LUMUT: Pimpinan PAS Kawasan Lumut telah bersama mendekati masyarakat melalui majlis berbuka puasa anjuran PASTI Al-Amin, Fasa 2G, Seri Manjung, di sini kelmarin.
 
Antara pimpinan PAS Lumut yang hadir adalah Yang DiPertua, Rasli Abdul Rahman dan Bendahari, Zulkifli Ahmad Yusuf serta pimpinan Pemuda, Muslimat dan PASTI.
 
Majlis dibuka dengan ucapan Ketua PAS Cawangan Fasa 2, Ustaz Nazri Mustafa dan tazkirah oleh Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abdul Rahman.
 
Manakala Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada guru-guru PASTI sebagai persediaan sambutan Aidil Fitri.
 
Rasli dalam tazkirahnya turut menyeru agar ibadah puasa diajarkan kepada anak-anak dengan harapan amalan yang dikerjakan penuh keikhlasan akan berguna di alam baqa.
 
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid dan Pengerusi PASTI Lumut, Abdul Basir Muhammad serta Pengurus PASTI Al-Amin, Ibrahim Khalil. - HARAKAHDAILY 18/5/2019

KAMPAR: PAS Kawasan Kampar telah memenuhi undangan Majlis Iftar Perdana anjuran Umno Bahagian Kampar yang diadakan di Pejabat Umno Kampar, di sini semalam.
 
Kehadiran delegasi PAS Kampar bersama para Pemuda dan Muslimat itu sekali gus menjadi tanda hubungan ukhuwah erat yang sedia terjalin antara kedua pihak.
 
Majlis bermula tahlil dan doa itu itu turut bersama solat tarawih dan witir, selain jamuan moreh yang menjadi kesempatan kedua pihak bertukar-tukar pandangan bersama.
 
Kedua pihak masing-masing dipimpin Ketua Umno Kampar, Dato' Abdul Rahman Mat Som dan Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Sofian Rejab pada majlis sekian kali ini.
 
Sementara itu PAS Kampar turut mempelawa dan menanti kunjungan balas Umno Kampar pada Sambutan Badar Al-Kubro PAS Kampar di Markas Tarbiyah PAS Kampar, 24 Mei depan. - HARAKAHDAILY 16/5/2019

LUMUT: PASTI Kawasan Lumut telah meraikan murid-murid dalam kalangan anak yatim dan dari keluarga berpendapatan rendah dengan sumbangan kelengkapan baju raya di Pasaraya TF dan Bazar Ramadan, di sini hari ini.
 
Masing-masing mereka yang menerima set baju raya, kasut, baju harian dan tudung itu adalah dari PASTI Adawiyah, PASTI Al-Huda 1, PASTI Al-Hidayah, PASTI Al-Falah, PASTI At-Ta'alim, PASTI Istiqomah, PASTI Al-Hilal dan PASTI Abu Bakar.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid, dengan pemberian tersebut menjadi kesyukuran dan kegembiraan buat murid-murid tersebut meraikan Aidil Fitri nanti bersama keluarga mereka.
 
Katanya, menerusi program demikian bukan sahaja mengajak masyarakat untuk turut sama menyumbang, tetapi turut menggerakkan komitmen PASTI dalam melaksanakan agenda kebajikan dan meringankan tanggungan waris.
 
Hadir sama memilih dan menyerah sumbangan itu adalah Pengerusi PASTI Lumut, Abdul Basir Muhammad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Lumut, Nurhayat Abu Bakar bersama guru-guru pengiring yang lain. - HARAKAHDAILY 15/5/2019

LUMUT: PAS Kawasan Lumut meneruskan program Semarak Kasih Ramadan dengan kerjasama PAS Cawangan Batu 14 di Lekir, di sini semalam.
 
Menerusi program tersebut, rombongan PAS telah berziarah ke 15 rumah penduduk dan menyampaikan sumbangan beras bersama keperluan harian.
 
Timbalan Ketua PAS Batu 14, Saufi Bustamam Shaari berkata, para penerima dipilih pihaknya adalah dalam kalangan asnaf miskin dan warga emas yang uzur.
 
Kunjungan diketuai Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abdul Rahman itu turut menziarahi bekas Imam Masjid Batu 14, Osman Hussain yang uzur dan rombongan menitipkan doa buatnya.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Batu 14, Ustazah Sabariah Ismail, sumbangan diperolehi dari infak orang ramai kepada pihak PAS Cawangan untuk diberikan pada Ramadan ini.
 
Pimpinan PAS Lumut yang turut serta dalam kunjungan tersebut adalah Ketua Muslimat, Rohawati Abidin dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Zaharah Husin serta lain-lain. - HARAKAHDAILY 14/5/2019

SHAH ALAM: Lajnah Dakwah PAS Kawasan Shah Alam bersama Lajnah Dakwah Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Shah Alam telah mengadakan Dakwah Corner, kelmarin.

