BESUT: Menjelang sesi persekolahan baharu yang bakal dibuka awal Januari nanti, persiapan untuk anak-anak pelajar sedang gigih dilakukan para ibu bapa khususnya.

Namun, Kerajaan Negeri Terengganu juga mengambil peranan seumpama meringankan beban ibu bapa menerusi agihan bantuan persekolahan yang diadakan di seluruh negeri itu.

Di Dun Jabi, seramai 4,238 pelajar telah menerima sumbangan tersebut pada sesi sumbangan yang berlangsung selama empat hari disampaikan Adun Jabi, Dr Azman Ibrahim di Dewan Sivik Jabi, di sini.

Setiap pelajar menerima bantuan berupa uniform sekolah lengkap dan beg pada program yang turut dijayakan Pusat Khidmat Dun Jabi, i-Mits, Pemuda, Ameerah, Jabatan Amal serta Pengerusi dan Jawatankuasa MPKK.

Menurut Dr Azman, beliau berharap menerusi pemberian bantuan sedemikian akan menambahkan lagi semangat anak-anak pelajar khususnya untuk memulakan sesi baharu persekolahan. - HARAKAHDAILY 17/12/2018

SANDAKAN: PAS Negeri Sabah berjaya menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Parti, kelmarin yang menghimpunkan perwakilan seluruh negeri termasuk wakil dewan-dewan.

Sebanyak dua buah kertas kerja yang menjadi bahan asas konvensyen telah dibentangkan dalam program yang berakhir kira-kira jam 9 malam di Dewan Pasir Putih di Tawau itu.

Kertas kerja tersebut ialah Cabaran dan Masa Depan PAS Di Sabah yang telah dibentangkan oleh Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

Sementara itu, satu kertas kerja lagi telah dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah, Ustaz Mustakim Aling yang menyentuh tentang Fiqh Waqie Sabahi dalam konteks penyertaan politik PAS.

Menurut Pengarah Program, Sahar Abdul Majid, konvensyen itu diadakan sebagai satu medan awal bagi memacu PAS Sabah ke tahap yang lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 30 tahun lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri berkata, PAS akan terus membawa perjuangan rakyat dengan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima semua kaum di negeri ini.

Tambahnya, PAS juga akan terus memperjuangkan hak semua kaum dan agama dalam negeri ini dengan imej bersih, adil dan saksama.

Dalam konvensyen tersebut juga telah dibentangkan Deklarasi Kalabakan yang mengandungi 14 perkara utama yang merupakan dokumen PAS Sabah untuk gerak kerja beberapa tahun lagi.

Hadir sama dalam konvensyen tersebut selaku ialah AJK PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Mohamad Husain serta Pesuruhjaya PAS negeri, Aminuddin Aling. – HARAKAHDAILY 11/12/2018

perkasa1

SUNGAI PETANI: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Kedah telah melaksanakan Kursus Asas Kejurulatihan Amal Tahap 1 Siri 2 kepada anggota baharunya, di sini kelmarin.

Kursus diterajui Kor Latihan JAM Kedah itu melibatkan 68 anggota bertujuan memenuhi Prosedur Operasi Standard (S.O.P) kelayakan pemakaian pangkat bagi anggota baharu.

Kursus dua hari dikendalikan para jurulatih JAM Kedah itu telah mendedahkan peserta kepada modul teras amal dan tarbiyah, selain nilai jati diri serta persiapan selaku anggota JAM.

Siri-siri lanjutan kursus juga akan dilaksanakan dan diwajibkan penyertaan kepada anggota berkenaan bagi memastikan penyelarasan gerak kerja JAM oleh seluruh anggota.

Program rutin tersebut juga telah dijayakan dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Salim Mahmood yang menyampaikan amanatnya. - HARAKAHDAILY 3/12/2018

WANGSA MAJU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju telah menganjurkan program Khitan Perdana 2018 yang dilangsungkan di Madrasah Nurul Muttaqin, Gombak Setia, di sini kelmarin.

Program disertai 42 kanak-kanak sekitar Parlimen itu merupakan satu usaha Pemuda PAS menyediakan alternatif pusat khitan di samping menyemarakkan tuntutan melaksanakan sunnah tersebut.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat sekitar itu telah dirasmikan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Hadi Mohd Ghazali yang turut sudi menyampaikan ucapan.

Menurutnya, pelaksanaan program sedemikian adalah antara usaha kemasyarakatan dan kebajikan PAS kepada penduduk Wangsa Maju dalam meninggikan syariat dan syiar Islam.

Tambahnya, gerak kerja PAS adalah tidak bermusim atau terfokus hanya kepada pilihan raya, tetapi melaksanakan pelbagai usaha dakwah dan kebajikan seluasnya kepada ummah.

