Rakyat 2017.

Dun Jelawat dan Dun Guchil masing-masing memperoleh RM7,000 dan RM5,000 setelah menduduki tempat kedua dan ketiga.

Selain hadiah wang tunai, setiap Dun yang menang memperolehi cenderamata khas.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam satu majlis khas hari ini.

Fadzli ketika ditemui memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 setiap Dun untuk menjayakan program itu.

Bagaimanapun, katanya jumlah perbelanjaan di setiap Dun tidak sama.

“Ada yang lebih daripada itu, namun pihak mereka sendiri yang menambah peruntukkan.

“Jumlah begitu berbeza dengan Dun yang lain kerana kreativiti yang dipersembahkan dalam program itu juga berlainan,”ujarnya.

Katanya, selain berjaya mengumpul pengunjung paling ramai, pengisian program yang pelbagai turut diambil kira khususnya untuk pemarkahan.

Fadzli berharap program itu akan menjadi jambatan erat antara pimpinan peringkat Dun dengan masyarakat khususnya di peringkat kampung. – HARAKAHDAILY 11/10/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) kawasan Gombak sentiasa mengambil sikap proaktif dalam menyantuni warga komuniti Cina kawasan Gombak. Ini dapat dilihat dalam Program Edaran Kuih Bulan peringkat DUN Gombak Setia.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia yang juga Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Gombak Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan, berkata, program edaran kuih bulan ini diadakan sempena kedatangan Perayaan Pertengahan Musim Luruh yang disambut oleh masyarakat Cina dan sebagai memeriahkannya, pihak Pejabat Adun dan PAS kawasan mengedarkannya disekitar Taman Tasik Seri Gombak dan Pasar Moden Seri Gombak.

Hasbullah juga berkata, program ini diadakan setiap tahun bagi fokus bertemu pengundi Cina sekitar DUN Gombak Setia dengan meluangkan waktu berbual dan beramah mesra selari dengan ‘tagline’ PAS, “Sejahtera Bersama Islam”. Dalam masa yang sama juga, para pengundi juga berkesempatan bergambar dan mengadu pelbagai permasalahan terus kepada wakil rakyat mereka.

Turut hadir sama Setiausaha PAS kawasan Gombak, Fahmi Mat Som, Ketua DHPP Gombak, Kong Tuck Wah, Ahli Majlis MPS, Azizul Abu Bakar, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Gombak, Muhaimin Mahidin, dan rombongan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia. – HARAKAHDAILY 10/10/2017

HasBulan 3HasBulan 2

ALTERNATIVE Riding Club (ARC) Gombak telah berjaya menganjurkan perlawanan futsal persahabatan dengan kelab motor RS150 Gombaking.

Perlawanan futsal ini adalah untuk membina hubungan dengan kelab motor lain selain dari aktiviti konvoi bermotor secara beramai-ramai, ia juga diadakan dalam bentuk sukan futsal.

Perlawanan seumpana ini adalah kali pertama yang dianjurkan oleh ARC Gombak bersama kelab motor RS150 Gombaking.

Perlawanan telah diadakan di Pusat Sukan Sinamex Sri Gombak yang turut dihadiri oleh kedua-dua penyokong yang membanjiri sekitar padang futsal.

Program telah dirasmikan oleh Adun Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan. Turut hadir dalam program ialah Ketua Pemuda PAS kawasan Gombak, Dr. Md Noor Husin. – HARAKAHDAILY 10/10/2017

ALTERNATIVE Riding Club (ARC) kini menjadi fenomena baru anak-anak muda. Sekarang boleh ditemui di mana-mana anak muda berbaju T hijau bertulis ARC.

Pengarah ARC Kelantan, Sazali Nor Saham berkata, ARC ditubuh di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Malaysia.

Katanya kelab itu mempunyai peranan besar dalam gerak kerja dakwah dan politik.

"ARC seperti 'road runner'. Mereka akan menyampaikan apa sahaja maklumat mengenai program PAS seperti ceramah, taklimat dan sebagainya.

"Justeru, saya berharap setiap cawangan PAS kena ada wakil ARC, sekurang-kurang lima ahli ARC dikira sudah mencukupi," katanya pada majlis santai muhibbah ARC Tumpat.

Program itu diadakan sempena pelancaran logo baru ARC Tumpat yang dilakukan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Tumpat, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian,

Naib ketua Pemuda PAS Tumpat, Mohd Nazri Abdullah; Ketua ARC Tumpat, Musrahimie Mohd Suhaimin dan 62 ahli ARC Tumpat. – HARAKAHDAILY 9/10/2017

KEBANYAKAN penduduk Kampung Bakam bekerja sebagai petani dan nelayan dan ada juga yang bekerja dengan syarikat swasta dan kerajaan.
 
Masalah yang sudah banyak kali diadukan kepada pihak PAS ialah masalah jalan ke kebun adalah terlalu sempit dan sukar untuk dimasuki oleh kenderaan ringan dan berat untuk mengangkut hasil pertanian.
 
Laluan ke kebun terlalu sempit dan tidak rata hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan pejalan kaki sahaja. Kesukaran pemilik lot tanah yang tidak mempunyai jalan masuk apabila jalan masuk dari lot tanah depan tidak mempunyai akses untuk kenderaan ke lot tanah mereka yang terletak di dalamnya
 
Mereka yang memilik lot tanah di tengah atau belakang sukar untuk masuk ke dalam kecuali mereka terpaksa menggunakan jalan belakang yang jauh dari tempat mereka berkebun.
 
Masalah jalan rosak teruk juga perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib terutama jalan menuju ke tanah kebun dan juga jalan menuju ke arah taman rekreasi Air Terjun Bakam yang terletak jauh ke dalam.
 
Sepatutnya tamah rekreasi Air Terjun Bakam patut diberi perhatian pihak berkuasa untuk menarik pelancong dari luar dan dalam negara datang ke Kampung Bakam. Ini merupakan satu tarikan yang perlu dimanfaat oleh penduduk kampung untuk menarik lebih ramai orang dari luar datang melawat kawasan perkampungan mereka.
 
Kita mengesa pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan segera membaik pulih serta membina jalan yang lebih baik untuk kemudahaan penduduk masuk ke kebun dan juga tempat taman rekreasi Air Terjun Bakam.
 
Gunakan peruntukan untuk projek jalan kampung dan kemudahan asas yang telah diluluskan dengan segera jangan tunggu sampai waktu pilihan raya sebagai umpan untuk mendapatkan undi. Jangan salahgunakan peruntukan rakyat dan berilah kepada mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan rakyat. Kerjasama dan perhatian pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 9/10/2017