Program tersebut merupakan satu usaha mendekati masyarakat dan mengimarahkan Ramadan kepada Muslim khususnya yang telah dijalankan di Bazar Ramadan Seksyen 13, di sini.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS Shah Alam, Syafiq Ashraf Asli, Dakwah Corner itu menjadi medan pihaknya menyemai usaha dakwah kepada anak muda dan warga Shah Alam.

Di medan tersebut, semua penggerak telah mengedarkan risalah panduan mengenai amalan di bulan Ramadan, selain buah tamar dan bubur lambuk untuk menjadi juadah berbuka.

Program diketuai Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Shah Alam, Ustaz Husni Zaim Muhammad itu telah mengedarkan pek Ramadan tersebut kepada lebih 200 pengunjung bazar dibantu 15 tenaga penggerak.

Katanya, usaha dakwah dijalankan itu sebagai memenuhi seruan Rasulullah S.A.W supaya menyebar salam, menghubung silaturahim, memberi makan dan mendirikan ibadah malam. - HARAKAHDAILY 14/5/2019

IMG 20190514 WA0054

LUMUT: Warga Sekolah Rendah Islam (SERI) At-Ta'alim kehilangan salah seorang pendidiknya, Ustazah Noorlin Aisyah Rejab Ali, 36 tahun yang meninggal dunia, tengah hari semalam.
 
Allahyarhamah yang menghidap kanser telah bertugas sejak tahun 2017 di At-Ta'alim dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pulau Pinang.
 
Arwah yang bercuti sakit sebelum pemergiannya itu, telah meninggalkan suami, Ahmad Azali Ziwazir dan dua cahayamata, Ahmad Fathul Rizqan, 3 tahun dan Nur Faathima Amna, 9 bulan.
 
Pemergiannya itu memang satu kehilangan kepada SERI At-Ta'alim di mana selama ini arwah berulang alik sejauh 80 kilometer setiap hari dari rumahnya di Changkat Lada menabur bakti di At-Ta'alim.
 
Guru Besar SERI At-Ta'alim, Ustazah Norliza Mohd Fadzil bersama rombongan guru yang menziarahi jenazah Allahyarhamah di Kampung Senduk Batu 8, Trong mendoakan rohnya dicucuri rahmat.
 
Jenazah telah diuruskan keluarga dan disolatkan di Surau Assomadiah kampung halamannya dan dikebumikan di sana. - HARAKAHDAILY 14/5/2019
 
foto arwah paling kiri

BERUAS: PAS Cawangan Batu 36 telah menyediakan masakan bubur lambuk dan mengedarkannya secara percuma kepada penduduk setempat.
 
Usaha memasak itu diketuai Ahli Jawatankuasa PAS Batu 36, Hassan Abu Bakar yang dibantu Ahli PAS, Muhamad Azhar Minhat di Surau Tuan Guru Haji Zin Batu 36, Sitiawan, Beruas, di sini
 
Juadah sempena Ramadan itu kemudian menjadi sedekah bagi berbuka puasa kepada masyarakat di situ yang sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka serta menggalakkan sumbangan.
 
Ketua PAS Batu 36, Zulkapli Hassan berkata, program tersebut telah menjadi rutin tradisi PAS Cawangan tersebut secara tahunan setiap kali Ramadan.
 
Penganjuran bagi tahun ketiga ini disediakan berdasar jumlah sumbangan orang ramai sekali gus menyemarakkan keberkatan sedekah dan memberi makan orang berbuka yang digalakkan Nabi S.A.W. - HARAKAHDAILY 14/5/2019

PANDAN: Program Jelajah Ramadan pada tahun ini membuka tirai dengan agihan dan edaran buah kurma kepada pengguna pengangkutan awam di LRT Cempaka, di sini petang semalam. 
 
Ketua Ameerah Pandan, Nurul Husna Abd Hamid berkata, program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan sebagai salah satu cara untuk menghidupkan Ramadan di samping menyantuni masyarakat di sekitar Pandan. 
 
Program kerjasama di antara Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan PAS Kawasan Pandan ini disambut baik oleh masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat umur, agama dan bangsa. 
 
Pengarah Program, Azhar Azlan pula menjelaskan, program ini menjadi salah satu uslub dakwah yang sangat memberi kesan kepada jawatankuasa penggerak juga masyarakat terutamanya di bulan Ramadan ini.
 
"Di antara amalan yang terbaik di bulan Ramadan ialah dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa. Seperti hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, "Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun". 
 
"Justeru, inilah peluang yang terbaik kita ada untuk mengumpulkan saham akhirat buat kita dan mereka," ulasnya. 
                      