Majlis tersebut turut dibantu dan dimeriahkan dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Klinik Tasik Putri dan juga Jabatan Amal Malaysia. - HARAKAHDAILY 2/12/2018

PEKAN: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Pekan telah menganjurkan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin di Madrasah al-Husna, di sini kelmarin.

Majlis bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu telah disertai anggotanya dari Balai Peramu dan Balai Bandar Pekan.

Ia diadakan khas sebagai mendoakan keselamatan dan kesembuhan buat anggota JBPM, Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih dirawat di hospital.

Sebagaimana yang telah menjadi kegemparan kepada negara, berlaku rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya baru-baru ini di mana Adib mendapat kecederaan pada insiden tersebut.

Majlis bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Ketua Pemuda PAS Pekan, Ustaz Abu Anas Abdul Ghani, manakala solat hajat oleh Ustaz Syed Ali Syed Adnan.

Pengarah JAM Negeri Pahang, Astra Asmidas dalam kesempatan pertemuan itu menyatakan kesediaan pihaknya untuk sentiasa bekerjasama dengan JBPM.

Sementara pihak JBPM melahirkan penghargaan atas sokongan dan kesediaan kerjasama tersebut yang diharap dapat dijayakan atas dasar sebagai Muslim dan kepentingan negara. - HARAKAHDAILY 1/12/2018

SUNGAI PETANI: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Kedah telah melaksanakan Kursus Asas Kejurulatihan Amal Tahap 1 kepada para asatizah Maahad Tahfiz Mutmainnah, Permatang Berangan, di sini kelmarin.

Kursus dengan kerjasama JAM Kawasan Sungai Petani melibatkan 23 guru itu bertujuan melatih mereka dalam usaha untuk memperkemaskan Unit Briged Amal di sekolah tersebut.

Pengarah JAM Kedah, Yahya Abdullah berkata, kursus sedemikian penting dalam memastikan pergerakan Amal diterapkan kepada para anggota di semua peringkat dengan menggunakan modul Amal.

Kursus tiga hari dikendalikan para jurulatih JAM Kedah itu telah mendedahkan peserta kepada asas kawad, asas bantu mula dan asas ikatan selain nilai jati diri serta kaedah jurulatih berpandukan prinsip JAM.

Bagi memastikan pelaksanaan gerak kerja JAM selaras dan mengikut arahan yang betul, siri-siri lanjutan kursus akan terus didedahkan kepada para guru sehingga mereka mahir mengendalikan Briged Amal Sekolah. - HARAKAHDAILY 28/11/2018 

IMG 20181128 WA0001

MERSING: Dewan Pemuda PAS Kawasan Mersing dengan kerjasama PAS Cawangan Air Merah telah melangsungkan Majlis Khatan Perdana di Markas PAS Air Merah, di sini kelmarin.

Program kemasyarakatan itu sebagai usaha mengimarahkan sunnah dan membantu golongan memerlukan di mana pihak PAS Cawangan turut membiayai enam anak yatim berkhatan.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Mersing, ustaz Arif Abd Kadir itu turut diserikan dengan acara khatam al-Quran, doa selamat serta jamuan.

Majlis yang turut dijayakan PASTI dan Jabatan Amal Mersing itu juga dimeriahkan dengan perarakan paluan kompang dan semburan air dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tiga juru khatan berpengalaman telah menguruskan semua 30 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak daripada sekitar penempatam tersebut. - HARAKAHDAILY 26/11/2018

KENINGAU: PASTI Kawasan Keningau dan Tenom mencatat sejarah apabila mengadakan keraian bersama Hari Anugerah Kecemerlangan yang dilangsungkan di sini semalam.

Seramai 74 graduan daripada lima PASTI mewakili dua kawasan itu berjaya menamatkan pengajian mereka dan menerima sijil masing-masing disampaikan Setiausaha PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

Dalam ucapannya, Dr Aliakbar menyeru para ibu bapa untuk terus memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak dengan menjadi contoh teladan yang baik kepada mereka.

Pengerusi PASTI Keningau/Tenom, Ustaz Shahid Yusof pula berkongsi kehebatan PASTI yang telah melahirkan ramai pelajar berjaya termasuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Majlis turut dihadiri Yang DiPertua PAS Keningau, Abd Hisham Othman itu telah diserikan juga dengan pelbagai persembahan pelajar antaranya nasyid, kalam jamaie, khutbah dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 21/11/2018

SANDAKAN: Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah telah mengadakan ziarah mengunjungi keluarga Guru PASTI, Almarhumah Juriah Salamun di Kampung Lalasun, Batu 12, di sini semalam.

Kunjungan bersama PAS Kawasan Sandakan itu bagi merakam ingatan takziah dan menzahirkan simpati kepada mereka atas kehilangan ahli keluarga tersayang.

Rombongan telah disambut ibu dan suami Almarhumah, Juwita Esmail dan Rahmat Rabi yang terharu, namun tetap berkongsi kisah Juriah sepanjang menempuh sakitnya.

