KEPALA BATAS: Ameerah Negeri Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan mahabah bersama pimpinan Harian Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS, Pongsu Seribu, di sini semalam.

Pertemuan tersebut sebagai memperkenalkan saf baharu jawatankuasa Ameerah Pulau Pinang kepada Ketua Muslimat Negeri, Ustazah Hasanah Idris serta mendengar titipan nasihat dan amanat disampaikan.

Pimpinan Muslimat PAS Pulau Pinang yang hadir sama pada majlis itu adalah Naib Ketua, Siti Mastura Muhamad dan Setiausaha, Mazlina Jamaluddin dan Ketua Penerangan, Farhiyah Shafiee.

Ketua Ameerah Pulau Pinang, Aisyah Abdul Wahab memimpin pertemuan tersebut bersama kehadiran dan dukungan Ketua-ketua Ameerah Kawasan seluruh negeri ini.

Ustazah Hasanah dalam ucapannya menghurai konsep ta'aruf, ta'awun dan takaful yang penting dihadam agar gerak kerja dijayakan secara konsisten dan keutuhan amal jamaie.

Beliau juga mahu Ameerah berperanan terutama kepada wanita muda untuk membawa politik Islam agar mereka semakin mendekati tatacara hidup Islam khususnya dan juga PAS umumnya. - HARAKAHDAILY 22/5/2019

TAWAU: Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) PASTI Nurul Izzah dan JIBG PASTI Nurul Ain telah mengadakan edaran bubur lambuk di sekitar Kampung Saddani dan Kampung Batu 2, di sini.
 
Program sempena Ramadan ini dijalankan dengan penyediaan memasak bubur lambuk secara gotong-royong yang dilaksanakan secara kerjasama dengan PAS Cawangan Apas, semalam.
 
Program dari pagi ke petang itu merupakan rutin tahunan melibatkan PASTI-PASTI Cawangan Apas yang diadakan untuk mengeratkan ukhuwah bersama para waris murid PASTI dan penduduk. 
 
Lebih 800 bungkus bubur lambuk itu dapat disedia dan diedarkan kepada orang ramai yang turut menzahirkan rasa teruja menerima pemberian tersebut dari pihak PASTI dan PAS Apas.
 
Hadir sama membuat edaran tersebut adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Ustaz Rosli Hassan dan Timbalan Ketua PAS Apas, Satuwo Saidi bersama jentera PAS Cawangan. - HARAKAHDAILY 12/5/2019

KEPALA BATAS: Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Ihya' Ramadan di Markas PAS Negeri, Pongsu Seribu, di sini semalam.
 
Program kerohanian ini bertujuan meningkatkan iman dan takwa setiap ahli bertepatan roh Ramadan yang menjadi matlamat akhir kepada setiap Muslim.
 
"Malah, ianya juga merupakan program dakwah kemasyarakatan apabila turut dibuka kehadiran kepada umum dalam kalangan wanita," jelas Pengerusi Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Annisa Yusuf.
 
Antara pengisian himpunan adalah solat sunat, zikir munajat dan tadarus al-Quran, manakala tazkirah disampaikan Timbalan Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Syakirin Hussein.
 
Dalam pembentangan bertajuk "Tarbiyah Tunjang Kemenangan Islam" itu, beliau menegaskan wala' kepada pimpinan selagi tidak melanggar syariat dan tidak terburu-buru membuat spekulasi isu. - HARAKAHDAILY 12/5/2019

TELUK INTAN: PAS Cawangan Batu 3 Cicely telah mengadakan edaran bubur lambuk di Stesen Petronas, Taman Cicely, di sini petang semalam.
 
Edaran 200 bekas bubur lambuk kepada orang ramai itu bersama serahan takwim Ramadan terbitan Lajnah Penerangan PAS Kawasan Teluk Intan.
 
Menurut Ketua PAS Batu 3 Cicely, edaran itu merupakan program rutin tahunan PAS Cawangan tersebut bertujuan menghidupkan Ramadan.
 