Program ini akan turut dipenuhi dengan beberapa aktiviti lain seperti sumbangan kit Ramadan, singgah sahur dan edaran bubur lambuk sepanjang bulan yang berkah ini. - HARAKAHDAILY 14/5/2019

SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna telah mengadakan program edaran takwim Ramadan dan buah tamar di Bazar Taman Sempaul, di sini semalam.
 
Program melibatkan kerjasama Pemuda PAS dan Muslimat PAS Semporna itu merupakan usaha menyemarakkan sambutan dan mengimarahkan Ramadan.
 
Ia merupakan salah satu daripada program Kasihmu Ramadan yang dikendalikan di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Semporna.
 
Penganjurannya merupakan satu usaha memupuk semangat menghidupkan suasana Ramadan dalam kalangan masyarakat serta pimpinan PAS.
 
Hadir sama pada program ini ialah Ketua Penerangan PAS Semporna, Aizal Samsaruddin serta Ketua Pemuda PAS Semporna, Huzaini Rohani dan Ketua Muslimat PAS Semporna, Nusaibah Khairun. - HARAKAHDAILY 13/5/2019

IPOH: PAS Cawangan Pengkalan Pegoh dalam Kawasan Ipoh Timur terus menghidupkan tradisinya setiap kali Ramadan iaitu edaran bubur lambuk.
 
Sehubungan itu, gotong-royong menyedia, memasak dan mengedarkannya telah dijalankan di Markas PAS Pengkalan Pegoh, di sini kelmarin dan semalam.
 
Menurut Ketua PAS Pengkalan Pegoh, Dr Ahmad Husni Hassan, sudah 10 tahun tradisi itu berjalan bertujuan menghidupkan Ramadan dengan amalan sedekah.
 
Beliau berkata, program tersebut dianjurkan sebagai membuktikan keberadaan PAS di tengah masyarakat dan uniknya tahun ini disertai ahli Umno yang datang membantu.
 
Hadir sama memeriah dan membantu para petugas adalah Ahli Jawatankuasa PAS Ipoh Timur, Mazlan Mohd Isa serta Ahli Jawatankuasa Cawangan tersebut. - HARAKAHDAILY 13/5/2019

SANDAKAN: Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakataj Muslimat PAS Negeri Sabah, Nurul Izzati Yusof turun padang mengetuai sendiri rutin bertemu penduduk terutama golongan memerlukan.
 
Menerusi program Semarak Kasih Ramadan 3.0 itu, Muslimat PAS Sabah telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Dewan Kampung Pababag Hujung Semporna, di sini kelmarin.
 
Kunjungan ziarah dan sumbangan keperluan harian itu adalah sempena kedatangan Ramadan, selain turut mengemaskini perkembangan golongan tersebut, serta bantuan susulan yang diperlukan.
 
Ia menjadi perhatian dan pembelaan terhadap hal ehwal kebajikan terhadap nasib golongan tersebut oleh Muslimat PAS Sabah yang sentiasa prihatin akan kehidupan mereka dengan kesantunan sewajarnya.
 
Penerima kali ini terdiri dari asnaf miskin antaranya balu yang bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar untuk menampung keluarga dan turut dihadiri Ketua PAS Cawangan Kampung Pababag Hujung, Mohd Kadal Idal. - HARAKAHDAILY 13/5/2019

BUKIT MERTAJAM: Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam telah menganjurkan Ihya' Ramadan yang turut dihadiri Wanita Umno dan masyarakat setempat di Surau Taman Sri Janggus, di sini.

Program ini memulakan acara dengan tadarus al-Quran, sebelum diisi dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan Ketua Urusan Ulamak PAS Bukit Mertajam, Ustaz Syamizam Ibrahim.

Pengisian beliau berkisar sirah Rasulullah S.A.W mengenai Perang Mu'tah di mana para Sahabat R.A bermati-matian mempertahankan Islam dari kuasa besar angkatan perang musuh.

Turut menyampaikan ucapan adalah Ketua Muslimat PAS Bukit Mertajam, Noriah Ibrahim yang menyentuh pemahaman umum mengenai konsep ta'awun khususnya antara PAS dan Umno.

Terangnya, hubungan tersebut telah dijalin mulakan oleh PAS Pusat sendiri dan semua pihak telah menjadi saksi melihat antara natijahnya adalah kemenangan dalam beberapa PRK.

Beliau turut menyeru para muslimat agar menguatkan rohani iaitu dengan memanfaatkan kedatangan Ramadan menerusi amalan sunnah yang digandakan pelaksanaannya.

"Dalam memperjuangkan Islam, tidak boleh tidak, kita perlu meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah S.W.T. Hanya Dia yang akam beri kemenangan untuk perjuangan Islam," ujarnya. - HARAKAHDAILY 12/5/2019