Pun begitu, keluarga tersebut nyata menerima ketentuan Ilahi meredai pemergian Almarhumah yang menghembus nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 15 November baru-baru ini.

Sempena ziarah itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Sabah, Nur Izzati Yusof juga menyampaikan sumbangan Muslimat kepada keluarga itu.

Hadir sama dan memberi semangat kepada keluarga tersebut adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Pengerusi PASTI Sandakan, Harryanto Ladati. - HARAKAHDAILY 21/11/2018  

IMG 20181121 WA0038

IMG 20181121 WA0037

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah menjayakan Walimatul Urus Perdana Siri Keempat melibatkan 11 pasangan pengantin yang dilangsungkan di Taman Temerloh Jaya, di sini kelmarin dahulu.

Majlis berskala besar tersebut sepenuhnya digerakkan dengan kewangan dan tenaga daripada ahli-ahli serta penyokong PAS yang membuktikan kemampuan PAS dalam agenda kebajikannya.

Yang DiPertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, walaupun tanpa kuasa pemerintahan kerajaan, PAS telah menunjukkan keupayaannya melaksanakan usaha sedemikian terhadap kepentingan masyarakat.

Menurutnya, dengan kemampuan sedemikian seharusnya menjadi penilaian masyarakat untuk turut meletakkan kepercayaan kepada PAS bagi mengurus dan menerajui pemerintahan negeri tersebut.

Majlis tersebut diacarakan dengan kos RM2,500 bagi setiap pasangan pengantin serta melibatkan undangan 7,000 tetamu dan turut dimeriahkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Adun Chenor, Ustaz Mujiburahman Ishak.

Menurut Pengarah Walimatul Urus Perdana, Azizul Hakimi Hasan, program sedemikian memudahkan urusan anak-anak muda di kawasan tersebut melangsungkan majlis bersejarah mereka.

Bahkan katanya, melalui majlis itu juga menjadi medium memupuk muafakat komuniti masyarakat pelbagai kaum, agama dan pegangan politik. - HARAKAHDAILY 21/11/2018

KUCHING: PAS Kawasan Petra Jaya terus menggiatkan usaha kemasyarakatannya menerusi program Kamek Prihatin yang dilaksanakan di Pejabat Perhubungan PAS Sarawak, Matang Jaya, di sini, kelmarin dahulu.

Pelbagai aktiviti dijayakan di bawah program tersebut merangkumi Sekampit Beras Buat Saudaraku, 'Back To School', selain sukaneka, jualan amal dan forum kekeluargaan.

Malah, turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan seperti 'music chair', bola beracun, membuat kerabu, dekorasi kuih tradisional, boling kelapa, cucuk benang dalam jarum dan sebagainya.

Yang DiPertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan berkata, usaha tersebut dilaksanakan sepanjang masa untuk bersama masyarakat dan menyelami kehidupan mereka dan PAS amat prihatin dengan isu-isu yang berlaku.

Beliau berharap usaha membantu masyarakat menerusi sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu beban mereka akibat kos sara hidup yang tinggi. - HARAKAHDAILY 21/11/2018  

IMG 20181121 WA0002

IMG 20181121 WA0005

 

IMG 20181121 WA0003

TITIWANGSA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa telah meraikan para guru dan murid PASTI kawasan itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan yang diadakan di Wisma Sejarah, di sini kelmarin dahulu.

Dalam majlis ihtifal dirasmikan Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairol Anuar Abd Manap itu, beliau memuji usaha pendidikan adab dan agama yang diterapkan para guru ke atas anak-anak PASTI.

"Interaksi interpersonal yang diterapkan sewaktu mereka belajar, bukan sahaja di antara murid dengan guru, atau murid dengan bahan pembelajaran, tetapi yang lebih penting interaksi sesama sendiri.

"Adab dan tatacara sewaktu interaksi dan komunikasi turut sama diutamakan dan mereka dididik agar dapat berhubung sesama manusia dalam suasana aman, beradab dan berkemanusiaan," ujarnya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Titiwangsa, Ustaz Abdul Rahman Hamzah pula dalam ucapannya menyentuh soal impian untuk membentuk anak-anak tersebut sebagai pelapis kepimpinan ummah dan negara.

Beliau mengingatkan mengenai kealpaan dan kelekaan terhadap anak-anak di zaman ini boleh membawa kehancuran kepada kehidupan dan negara di masa depan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan para pelajar seperti sajak, nasyid dan kalam jamaie serta penyampaian hadiah kecemerlangan mengikut kategori.

Pada majlis sama juga turut disampaikan diploma kepada para guru yang telah bergraduasi Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, selain majlis juga diwarnai pelbagai gerai jualan. - HARAKAHDAILY 21/11/2018

IMG 20181121 WA0001