Jelas beliau antaranya mengejar keberkatan luas ganjaran Allah kepada bulan ini dengan mengeratkan silaturahim menerusi amalan sedekah.
 
Katanya juga, penganjuran program ini membuktikan keberadaan PAS di tengah masyarakat setempat dan akan diadakan lagi kali kedua.
 
Turut hadir pada program petang semalam adalah Ahli Jawatankuasa PAS Teluk Intan, Johari Abdul Rahman serta Ahli Jawatankuasa PAS Batu 3 Cicely. - HARAKAHDAILY 10/5/2019
IMG 20190510 WA0078

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah mendirikan khemah khas yang dijadikan sebagai surau bagi kemudahan solat para peniaga dan pengunjung pasar Ramadan berhampiran Stadium Seri Manjung, di sini.
 
Inisiatif menerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Lumut yang disediakan sebagai dirian sementara ini mampu menampung sekitar 20 anggota jamaah pada satu masa.
 
Malah, khemah kanopi bersaiz 20'x20' ini turut menyediakan ruangan solat bagi kaum muslimah bersama juga telekung dan sajadah yang diperolehi dari infak orang ramai.
 
Menurut aktivis masyarakat, Raai Yusuf yang juga Ahli Jawatankuasa LKK, tempat wuduk muslimin disediakam di situ, manakala untuk muslimat menumpang di rumah berhampiran di mana turut memberi bekalan elektrik.
 
Menurut beliau, surau didirikan itu secara tidak langsung menjadi satu usaha dakwah dan amal jariah PAS Lumut kepada masyarakat setempat agar kefarduan solat tidak terabai disebalik urusan mereka lakukan. - HARAKAHDAILY 7/5/2019
IMG 20190507 WA0088

TELUK INTAN: Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan Kampung Batak Rabit telah mengadakan Majlis Pelancaran Ehya' Ramadan khusus untuk golongan remaja di Surau Al-Khairiah, di sini semalam.
 
Majlis telah dirasmikan Ketua PAS Kampung Batak Rabit, Ustaz Habib Mahfuz yang menyeru para remaja mengimarahkan masjid dan surau dengan ibadah kerana dilipatgandakan pahala amalan pada bulan ini.
 
Ketua Muslimat PAS Kampung Batak Rabit, Ustazah Norasiha Hanafi memaklumkan, program ini bertujuan mendidik dan memotivasikan para remaja untuk merebut segala kelebihan dalam Ramadan.
 
Jelas beliau, pengisian penuh bagi program ini akan diadakan pada 12 Mei depan sempena Sambutan Hari Ibu antaranya pertandingan azan, hafazan al-Quran, cipta kad ucapan Hari Ibu dan Hari Raya, kuiz dan mewarna.
 
Tazkirah Ramadan sempena majlis ini telah disampaikan Penasihat Surau Al-Khairiah, Ustaz Haris Abdul Razak berserta kuiz pengetahuan Islam kepada sekitar 20 peserta kanak-kanak dan remaja yang hadir.
 
Turut serta pada majlis tersebut adalah Ketua Muslimat dan Ketua Ameerah PAS Kawasan Teluk Intan, Robi'atun Mohd Abas dan Iffah Kamilah Ahmad Khushairi serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan. - HARAKAHDAILY 6/5/2019

TELUK INTAN: PAS Cawangan Kilang Padi telah mengadakan program penyampaian sumbangan kebajikan berupa barangan keperluan harian dan takwim Ramadan yang diadakan di cawangan itu, semalam.
 
Sumbangan tersebut sebagai bertemu mata dengan penduduk setempat dan sambutan awal Ramadan yang turut diisi dengan tazkirah Ramadan oleh Setiausaha PAS Kilang Padi, Ustaz Khairi Arifin.
 
Ketua PAS Kilang Padi, Mokhtar Bakti dalam ucapannya menyatakan bahawa penyampaian sumbangan itu adalah atas dasar keprihatinan terhadap kesulitan hidup masyarakat sesuai peranan PAS.
 
Jelasnya, PAS bukan semata-mata parti politik, tetapi juga gerakan dakwah yang tidak terhad bergerak hanya semasa waktu pilihan raya atau kerana menang kalahnya.
 
Manakala Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Rostam Malik yang hadir menyampaikan sumbangan menyatakan bahawa pemberian itu sebahagian usaha memanjangkan sedekah orang ramai. - HARAKAHDAILY 6/5/2019

LENGGONG: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Hidayatul Quran semakin cemerlang, apabila empat daripada 13 acara temasya sukannya di peringkat kebangsaan akan diwakili peserta-pesertanya bagi kontinjen negeri Perak.
 
Guru Besarnya, Ustaz Hushairi Ariffin berkata, empat acara yang diungguli SRITI Hidayatul Quran di peringkat negeri baru-baru ini ialah acara bola jaring, lari 70 meter individu (perempuan), lari 100 meter individu, lelaki dan perempuan.
 
Menurutnya, mereka akan menyertai kontinjen Perak ke temasya sama bagi peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kelantan nanti.
 
"Seramai 32 pelajar Hidayatul Quran Lenggong menyertai 13 acara yang dipertandingkan dalam Temasya Sukan SRITI peringkat negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa di Kampar baru-baru ini.
 
"Dengan diiringi tujuh guru, mereka berjaya mengungguli empat acara dan mendapat tempat ketiga bagi acara memanah perempuan, dikira satu pencapaian terbaik setakat ini," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis meraikan kemenangan peserta-peserta sukan itu semalam.
 
Hadir sama memeriahkan majlis yang turut diadakan upacara potong kek itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa'at Razman dan Ketua Dewan Muslimat Lenggong, Ustazah Fauziah Musa.
 
Ustaz Hushairi memaklumkan, SRITI Hidayatul Quran yang kini baru berusia tiga tahun, pada tahun lepas berjaya mewakili Perak dalam acara pecut 70 meter lelaki dan 4 X 70 meter perempuan ke peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Kedah. 
 
Tambahnya lagi, ketika upacara perbarisan sempena temasya sukan di peringkat negeri baru-baru ini, SRITI Hidayatul Quran membawa tema 'Pahlawan Melayu' dengan slogan 'Takkan SRITI Hilang Di Dunia'.
 
Sementara itu, Ustaz Rifaat di dalam ucapannya berkata, kecemerlangan anak-anak SRITI Hidayatul Quran sewajarnya diraikan supaya mereka bersemangat diberikan perangsang oleh guru-guru.
 
Jelasnya, kecemerlangan mereka dalam bidang sukan, sebaik-baiknya menjadi pendorong kepada mereka untuk lebih cemerlang dalam bidang akademik dan diharap mereka akan menjadi insan soleh yang pintar mempunyai syahsiah rabbani dan murabbi. -  HARAKAHDAILY 6/5/2019

IPOH: Sambutan Hari Guru 2019 dan Ambang Ramadan 1440 Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Kawasan Tambun telah diadakan bertema tradisional di SRITI Al-Istiqamah, di sini kelmarin dahulu.
 
Sambutan itu meraikan Mudir, Ustaz Mohamad Saiful Mohamed Kamal dan tenaga pengajar SRITI Al-Istiqamah iaitu Ustazah Nurul Nabila Jumbuny dan Ustazah Iffah Md Suaid bersama para pelajar institusi itu.
 
Selain jamuan pelbagai juadah yang disumbangkan ibu bapa, sambutan turut dimeriahkan dengan pertandingan kuiz dan mewarna yang juga menjadi latihan fokus dan ingatan murid kepada ilmu.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Bahrin telah menyampaikan Anugerah Khas kepada tiga pelajar atas kejayaan mengekalkan kehadiran penuh ke sekolah.
 
Beliau selaku Pengerusi SRITI Al-Istiqamah turut memaklumkan bahawa pra-pendaftaran bagi Darjah 1, 2 dan 3 untuk ambilam tahun 2020 masih dibuka termasuk secara dalam talian bagi premis di Bandar Meru Raya ini.
 
"SRITI kini menjadi pilihan terbaik masyarakat dalam mendidik anak-anak peringkat rendah ke arah melahirkan generasi pintar soleh, rabbani dan murabbi," terangnya.
 
SRITI Al-Istiqamah mengalu-alukan sumbangan bagi Dana Pembangunan untuk menambah ruang kelas dan kemudahan di mana boleh disalurkan ke akaun Bank Rakyat 110441005292 atas nama SRITI Al-Istiqamah Resources. - HARAKAHDAILY 6/5/2019

LUMUT: PAS Cawangan Pangkor dan PAS Cawangan Sungai Pinang besar telah menjalankan operasi 'clean and clear' kediaman penduduk yang ditenggelami banjir, di sini semalam.

Berikutan hujan lebat dan bertembung fenomena air pasang besar, selain masalah saliran perparitan telah mengakibatkan banjir kilat melanda pulau ini pada malam kelmarin.

Aktiviti dipimpin Ketua Pemuda PAS Sungai Pinang, Mohd Zailani Yusuf itu turut melibatkan Umno Pangkor bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pangkor serta penduduk setempat.

Gotong-royong kebajikan itu telah menumpukan beberapa kediaman yang teruk menghadapi kejadian ini iaitu di Kampung Masjid, Kampung Haji Hussin dan Rumah Murah.

Maklum beliau, usaha itu juga sebagai meringankan beban mangsa yang merupakan jiran tetangga memandangkan masing-masing akan menempuh bulan Ramadan. - HARAKAHDAILY 6/5/2019

PERMATANG PAUH: Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Tok Kandu telah mengadakan program Sumbangan Kasih Ramadan di Kampung Pertama, di sini semalam.
 
Program tersebut bertujuan menyantuni penduduk, terutama dalam kalangan asnaf terdiri daripada miskin, Orang Kelainan Upaya, sakit, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
 
Menerusi ziarah tersebut, rombongan PAS telah menghulurkan sumbangan berupa keperluan dapur termasuk wang tunai sebagai perbelanjaan menjelang Ramadan.
 
Usaha tersebut selain mengerat silaturahim, juga sebagai kecaknaan terhadap hal ehwal kebajikan golongan tersebut yang sentiasa dalam perhatian pihak PAS.
 
Selain dapat mengemaskini perkembangan semasa golongan itu, pihak PAS Tok Kandu juga setidaknya telah mengurangkan beban serta memberi keceriaan buat mereka.
 
Tidak ketinggalan dikunjungi adalah Guru-guru PASTI Zabidi yang dihargai jasa mereka sebagai pendidik di sini di mana program ini dihasratkan diteruskan setiap Ramadan. - HARAKAHDAILY 5/5/2019

TAWAU: Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah Kawasan Tawau bersama Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) PASTI Nurul Izzah Jalan Saddani telah membersihkan premis tersebut yang ditimpa banjir.

Gotong-royong tersebut telah disertai 30 anggota Amal, guru PASTI, JIBG dan Alumni PASTI ini yang menjalankan kerja-kerja 'clean and clear' (C&C) seawal pagi hingga tengahari, di sini semalam.

Aktiviti tersebut sebagai usaha meringankan beban PASTI Nurul Izzah yang turut mengalami kerosakan memandangkan kedudukannya berhampiran sungai pada kejadian banjir baru-baru ini.

Selain itu, langkah mengadakan kerja-kerja pembersihan tersebut juga supaya dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung sebagaimana sedia kala.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Apas, Munzir Mahmud berharap agar PASTI dan JIBG sentiasa erat untuk bersamaJabatan Amal melaksanakan lebih banyak usaha kemasyarakatan dan kebajikan. - HARAKAHDAILY 5/5/2019